George Nares mempunyai amanah yang sangat besar. Beliau dilantik Charles Wyville Thomson daripada pihak Universiti Edinburgh dan Sekolah Istana Merchiston.
Dua institusi ini pula mewakili Persatuan Diraja London (RSL). Kiranya Thomson secara tidak langsung mewakili Raja British… manakala Nares membawa nama baginda ke persada dunia. Apa tugas Nares? Menjelajah dunia ke sana sini dalam suatu perjalanan 127,580 kilometer.
Titik peluh Nares tidak sia-sia. Kerana beliau, sains mengenali 4,700 spesis baharu. Dan kerana beliau juga, saintis akhirnya tahu kedalaman Mariana Trench.
Begini ceritanya – beliau mengemudikan kapal Challenger bermula daripada Pelabuhan Portsmouth pada Disember 1872. Beliau tidak pergi terus ke Mariana Trench. Sebaliknya, Challenger bersinggah di kota Lisbon, Canary Islands dan Hong Kong.
Tanggungjawab Saintifik Sepanjang Zaman
Pihak RSL telah menanda sebanyak 360 tempat yang perlu disinggah. Nares pergi ke setiap satu untuk mengukur kedalaman laut. Teknologi pada masa itu sangat terhad.
Mereka bergantung pada tali panjang yang diikat pada sebuah ladung berat. Tali ini pula unik. Setiap 46 meter ada bendera. Bayangkan sebuah tali 2,000 meter – setiap 46 meter ada penanda dengan angka 46, 92, 138,….,2024 meter.
Kira panjanglah.
Ladung akan turun sampai ke dasar laut. Katakanlah tempat mereka hanya 100 meter dalam, mereka akan ikat satu bendera penanda di bahagian penghujung tali basah. Kemudian mereka tarik tali keluar sampai bendera penanda utama yang terakhir (penanda 92 meter).
Maka ukuran berbaki hanya lapan meter – jadi mereka masukkan maklumat dalam buku. “Laut sekian-sekian, 100 meter.” Itulah gambarannya.
Selain mengukur kedalaman, mereka turut mengenal pasti ciri-ciri kimia air laut mengikut kedalaman. Dan mereka juga menyiasat taburan haiwan (sekali lagi mengikut kedalaman) sejauh mana yang mampu dibuat menggunakan teknologi pada masa itu.
Sampai Di Mariana Trench
Seperti yang diceritakan, mereka melaksanakan penyelidikan ini di setiap stesen yang ditetapkan… sampailah Stesen Sampel ke-225. Mereka sampai di stesen ini pada 23 Mac 1875, tarikh keramat apabila nama Nares dan Challenger terpahat selamanya dalam lembaran sejarah.
Stesen Sampel ke-225 terletak di Lautan Pasifik antara Guam dan Palau. Lalu macam biasalah, mereka menyediakan ladung bertali penanda. Tunggu punya tunggu, ladung tidak sampai ke dasar. 10 meter berlalu. Kemudian 100 meter, sebelum 1,000 meter. Semakin lama, semakin dalam pula jadinya.
Alangkah terkejut mereka apabila ladung tersebut sampai di dasar yang terletak 8,184 meter daripada permukaan laut (Morrell, 2019). Begitu dalam dasar ini seolah-olah tidak boleh percaya pula. Orang laut mungkin tahu bab ini. Apabila ladung sampai di dasar, boleh “rasa” bunyinya.
Untuk memastikan dapatan mereka tepat, mereka cuba tarik tali sedikit… dan lepaskan balik. Memang ada “bunyi” ladung di dasar, pada kedalaman 8,184 meter.
Lokasi Stesen Sampel ke-225 adalah di selatan Mariana Trench, salah satu bahagian lautan paling dalam. Dapatan Nares sebenarnya tidak begitu tepat.
Kemajuan teknologi membuktikan yang Stesen Sampel ke-225 sebenarnya 10,994 meter daripada permukaan laut (Oskin, 2017). Keralatan ini boleh dimaafkan atas sebab zaman.
Cuma kalangan pembaca mungkin sukar membayangkan betapa dalamnya 10,994 meter ini. Beginilah. Kalian daki Gunung Everest sampai ke puncak. Ketinggian Everest adalah 8,849 meter. Maksudnya kalau letak Everest di dasar laut Mariana Trench, masih ada dua kilometer air di atas kepala kalian.
Sekarang bayangkan kedalaman lautan neraka pula. Kalau ini pun sudah menakutkan……..
RUJUKAN:
Morrell, V. (2019). Becoming A Marine Biologist. Simon & Schuster. Halaman 36.
Oskin, B. (2017, Disember 7). Mariana Trench: The Deepest Depths. Live Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih