Saban hari, ada saja penemuan saintifik dibuat baik di lapangan mahupun analisis saintifik. Siapa sangka, koleksi terbaru fosil harimau bergigi taring (sabre-toothed tiger) Muzium Sejarah Alam Semulajadi San Diego ialah spesies terawal hiperkarnivor yang wujud di muka bumi kira-kira 42 juta tahun lalu.
Hiperkarnivor ini merupakan spesies mamalia pertama yang mengamalkan diet berasaskan daging. Saiz harimau ini dikatakan dua kali ganda lebih besar daripada kucing biasa. Tetapi ia berupaya memburu haiwan mangsa seperti tenuk, kuda, babi, badak sumbu dan unta.
Hari ini, terdapat banyak spesies mamalia yang mengamalkan pemakanan berasaskan daging seperti beruang polar, harimau, singa dan kucing. Tetapi 42 juta tahun lalu, mamalia baru saja mengetahui cara untuk hidup berasaskan daging.
Bagi ketua penulis kajian Dr Ashley Poust dari Muzium Sejarah Alam Semulajadi San Diego, semua ini disumbang oleh evolusi khas pada gigi. Evolusi ini mengakibatkan wujud gigi yang boleh memotong daging – sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas pada spesies baru harimau bergigi taring ini.
Fosil rahang bawah dan gigi haiwan yang diberi nama saintifik diegoaelurus vanvalkenburghae ini ditemui di satu tapak fosil di San Diego, selatan California di barat Pergunungan Rocky (Rocky Mountains) pada 1980-an. Ia merupakan nenek moyang kepada smilodon – harimau bergigi taring yang paling ikonik yang pupus kira-kira 10,000 tahun lalu.
Spesies baru harimau bergigi taring ini berada dalam satu sub-kumpulan mamalia bergigi taring yang telah pupus dikenali sebagai machaeroidinae. Kebanyakan anggota sub-kumpulan ini merupakan mamalia bergigi taring yang berasal dari Asia dan Amerika.
Para saintis melihat penemuan ini sebagai satu penemuan yang signifikan. Ini kerana tidak banyak fosil haiwan machaeroidinae yang ditemui di Amerika seperti Wyoming dan Asia. Dengan penemuan ini, ia mendedahkan lebih banyak maklumat tentang mamalia bergigi taring yang telah pupus itu.
Dengan penemuan ini, ia turut menimbulkan persoalan sama ada diegoaelurus bertembung dengan spesies haiwan persis kucing seperti nimravid di Amerika Utara. Nimravid atau nama lainnya, kucing palsu bergigi taring muncul pada pertengahan era Eocene iaitu kira-kira 40.4 juta tahun lalu.
Fosil rahang bawah dan gigi harimau bergigi taring ini dijumpai oleh seorang budak lelaki tempatan yang berusia 12 tahun. Sejak penemuan pada 1980-an itu, lebih banyak fosil mendedahkan kisah silam San Diego semasa era Eocene.
RUJUKAN
Waghorn, M. (2022, 16 Mac). Discovery of new species that prowled 42 million years ago sheds lights on how cats evolved. The Independent.
Funnell, R. (2022, 15 Mac). New Species Of Ancient Saber-Toothed Predator Was Among Earth’s First Hypercarnivores. IFLScience.
Sumber gambar: Muzium Sejarah Alam Semulajadi San Diego
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih