Sabtu, 7 November 20267 Nov 2026
Teknologi & Kejuruteraan

Mariana Web – Misteri Terbesar Internet

Tahukah anda, akses internet yang anda nikmati sekarang
hanya sekadar 4-5% saja? Terkejut? Anda memang patut terkejut. Apa yang kita
gunakan dalam kehidupan seharian ini dipanggil Surface Web. Sementara bagi
laman-laman yang perlukan akses dan tiada dalam senarai indeks enjin carian,
itu digelar Deep Web. Dan siapa pun takkan lupa Dark Web, sudut paling gelap
yang menyimpan pelbagai rahsia yang bersifat ngeri, lucah dan tak pernah
dilihat. Tetapi ada satu tempat dalam internet yang tidak dapat diakses oleh
sesiapa. Inilah Mariana Web, misteri internet terbesar!

Khabar angin berkenaan Mariana Web bermula dengan
hantaran yang dibuat seorang pengguna Reddit. Hantarannya berbunyi begini:

“Saya seorang pembangun laman sesawang dan pekerja bebas,
diupah untuk mereka laman sesawang. Satu hari semasa saya menggunakan akaun
Reddit, seorang individu tidak dikenali menggunakan akaun ‘450KW’ menghantar
mesej kepada saya untuk membina laman sesawang untuknya dan sedia membayar saya
$50,000 seminggu untuk kerja berkenaan. Saya terfikir mengapa dia menyediakan
amaun sebegitu rupa untuk satu kerja rutin. Tetapi saya amat memerlukan duit
ketika itu, jadi saya terima tawaran dia dan mula bekerja untuknya. Saya
diberikan satu server peribadi sebagai tempat kerja untuk saya bangunkan
laman-laman sesawang. Saya hanya membangunkan laman-laman sesawang dan tidak
pernah memasukkan sebarang kandungan ke dalamnya. Jadi, saya bekerja dalam
keadaan sedemikian selama sembilan minggu. Saya nak tahu tentang server yang
ditugaskan untuk saya itu. Jadi, saya ambil beberapa fail dari server berkenaan
kerana saya ada akses kepada sesetengah kawasan server. Jadi, saya muat turun
beberapa fail dari server dan menemui beberapa video dalam fail-fail tersebut.”

Video yang menerangkan asal-usul Mariana Web: https://www.youtube.com/watch?v=5sUcIU_mUVI

Nama Mariana Web ini diambil dari nama jurang paling dalam
di dunia iaitu Jurang Mariana. Mariana Web dikatakan menjadi lokasi paling
dalam internet di mana ia membentuk rangkaian World Wide Network dari
komputer-komputer kerajaan. Komputer-komputer ini mengandungi data-data rahsia
di mana ia boleh dipindahkan dengan bantuan internet. Dan bagi memastikan ia
tidak dapat dikesan, mereka turut menggunakan Internet Protocol yang ketat bagi
membolehkan semua data dienkripsi agar tidak dapat dikesan dan identitinya
tidak diketahui. Versi paling hampir kepada Mariana Web ini ialah rangkaian
peribadi yang digunakan kerajaan seperti Global Wide Area Network (GWAN),
NSAnet, RIPR dan JWICS.

Sekarang mengapa saya gelar Mariana Web misteri terbesar
internet? Jawapannya mudah saja, ia masih belum dapat disahkan sama ada ia benar-benar
wujud atau tidak. Kisah pengguna Reddit yang saya nyatakan di atas menjadi
sebab untuk mempercayai kisah tersebut sebagai misteri. Ramai berspekulasi
kebanyakan maklumat disimpan di situ bertaraf rahsia besar kerana mengandungi
pelbagai rahsia tentang kemanusiaan. Antara maklumat yang dikatakan disimpan di
situ ialah maklumat lokasi Atlantis dan maklumat pelbagai agensi kerajaan.

Ada juga berspekulasi Mariana Web sebenarnya rumah kepada
kecerdasan buatan super (artificial super intelligence/ASI) di mana mereka
boleh merasai atau membuat anggapan tentang sesuatu perkara. ASI ini dikatakan
memantau keseluruhan internet dan ada yang beranggapan inilah kuasa yang
mengawal internet hari ini.  Ada juga
yang berspekulasi Mariana Web merupakan tempat anggota organisasi rahsia
Iluminati berkomunikasi.

Bagaimana untuk mengakses Mariana Web? Jawapannya
menerusi komputer kuantum, bukan program-program biasa yang kita gunakan untuk
mengakses Deep Web dan Dark Web. Masalahnya, tak ramai yang setuju dengan kenyataan
ini kerana merasakan komputer sebegitu tidak wujud. Jika komputer sebegini
wujud, satu partikel boleh wujud dalam dua keadaan pada satu-satu masa. Dan ia
sukar dicabar oleh mana-mana penggodam kerana ia amat stabil dan mempunyai
struktur yang kuat. Sebagai bukti, komputer sebegini boleh menyelesaikan satu
masalah dalam masa satu saat. Jika kita gunakan komputer biasa untuk selesaikan
masalah sama, ia akan mengambil masa lebih 10,000 tahun untuk selesaikan
masalah sama. Ketika ini, hanya empat komputer kuantum saja yang boleh penuhi
keperluan di seluruh negara Amerika Syarikat.

Walaupun ada yang berkeras mengatakan komputer sebegini
tidak wujud, ia sebenarnya sudah ada dan membabitkan kerjasama Agensi Aeronatik
dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan gergasi komputer Google. Beberapa tahun
lepas, NASA dan Google mendakwa berjaya membangunkan sebuah komputer kuantum
yang berfungsi dengan baik selepas kajian dan penyelidikan bersama yang
dilakukan selama beberapa tahun. Menurut Pengarah Kejuruteraan Google Hartmut
Neven, komputer mereka ini boleh menyelesaikan masalah 100 kali lebih pantas
berbanding komputer biasa.

Dan pada tahun 2014, Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA)
dikatakan sedang membina komputer kuantum mereka sendiri. Mereka dikatakan mahu
membina sebuah komputer kuantum yang boleh memecah semua jenis algorithm yang
mengawal internet. Kebanyakan maklumat ini terdedah hasil dokumen-dokumen yang
didedahkan oleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden. Snowden yang kini
mendapat perlindungan di Rusia mendedahkan ketika ini, NSA sudah membelanjakan
$79 juta untuk projek berkenaan.

Jika ada merasakan ini tidak mencetuskan perlumbaan baru,
anda salah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Syarikat dan China
berlumba-lumba menghasilkan komputer kuantum versi mereka. Beberapa hari lepas,
Kongres Amerika Syarikat meluluskan satu rang undang-undang yang membenarkan
Washington menyaingi Beijing dari segi keupayaan komputer kuantum.
Undang-undang tersebut diluluskan selepas Center for New American Security,
satu pusat pemikir berpangkalan di Washington DC dan dianggotai bekas
pegawai-pegawai Pentagon memberi amaran China akan mengatasi mereka sekiranya
usaha mereka itu berjaya.

RUJUKAN:

1. Thomson, Iain. (2014). The Register. Snowden docs: NSA
building encryption-cracking quantum computer. https://www.theregister.co.uk/2014/01/03/snowden_docs_show_nsa_building_encryptioncracking_quantum_system/

2. Johnson, Lloyd. (2018). Daily Express. Computer will
find EVERYTHING you’ve EVER done online & there’s ZERO you can do to stop
it. https://www.express.co.uk/news/science/913998/quantum-computers-encryption-data-nsa-gchq-microsoft

3. McFarland, Matt. (2018). CNN. China bet big on quantum
computing. Now the US races to keep up. https://money.cnn.com/2018/09/14/technology/quantum-computing-china/index.html

4. Masih, Ronit. (2018). GodACityHacks.com. Mariana Web-
Internet’s Biggest Mystery. http://godacityhacks.com/mariana-web-internets-biggest-mystery/

5. Herkewitz, William. (2015). Popular Mechanics. Google
and NASA Say Their Quantum Computer Finally Works. https://www.popularmechanics.com/technology/gadgets/a18475/google-nasa-d-wave-quantum-computer/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet