Dalam dunia yang serba mencabar ini, semuanya berubah termasuk cara manusia mengamalkan politik. Politik bukanlah perkara baru kerana jika kita melihat lipatan sejarah, ia banyak memberi kesan sama ada baik atau buruk kepada perkembangan sesebuah tamadun dunia. Di Malaysia sendiri, kesedaran politik itu sudah ada sejak zaman penjajah sehingga membawa kepada kemerdekaan, penubuhan Malaysia dan perubahan negara seperti yang kita lihat pada hari ini. Persoalannya sekarang, apakah kita sudah matang dari sudut politik? Mari kita lihat.
1. Komunikasi.
Komunikasi bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan hari ini, lebih-lebih lagi dengan teknologi di hujung jari. Maka, mudah bagi kita berhubung secara terus dengan ahli politik, pentadbir atau parti politik pilihan untuk menyuarakan kegelisahan kita atau masalah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal kita. Bagi ahli politik pula, media terutama media sosial ialah medan terbaik untuk menyiarkan propaganda atau program anjuran mereka untuk sampai kepada kelompok sasaran mereka.
Namun, kemajuan dari segi ini tidak sepadan langsung dengan kemajuan mentaliti orang kita. Di sinilah, medan orang kita mengecam orang yang tidak disukai mereka dan melabel mereka dengan pelbagai gelaran walaupun kecaman dan gelaran tersebut bersifat fitnah. Bagi ahli politik pula, mereka memanipulasi fakta dan media demi memastikan mesej mereka sampai kepada kelompok sasaran agar mereka menyokong atau menentang musuh politik. Jika ada yang cuba melawan dengan fakta yang tepat dan benar, maka keluarlah label seperti macai atau pemakan dedak kepada orang-orang sebegini. Kalau tidak label, maka akan diserang keperibadian orang yang melawan sehingga individu tersebut mengaku kalah lalu berdiam diri. Belum masuk lagi sekiranya berlaku kematian politikus atau musibah yang menimpanya atau ahli keluarganya, lancang sungguh lidah atau taipan manusia memperolok-olokkan mereka tanpa memikirkan sensitiviti orang lain.
Ketahuilah, ini bukan perangai orang yang matang berpolitik tetapi perangai orang yang dipengaruhi dendam dan marah yang membuak-buak sehingga rasa kemanusiaan itu hilang. Nak menyokong atau membangkang, silakan tetapi biarlah mengikut lingkungan batas yang ditetapkan agama dan budaya kita. Mengapa terlalu keras dalam soal ini? Terlalu terdesakkah kita menjadi juara sehingga kemanusiaan itu dipersetankan? Ketahuilah, manusia yang menggadaikan kemanusiaan itu atas nama kuasa tidak akan dapat apa-apa belas kasihan daripada orang lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah r.a, “Allah tidak akan bersikap belas kasihan kepada orang yang tidak mengasihi orang lain.” Dalam satu riwayat lain, Umar bin al-Khattab r.a berkata, “Sesiapa yang tidak bersikap belas kasihan tidak akan dikasihi. Sesiapa yang enggan memaafkan orang lain tidak akan mendapat kemaafan. Sesiapa yang enggan mengampunkan kesalahan orang tidak akan mendapat keampunan.” Bagi yang suka menghina pemimpin, mahukah kamu dihina Tuhan? Ini berdasarkan riwayat Abu Bakrah r.a, “Orang yang menghina para pemerintah akan dihina Allah s.w.t.”
2. Polisi dan manifesto.
Kita semua tahu, prestasi sesebuah parti selepas pilihan raya dinilai melalui manifesto dan polisi yang dijanjikan semasa kempen. Makanya, di sinilah parti-parti menabur janji kepada pengundi dengan harapan mereka menolak parti lawan dan memilih parti mereka sebagai wakil di kawasan tersebut atau bila hendak membentuk kerajaan. Kadang-kadang, janji atau manifesto yang ditabur bersifat mustahil atau populis semata-mata nak dapat undi banyak. Selepas kerajaan dibentuk, pada masa inilah manifesto yang dijanjikan itu diuji dari segi pelaksanaannya. Ini kerana manifesto ialah janji atau ikrar yang dilafazkan parti kepada rakyat yang memilih mereka, maka mereka ada tanggungjawab untuk merealisasikannya, walaupun ia bersifat bulan dan bintang. Bila ia tidak direalisasikan, makanya parti yang menjadi kerajaan tersebut telah memungkiri manifesto yang dibuat dan ianya dianggap sekadar menanam tebu di bibir. Bukankah politik matang ialah bersikap jujur dan bertanggungjawab kepada pengundi termasuk dari segi manifesto dan polisi?
Nak jadi pemerintah, nampak senang atas kertas tapi bila kita lihat soal teknikal, memang payah. Beban tugas itu saja amat menakutkan, belum dicampur lagi dengan janji-janji yang ditabur kepada pengundi. Bila nak gubal atau janjikan polisi atau manifesto kepada rakyat, biarlah ia mengambil kira kebajikan rakyat dan kemampuan yang dimiliki. Kalau tidak mampu, berlaku jujur kepada mereka dan nyatakan apa langkah terbaik untuk membantu mereka. Mahu jadi pemerintah tetapi memungkiri janji kepada rakyat dan tidak amanah dalam soal pemerintahannya, lupakah kalian bahawa memungkiri janji dan melanggar amanah itu sebahagian dari ciri orang munafik? Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Ada tiga tanda orang munafik, bila dia berbicara, dia berbohong. Bila dia diberi amanah, dia melanggarnya. Bila dia berjanji, dia memungkirinya.”
3. Propaganda
Propaganda bukanlah perkara asing dalam politik hari ini. Propaganda merupakan senjata psikologi dalam menangkap perhatian para pengundi dan mempengaruhi mereka membuat keputusan sama ada memilih atau menolak parti politik. Ia tetap berlaku sama ada semasa kempen pilihan raya atau di luar musim pilihan raya. Ini kerana bagi sesetengah parti politik, propaganda perlu terus dikhabarkan kepada pengundi bagi memastikan isu pilihan mereka tetap hangat dalam minda dan pemikiran mereka.
Kalau setakat propaganda menunjukkan tahap prestasi dan pencapaian parti masing-masing, itu boleh diterima juga. Yang menjadi masalah ialah ketidakmatangan sesetengah entiti kita yang memilih fitnah dan berita palsu sebagai bahan propaganda politik murahan. Ya, jika diamati fitnah sebegini amat lazat dan mudah ditelan tetapi bila mana ia dibuktikan sebaliknya, makanya beranikah raja-raja propaganda ini untuk mengakui kesalahan mereka dan memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang difitnah? Beranikah individu-individu di luar sana yang berterusan menyebarkan khabar sebegini untuk menanggung saham dosa selagi mana khabar tersebut berterusan? Amatilah amaran-amaran yang dikeluarkan Rasulullah s.a.w berkenaan soal ini. Ibnu Abbas meriwayatkan, pada satu hari, Rasulullah s.a.w melalui dua kubur. Kemudian baginda bersabda, “Kedua-duanya sedang diseksa. Dan mereka diseksa bukan kerana sesuatu yang besar. Seorang itu diseksa kerana tidak berdehem semasa membuang air. Manakala seorang lagi diseksa kerana menyebarkan Namimah (fitnah).” Dalam satu riwayat lain daripada Ibnu Mas’ud r.a, baginda bersabda, “Mahukah kamu tahu berkenaan Al-Adhu’ (pembohongan dan fitnah)? Ia adalah fitnah yang dilakukan dalam kalangan manusia.”
4. Soal tadbir urus organisasi.
Bila mana kita sudah menjadi sebahagian daripada organisasi atau entiti politik, makanya kena belajar bagaimana memastikan segala urusan berkaitan entiti tersebut berjalan lancar termasuk mematuhi peraturan ditetapkan parti. Bukan mudah hendak memuaskan semua orang lebih-lebih lagi dalam pemilihan calon tetapi perlu diingat, parti jauh lebih penting daripada individu itu sendiri. Namun, dalam dunia politik yang bersifat kejam ini, ada sesetengah individu sanggup membelakangkan peraturan dan tidak mempedulikan langsung perlembagaan parti semata-mata untuk terus kekal berkuasa. Pelbagai cara digunakan seperti memanipulasi bilangan undi delegasi dan mengubah kaedah pengundian semata-mata untuk kekal berkuasa. Pada mereka, mereka saja yang layak memegang tampuk kerana mereka mampu membawa parti ke arah mereka mahukan. Namun, tindakan sebegini bukan saja merosakkan kredibiliti parti kepada orang luar tetapi juga menunjukkan parti sama sekali tidak berminat dalam soal reformasi terutama dari segi kepimpinan.
Bagi penyokong politik matang, mana-mana individu yang bertanggungjawab akan memastikan urus tadbir sesebuah parti tidak akan dikompromi atas nama kuasa. Dan bagi mereka yang berada di tampuk, mereka tahu bila mereka akan berundur dan mereka sama sekali tidak akan mencampuri urusan parti selepas mereka bersara. Ini kerana pada mereka, selepas bersara, giliran penggantinya pula untuk mencorak pentadbiran seterusnya mengikut zamannya. Jangan kerana tidak bersetuju atau polisi dipilih mencabar legasi sebelumnya dijadikan alasan untuk mencampuri urusan pentadbiran atau entiti politik. Tingkah laku sedemikian sebenarnya berpotensi menjadi ancaman yang merosakkan legasi yang ditinggalkannya. Jika mahu menegur, tegurlah secara bersederhana dan mengikut saluran yang diberi. Jangan kerana kuasa, manusia hilang dibawa arus bernama kebinasaan. Ingatlah pesan Abraham Lincoln, “Nearly all men can stand adversity but if you want to test a man’s character, give him power.”
SUMBER:
1. Sunnah.com. The source of Hadith Prophet Muhammad s.a.w on your fingertips.
2. Andersen, Erika. (2012). Forbes. Abraham Lincoln: 10 Quotes to Help You Lead Today. https://www.forbes.com/sites/erikaandersen/2012/12/17/abraham-lincoln-10-quotes-to-help-you-lead-today/#e2890ef110a6
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih