Malaysia akhirnya berjaya menumbangkan Vietnam selepas sebelas tahun, dengan kemenangan bergaya empat gol tanpa balas di Stadium Nasional Bukit Jalil. Lebih 60,000 penyokong membanjiri stadium dalam suasana penuh semangat, menjadikan malam itu detik bersejarah buat skuad Harimau Malaya.
Separuh masa pertama menyaksikan permainan yang agak seimbang, namun Malaysia lebih berinisiatif menyerang, terutama melalui gerakan sayap kanan yang diketuai Arif Aiman. Beberapa percubaan awal mencemaskan pertahanan Vietnam, walaupun tiada jaringan terhasil pada waktu itu.
Masuk separuh masa kedua, Malaysia tampil lebih agresif dan menyusun gerakan dengan lebih kemas. Gol pertama hadir apabila Joao Figueiredo melepaskan rembatan kencang yang terkena pertahanan Vietnam sebelum bola menerjah jaring. Sorakan gegak gempita penonton menyemarakkan lagi semangat pemain.
Gol kedua menyusul hasil hantaran lintang sempurna daripada Arif Aiman dari sebelah kanan. Rodrigo Holgado menyambutnya dengan satu penyudah yang tepat ke dalam gawang. Ini adalah jaringan pertama Holgado dalam perlawanan kompetitif bersama skuad kebangsaan.
Gol ketiga pula lahir daripada gerakan terbuka di sebelah kanan. Arif Aiman melepaskan hantaran lintang rendah ke tengah kotak penalti, dan La’Vere Corbin-Ong tiba tepat pada masa untuk menyudahkannya dengan sepakan kaki yang deras. Vietnam mula hilang fokus.
Gol keempat melengkapkan malam gemilang apabila Dion Cools naik ke kotak penalti dan menyambut hantaran dengan tandukan tepat yang tidak dapat diselamatkan penjaga gol Vietnam.
Empat penjaring berbeza menjadi bukti kekuatan kolektif pasukan. Tiada pergantungan tunggal. Setiap pemain menyumbang dalam kapasiti masing-masing. Arif Aiman pula mencipta dua bantuan gol dan menjadi penggerak utama serangan.
Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F dengan 6 mata; Vietnam kini berkongsi kedudukan kedua dengan Laos dan Nepal .
Joao Figueiredo dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Namun dalam sidang media selepas perlawanan, beliau merendah diri.
Katanya, “Bukan jaringan saya yang paling penting, tapi kemenangan pasukan dan misi kami.” Figueiredo turut mengakui bahawa sorakan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah sumber kekuatan sebenar yang mendorong mereka mencapai kemenangan besar ke atas Vietnam.
Semangat yang dibawa dari tempat duduk ke padang benar-benar menjadi nadi Harimau Malaya malam itu.
Di bahagian tengah, Nooa Laine dan Hector Hevel menunjukkan kombinasi mantap, mengawal tempo dan memutuskan serangan balas lawan. Mereka memastikan transisi bola berjalan lancar, sambil melindungi barisan belakang.
Pertahanan diketuai oleh Facundo Garcés dan Jon Irazábal, yang kekal fokus sepanjang perlawanan. Mereka berjaya mematikan hampir semua ancaman dari Vietnam dan beraksi dengan disiplin tinggi. Matthew Davies pula banyak menyokong gerakan di tepi, dengan larian overlap yang kerap mengucar-ngacirkan pertahanan kiri lawan.
Dion Cools pula tenang di belakang dan kerap membaca permainan dengan tepat. Selain menyumbang gol keempat, beliau juga memimpin barisan pertahanan dengan kawalan emosi yang baik dan tidak panik walau diasak.
Jurulatih Tomislav Cklamovski wajar dipuji. Beliau menyusun kesebelasan utama dengan gabungan pemain tempatan, warisan dan naturalisasi secara bijak.
Pemain-pemain seperti Joao, Holgado, Garcés, dan Irazábal telah pun mendapat kelulusan FIFA dan memiliki hubungan sah dengan Malaysia sama ada melalui keturunan atau pemastautin. Mereka bukan sekadar pelengkap skuad, malah menjadi tunjang kekuatan pasukan.
Yang lebih penting, semangat mereka jelas terpancar. Mereka bermain sepenuh hati dengan satu jersi dan satu lambang. Tiada beza siapa lahir di mana. Yang ada hanyalah semangat satu pasukan, satu negara.
Aksi pemain malam itu sangat meyakinkan. Ada yang bergelut cedera, ada yang bermain sambil berdarah. Tetapi semua tampil dengan kesungguhan penuh. Itulah erti patriotisme dalam bentuk sebenar. Pengorbanan tanpa banyak bicara.
Era Harimau Malaya hari ini bukan sekadar bergantung kepada semangat, tetapi turut didukung oleh sistem dan perancangan rapi. Ini hasil pelaburan, disiplin taktikal dan mentaliti kemenangan yang disemai sejak awal.
Namun kemenangan ini bukan titik akhir. Ia permulaan kepada laluan lebih mencabar. Masih banyak perlawanan menanti, dan konsistensi akan jadi penentu kejayaan sebenar.
Kemenangan besar ini takkan mungkin dicapai tanpa sokongan pelbagai pihak. Dari pengurusan tertinggi, penyokong yang setia, hingga kepada setiap pemain yang mencurah tenaga di padang.
Terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) atas sokongan dan pelaburan yang membolehkan skuad negara mendapat persiapan rapi dan fasiliti bertaraf antarabangsa.
Terima kasih kepada barisan jurulatih dan sokongan teknikal yang berani, terarah dan menyusun strategi berkesan untuk menjinakkan lawan yang selama ini sering menghampakan Malaysia.
Terima kasih juga kepada semua pemain tempatan, warisan atau naturalisasi yang bermain dengan semangat Malaysia sepenuhnya. Setiap gerakan, setiap blok, setiap hantaran adalah lambang cinta kepada negara.
Dan paling penting, ribuan penyokong yang membanjiri Bukit Jalil malam itu. Sorakan kalian jadi nadi semangat pasukan.
Malaysia kini memiliki tiga komponen penting yang seimbang: pengurusan dan dana, jurulatih dan strategi, pemain dan penyokong. Bila ketiga-tiganya bergerak serentak, keputusan besar seperti ini akan menjadi kebiasaan, bukan kejutan.
Harimau Malaya telah bangkit. Sekarang cabarannya ialah untuk terus kekal bertenaga. Jangan leka. Terus ke depan. Satu langkah demi satu kemenangan.
Namun di sebalik kemenangan besar ini, masih ada suara sumbang yang mempersoalkan asal-usul pemain.
Ada yang pertikai pemain warisan dan naturalisasi, seolah-olah mereka ini asing, dan kejayaan ini tercemar kerana gol-gol disumbang oleh mereka yang lahir di luar negara.
Malah ada yang suruh FIFA semak balik dokumen, seakan Malaysia ambil jalan pintas.
Hakikatnya, setiap pemain warisan atau naturalisasi yang beraksi dalam skuad Harimau Malaya hari ini telah melalui proses yang ketat dan sah. Semua dokumen disahkan. FIFA sendiri yang luluskan.
Mereka ada darah Malaysia. Ada ibu, ayah, atuk, nenek dari tanah ini. Mereka bukan dipilih kerana kekuatan fizikal semata. Tapi kerana semangat yang mereka bawa untuk wakili tanah tumpah darah keluarga mereka.
Kalau mereka tak layak, mereka takkan dapat pakai jersi Malaysia. Kalau mereka tak ikhlas, mereka takkan main sampai berdarah. Dan kalau mereka tak cintakan negara ini, mereka takkan berdiri tegak semasa lagu Negaraku berkumandang bersama yang lain.
Nama mereka mungkin asing bagi telinga yang belum terbuka. Tapi hati mereka sudah terikat dengan Jalur Gemilang.
Dan malam 10 Jun itu jadi saksi bahawa siapa pun mereka, bila turun padang dengan lambang Harimau di dada, mereka adalah Malaysia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.