Siapa sangka, empat jilid manuskrip yang dikarang oleh filsuf Perancis Jean Gerson menyimpan tujuh fragmen kertas kulit mengandungi kisah Merlin dari kisah legenda Camelot. Manuskrip ini ditemui oleh para penyelidik sejarah dalam koleksi buku yang dimiliki Perpustakaan Koleksi Khas Universiti Bristol pada 2019. Ramai percaya fragmen kertas kulit ini merupakan salinan terawal teks Vulgate, sebuah teks berkisar tentang legenda Camelot yang dikarang pada abad ke-13.
Teks Vulgate menjadi asas kepada Le Morte d’Arthur, legenda Raja Arthur yang dikarang oleh Sir Thomas Mallory. Bagi menampakkan tulisan yang telah pudar dari kertas kulit dinyatakan, tujuh fragmen ini diimbas menggunakan imbasan lanjutan terkini. Ia bukan sekadar membantu mengembalikan semula tulisan tetapi menyatakan jenis dakwat yang digunakan.
Menurut cendekiawan kesusasteraan Zaman Pertengahan dari Universiti Bristol, Profesor Leah Tether, analisis mendapati fragmen-fragmen ini sudah wujud antara 1250 hingga 1275. Sementara analisis linguistik dan tulisan mendapati ia dihasilkan di utara atau timur laut Perancis. Ini menjadikan manuskrip ini sebagai antara yang tertua di UK memandangkan manuskrip bertulis terawal ditulis antara 1300 hingga 1350.
Prof Tether percaya fragmen ini pada asalnya dianggap sebagai sampah lalu dikitar semula dan dijadikan sebagai pengikat kulit buku. Berdasarkan analisis pada pengikat kulit lain, ia dipercayai dibuat sama ada di Oxford atau Cambridge sekitar sebelum 1520. Tidak diketahui mengapa ia diketepikan begitu saja tetapi ia berkemungkinan disebabkan sudah wujud salinan baru kisah Raja Arthur dalam Bahasa Inggeris.
Penyelidikan mereka turut mendapati manuskrip Bristol Merlin itu pada asalnya dimiliki oleh seorang pegawai gereja bernama Tobias Matthew. Matthew pernah menjawat kedudukan sebagai Arcbishop of York dari 1606 hingga 1628. Manuskrip ini diperoleh semasa tempohnya sebagai dekan dan bishop di Kolej Durham, Oxford. Semasa menjawat dua kedudukan itu, Matthew suka mengumpul buku-buku yang pernah dimiliki pendeta-pendeta Kristian.
Kebanyakan koleksi buku ini mempunyai pengikat kulit Oxford. Ia bukan sesuatu yang asing memandangkan kebanyakan pendeta Kristian mendapat pendidikan di Kolej Durham. Hari ini, ia dikenali sebagai Kolej Trinity. Matthew kemudiannya mendermakan semua buku yang dimilikinya kepada Perpustakaan Awam Bristol termasuk manuskrip Bristol Merlin.
Selepas menyalin semula kandungan fragmen ke Bahasa Inggeris, mereka mendapati terdapat sedikit perbezaan kisah Raja Arthur mengikut versi moden dan versi Vulgate. Contohnya, keterangan tindak-tanduk watak dilihat jauh lebih terperinci terutama bila pertem.pu.ran berlaku.
Pada satu bahagian teks, Merlin memberi nasihat tentang siapa harus mengetuai empat buah divisyen yang membentuk angkatan Arthur. Empat pemimpin yang dipilih jauh berbeza dengan penceritaan versi moden.
Begitu juga dengan Raja Claudas, lawan Arthur yang memerintah satu wilayah Perancis yang dipanggil Terra Deserte atau Tanah Yang Ditinggalkan. Mengikut versi moden, Claudas mengalami kecederaan pada bahagian peha. Tetapi mengikut versi lama, lu.ka tersebut sebenarnya merujuk kepada alat sulit yang dipo.to.ng atau ma.ti pucuk.
Satu lagi perbezaan naratif ialah hubungan antara Merlin dengan Viviane di mana Mallory dan versi moden menjadikannya sebagai Lady of the Lake. Versi moden yang mengatakan Viviane menggoda ahli sihir itu dan memen.ja.rakannya di sebuah menara sebelum mereka berasmara. Setelah itu, Lady of the Lake meninggalkannya di menara itu agar Merlin ma.ti secara perlahan.
Tetapi mengikut versi Vulgate, Merlin tinggal bersamanya selama seminggu sebelum jatuh hati kepada Viviane. Bagaimanapun, beliau berjaya mengelak daripada diajak ke ranjang sebelum menyertai pasukan Arthur dan pulang ke England.
RUJUKAN:
Randall, Ian. (2021). Legend of King Arthur revealed: Experts decode seven pages of a 700-year-old manuscript – one of the earliest of its kind – telling the story of Camelot, including a romance between Merlin the Magician and the enchantress Viviane. Daily Mail.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih