Tidak mungkin.
Dua patah perkataan ini telah lama terlibat dalam perkembangan politik, ekonomi dan sosial. Tidak mungkin kaum Yahudi boleh membentuk sebuah kerajaan merdeka. Tidak mungkin ada negara boleh menandingi ekonomi Amerika Syarikat sebagai negara paling kaya dunia. Tidak mungkin sekumpulan parti-parti pembangkang berbeza ideologi boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Tidak mungkin telah lama menghantui hujah-hujah kebarangkalian berlakunya satu perkara, sama ada baik atau buruk. Dan sekarang ini tidak mungkin juga diperkatakan terhadap kebarangkalian peperangan antara Amerika Syarikat dan Iran kerana kononnya mereka bersekutu di sebalik tabir.
Sebenarnya
tiada apa yang mustahil dalam geopolitik melainkan kemustahilan itu sendiri.
Malah penubuhan sebuah khilafah antara Arab Saudi dan Yaman pun tidak boleh
dihitung kira sebagai suatu kemustahilan, meskipun kedua-dua negara tersebut
sedang bertarung. Berkaitan pula dengan perhubungan dingin Amerika Syarikat dan
Iran, sebuah peperangan boleh sahaja meletus pada bila-bila masa. Cuma Iran
mempunyai kelebihan yang kerajaan di Tehran takkan sama sekali lepaskan.
Suatu pengajaran boleh didapati daripada Syria. Apabila barisan pemberontakan gagal menumbangkan kerajaan Bashar al-Assad, telah berbunyinya semboyan peperangan nun jauh dari Washington D.C. Tiupan trompet pertempuran ini tidak direstui seorang penguasa di Kremlin. Maka dua kuasa besar ini mempunyai konflik kepentingan.
Moscow telah selama ini diam sambil melihat dengan teliti tentang kedudukan Bashar Assad. Jika jatuh kerajaan Assad, tentu sekali Vladimir Putin akan bertindak dengan pantas. Ini kerana Syria telah lama menjadi sahabat baik kepada bangsa Rusia sejak Kesatuan Soviet lagi. Dan bangsa Rusia takkan sama sekali mengkhianati persahabatan.
Gagal mendenyutkan nadi peperangan, akhirnya Syria pun secara perlahan-lahan dikuasai Bashar Assad. Amerika Syarikat dan Persekutuan Rusia hanya berpakat untuk membedil Daulah Islamiyah (ISIL) sahaja. Perkara yang sama bakal berlaku jika Amerika Syarikat menghantarkan kumpulan-kumpulan pengangkutan ketenteraan (CBG).
Syria mungkin merupakan sepupu kepada dasar pentadbiran Moscow. Tetapi Iran ialah adik paling rapat sekali. Disebabkan itulah Iran selama ini tidak boleh disentuh walau sedikit pun melainkan sekatan-sekatan ekonomi sahaja.
Sungguhpun
begitu, Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan Timur Tengah dan dasar
peperangan. Seringkali pentadbiran White House dituduh tamak dan gigih untuk
menjadi polis dunia dalam Timur Tengah. Dakwaan tersebut separa benar. Amerika Syarikat berjuang di Timur Tengah atas dua
aspirasi yang bercanggah: (1) pemeliharaan
kepentingan-kepentingan sendiri dan (2) keinginan untuk menjauhi rantau ini. Namun matlamat tidak menghalalkan
cara. Dan perlaksanaan pula telah membatasi teori.
Disebabkan
itu juga Amerika Syarikat tidak melepaskan Afghanistan begitu sahaja. Malah
jika difikirkan tiada apa pun di republik berkecai tersebut yang boleh
memberikan justifikasi di sebalik perbelanjaan bertrilion melainkan satu
perkara sahaja. Sejak Perang Dunia Kedua, dasar luar negara Amerika Syarikat
selalunya menekankan keperluan untuk mengelakkan
kebangkitan sebuah kuasa dominan yang tidak mesra. Dengan kekayaan bahan
api, kuasa dominan ini boleh menghalang mereka untuk bertindak. Malah
peperangan besar boleh meletus, di mana musuh menguasai bahan yang menyalakan
enjin-enjin peperangan mereka.
Tetapi
pada zaman ini, Amerika Syarikat merupakan gergasi pengeluar tenaga sendiri.
Maka dengan penguasaan di Timur Tengah, kerajaan White House dengan sebelah
tangan mengelakkan peperangan besar yang boleh menyusahkan mereka. Namun setiap
kali suatu pihak cuba menghentikan peperangan sebelum bermulanya peperangan
tersebut, kesannya buruk. Disebabkan itulah Amerika Syarikat pada hari
merupakan antara punca di sebalik kebuluran dan kehancuran dalam negara-negara
Timur Tengah.
Disini jelas bahawa peperangan antara Amerika dan Iran merupakan permainan berbeza. Jika selama ini mereka juara ragbi, peperangan tersebut ialah sukan bolasepak yang peraturannya berbeza. Malah peperangan bersama Iran ialah ibu kepada segala masalah besar.
Disebabkan itu juga Presiden Donald Trump sedang mengusahakan sejenis mekanisme mengelak peperangan yang melibatkan penghantaran 120,000 anggota tentera ke Timur Tengah untuk berjaga-jaga jika Iran menyerang. Iran juga didapati sedang memasangkan misil-misil sebagai persediaan untuk menyerang kapal-kapal perang Amerika Syarikat.
Dan blok-blok politik di seluruh Amerika Syarikat pun sebulat suara menyatakan bahawa jika Tehran serang, maka padahnya besar terhadap Iran. Kaedah serangan pun takkan berlaku seperti Iraq dan Afghanistan, kerana republik ini mempunyai sistem pertahanan rapi dari Rusia.
Gagasan ketenteraan NATO boleh menewaskan Iran dengan mudah. Namun harus diakui juga kegagalan operasi boleh saja berlaku. Amerika Syarikat mengebom Vietnam dengan bahan-bahan letupan tiga kali ganda lebih banyak dari segala bom dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi Perang Vietnam masih dimenangi komunis.
Dan
Iran pula mempunyai satu kunci yang mengikatkan kedudukan mereka: senjata
nuklear. Maka dalam hal ini, perjanjian persefahaman antara White House-Tehran
sebenarnya menjaminkan keselamatan global melalui diplomasi. Cuma perjanjian tersebut merupakan hasil
kepintaran Barack Obama.
RUJUKAN:
A War With Iran would be the mother of all quagmires. https://www.washingtonpost.com/opinions/2019/05/20/war-with-iran-would-be-mother-all-quagmires/
Iran Threat Debate Is Set Off by Images of Missiles at Sea.
The Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) at a Glance. https://www.armscontrol.org/factsheets/JCPOA-at-a-glance
White House Reviews Military Plans Against Iran, in Echoes of Iraq War. https://www.armscontrol.org/factsheets/JCPOA-at-a-glance
Why America Can’t Quit the Middle East. https://www.nytimes.com/2019/05/13/world/middleeast/us-military-plans-iran.html
https://www.hoover.org/research/why-america-cant-quit-middle-east




No comments yet