Semua sedia maklum selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran di Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA) dari 1945 hingga 1946. Dan dari BMA inilah, London mahu memperkenalkan satu bentuk persekutuan baru di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union. Pentadbiran bersifat baru itu bagaimanapun mendapat tentangan ramai pihak terutama orang Melayu yang menyifatkan kebanyakan perubahan yang dibawa mengancam hak istimewa orang Melayu, institusi beraja dan agama Islam. Dan ini membawa kepada penentangan secara besar-besaran yang akhirnya membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Misi Harold MacMichael
Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 dan pada 3 September 1945, tentera British telah mendarat di Pulau Pinang. Manakala pada 5 September 1945, BMA bermula di Tanah Melayu. Pada 11 Oktober 1945, Sir Harold MacMichael sebagai wakil kerajaan Britain tiba di Pelabuhan Swettenham dengan kapal Royalist. Dalam tempoh antara 18 Oktober hingga 21 Disember 1945, MacMichael telah menjelajah ke seluruh negeri Melayu bagi mendapatkan tandatangan baginda menyerahkan kuasa perundangan kepada kerajaan Britain.
Pada 22 Januari 1946, kertas putih mengenai Malayan Union telah diisytiharkan untuk bacaan awam di mana antara aspek yang menarik perhatian ialah isu kerakyatan Malayan Union yang dirasakan terlalu longgar. Selain isu kerakyatan, isu kedaulatan Raja-Raja Melayu juga menimbulkan kemarahan di mana kedaulatan mereka dipindahkan kepada Raja Britain. Justeru, secara ringkas misi tandatangan yang digalas MacMichael sebenarnya satu misi penaklukan secara halus Britain ke atas Tanah Melayu.
Sungguhpun tugas MacMichael dilihat berjalan lancar, namun pada hakikatnya ia tetap dilaksanakan dengan penuh berhati-hati. British khuatir sekiranya ada Raja Melayu yang tidak bersetuju menurunkan tandatangan, ini bermakna rancangan Malayan Union akan gagal. Perhitungan itu dapat diukur daripada beberapa petunjuk. Sebagai contoh pihak British telah memperincikan pilihan orang yang paling layak menjalankan tanggungjawab untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. MacMichael dipilih kerana pertimbangan pengalamannya di Transjordan dan Palestin.
Sementara di pihak MacMichael pula, untuk tidak menggagalkan segala perancangan yang telah diatur, dia meminta supaya perjalanannya dibekalkan dengan persiapan yang dapat meninggikan prestijnya sebagai wakil Raja Britain. Ini penting kerana baginya, Raja-raja Melayu sangat mengambil berat soal martabat dan ketinggian status. Antara lain, MacMichael juga meminta dirinya dilantik sebagai ahli Majlis Privy bagi membolehkannya memakai gelaran Right Honourable.
Dia juga mahukan pelayarannya ke Tanah Melayu menaiki kapal perang Diraja yang besar. Ketibaannya di Tanah Melayu perlu disambut dengan upacara yang gemilang. Ini perlu dilakukan di Pelabuhan Swettenham dan bukannya di pelabuhan Pulau Pinang atau Singapura. Kediamannya di Kuala Lumpur mestilah di King House (sekarang Carcosa Seri Negara). Kenderaannya pula mestilah sebuah kereta salon yang besar dan warnanya bukan warna kenderaan tentera.
Untuk memastikan misi MacMichael disempurnakan dengan baik, seorang wakil telah dihantar terlebih dahulu untuk meninjau sejauh manakah sokongan Raja-Raja Melayu terhadap British. Tanggungjawab ini diGALAS oleh H.C Willan. Willan menjalankan tugasnya antara 8-20 September 1945. Laporan Willan menampakkan keyakinan yang tinggi bahawa Raja-Raja Melayu akan menyokong British memberi kelegaan kepada MacMichael.
Walau bagaimanapun, MacMichael tetap dibekalkan dengan satu senjata ampuh: tidak mengiktiraf Raja-Raja Melayu yang tidak mahu menurunkan tandatangan. Willan juga telah membekalkan satu senarai pengganti yang layak bagi sultan yang enggan bekerjasama. Selain itu, MacMichael juga tidak berseorangan dalam menjalankan tugasnya. Beliau turut ditemani oleh A.T. Newbolt. Kehadirannya menurut MacMichael amat membantu. Malah, MacMichael menyebut dalam laporannya, tanpa kehadiran Newbolt, sebarang perjanjian dengan Raja-Raja Melayu tidak mungkin dapat disempurnakan dengan lancar.
Sungguhpun tugas MacMichael dilihat berjalan lancar, namun pada hakikatnya ia bukanlah suatu tugas yang mudah. Hanya Johor dan Selangor sahaja bersetuju menandatangani perjanjian tersebut tanpa banyak bantahan atas dasar setia kawan. Manakala di Negeri-Negeri Melayu lain seperti Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis, MacMichael terpaksa menggunakan kaedah ugutan sama ada tidak mengiktiraf baginda sebagai Sultan ataupun menggantikan baginda dengan calon Sultan yang baru. Sementara di Pahang, Kelantan, dan Terengganu MacMichael turut menerima tentangan daripada para baginda tetapi tentangan tersebut tidaklah begitu kuat. Oleh itu, laporan Willan ternyata tidak menepati harapan MacMichael.
MacMichael memulakan lawatan tugasnya di Johor pada 18 Oktober 1945 dengan menghadap Sultan Ibrahim. Baginda hanya diberi masa satu malam untuk membaca dokumen tersebut. Pada 20 Oktober 1945 Sultan Ibrahim telah menurunkan tandatangannya, satu keputusan yang diambil tanpa mendapatkan pertimbangan Majlis Menteri atau badan perundangan Johor terlebih dahulu terutamannya mengenai isi kandungan dokumen tersebut.
Oleh itu, MacMichael dalam laporannya kepada pihak atasan di England memaklumkan bahawa rundingannya dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan baik sekali dan secara tidak langsung memberi keyakinan yang tinggi kepada MacMichael untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu yang lain. Hal ini disebabkan MacMichael berpendapat, jika Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain. Misalnya, MacMichael berjaya mendapatkan tandatangan Sultan Hishammudin Alam Shah pada 24 Oktober 1945 iaitu empat hari selepas Sultan Ibrahim menurunkan tandatangannya. Begitu juga di Pahang apabila MacMichael hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk mendapatkan tandatangan Sultan Abu Bakar pada 2 November 1945.
Walau bagaimanapun, tidak semua Raja-Raja Melayu menerima mudah perlembagaan tersebut. Di Negeri Sembilan misalnya, MacMichael terpaksa berhadapan dengan tentangan dari Tuanku Abdul Rahman. Yamtuan menganggap perjanjian Malayan Union merupakan isu sensitif yang dilihat akan menjejaskan maruah dan statusnya sebagai Yamtuan. Oleh itu, Yamtuan menolak untuk menandatangani perjanjian tersebut.
Selain Yamtuan, empat Undang iaitu Dato’ Maamor bin Kassim (Dato’Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong), Dato’ Shahmaruddin bin Abdul Rahman (Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman, Undang Luak Jelebu), Dato’ Kamat bin Sulaiman (Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Undang Luak Johol) dan Dato’ Haji Ipap bin Abdullah (Dato’ Lela Maharaja, Undang Luak Rembau) turut membantah tindakan MacMichael memaksa Tuanku Abdul Rahman menandatangani perjanjian tersebut.
Antara keempat-empat Undang tersebut, Dato’ Rembau dilihat sangat tidak bersetuju dengan perbuatan menurunkan tandatangan itu. Malah, Dato’ Kelana yang sedang uzur ketika itu turut datang ke Seri Menanti berjumpa dengan MacMichael bagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan MacMichael. Manakala, Dato’ Jelebu pula berpendapat bahawa, “…Malayan Union merupakan suatu perkara yang sudah jadi dan sungguhpun ia ditentang, ia berkata di dalam keadaan seperti ini, tidaklah ada bezanya sama ada ia menurunkan tandatangan ataupun tidak‟.
Dato’ Johol pula merupakan seorang yang sangat tua dan boleh dikatakan tidak mengenal huruf dan nyata sekali tidak memahami betul-betul apa yang sedang berlaku. Sebagai seorang peguam, Yamtuan menyedari bahawa perlembagaan ini ternyata akan merugikan kedudukannya sebagai Yamtuan dan orang Melayu secara keseluruhannya. Oleh itu, Yamtuan menuntut untuk pergi ke London berjumpa sendiri dengan Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan London bagi meminda semula memorandum tersebut. Namun begitu, pada 14 November 1945, Tuanku Abdul Rahman akhirnya terpaksa menurunkan tandatangan setelah didesak oleh MacMichael.
Setelah berjaya mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman, MacMichael menghadap Sultan Abdul Aziz di Perak pada 20 November 1945. MacMichael berpendapat Sultan Abdul Aziz merupakan antara Sultan yang cerdas dan tegas. Oleh itu, MacMichael merasakan bahawa tugasnya untuk mendapatkan tandatangan Sultan Abdul Aziz bukanlah satu tugas yang mudah. Ternyata telahan MacMichael itu benar. Sama seperti Tuanku Abdul Rahman di Negeri Sembilan, Sultan Abdul Aziz juga berpendapat bahawa perjanjian itu bukan sahaja tidak menguntungkan orang Melayu, malah mengancam kedaulatan serta ketuanan orang Melayu apabila kedaulatan Raja-raja Melayu dihapuskan.
Malah, menurut Sultan Abdul Aziz lagi dasar kerakyatan yang liberal ini akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kedudukannya sebagai penduduk Bumiputera akibat daripada polisi kerakyatan Malayan Union yang longgar. Baginda juga bimbang orang Melayu akan menjadi satu masyarakat yang kecil di Tanah Melayu, manakala golongan bukan Melayu pula akan bertambah.
Orang Melayu juga akan kehilangan hak dan keistimewaan mereka di bumi sendiri apabila mereka dianggap mempunyai taraf yang sama dengan golongan bukan Melayu. Oleh itu, Sultan Abdul Aziz juga dilihat cuba melengah-lengahkan masa untuk menandatangani perjanjian tersebut. Baginda memberi alasan bahawa beliau perlu berbincang dengan ahli kerabatnya yang lain terlebih dahulu sebelum bersetuju menurunkan tandatangan. Akhirnya, pada 22 November 1945, Sultan Abdul Aziz juga terpaksa menurunkan tandatangannya terhadap perjanjian Malayan Union ini.
Selepas Perak, MacMichael menghadap Sultan Badlishah di Kedah pada 29 November 1945. Di Kedah, tentangan yang diterima oleh MacMichael tidak kurang hebatnya. Beliau juga terpaksa menggunakan ugutan sebagai senjata utamanya apabila Sultan Badlishah bersikap kepala batu dan bertegas untuk tidak menandatangani perlembagaan Malayan Union.
Dalam pertemuan pertamanya dengan Sultan Badlishah, berlaku perdebatan hebat antara kedua-dua pihak. Menurut MacMichael, Sultan Badlishah belum lagi diakui sebagai Sultan oleh Kerajaan British. Baginda cuma diakui sebagai bakal Sultan sahaja. Selain itu, selama Penasihat British berada di Kedah, Sultan tidak berkuasa mutlak dan Kedah bukanlah sebuah negeri yang bebas.
Malah, menurut MacMichael lagi, “..it was fortune that his majesty government had not concluded as would have been consonant with modern conception democratic government that the sultanates were altogether out of date”.
Sultan Badlishah membidas kenyataan tersebut dan mengatakan bahawa perjanjian baru ini merupakan satu lagi tipu muslihat British untuk menukarkan taraf Negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan kepada tanah jajahan British. Malah ia dilihat sebagai satu usaha British untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu. Menurut Sultan Badlishah lagi, “..the technique adopted by His Majesty’s Government appeared to be not unlike the familiar Japanese technique of bullying.”
Pada masa yang sama, MacMichael turut menegaskan bahawa Sultan Johor sudah pun menurunkan tandatangan baginda dan jika terdapat perkara-perkara yang merugikan kedudukan Raja-raja Melayu sudah pasti Sultan Johor tidak akan menurunkan tandatangannya terhadap perjanjian baru itu. MacMichael terkejut apabila Sultan Badlishah menjawab, tidak semestinya Kedah akan mengikut apa yang dibuat oleh Johor.
Selain Sultan Badlishah, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah yang lain turut membantah Perlembagaan Malayan Union. Setelah tiga hari berbincang, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah yang diketuai Tuan Haji Mohammad Sheriff akhirnya terpaksa beralah dengan Newbolt dan MacMichael. Tunku Yaakub mencadangkan supaya baginda Sultan menurunkan tandatangan kerana tidak ada jalan lain lagi.
Manakala, Haji Mohammad Sheriff juga telah menggunakan pelbagai helah dan kepintarannya untuk menolak dan melambat-lambatkan tandatangan tersebut. Pada 2 Disember 1945, MacMichael sekali lagi datang menemui Sultan Badlishah untuk mendapatkan tandatangan baginda.
Malah MacMichael turut mengingatkan baginda bahawa “…his formal recognition as Sultan would depend on his assurances that he was prepared to sign the treaty.” Jika tidak baginda akan diturunkan takhtanya sebagai Sultan. Dengan rasa berat hati, Sultan Badlishah akhirnya terpaksa menurunkan tandatangannya. Menurut baginda, “…this was the most distressing and painful moment of his entire life.”
Selepas bersusah payah mendapatkan tandatangan Sultan Badlishah, MacMichael seterusnya berangkat ke Perlis untuk menemui Raja Perlis. Di Perlis, tugas MacMichael juga tidak mudah kerana terpaksa berhadapan tentangan Tuanku Syed Putra Jamalullai dan beberapa orang pembesar negeri yang lain. Tentangan diterima apabila MacMichael mendesak Raja Perlis menurunkan tandatangannya. Malah, Tuanku Syed Putra Jamalullai juga didesak untuk menyerahkan kedaulatan Kerajaan Perlis, namun baginda menolak. Tambahan pula, kandungan perjanjian Malayan Union amat bertentangan dengan Perjanjian Perlis-British 1930 yang dimeterai oleh Raja Syed Alwi.
Dalam situasi ini, beberapa orang para pembesar negeri Perlis seperti Haji Ahmad Mohamad, Wan Ahmad Daud dan Sheikh Ahmad Mohd juga dilihat menyokong kuat keputusan baginda untuk tidak menurunkan tandatangannya. Melihat kepada situasi tersebut, MacMichael menegaskan bahawa British masih boleh mendapatkan tandatangan daripada individu lain dengan cara menurunkan baginda daripada takhta kerajaan Perlis. Oleh itu, dengan rasa berat hati Tuanku Syed Putra Jamalullai telah menurunkan tandatangannya pada 4 Disember 1945.17
Walau bagaimanapun sebaik sahaja baginda menurunkan tandatangannya, Tuanku Syed Putra Jamalullai telah mengirimkan telegram kepada kerajaan British di London untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan MacMichael. Malah baginda bersama-sama dengan Raja-raja Melayu yang lain turut memulaukan upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union kemudiannya.
Seterusnya MacMichael pergi ke Kelantan dan berjaya mendapatkan tandatangan Sultan Ibrahim pada 17 Disember 1945. Di Kelantan, MacMichael turut mendapat beberapa bantahan kecil daripada baginda. Seperti biasa, MacMichael menggunakan kuasa yang diberikannya oleh London untuk tidak mengiktiraf mana-mana Raja-raja Melayu yang enggan menurunkan tandatangan mereka. Oleh itu, Sultan Ibrahim terpaksa beralah dan akhirnya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut pada 17 Disember 1945.
Terengganu merupakan negeri terakhir yang dikunjungi oleh MacMichael dalam usaha mendapatkan tandatangan kesemua Raja-raja Melayu. Di Terenganu, Newbolt telah mengadap Sultan Ismail di Istana Maziah untuk mendapatkan persetujuan Sultan mengenai rancangan Malayan Union.
Sultan Ismail pada mulanya agak keberatan untuk menandatangani dokumen tersebut kerana baginda sedar tindakannya itu adalah bercanggah dengan Undang-undang Tubuh bagi Negeri Terengganu yang tidak membenarkan Sultan bertindak sendirian untuk menyerahkan negeri kepada mana-mana kuasa. Fasal XIV Undang-undang Tubuh bagi Negeri Terengganu menjelaskan bahawa, “Maka tiada lulus dan sah tiada sah sekali-kali Raja membuat perjanjian atau ikhtiarmelepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau haknya itu kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa bangsa Eropah atau lainnya.
Maka jika Raja cuba-cuba lalui larangan dan tegahan itu nescaya disifatkanlah akan dia memecahkan amanah yang diletakkan atasnya serta tiada sah perbuatan yang demikian itu. Maka tatkala itu tiadalah diwajibkan di atas ahli-ahli kerajaan dan segala rakyat bersetia lagi dengan dia haruslah diturunkan dia daripada takhta kerajaannya. Dan diangkat gantinya pula.”
Bagaimanapun Dato Jaya Perkasa, menasihati Sultan Ismail supaya menandatangani perjanjian itu kerana menurutnya perkara tersebut tidak bercanggah dengan Undang-undang Negeri bagi Terengganu. Pada pandangannya, “…Clausa 14 of the Constituition was meant to stop a Sultan from selling (as Singapore was sold years ago) leasing or pawning the state of any foreign state, that was not the purpose of the new treat.” MacMichael pula menambah bahawa kerajaan British tidak pernah mengiktiraf Undang-undang tersebut. Berpandukan nasihat itulah, Sultan Ismail akhirnya bersetuju untuk menandatangani dokumen tersebut pada 21 Disember 1945. Oleh itu, pihak British begitu terhutang budi kepada Dato Jaya Perkasa. Newbolt dalam laporannya kepada MacMichael menyatakan, “The Dato Jaya has always been pro-British, ever since the early days when the practical applications of such sentiment was highly unpopular is doubly refreshing to find him occupying the chief post in the State, a reward for loyal services.”
Penentangan terhadap Malayan Union
Raja-Raja Melayu
Raja-Raja Melayu sejak dari awal sudah menyatakan penentangan keras mereka terhadap Malayan Union terutama selepas pembentangan kertas putih Malayan Union yang dibuat pada akhir tahun 1945. Berikut maklum balas beberapa Raja Melayu tentang Malayan Union.
1. Sultan Perak
Sultan Perak mengeluarkan pendapat bahawa kesetiaan sewaktu menjadi warganegara Malayan Union mestilah ditumpukan kepada Raja-raja Melayu sekiranya mereka tinggal di Negeri-negeri Melayu dan pada baginda King, jika mereka tinggal di Negeri Selat. Sultan Perak juga mahu setiap permohonan yang berdasarkan naturalisasi hendaklah diteliti. Sultan Perak juga melahirkan rasa bimbangnya kerana di Perak hanya terdapat 335,000 orang Melayu tetapi terdapat 450,000 orang Cina dan 200,000 orang India. Sultan Perak mengatakan,“Unless there is adequate safeguard the grant of equal citizenship will eventually resut in the extinction of Malay race, because they will be submerged by the aliens.”
Sultan Perak juga bertitah, orang India dan Cina yang mendapat hak kerakyatan di dalam Malayan Union ini adalah merupakan satu harta yang tak ternilai. Ini kerana mereka akan mendapat apa-apa keistimewaan tempatan tetapi tidak perlu mengubah hatinya terhadap kesetiaan pada negara asal mereka. Sultan Perak melahirkan rasa tidak puas hatinya tentang hal ini dan berharap agar pihak British menimbangkan hal ini sedalam-dalamnya sebelum ianya diteruskan. Di samping itu, Sultan Perak juga mahu kedatangan penghijrah disekat sehinggalah orang Melayu mencapai 75% dari jumlah penduduk Melayu.
2. Sultan Kelantan
Sultan Kelantan pula mengkritik usul dari perenggan lima dalam Kertas Putih Command 6724 iaitu jika sekiranya Singapura tidak termasuk di dalam Malayan Union, mengapa penduduk di pulau itu layak menjadi warganegara Malayan Union.
Justeru itu baginda mahu, orang Singapura yang mendapat hak kerakyatan Malayan Union itu tidak dibenarkan berkhidmat di dalam Jabatan Perkhidmatan Awam di negara Malayan Union dan tidak dibenarkan menduduki Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri. Baginda juga mempertikaikan mengapa mereka yang mendapat kerakyatan dari segi kelahiran tidak perlu mengangkat sumpah kesetiaan kepada Malayan Union?
Selain daripada itu baginda mencadangkan kelayakan untuk mendapat kerakyatan di dalam Malayan Union hendaklah berdasarkan tempat lahir dan tempat tinggal, mempunyai milik persendirian, mengetahui bahasa Melayu sekurang-kurangnya darjah lima sekolah Melayu dan mesti menumpahkan kesetiaan kepada Raja Melayu.
Pegawai-pegawai British
Sentimen penentangan bukan saja dikongsi oleh orang Melayu tetapi juga dikongsi bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Antara yang menyuarakan sokongan kepada penentangan Malayan Union ialah bekas Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Frank Swettenham, dua bekas Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Frederick Weld dan Sir Cecil Clementi Smith serta orientalis British R.O Winstedt. Mereka menyuarakan pandangan berkenaan Malayan Union dalam akhbar The Times di London.
Pertubuhan Melayu
Sementara itu, pertubuhan Melayu turut ditubuhkan atau diaktifkan semula sebagai tindak balas terhadap Malayan Union. Antara persatuan Melayu yang wujud ketika itu ialah Persatuan Melayu Terengganu dan Persatuan Kebangsaan Melayu Selangor. Dari situ, organisasi-organisasi ini menggerakkan tenaga dalam rapat-rapat umum bagi membantah tingkah laku Harold MacMichael dalam mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu dan bantahan terhadap Malayan Union.
Penentangan orang Melayu terhadap MU jelas dapat dilihat apabila pada 14 Disember 1945 kira-kira 30,000 orang Melayu Kelantan berhimpun penuh sesak di Padang Besar Kota Bharu dan mengadakan perarakan bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap MU.
Mereka membawa sepanduk-sepanduk kain yang bercogankata “Semenanjung Tanah Melayu Hak Orang Melayu”, “Peliharalah Hak Kami’, “Kami Tidak Rela Bangsa-bangsa Lain Diberi Hak dan kemudahan-kemudahan kepunyaan orang-orang Melayu”, “Kembalikan hak kami”, Jahanamkan Malayan Union” dan “Kerajaan British pecah amanah”. Seorang wakil pemuda Melayu Kelantan telah berucap, “Kami pohonkan keadilan Kerajaan British terhadap kaum Melayu dan hendaklah Kerajaan British sentiasa menjaga hak dan maslahat bangsa Melayu. Peliharalah hak-hak kami.” (akhbar Majlis, 20 Disember 1945)
Dan ini turut menyedarkan orang Melayu bahawasanya perjuangan perlu dicapai menerusi perpaduan. Ini membawa kepada satu kongres yang menghimpunkan 41 persatuan Melayu dari seluruh negara diadakan di Kelab Sultan Sulaiman (kini Dataran Merdeka) dari 1 hingga 4 Mac 1946. Antara pemimpin Melayu terkemuka yang hadir ketika itu ialah Dato Onn Jaafar, Pendeta Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) dan Dato Panglima Bukit Gantang. Kongres Melayu pertama itu dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
Dalam ucapan baginda, baginda menyokong penuh penubuhan sebuah persatuan umat Melayu yang kuat di Tanah Melayu bagi menjamin kepentingan, hak orang Melayu dan negara terus terpelihara. Kongres yang bersidang selama tiga hari turut membuat empat ketetapan, penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR/UMNO), bantahan penubuhan Malayan Union dan mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.
Hasil daripada ketetapan tersebut, UMNO/PEKEMBAR secara rasmi diisytiharkan penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor. Di bawah kepimpinan Dato Onn, parti memilih slogan ‘Hidup Melayu’. Bagaimanapun, kongres Melayu tidak terhenti di situ saja. Pada Kongres Melayu Kedua yang dianjurkan pada 30 dan 31 Mac 1946, kongres menyatakan bantahan penubuhan Malayan Union.
Kongres juga membuat tiga ketetapan: meminta Raja-Raja Melayu memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor, meminta orang Melayu yang dilantik menganggotai majlis pentadbiran Malayan Union memulaukan majlis perlantikan dan menuntut orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan memakai lilitan putih pada songkok.
Pada 1 April 1946, Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor Malayan Union yang pertama. Dan seperti dijangka, Raja-Raja Melayu memulaukan majlis perlantikan Gent berikutan tindakan orang-orang Melayu yang berhimpun di luar hotel tempat mereka menginap dan berkabung dengan melilit kain putih pada songkok mereka.
Ini ditambah kehadiran Dato Onn sebagai wakil orang Melayu yang berunding dengan Raja-Raja Melayu untuk memulaukan majlis berkenaan. Pemulauan tersebut merupakan satu pukulan yang amat dahsyat terhadap rancangan British. Akhirnya, Malayan Union hanya bertahan selama 22 bulan sebelum dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan digantikan oleh Persekutuan Tanah Melayu. Dari situ, ia menjadi batu asas kepada kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957.
SUMBER
- Muhd Rus, Ahmad Kamal Ariffin. (2017). Universiti Malaya. Malayan Union dan Persekutuan 1948. http://eprints.um.edu.my/17835/1/DR_AHMAD_KAMAL.pdf
- Haniffa, Mohamed Ali dan Rambely, Nor Azlah Sham. (2017). Universiti Utara Malaysia. PEMBENTUKAN KERAKYATAN MALAYAN UNION 1946: REAKSI, ISU DAN TUNTUTAN BANGSA MELAYU. http://conference.kuis.edu.my/pasak2017/images/prosiding/sejarah/08-DR.-NOR-AZLAH.pdf
- Arkib Negara Malaysia. Malayan Union – Teladan buat generasi kini, akan datang. http://www.arkib.gov.my/web/guest/malayan-union-teladan-buat-generasi-kini-akan-datang%3Fp_p_id%3D56_INSTANCE_Oj0d%26p_p_lifecycle%3D0%26p_p_state%3Dnormal%26p_p_mode%3Dview%26p_p_col_id%3Dcolumn-inner-3%26p_p_col_count%3D1%26page%3D2
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih