Esak tangis mengiringi kepergian lelaki Brahmin tua itu. Raungan, ratapan, air mata membasuh aroma kesedihan. Jenazah itu dibilas ke dalam air Sungai Ganges yang keruh, ditabur bunga dan ‘Puja Thali‘ (dulang emas atau tembaga yang berisi lilin, beras, kelapa, dan serbuk berwarna yang dipersembahkan ketika menjalani ritual keagamaan). Alunan mantera Hindu turut mengiringi.

Kayu api disusun di tepi sungai. Dalam tradisi pembakaran mayat umat Hindu, kasta juga memainkan pengaruh. Yang termasuk dalam golongan atasan, keluarga kerajaan, dan kasta tinggi, mayatnya dibakar di tempat khas, malah ada juga tempat pembakaran mayat yang eksklusif. Dan bagi para kasta bawahan pula, mayatnya dibakar di merata kawasan.

Di sini aku berkenalan dengan Raj. Dia menjelaskan, lelaki tua itu adalah orang besar yang sangat dihormati. Kematiannya pun dikatakan wajar, sakit tua. Jenazah si mati diletakkan di atas tompokan kayu, setelah itu dibilas lagi dengan air suci oleh sang pendeta. Denting loceng, alunan mantera, dan ratapan pilu terus mengiringi ketika api mulai marak.

Ini merupakan kali pertama aku menyaksikan proses pembakaran mayat sedekat ini. Tubuh kaku itu terlihat jelas meleleh seperti lilin. Jari-jari kakinya mula menyatu, kemudian membulat, kemudian hancur tidak berbentuk. Ketika jasad ini mati, semuanya kembali dalam wujud yang sama. Tidak peduli dengan apapun kastanya, sebesar mana kekayaannya, setinggi apa jawatannya, sebanyak manapun pencapaian yang digenggamnya, tubuh dan jasad akan hancur bersama menjadi abu dan debu.

Di hadapan kematian, manusia seperti menjadi ahli filsuf. Di hadapan upacara pembakaran tubuh si mati, Raj menerangkan kepadaku tentang erti kehidupan dan kematian. Beliau menerangkan, betapa tidak abadinya hidup manusia, bermula daripada ketiadaan dan kembali semula kepada ketiadaan. Alangkah sayangnya kalau hidup yang berharga ini dilewatkan begitu sahaja, tanpa makna, dan tanpa faedah.

Roh kehidupan yang melekat di dalam tubuh hanya untuk sementara. Setelah itu, hidup yang kita jalani hanya akan menjadi sejarah yang cuma akan dikenang oleh segelintir orang. Tidak ada ertinya lagi semua kebanggaan, kekayaan duniawi, dan populariti yang diraih – semuanya lenyap bersama jasad yang melebur.

Anggota keluarga yang ditinggalkan siap memasuki fasa berkabung. Kaum perempuan terus meratap. Kaum lelaki mencukur habis rambut mereka, dan cuma menyisakan sejumput kecil di bahagian belakang kepala.

Penganut Hindu percaya dengan reinkarnasi. Kematian bukanlah pengakhiran bagi sebuah perjalanan. Roh yang baru sahaja meninggalkan jasad setelah tubuh hancur, kini bersiap sedia untuk memulakan lagi kehidupan yang berikutnya. Abu ditabur ke Sungai Ganges yang mengalir perlahan, lalu ia akan menyusuri perjalanan ratusan kilometer hingga ke Rishikesh di barat laut sana, bahkan hingga ribuan kilometer yang kemudiannya menutup kisah babak kehidupannya yang baru sahaja berlalu. Dan babak yang baru pula akan segera bermula.

Varanasi adalah tanah impian buat para penganut Hindu mengakhiri kehidupan, terutamanya bagi golongan warga emas. Justeru itu terdapat ramai kaum tua yang menghuni Shri Satua Baba Ashram berhampiran dengan Manikarnika Ghat. Mereka percaya bahawa jiwa manusia yang mati akan menemukan ‘moksha‘ (keselamatan) apabila dibakar di hadapan Sungai Ganges.

Oleh itu, ramai orang tua di seluruh penjuru negara mengimpikan untuk mati di sini. Mereka datang ke Varanasi dan menghabiskan hari-hari terakhir mereka untuk menyerap  karisma ghat – semangat yang membuat kematian tidak menyakitkan dan tidak penting untuk difikirkan.

Bagaimanapun, keadaan tempat ini agak merimaskan. Orang tua terbaring di atas katil yang berjajar, berdesak-desak di dalam ruangan sempit. Ruang dapur agak gelap dan berbau. Terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang menyiapkan makanan di atas kuali. Namun, di tengah kesederhanaan kehidupan manusia di tempat ini, tersirat kegembiraan daripada senyuman di wajah mereka.

Beberapa perempuan tua berbaju sari pelbagai warna duduk di anjung. Mereka sudah sangat tua, kerut-kerut wajah mereka mengguratkan usia yang teramat lanjut. Tangan mereka bergetar. Tetapi, bulatan tika di dahi terlihat seakan pancaran aura mistik. Hanyut dalam tetabuhan dan mantera dari ghat berdekatan, para wanita tua ini larut ke dalam dunia spiritualiti.

Sebagai tempat suci, Ashram ini juga dipenuhi dengan orang-orang suci yang disebut ‘sadhu’ – golongan manusia yang telah melepaskan segala ke-duniawi-annya untuk mencari kebenaran hakiki. Mereka berkelana dan mengembara ke seluruh penjuru negeri, hidup dari belas kasihan alam dan orang lain, melepaskan mimpi-mimpi tentang kehidupan, tampil dalam wujud yang sukar digambarkan.

Ada sadhu yang berambut kusut masai, bersahabat dengan ular dan serangga. Ada yang tubuhnya yang berbalut abu, tidak berbaju dan hanya mengenakan lungi lusuh menutup kangkang. Dengan tongkat kayu dan kantung sedekah, mereka berkeliling memberi berkah. Para sadhu tidak mencukur rambut dan janggut. Jenazah mereka juga tak dibakar, kerana roh mereka lepas dari putaran reinkarnasi.

Begitupun, tidak semua sadhu itu benar-benar merupakan orang suci. Ada yang berdandan menjadi sadhu demi untuk mencari wang. Ada yang menikmati hidupnya menjadi orang suci kerana gemar menghisap hahish atau ganja – untuk hanyut ke dalam kenikmatan nirwana. Ada pula yang bergaya di depan kamera untuk mendapatkan duit dermaan daripada para pelancong, malah ada beberapa sadhu yang cukup agresif hingga menarik tangan aku meminta difoto (dan diberi sedekah tentunya).

Aku berkunjung ke penempatan sadhu yang berdekatan dengan Manikarnika Ghat, dihuni lebih daripada lima orang suci. Di penempatan yang sederhana ini, terdapat juga lembu dan kambing. Dalam agama Hindu, lembu dianggap haiwan yang suci. Maka tak hairanlah para sadhu juga tidur bersama lembu.

Di siang hari, ritual menghisap ganja berjalan. Seorang sadhu muda yang tampan, berserban tinggi, dengan daun telinga yang berlubang besar ditembusi anting-anting berat, dengan penuh kekhusyukan, mata terpejam, perlahan-lahan menghisap paip hookah. Kepulan asap dihembus dari mulutnya. Matanya tetap terpejam, menikmati setiap hembusan kenikmatan itu. Paip berpindah dari tangan ke tangan sadhu lain yang berjanggut lebat. Dia turut menikmati kenikmatan yang sama. Lima orang lelaki suci ini duduk bersama membentuk bulatan, bergilir menikmati kedamaian nirwana.

Seorang sadhu menarik aku masuk ke dalam, meminta aku untuk menolong memeriksa tv yang rosak. Dia baru sahaja memperolehi sekeping cakera DVD tentang Afrika, tetapi apabila dimainkan, tv ini sama sekali tidak mengeluarkan sebarang suara. Rupanya di tempat ini, selain kenikmatan syurgawi daripada marijuana, juga terdapat sebuah televisyen yang mengisi kebosanan mereka.

Di antara sadhu yang paling dihormati di Manikarnika, ada seorang lelaki tua berumur lebih tujuh puluh tahun yang dipanggil baba, menjalani hidupnya dengan hanya meminum susu lembu. Dia tidak pernah makan sama sekali dan tidak juga minum minuman lain. Tubuhnya kurus kering, berambut kusut dan panjang. Tidak terurus, kesat, dan digulung lalu menjadi seperti sanggul atau topi di atas kepalanya yang kelihatan seakan fesyen dreadlocks.

Baba sudah berkelana ke hampir seluruh pelusuk India dan juga Nepal. Dia juga sering mendapat undangan untuk mengajar dan memberi ceramah keagamaan. Walaupun sumber kehidupannya cuma daripada susu lembu yang suci, tetapi ilmunya sudah mendatangkan murid-murid dari Nepal dan seluruh negara.

Di India, Shiva, Vishnu, dan Parvati merupakan tiga dewa utama Hindu. Manikarnika mendapat namanya daripada bahasa Sanskrit yang bererti ‘anting-anting telinga’. Ada dua mitos yang mengisahkan tentang sejarah ghat suci ini.

Alkisahnya, Dewa Shiva telah turun untuk mandi di ghat sebuah kolam yang dibina oleh ‘chakra‘ Dewa Vishnu. Seusai mandi, Shiva berasa begitu segar dan bertenaga sehingga anting-anting ditelinganya tercicir lalu hilang ketika dia sedang menari gembira semasa menaiki tangga ghat.

Sebuah lagi mitos mengisahkan bahawa Dewi Parvati telah menyembunyikan anting-antingnya sendiri di kota ini dan telah meminta Dewa Shiva untuk membantu mencarinya supaya orang-orang suci akan datang menetap di Kashi (nama kuno bagi Varanasi) sebagai ‘Vishwanath‘ (penyembah Dewa Shiva). Penganut Hindu juga percaya apabila mati di sini, Yamaduta (malaikat maut) tidak akan mampu menghantar roh si mati ke neraka kerana dengan adanya Sang Dewa Shiva sebagai pelindung.

Varanasi, salah satu daripada 7 kota suci di India yang merupakan tamadun kedua tertua di dunia ini penuh dengan mistik dan spiritual. Kota ini telah tertulis di dalam sejarah selama lebih daripada tiga ribu tahun.

Pada sebuah catatan perjalanannya, Mark Twain pernah menuliskan bahawa Benares adalah lebih tua daripada sejarah, lebih tua daripada tradisi, malahan lebih tua daripada lagenda peradaban dan bermungkinan dua kali lebih tua jika kesemuanya disatukan.

Secara purata, kira-kira 250 hingga 300 mayat dibakar di sini pada setiap hari, dari pagi sehingga malam. Namun begitu, roda-roda kehidupan terus berputar seperti biasa – bunyi hon kenderaan yang tidak pernah sunyi, lembu-lembu dan kambing-kambing yang berkeliaran di lorong-lorong kota, kuil-kuil yang tidak henti menerima kunjungan para penziarah yang beribadah, peniaga-peniaga jalanan yang memekik-mekik memanggil si pembeli, para sadhu yang mencari hakikat, golongan tua yang menanti ajal, jenazah-jenazah si mati yang hancur meleleh, dan abu mayat yang ditabur ke Sungai Ganges menantikan reinkarnasi.

Berdiri di hadapan mayat-mayat yang melepuh ditelan api, umat manusia menjadi sedar, bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebuah perjalanan yang bermula daripada debu yang akhirnya kembali semula menjadi debu.

Artikel kiriman Sharifuddin Lennon untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.