Sebut saja nama Malcolm X, reaksi warga Amerika terhadap nama berkenaan bercampur-campur. Ada yang mengingatinya sebagai pejuang hak asasi kelompok minoriti terutama golongan kulit hitam tetapi ada juga yang menyifatkannya sebagai tokoh hak asasi berfahaman radikal. Tetapi itu juga yang menjadikan beliau sebagai figura Muslim utama dalam perjuangan hak sivil di Amerika Syarikat.
Kehidupan awal
Malcolm X atau nama sebenarnya Malcolm Little dilahirkan pada 19 Mei 1925. Bapanya, Earl Little ialah seorang mubaligh Baptist Pan-Afrika yang keras manakala ibunya, Louise-Helen berasal dari Grenada. Kebanyakan masa kecilnya di Midwest dibelenggu dengan isu kemiskinan bandar. Selepas Earl meninggal dunia pada tahun 1931 dan ibunya dimasukkan ke institut mental, beliau mula terjebak dengan aktiviti jenayah pada usia 13 tahun.
Kebanyakan jenayah kecil-kecilan yang dilakukan Malcolm X berlaku di Boston dan New York City. Dan apabila beliau mencecah usia 21 tahun atau lebih tepat awal tahun 1946, beliau didakwa atas kesalahan merompak dan dihukum penjara selama tujuh tahun. Semasa tempoh berkenaan, Malcolm X mula mencari dan mengenali agama sebelum akhirnya memeluk Islam menerusi Nation of Islam (NOI) pada tahun 1948.
Nations of Islam
Jadi apa itu NOI? NOI ialah sebuah organisasi politik dan agama Afrika-Amerika yang ditubuhkan di Detroit pada tahun 1930. Pengasasnya ialah seorang mubaligh penyendiri bernama Wallace Fard Muhammad tetapi tidak banyak yang diketahui tentang latar belakangnya terutama teori latar belakang etniknya.
Yang pasti selepas terbabit dalam beberapa insiden dengan pihak berkuasa, Fard memilih berhijrah ke Chicago dan menyertai Moorish Science Temple. Pertubuhan tersebut dikatakan menggunakan pengaruh Islam (jauh dari sebarang elemen agama Islam utama) dengan kelompok sasaran mereka ialah golongan Afrika-Amerika. Namun, Fard memilih keluar dari organisasi tersebut selepas dikatakan terjebak dengan perebutan pengaruh dalam organisasi.
Dia kemudiannya berhijrah ke Detroit pada tahun 1929 dan bertanggungjawab menubuhkan NOI setahun selepas itu bersama Elijah Poole (kemudiannya dikenali sebagai Elijah Muhammad). Elijah kemudiannya menjadi orang kanan utama Fard pada tahun 1931.
Kebanyakan ajaran yang dibawa Nation of Islam berpaksikan kepada teori kelebihan orang Afrika, sesuatu yang hampir sama dengan agenda kelebihan orang kulit putih yang diperjuangkan kelompok pelampau berhaluan kanan di Amerika Syarikat. Paling penting, Muhammad juga mengubah naratif NOI selepas menjadi ketua baru organisasi itu pada tahun 1934.
Dalam naratifnya, Muhammad menyifatkan Fard sebagai dewa/Tuhan dalam dirinya dan bertanggungjawab menyedarkan Afrika-Amerika bahawa mereka bangsa NOI yang hilang dalam persekitaran liar Amerika Utara. Jika anda membaca naratif sebegini, ia sama sekali berbeza dengan apa yang diajar agama terutama berkenaan isu bangsa.
Tetapi itulah yang menjadi pegangan ramai anggota NOI termasuk Malcolm X sendiri. Semasa beliau aktif bersama organisasi itu dari tahun 1952 hingga 1964, beliau sibuk mempromosikan kepercayaan-kepercayaan NOI seperti:
- Orang kulit hitam merupakan orang pertama yang muncul di dunia
- Semua orang kulit putih ialah setan
- Orang kulit hitam lebih hebat berbanding orang kulit putih
- Kehancuran bangsa kulit putih bakal tiba
Bukan sedikit orang yang tidak suka dengan pendirian Malcolm X termasuk sesetengah orang kulit hitam sendiri. Mereka melihat beliau sebagai seorang ekstremis yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang langsung tidak menyumbang kepada perjuangan hak sivil yang digerakkan ramai tokoh termasuk Martin Luther King Jr.
Tetapi terima kasih kepada kenyataannya yang berapi dan kontroversi, ia menarik perhatian ramai orang menyertai NOI. Berdasarkan statistik dari tahun 50-an hingga awal tahun 60-an, anggaran bilangan anggota NOI bertambah secara dramatik dari 1,200 orang kepada 50,000 hingga 75,000 orang. Salah seorang daripada mereka ialah Cassius Clay yang kita kenali sebagai Muhammad Ali.
Tawar hati
Namun menjelang 1962 dan 1963, Malcolm X mula tawar hati dengan NOI. Ia disebabkan oleh beberapa insiden:
- Pada tahun 1961 dan 1962, wujud beberapa insiden membabitkan komuniti Muslim Los Angeles (termasuk anggota NOI) dengan Jabatan Polis Los Angeles (LAPD). Satu insiden paling mengejutkan ialah apabila beberapa pegawai polis memukul beberapa Muslim di luar Temple No. 27 (masjid NOI diberi nama Temple) tanpa sebarang provokasi.Insiden ini mengundang kemarahan sekelompok besar Muslim yang mendorong mereka menahan dan melucutkan senjata polis yang terlibat. Akibatnya, LAPD menghantar 70 orang polis ke situ dan menyerbut Temple No. 27 serta men3mbak tujuh orang. Salah seorang yang dit3mbak ialah William X Rogers, seorang veteran P3rang Korea yang cuba menyerah diri tetapi tetap dit3mbak m4ti polis.Berang dengan insiden tersebut, Malcolm X cuba menggerakkan anggota NOI yang radikal untuk membalas dendam tetapi dihalang oleh Muhammad. Cubaan beliau mengadakan kerjasama pelbagai pertubuhan yang memperjuangkan hak sivil dengan NOI sekali lagi dihalang sekaligus permulaan hubungan renggang antara Malcolm X dengan Muhammad.
- Muhammad dikatakan terjebak dalam banyak hubungan sulit dengan setiausaha-setiausaha NOI sekaligus dianggap mencabuli prinsip ajaran NOI. Ketua NOI itu cuba menjustifikasikan perbuatannya itu tetapi tidak dilayan oleh Malcolm X. Perbuatan Muhammad turut diketahui oleh anaknya, Wallace atau Imam Warith Deen Mohammed.
- Selepas pembvnvhan Presiden John F. Kennedy pada 22 November 1963, semua pemimpin dan ahli NOI dilarang bercakap dengan media dan mengulas perkara itu bagi menghormati keluarga Kennedy. Tetapi larangan tersebut dilanggar Malcolm X pada 1 Disember 1963 yang menyifatkan ia sebagai balasan terhadap perkara buruk yang menimpa warga kulit hitam.Akibat kenyataan tersebut, beliau dikecam ramai pihak termasuk pihak NOI sendiri. Malcolm X dilarang membuat pengucapan awam selama 90 hari tetapi dibenarkan mengekalkan jawatannya sebagai paderi dalam NOI.
- Wujud dakwaan Muhammad sendiri sebenarnya merasa terancam dengan status selebriti Malcolm X. Dan sesetengah anggota NOI melihat sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh saja mengancam kedudukan ketua mereka sebagai ketua NOI.
Salah satu insiden yang menimbulkan rasa iri hati Muhammad ialah sebuah buku berkenaan NOI bertajuk When the Word Is Given diterbitkan pada tahun 1963. Buku yang dikarang Louis Lomax itu menggunakan gambar Malcolm X pada kulit muka hadapan dan daripada lima ucapan pemimpin NOI dipilih, hanya satu saja teks ucapan Muhammad dipilih.
Kerenggangan hubungan dua figura utama NOI ini akhirnya mendorong Malcolm X memutuskan untuk keluar dari NOI pada 8 Mac 1964. Beberapa minggu selepas itu, Malcolm X kemudiannya menjadi Muslim berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah selepas dinasihati oleh beberapa rakan berfahaman ASWJ. Mereka juga dikatakan bertanggungjawab menggalakkan beliau berangkat ke Baitullah sebagai jemaah haji tahun berkenaan.
el-Hajj Malik el-Shabazz
Berbekalkan bantuan kewangan yang dihulur oleh kakak tirinya, Ella Little-Collins, beliau berangkat ke Jeddah, Arab Saudi. Semasa singgah di Frankfurt sebelum menaiki penerbangan sambungan ke Kaherah dan Jeddah, Malcolm X melihat satu pemandangan yang tidak pernah dilihat di Amerika Syarikat: Muslim dari pelbagai bangsa dan negara melayan semua orang secara sama rata dan tanpa prejudis.
Beliau berkata, “Ramai orang, sudah pasti Muslim dari merata tempat hendak pergi menunaikan haji berpelukan. Mereka mempunyai warna kulit berbeza, suasananya juga mesra dan ramah. Perasaan yang timbul dalam diri saya ialah tidak timbul masalah warna kulit. Kesannya seperti seolah-olah saya baru keluar dari penjara.”
Seperti para jemaah lain, Malcolm X turut memakai kain ihram berwarna putih dan ini mendorongnya membuat satu pemerhatian. Beliau menambah, “Anda boleh saja seorang raja atau rakyat biasa dan tiada siapa pun akan tahu.”
Selepas tiba di Jeddah, usahanya untuk menunaikan haji bagaimanapun terhalang selama beberapa hari bagi membolehkan pihak berkuasa menyemak status agama dan kerakyatannya. Malcolm X mengakui semasa perjalanan inilah, beliau lebih banyak mengenali Islam berbanding semasa bersama NOI.
Beliau menulis, “Bayangkan menjadi seorang paderi (imam) Muslim, pemimpin NOI yang diterajui Elijah Muhammad dan tidak mengetahui ritual solat.” Dalam tempoh ini, Malcolm X turut berpeluang bertemu dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang yang ingin mengetahui kisah Muslim di AS. Pertemuan-pertemuan ini meruntuhkan terus apa saja fahaman perkauman NOI yang dipegangnya dan digelar sebagai satu kesilapan.
Malcolm X bernasib baik apabila kesusahannya itu diketahui diplomat dan ahli politik Mesir Azzam Pasha. Beliau yang juga pengarang The Eternal Message of Muhammad mengatur pembebasan beliau dan turut meminjamkan suite hotelnya sebagai bilik penginapan. Kisah Malcolm X di Tanah Suci turut diketahui oleh Raja Faisal dengan beliau diberi status sebagai tetamu negara oleh baginda termasuk seorang mutawif sebagai pengiringnya.
Perjalanan haji beliau mengubah terus dirinya 360 darjah. Sekembalinya dari Tanah Suci, Malcolm X memilih menggunakan nama barunya el-Hajj Malik el-Shabazz dan terus berusaha memperjuangkan hak sivil kelompok kulit hitam melalui dua organisasi, Muslim Mosque, Inc. (MMI) dan Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika (OAAU).
Tragedi
Tetapi transformasi falsafah beliau tidak disenangi oleh NOI dan bukan sekali beliau diancam bvnvh oleh organisasi tersebut. Louis Farrakhan, bekas protege beliau yang kemudiannya menjadi ketua versi kedua NOI menggelar Malcolm X sebagai munafik dan sepatutnya dibvnvh. Sementara pembantu Muhammad, John Ali (disyaki ejen FBI yang menyamar) memberi amaran mana-mana individu yang menentang Muhammad akan terancam keselamatannya.
Dan perkara tersebut menjadi kenyataan pada 21 Februari 1965. Seolah-olah mengetahui dirinya bakal dijemput Ilahi, Malcolm X pernah memberitahu penulis biografinya Alex Haley, “Saya tidak pernah merasakan saya akan m4ti sebagai orang tua.” Pada tarikh itulah, beliau dit3mbak m4ti oleh sekumpulan pen3mbak terdiri daripada ahli-ahli NOI dari Newark, New Jersey di Audobon Ballroom, Manhattan.
Tiga daripada mereka ditahan pihak berkuasa iaitu Talmadge Hayer, Norman 3X Butler dan Thomas 15X Johnson. Bagaimanapun menurut Hayer, Butler dan Johnson tidak bersalah kerana menurutnya, ada empat lagi ahli NOI yang terlibat iaitu Benjamin Thomas, Leon Davis, William X dan seorang lelaki bernama Wilbur atau Kinly. Perkara ini disentuh dalam dokumentari Netflix Who Killed Malcolm X?.
Wujud spekulasi penglibatan NOI atau pihak berkuasa atau gabungan kedua-duanya terlibat dalam konspirasi pembvnvhan Malcolm X. Tetapi bagi kenalan dan ahli keluarga beliau, ramai mengesyaki penglibatan NOI.
Dan ia seolah-olah diiyakan oleh Farrakhan dalam satu majlis pada tahun 1993, “Apakah Malcolm itu pengkhianat kamu atau kami? Dan jika kami sebagai bangsa menguruskannya sebagai pengkhianat, apa masalah kamu? Sebuah bangsa harus menangani semua jenis pengkhianat.”
Dalam satu temubual 60 Minutes pada tahun 2000, Farrakhan mengakui kenyataan kerasnya pada ketika itu dilihat menyumbang kepada pembvnvhan Malcolm X dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Beberapa hari selepas itu, dia menafikan pembabitan dirinya dalam konspirasi itu tetapi mengakui mewujudkan suasana yang membawa kepada pembvnvhan mentornya itu.
Yang pasti, pembvnvhan Malcolm X mengundang kedukaan kepada gerakan hak sivil golongan minoriti. Apabila diberitahu tentang kematian bekas pemimpin NOI itu, ia mengundang kesedihan Luther King. Walaupun mengakui kedua-dua mereka tidak sependapat dalam banyak isu, beliau memuji Malcolm X sebagai seorang yang petah berkata-kata dan tidak teragak-agak menyuarakan punca masalah dihadapi golongan minoriti.
Majlis pengebumian yang diadakan pada 28 Februari 1965 di Tanah Perkuburan Ferncliff, Hartsdale, New York dihadiri puluhan ribu orang termasuk penyokong-penyokong gerakan sivil. Antara tokoh hak sivil yang hadir ialah John Lewis dan Andrew Young Jr.
Legasi
Di sebalik semua ini, salah satu legasi beliau yang bertahan sehingga hari ini ialah penyebaran ajaran Ahli Sunnah Waljamaah di Amerika Syarikat. Dan ironinya, semua ini tercapai menerusi gerakan reformasi yang dibuat seorang lagi protegenya, Imam Warith Deen yang mengambil alih kepimpinan NOI selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1975.
Tidak seperti bapanya, Imam Warith Deen berusaha mengembalikan NOI kembali ke jalan agama yang sebenar termasuk menolak interpretasi bulat-bulat berkenaan teologi dan agenda pemisahan orang kulit hitam. Beliau juga berusaha menghubungkan mereka dengan komuniti Muslim lain termasuk komuniti Latin-Amerika dan komuniti bukan Muslim serta terus vokal memperjuangkan hak sivil tanpa mengira warna kulit.
RUJUKAN:
- Ryan, Patrick. (2014). One Pilgrim’s Progress: When Malcolm X became El-Hajj Malik El-Shabazz. America Magazine. https://www.americamagazine.org/issue/one-pilgrims-progress
- Tristam, Pierre. (2019). Malcolm X in Mecca. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/malcom-x-in-mecca-2353496
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih