Kitab al-Aqā’id al-Nasafiah merupakan sebuah karya yang agung, dikarang oleh Imam Najmuddin Abu Hafs Umar al-Nasafi.

Ia bertujuan membahaskan pendirian tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah menurut aliran al-Maturidiah yang digagas Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Kitab ini telah disyarahkan ramai ilmuan Kalam, antaranya Imam Sa’aduddin Mas’ud ibn Umar al-Taftāzānī yang dinamakan Sharh al-Aqa’id al-Nasafiah.

Ia telah digunakan secara meluas oleh umat Islam sebagai rujukan Tauhid yang kukuh sehingga ke hari ini.

Yang menariknya, karya syarahan Imam Taftazani ini pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh seorang ulama yang masyhur di Alam Melayu, iaitu Sheikh Nuruddin Muhammad Jailani ibn Ali Ibn Hasanji Ibn Muhammad Hamid al-Raniri pada abad ke 17 Masihi.

Beliau pernah dilantik sebagai Mufti di Acheh Besar oleh Sultan Iskandar Thani dari 1637-1641M kerana ketokohan ilmunya. Beliau bukan saja mufti, bahkan seorang sufi dan mutakalim .

Bukan itu saja, karya beliau tersebut turut diiktiraf sebagai manuskrip yang tertua di Alam Melayu setakat ini. Diberi nama Durr al-Farā’id bi Sharh al-Aqā’id, kitab ini diperkirakan selesai diterjemah pada tahun 1630M.

Perasankah kita suatu perkara? Kitab alAqaid al-Nasafiah ini dikarang oleh seorang mutakalim yang beraliran Maturidi (aqidah) dan Hanafi (fiqah).

Sedangkan Imam Taftafazani yang menghuraikannya dan Syeikh al-Raniri yang menterjemahkannya masing-masing beraliran Asya’ri (aqidah) dan Syafi’i (fiqah).

Hal ini menjadi bukti keterbukaan fikiran umat Islam dalam menerima pelbagai perbezaan pandangan sesama mereka, asal saja perselisihan tersebut tidak bercanggah dengan aqidah benar  yang disepakati majoriti ulama.

Dan keberhasilan kitab ini disebar luas di Nusantara juga menjadi bukti bahawa masyarakat Melayu pada zaman itu berfikiran terbuka.

Durr al-Faraid yang diterjemah Syeikh al-Raniri bukan sekadar karya cikai, bahkan sebuah masterpiece yang membahaskan pendirian aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah secara komprehensif.

Kandungan atau matan terawal di dalam kitab tersebut pun sudah mula menyentuh perbahasan falsafah di mana pengarang mensabitkan kebenaran sesuatu perkara dan pengetahuan tentangnya.

Dalam rangkap yang sama, beliau membidas golongan Sofis yang membawa keraguan tentang kebenaran hakikat sesuatu.

Turut juga dibahas sumber-sumber ilmu, sifat-sifat Allah SWT, al-Quran, perkara-perkara ghaib seperti Malaikat, azab kubur, syurga dan neraka.

Tak terlepas juga hal ketatanegaraan seperti perundangan, khilafah dan imamat kepemimpinan.

Selain menterjemah, beliau juga turut menerapkan sebahagian daripada kefahamannya di dalam penulisan tersebut. Ia bagi menyesuaikannya dengan konteks masyarakat Melayu pada zaman itu.

Beliau memilih untuk meninggalkan banyak perbahasan falsafah berat yang dibawa Imam Taftazani. Hal ini demikian kerana beberapa perbezaan yang boleh diperhatikan:

Imam Taftazani:

  • Beliau hidup di zaman berkembangnya ilmu falsafah di Timur Tengah dan serangan ideologi terhadap umat Islam, iaitu pada abad ke 13M. Hujah balas diperlukan dan perbahasan yang beliau ketengahkan dilihat realistik.
  • Beliau hidup di Samarqand (Iran), sebuah tempat yang pada ketika itu menjadi pusat ilmu gergasi selepas kejatuhan Baghdad. Masyarakatnya terdedah secara langsung kepada ancaman ideologi Barat.

Syeikh al-Raniri:

  • Abad ke 17M.
  • Hidup di Alam Melayu yang waktu itu masyarakatnya masih dikira baru mengenal Islam jika dibanding dengan tempat Imam Taftazani (Timur Tengah).

Maka, Syeikh al-Raniri memilih untuk tidak memberatkan masyarakat ketika itu dengan perbahasan-perbahasan yang tak dirasakan berkeperluan. Tindakan tersebut mempamerkan kebijaksanaan beliau.

Walaubagaimanapun, beliau tidaklah meninggalkan terus semua perbahasan falsafah. Ini kerana pada ketika itu Alam Melayu juga telah sedikit terdedah kepada ancaman ideologi-ideologi Barat dan Kristianisasi yang dibawa penjajah.

Maka beberapa titik penting seperti hakikat ilmu, sumber-sumber ilmu dan pengetahuan turut ditekankan demi menjaga kelestarian akal.

Penemuan manuskrip ini jelas memberitahu kita bahawa para ulama dan umat Islam di rantau ini sangat menekankan kepentingan aqidah. Sebabnya tiada lain kerana aqidah ialah tunjang agama, dan agama hanya mampu dipelihara sekiranya kesucian aqidah dapat dipastikan terpelihara.

Selain itu, penyebaran kitab Durr al-Faraid yang sarat dengan perbahasan ilmiah dan akliah ini melihatkan kepada kita bagaimana pandangan alam (worldview) umat Islam Melayu dahulu.

Tidak hanya tertumpu kepada makan minum dan berdagang, masyarakat Melayu pada ketika itu telah melibatkan diri secara langsung di dalam arus ilmu yang rancak berevolusi.

Terdapat banyak sumber yang boleh dirujuk, namun yang dilihat mempelopori pengkajian ini ialah Perpustakaan Negara Malaysia dan buku karangan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas berjudul The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the ‘Aqaid of al-Nasafi.

RUJUKAN:

  1. Wan Mohd Nor Wan Daud, Khalif Muammar (2009), Kerangka Komprehensif Pemikiran Melayu Abad ke-17 Masihi Berdasarkan Manuskrip Durr al-Faraid Karangan Sheikh Nurudin al-Raniri. Sari – International Journal of the Malay World and Civilisation 119 27(2) (2009): 119-146 https://fdocuments.in/amp/document/kerangka-komprehensif-pemikiran-melayu-abad-ke-17-masihi-.html
  2. Norhayati Haji Hamzah, (2008, October). The Contribution of Nuruddin al-Raniri to the Field of History in The Malay-Indonesian World. https://www.researchgate.net/publication/328015620_The_Contribution_of_Nuruddin_al-Raniri_to_the_Field_of_History_in_The_Malay-Indonesian_World
  3. O’ktam Palvanov, (2019). Sa’duddin Taftazani-Encyclopaedist of The Second East Renaissance. https://uzjournals.edu.uz/iiau/vol2019/iss4/4/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Fateh bin Abdul Shukor. Pelajar Usuluddin di Universiti Al-Azhar. Mempercayai ilmu sebagai teras tamadun, bahasa dan penulisan sebagai penghubung.

Comments are closed.