Tembok-tembok yang berada di dalam dunia AOT dibina tiga lapisan, yang mana setiap lapisan mempunyai nama dan keluasan yang berbeza, tetapi ketinggian ketiga-tiga tembok ini hampir sama iaitu 50 meter.
Setiap lapisan ini melindungi antara satu sama lain. Tembok-tembok tersebut dibina di atas sebuah pulau besar bernama Paradis Island. Ia dibina pada zaman pemerintahan raja Eldian ke-145, Raja Karl Fritz sepertimana dikisahkan di dalam manga AOT bab 89.
Ketiga tembok ini dibina daripada zat keras yang berasal dari badan Titan Colossal. Setelah selesai pembinaannya, ketiga tembok ini dinamakan Maria, Rose dan Sina, sempena nama ketiga orang puteri Penemu Kuasa Titan Pertama (Founding Titan), Ymir Fritz.
Setiap lapisan tembok ini dibina tembok tambahan atau ia dikenali sebagai strategi kota luar tembok (outlying town), contohnya daerah Shingashina. Seperti yang diterangkan dalam manga AOT bab kedua, tujuan dibina kota seperti ini adalah untuk memperkecilkan jumlah pengawalan tentera dan memfokuskan pertahanan kepada titik-titik tertentu.
Perlu diketahui, tembok-tembok ini membentang luas mengelilingi daratan dan kekurangan anggota menyebabkan pihak pemerintah membina kota tambahan yang berada di luar lapisan setiap tembok yang membentuk setengah oval.
Dengan strategi seperti ini, para Titan akan lebih menumpukan perhatian mereka kepada satu titik sahaja dan memberikan kelebihan kepada anggota tentera untuk menjaga kawasan yang sememangnya akan menjadi tumpuan para Titan. Dengan strategi ini, bahagian tembok yang lain akan terselamat daripada ser4ngan para Titan. Dengan kata mudah, penduduk yang berada dan tinggal di kawasan ini hanyalah umpan semata-mata.
Jadi, persoalannya, wujudkah tembok seperti ini dalam dunia sebenar?
Tembok Theodosian: Pertahanan Seribu Tahun
Benteng ini memakan masa bertahun lamanya untuk disiapkan yang mana ia membentang sepanjang 6 km, dari Tanduk Emas (Golden Horn) sehingga mencapai Laut Marmara. Benteng ini diapit dengan binaan menara pengawal sebanyak 96 buah yang berketinggian 20 meter.
Pada awalnya, tembok binaan pada zaman pemerintahan Maharaja Theodosius II ini dilapisi benteng utama (main wall/inner wall). Tetapi setelah kejatuhan empayar Rom Barat yang diser4ng oleh pasukan tentera Goth pada tahun 410 M, menyedarkan Maharaja Theodosius II untuk menaiktaraf dan menambah sebanyak dua lapisan lagi iaitu, lapisan luaran (outer wall) dan lapisan luar-rendah (low-outer wall) dan ia siap sepenuhnya pada tahun 439 M.
Tembok luar-rendah: Lapisan tembok pertama setinggi 1.5 m yang dilindungi parit air (sedalam 7-10 meter, selebar 20 meter) untuk menghalang kemaraan pasukan musuh daripada menghampiri tembok kedua. Jarak tembok luar-rendah dan tembok luar sekitar 20 m.
Tembok luar: Tembok kedua (tinggi 5 meter, tebal 3 meter) menempatkan para pemanah dan pelempar minyak panas. Jarak tembok luar dengan tembok dalam sekitar 60 m.
Tembok dalam: Dan yang terakhir tembok ketiga (tinggi 12 meter, tebal 6 meter) yang menempatkan pasukan pemanah utama, pasukan pelempar batu utama dan pasukan pelempar minyak panas utama. Senjata utama Konstantinopel, Api Yunani (Fire Greek) selalunya ditempatkan di benteng dalaman.
Artikel lanjutan mengenai Api Yunani: https://thepatriots.asia/api-yunani-senjata-pemusnah-byzantine/
Kukuhnya tembok ini, ia mampu bertahan selama 1123 tahun daripada pelbagai ser4ngan musuh sebanyak 36 kali, sehinggalah ia jatuh ke tangan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1453 M.
Ketinggian Tembok
Para Titan yang hidup melata ini mempunyai saiz, tinggi dan berat tubuh yang berbeza. Untuk soal ketinggian para Titan, bermula serendah sekitar 3 meter sehingga ada yang mencapai 15 meter sahaja.
Ketinggian Titan dinyatakan di dalam manga AOT bab 8. Hanya beberapa Titan yang istimewa boleh mencapai ketinggian 60 meter yang mana ketinggiannya mampu melangkaui tembok tersebut seperti Titan Colossal dan Titan Rod Reiss.
Tujuan asal pembinaan tembok ini hanya untuk menghalang pencerobohan para Titan yang berketinggian biasa (3-15 meter).
Kalau di dalam dunia AOT, pembinaan tembok setinggi 50 meter mungkin ia perkara luar biasa, tetapi bagaimana di dunia sebenar? Tembok apakah yang tertinggi yang pernah dibina oleh manusia?
Tembok Babylonia: Benteng Empayar Neo-Babylonia
Pemerintah bangsa Medes dan pengasas kota Babylonia, Raja Hammurabi menjadikan tapak berdekatan sungai Tigris sebagai pusat pemerintahannya setelah baginda berjaya men4kluk daratan Mesopotamia selatan dan tengah dibawah kekuasaannya.
Kota Babylonia tumbuh subur dan kaya dibawah pemerintahan baginda selama 1792-1750 SM, sehinggalah kerajaan Babylonia ini hancur dan berpecah belah setelah kemangkatan baginda.
Setelah beberapa tahun lamanya, kebangkitan kuasa baharu penerus kepada legasi kekuatan Babylonia Hammurabi iaitu Empayar Neo-Babylonia. Empayar Neo-Babylonia menjadi kuasa unggul di Mesopotamia setelah berjaya mengalahkan seterunya, Empayar Assyria yang berpusat di kota Nineveh pada tahun 612 SM dengan pertolongan bangsa Medes.
Dengan menjadikan kota Babylonia sebagai pusat pemerintahan, raja kedua Neo-Babylonia, Nebuchadnezzar II membina benteng yang kukuh untuk melindungi kerajaannya. Menurut penulis sejarah Yunani, Herodotus, benteng yang dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II dibangunkan sebanyak tiga lapis, lalu ia memiliki kepanjangan sekitar 90 km, bentengnya setebal 24 m dan ketinggian benteng ini mampu menjangkau 97 m.
Ketinggian benteng Babylonia sekaligus menjadikan ia sebagai benteng pertahanan awal manusia yang paling tinggi di dunia. Walaupun ahli sejarah menyatakan kesangsian mereka mengenai maklumat Herodotus tentang ciri-ciri benteng Babylonia, tetapi keagungan binaan tersebut sememangnya tidak dapat dipertikaikan.
Kemungkinan ada tembok lain yang mampu menentang rekod tembok Babylonia?
Keluasan Tembok Dalam AOT
Kiraan keluasan yang dinyatakan dibawah diambil daripada pengiraan jawapan seorang pengguna Reddit @niizuma berkaitan keluasan tembok Maria, Rose dan Sina di bawah tajuk persoalan ‘Exactly, how big are the areas protected by the walls?’.
1. Tembok Maria: Tembok pertama yang paling luas dan merupakan barisan tembok paling hadapan dikenali sebagai Tembok Maria. Panjang tembok Maria sekitar 3015 km yang melindungi kawasan seluas 453,645 km². Jarak antara Tembok Maria dan Tembok Rose pula sekitar 100 km.
2. Tembok Rose: Tembok kedua, tembok pertengahan merupakan pertahanan kedua manusia sekiranya Tembok Maria roboh diser4ng oleh para Titan. Panjang tembok Rose sekitar 2387 km yang melindungi kawasan seluas 257,295 km². Jarak antara Tembok Rose dan Tembok Sina pula sekitar 130 km.
3. Tembok Sina: Tembok terakhir pertahanan manusia yang menempatkan ibukota kerajaan/penempatan bangsawan (Bangsawan Bubble) ini dikenali sebagai Tembok Sina. Panjang tembok Sina pula adalah 1570 km.
Di tengah-tengah benteng merupakan pusat pemerintahan Eldian. Jarak antara tembok Sina dan pusat pemerintahan sekitar 250 km. Keluasan kawasan yang dilindungi tembok Sina termasuk pusat pemerintahan adalah sebanyak 196,349 km².
Dan pengiraan ini berdasarkan anggaran kasar sahaja. Sekiranya dijumlahkan kesemua kawasan yang berada di dalam tembok ini, ia boleh mencapai keluasan sekitar 723,822 km²-730,000 km².
Bagaimana keluasan sebenar jikalau tembok Maria, Rose dan Sina dibina di atas dunia sebenar kita?
Jika ia dilakar kembali di atas peta Asia Tenggara, tepatnya berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia (koordinat: 3.1390° N, 101.6869° E), tembok ini akan menutup dari negeri Trang di Thailand membentang ke seluruh semenanjung Malaysia sehingga mencapai Singapura, menutup kepulauan Riau-Lingga, Selat Melaka, sebahagian Sumatera Utara dan Sumatera Barat dan akhir sekali menjangkau sehingga ke Laut China Selatan.
Model keluasan tembok AOT atas peta dunia boleh dilihat pada pautan link ini: http://davidmear.com/snk/map/
Hagmatana, Hatra dan Veh-Ardashir
Keluasan tembok bundar seperti di dalam AOT bukanlah suatu yang pelik untuk dibina, tetapi ia kemungkinan mustahil untuk mencapai keluasan seperti itu di dunia nyata. Di dalam sejarah yang sebenar, ada beberapa tembok bundar yang dibina dan diaplikasikan oleh beberapa tamadun manusia untuk berjuang hidup mempertahankan diri daripada ancaman musuh.
Tembok AOT mempunyai persamaan dengan tembok pertahanan berbentuk bundar yang pernah wujud di dalam sejarah tamadun manusia, diantaranya adalah:
1. Tembok Hagmatana (Benteng Ecbatana): Menurut Herodotus, ia dibina pada tahun 678 SM dan dijadikan ibukota oleh Raja Deioces. Tembok yang dibinanya disusun sebanyak tujuh lapis membentuk bundaran. Setiap lapisan tembok memiliki warna masing-masing iaitu dimulai tembok paling dalam berwarna putih, diikuti hitam, jingga, biru, merah, perak dan tembok terakhir paling luar berwarna emas.
Ketujuh tembok berwarna ini melambangkan setiap planet dan matahari (emas) menjadi pusat yang menyinari seluruh alam (kerajaan). Keagungan pertahanan tembok kota Ecbatana akhirnya tumbang dibawah ser4ngan pasukan tentera empayar Parsi pimpinan Kisra Cyrus The Great pada tahun 550 SM.
Kota ini berdiri teguh dari dan bertukar-tukar kerajaan, dari Medes-Achaemenid-Yunani-Parthia-Sasanid sehinggalah pen4klukan pasukan tentera Islam dalam episod ekspedisi pen4klukan Parsi. Tapak kota ini sekarang berada di bandar Hamadan, Iran.
2. Tembok Hatra: Ia dibina pada sekitar abad ke-2 M atau 3 M di bawah pemerintahan Empayar Parthia. Panjang tembok bundar Hatra dianggarkan 6.4 km dan dikelilingi sebanyak 160 buah menara pertahanan dan pengintaian. Benteng kota ini setinggi 10 m dan berketebalan 3 m.
Benteng ini juga mempunyai empat buah pintu utama yang mewakili setiap dari empat arah angin iaitu utara, timur, selatan dan barat. Kerana kota benteng terletak berhampiran sempadan empayar Parthia-Rom, ia sering diancam oleh kekuasaan empayar Rom.
Benteng ini selamat daripada pelbagai ser4ngan seperti ser4ngan dari empayar Rom pimpinan Kaisar Trajan pada tahun 116/117 M dan ser4ngan kedua Rom pimpinan Kaisar Septimius Severus pada tahun 198/199 M.
Kekebalan benteng kota ini tidak bertahan lama apabila ia dit4kluk oleh pasukan tentera Empayar Parsi Dinasti Sasanid pimpinan Kisra Shapur I pada tahun 240 M setelah mereka berjaya menjatuhkan empayar Parthia. Tapak kota ini sekarang berada di al-Jazirah, Iraq.
3. Tembok Veh-Ardashir (Benteng Seleucia): Dibina pada tahun 230 M pada zaman pemerintahan Raja Ardashir I, pengasas Empayar Parsi Sasanid. Kepanjangan tembok Veh Ardashir tidak dinyatakan, tetapi benteng bundar ini mengelilingi kawasan seluas 700 hektar.
Kota Ardashir berhampiran dengan ibukota bundar Ctesiphon dan sungai Tigris. Ketahanan benteng kota ini bertahan lama sehinggalah terjadi limpahan banjir dari sungai Tigris yang menyebabkan kota ini tenggelam lalu terbelah menjadi dua bahagian.
Bencana ini menyebabkan kota ini semakin lama semakin lemah sehinggalah ia dit4kluk oleh Jeneral Khalid bin Urfuta pada tahun 636 M, ketika ekspedisi pen4klukan Parsi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.
Terdapat banyak lagi tembok berbentuk bundar seperti Tembok Ctesiphon, Tembok Harran, Tembok Jay, Tembok Isfahan, Tembok Kufa, Tembok Darab, Tembok Mari, Tembok Heraqla dan Tembok Baghdad, tetapi cukuplah diberikan tiga buah contoh di atas sahaja.
Jadi, mengapa kebanyakan kota yang dilindungi benteng bundar diaplikasikan oleh pelbagai kerajaan pada waktu tersebut?
Dalam sebuah kajian bertajuk ‘Solar Considerations in Planning of Three Circular Citiesin Ancient Persia’ oleh Yaghesh Kazemi, dinyatakan kebanyakan kota benteng dibina berbentuk bundar kerana ia berkait rapat dengan ilmu geometri dan astrologi.
Perlu diketahui, dikawasan Mesopotamia, pembinaan benteng yang mengelilingi bandar dalam bundaran merupakan tradisi mereka dari dahulu lagi, terutamanya Parsi.
Ini kerana, mereka mempercayai dalam sebuah kisah mitologi Bundahishn (Penciptaan Dunia) yang menyatakan tentang tujuh buah negara yang mana negara pertama Khwanirath berada di tengah-tengah dan dikelilingi enam negara yang lainnya.
Selain dari sudut kepercayaan agama, kalau dilihat pada sudut pertahanan, pembinaan kota benteng sebegini amat sesuai untuk sesuatu penempatan atau pusat pemerintahan yang berada di kawasan tanah datar yang tiada pertahanan semulajadi seperti gunung dan bukit.
RUJUKAN:
1. Hatra: Britannica
2. Sasanian Persia: Between Rome and the Steppes of Eurasia oleh Eberhard Sauer.
3. Theodosian Wall Ladder, Atlas Obscura.
4. Manga Shingeki No Kyojin (Bab 1-134).
5. Byzantium 1200 AD: Theodosian Land Walls.
6. The Development of Constantinople as an Urban Centre oleh Cyril Mango.
7. Theodosian Walls, Ancient History Encyclopedia oleh Mark Cartwight.
8. The Complex System of the Fortifications of Hatra: Defence, Chronology and Secondary Functions oleh Enrico Foietta (Academia Edu).
9. Parthian Hatra, Iranian World oleh Rüdiger Schmitt.
10. Agbatana- History of Herodotus: A New English Version Herodotus, Rawlinson, George, 1812-1902.
11. “Exactly, how big are the areas protected by the walls?”- Reddit.
12. Solar Considerations in Planning of Three Circular Cities in Ancient Persia’ oleh Yaghesh Kazemi.
13. The Geographical System of Herodotus: Examined and Explained oleh James Rennell.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih