New Zealand merupakan salah sebuah tanah besar terakhir yang dikolonikan oleh manusia. Ketika haiwan-haiwan besar zaman Pleistocene telah pun pupus di tempat-tempat lain, New Zealand masih lagi dihuni oleh burung-burung moa, iaitu sejenis burung gergasi tidak-terbang yang menjadi buruan penghuni Maori awal. “

Nenek-moyang Maori menghuni salah satu hutan belantara tidak-tercemar terakhir yang bebas dari aktiviti manusia dan mereka terus mengadaptasi ke dalam persekitaran baharu ketika dunia mengalami perubahan.

ASAL-USUL KEBUDAYAAN MAORI


Maori berkemungkinan berasal dari Polynesia Timur, berhampiran Kepulauan Masyarakat (Society Islands) dan bahagian selatan Kepulauan Cook. Dalam legenda-legenda Maori, tanah air kaum Maori disebutkan sebagai Hawaiki yang bersifat separa-mitos. Ia juga dikisahkan sebagai kediaman para dewa dan tempat kembalinya manusia sesudah meninggal dunia.

Kaum Maori tiba buat pertama kalinya di New Zealand sekitar 1300M atau mungkin lebih awal sedikit. Memandangkan New Zealand, atau Aotearoa mengikut sebutan kaum Maori ini mewakili kawasan hujung barat daya dunia yang diketahui oleh masyarakat Polynesia pada abad ke-13 dan 14M, maka kaum Maori dianggap sebagai orang yang menetap di hujung dunia.

Model sebuah Pa (kubu bukit) tipikal yang dibina oleh Maori di wilayah utama (untuk pertahanan)

SEJARAH AWAL MAORI

Pada waktu ketibaan kaum Maori, New Zealand diliputi oleh hutan-hutan yang dihuni oleh haiwan-haiwan purbakala. Cuacanya lebih sejuk berbanding di tanah air Maori di Polynesia. Hal ini memaksudkan bahawa beberapa hasil tuaian ruji kaum Polynesia sukar untuk ditanam di New Zealand, atau bahkan mungkin langsung tidak boleh ditanam. Antaranya seperti buah sukun, kelapa dan pisang. 

Agar sukar buat Maori yang berasal-usul dari Polynesia untuk beradaptasi dengan cuaca sederhana di semenanjung New Zealand memandangkan mereka sudah terbiasa dengan cuaca tropika. Penghuni-penghuni awal Maori ini menetap di sepanjang pantai dan menjalankan aktiviti memburu moa dan anjing laut sebelum beberapa tempoh kemudian, mereka berpindah ke ceruk hutan. Kehadiran manusia memberikan impak kepada persekitaran New Zealand sekaligus mendorong kepada kepupusan beberapa spesis haiwan seperti burung moa dan helang Haas.

Helang Haast menyerang burung Moa New Zealand

Menjelang abad ke-18, kaum Maori sudah berhasil menubuhkan komuniti petani yang stabil di seluruh New Zealand dan mereka terbahagi kepada sejumlah puak atau ‘iwi’. Individu yang berstatus paling tinggi dalam kalangan masyarakat Maori adalah pengetua, diikuti oleh kelas awam dan hamba. Tohunga, iaitu kelas sami atau golongan pakar kadangkala dianggap memiliki kelas sosial yang tersendiri. Pada masa-masa itu, banyak konsep penting dalam kebudayaan Maori dihasilkan di mana konsep-konsep ini masih diamalkan oleh mereka sehingga ke hari ini.

SEJARAH MAORI SETELAH KETIBAAN ORANG-ORANG EROPAH


Kaum Maori mula menjalankan aktiviti perdagangan dengan orang-orang Eropah pada awal kurun ke-19. Beberapa barang dagangan terpenting Eropah bagi kaum Maori adalah khinzir dan kentang. Barangan ini dengan pantas menyertai makanan tradisi dan ruji kaum Maori seperti kumarapikopiko, dan karenga.

Pada tahun 1840, New Zealand secara rasmi menjadi koloni British setelah Perjanjian Waitangi dimeterai. Asalnya, kaum Maori memberikan penentangan terhadap perkara tersebut. Namun mereka terpaksa akur dan kehilangan banyak wilayah mereka ke tangan pendatang Eropah.

Memasuki permulaan abad ke-20, kaum Maori mula menghidupkan semula kebudyaan mereka dan berintegrasi ke dalam masyarakat Pakeha (orang berkulit putih; Eropah) tanpa mengabaikan warisan budaya. Terdapat lebih 500 000 orang Maori pada hari ini.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan-kawasan yang bandar. Gerakan-gerakan awal pada awal kurun ke-20 dalam rangka menghidupkan semula dan memelihara budaya Maori sememangnya mencapai hasil yang bukan kecil. Kesenian, bahasa dan tradisi lisan mereka terus mekar pada hari ini, mekar di samping gaya hidup Pakeha.

KONSEP-KONSEP TERAS DALAM MASYARAKAT MAORI

Memandangkan kaum Maori ini berasal-usul dari kaum pelayar Polynesia yang menghuni kepulauan tersebut pada abad ke-13 atau 14M, maka Maori mempunyai banyak konsep sosial, metafizikal dan kepercayaan yang mirip dengan kumpulan masyarakat Polynesia yang lain. Antara konsep ini termasuklahmana dan tapu.

Mana 
ini tidaklah dapat dikenal pasti secara jelas pada satu budaya demi satu budaya. Akan tetapi, ia merupakan suatu konsep lazim yang dikongsi di seluruh Oceania dan New Zealand tidak terkecuali. Dalam tradisi kaum Maori, mana berkait dengan prestij dan autoriti. Di zaman dahulu, amaun mana yang besar dimiliki oleh orang-orang yang berstatus tinggi seperti para pembesar dan tohunga Maori.

Tapu 
pula adalah perkataan yang secara asasnya bermaksud ‘keramat’. Objek atau manusia yang tapudianggap sebagai suatu yang terpilih dan ianya tidak terbuka kepada semua, melainkan hanya kepada beberapa individu tertentu seperti tohunga. Antara objek atau manusia yang tapu di New Zealand adalahtohunga yang diberikan pengkhususan dalam mencacah tatu dan akses ke tempat-tempat keagamaan yang keramat.

Tohunga di bawah tapu

KEPERCAYAAN KAUM MAORI

Tradisi kepercayaan kaum Maori secara asasnya bersifat politeisme. Maori percaya bahawa dunia ini dicipta oleh para dewa atau atua.  Selain dewata-dewata umum, pantheon mereka juga melibatkan dewa bapa langit, dewi ibu bumi, dewa hutan dan dewa peperangan.

Tane si dewa hutan memainkan peranan yang penting dalam penciptaan manusia di mana ia dipercayai sebagai pencipta manusia pertama. Tohunga pula digalaskan tanggungjawab untuk menjadi medium perantara di mana atua dan roh-roh si mati dapat berkomunikasi dengan dunia nyata manusia.

Ukiran Tane nui a Rangi, satu dewa Maori yang berlokasi di gerbang ke hutan di Zoo Auckland

Pada era kolonial, kebanyakan kaum Maori menganut agama Kristian. Memasuki pertengahan abad ke-19, sejumlah Maori-Kristian memanfaatkan kepercayaan mereka itu sebagai justifikasi untuk menentang pentadbiran British – mereka telah menganut agama mereka, tetapi mereka masih juga menceroboh tanah pusaka mereka. Kebanyakan Maori-Kristian adalah sebahagian daripada tradisi Anglican pada hari ini. Terdapat juga ramai Maori-Methodist dan Maori-Katholik.

KESENIAN MAORI DAN BUDAYA PENCACAHAN TATU

Antara tradisi kesenian masyarakat Maori adalah menganyam, memahat, mencacah tatu, menari dan menyanyi.

Sejenis hasil seni Maori yang agak penting adalah ta moko – seni pencacahan tatu. Tatu-tatu kaum Maori terdiri dari corak berlingkar yang dicacah pada alur atau parut pada kulit. Ta moko berasal-usul dari tradisi ritual ratapan. Seiring peredaran masa, ianya menjadi kayu ukur kepada status sesebuah individu.

Kaum lelaki mencacahkan tatu di seluruh muka manakala kaum wanita pula di dagu. Pada asalnya, pahat yang diperbuat daripada tulang burung menjadi alatan untuk mencacah tatu. Kemudian, pahat ini digantikan dengan pahat logam setelah ketibaan pendatang-pendatang Eropah. Menjelang zaman Perang Dunia Pertama, ianya digantikan lagi menjadi jarum. Pada hari ini, artisan ta moko menggunakan pelbagai alatan (canggih) yang sama seperti pencacah-pencacah tatu yang bukan-Maori.

Potret Tukukino (1878) oleh Gottfried Lindauer

TARIAN-TARIAN KEBUDAYAAN MAORI

Dua lagi tradisi kesenian yang sangat penting dan sinonim dengan masyarakat Maori adalah tarian dan nyanyian. Contoh mudah bagi hal ini adalah hakaHaka adalah tarian yang melibatkan pergerakan tubuh yang rancak dan diiringi oleh teriakan-teriakan yang penuh bertenaga. Terdapat pelbagai jenis gaya dan bentuk tarian haka, bergantung kepada tujuan ianya ditarikan. 

Haka boleh dipersembahkan tanpa senjata untuk tujuan keraian atau memotivasikan sesebuah kumpulan untuk menyiapkan suatu tugasan. Haka juga boleh dipersembahkan sebagai tarian perang di mana bagi keadaan ini, ia ditarikan bersama senjata. Tarian perang tradisi kaum Maori melibatkan pahlawan-pahlawan mereka yang sengaja menghodohkan muka dan membuat teriakan-teriakan lantas sambil menari untuk menggerun dan menjatuhkan moral musuh.

Tarian haka masyarakat Maori

MASA HADAPAN KEBUDAYAAN MAORI

Maori merupakan salah satu kebudayaan asli yang mampu mencapai kegemilangan walaupun setelah mengalami kolonisasi Eropah. Bahkan setelah didatangi oleh kaum Pakeha dua kurun lamanya, kaum Maori masih dapat mengekalkan banyak aspek kebudayaan mereka dan bilangan dan pengaruh mereka dalam masyarakat New Zealand terus bertambah dan berkembang. Maori, kaum yang menetap di ceruk dunia ini dengan berhikmah mengadaptasi dengan perkembangan dunia secara keseluruhannya.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Caleb Strom. (30 Disember 2018). The Maori: A Rich and Cherished Culture at the World’s Edge. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maori-0011250


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.