Sedap layan sebentar lagu-lagu lama Datuk Jamal Abdillah yang malar segar dan terus menarik perhatian para pendengarnya. Antara lagu-lagu kegemaran saya ialah Azura, Ghazal Untuk Rabiah dan Kekasih Awal dan Akhir. Sebut pasal Kekasih Awal dan Akhir hasil nukilan komposer Fauzi Marzuki dan penulis lirik S. Amin Shahab, tersirat kisah seorang pencinta setia yang menanti kehadiran kekasihnya. Kekasih yang saya maksudkan bukan orang lain tetapi nabi kita Muhammad bin Abdullah s.a.w.

Jadi kenapa saya maksudkan kekasih yang digambarkan Tuan S. Amin dalam liriknya merujuk kepada baginda? Amati bait pertama lagu ini:

Malam menanti siang
Siang menanti malam
Bagai berkurun lamanya
Masa memisahkan kita
Hingga ku terlupa
Pada paras lupa

Jika kita lihat secara mendalam, ia berkisar tentang penantian sepasang kekasih yang terpisah dalam jangka masa yang lama hingga orang yang menanti lupa rupa paras orang yang mencintainya itu. Ini sebenarnya analogi dalamnya kasih dan cinta Rasulullah s.a.w terhadap umat baginda. Walaupun baginda wafat 1,400 tahun lalu, cinta baginda terhadap umatnya terlalu menebal bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Kita tidak perlu lihat jauh. Bukan sedikit hadis-hadis yang diriwayatkan para sahabat di mana mutiara kata baginda bukan saja berisi nasihat, amaran dan panduan tetapi petanda cintanya terhadap orang-orang beriman. Buktinya, amati hadis riwayat Imam Muslim ini. Dalam hadis berkenaan, Nabi s.a.w bersabda, “Perumpamaan aku dan kamu adalah seperti seorang lelaki yang berada dekat dengan unggun api, Maka banyaklah kelkatu yang ingin jatuh dan menerpa ke arah api tersebut. Lalu lelaki tadi menghalang kelkatu itu dari jatuh ke dalam api. Begitulah aku sedangkan kalian memarahi aku.”

Sementara pada hari akhirat pula, salah satu kelebihan yang dimiliki baginda ialah syafaat kepada umatnya. Tidak seperti para anbiya lain yang menyimpan syafaat untuk diri mereka, berbeza pula dengan Nabi kita. Ini berdasarkan satu lagi hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. Dalam hadis tersebut, Nabi s.a.w menceritakan pada hari akhirat kelak, manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan pada satu dataran dari umat Nabi Adam a.s hinggalah umat baginda. Saat itu, manusia merasa takut dan kebingungan lalu mereka berbincang sesama mereka tentang siapa yang boleh membela nasib mereka. Tatkala itulah, mereka bertemu dengan beberapa rasul dari Nabi Adam a.s hinggalah Nabi Isa a.s dan mengajukan permohonan mereka itu. Tetapi mereka terpaksa menolak permohonan manusia hari itu kerana terlalu malu dengan perilaku mereka yang menimbulkan kemurkaan-Nya. Ini mendorong mereka beralih kepada Nabi s.a.w dan mengajukan kesusahan yang dihadapi mereka hari itu.

Lalu baginda pergi ke bawah Arasy dan sujud kepada-Nya. Tatkala itulah, Allah membuka hijab-Nya dan memberi ilham kepada baginda mengucapkan puji-pujian memuji kebesaran-Nya yang tidak pernah diajarkan kepada orang lain kecuali baginda. Lalu Dia berfirman, “Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu, mintalah, nescaya permintaanmu dikabulkan. Berikanlah syafaat, nescaya syafaatmu diterima.” Nabi kemudian berkata, “Wahai Tuhanku! Umatku! Umatku!” Lalu Allah s.w.t mengabulkan permintaan baginda dan umat Nabi Muhammad s.a.w dapat masuk syurga tanpa perlu dihisab dari pintu syurga di sebelah kanan manakala selebihnya masuk dari pintu-pintu lain. Bila ditanya jarak antara dua pintu syurga tersebut, jaraknya sama seperti jarak perjalanan antara Makkah dengan Hajar (sebuah bandar di Bahrain) atau antara Makkah dengan Busra.”

Dan jika ada yang merasakan itu tidak mencukupi, lihat pula baki bait lagu ini:

Sekian lama terpisah
Akhirnya bertemu
Mengenang dosa
Mengenang rindu
Dan ternyatalah
Cintaku yang satu

Kau kekasih awal dan akhir
Kau kekasih batin dan zahir
Setelah ku sedari
Cintamu yang abadi

Takku hairan takku peduli
Walau bulan jatuh ke bumi
Dan hadir bidadari
Tak ku mimpikan lagi

Jika anda perasaan bait kekasih awal dan akhir, kekasih batin dan zahir, ia sebenarnya merujuk kepada ayat 31 Surah Ali Imran. Dalam ayat berkenaan Allah berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ia sebenarnya merujuk mencintai Nabi merupakan salah satu bentuk medium meraih keampunan dan keredhaan-Nya. Atas sebab itulah, para sahabat dan salafus soleh berlumba-lumba beramal di jalan-Nya bukan saja atas dasar cinta kepada Nabi s.a.w tetapi atas dasar mendapatkan keampunan dan rahmat-Nya yang tidak terhingga. Inilah sebab mengapa mereka digelar sebaik-baik umat bukan saja oleh Nabi s.a.w tetapi Allah sendiri dalam Al-Quran. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 100, Surah At-Taubah, “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Tidak salah untuk kita mengasihani orang-orang yang kita sayangi seperti ibu bapa, ahli keluarga dan isteri tetapi pastikan cinta kita tidak melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini berdasarkan satu hadis di mana baginda bersabda, “Seorang hamba tidaklah beriman sampai aku lebih dicintainya daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia.” Dalam satu hadis lain yang menyaksikan kehadiran Umar al-Khattab r.a, beliau berkata, “Wahai Nabi! Engkau lebih aku cintai dari segalanya, kecuali cintaku pada diriku sendiri.” Tetapi Nabi menolak deklarasi cinta sahabatnya berdarah Bani Adi itu dengan bersabda, “Tidak wahai Umar! Sampai aku lebih engkau cintai daripada dirmu sendiri.” Lalu Umar r.a menambah, “Demi Allah! Sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda menjawab, “Sekarang engkau baru mencintaiku.”

Berusahalah mencintai Nabi s.a.w dengan memartabatkan segala sunnah baginda dan berusaha menjulang panji agama ke tahap lebih tinggi. Kerana siapa tahu, kita dapat bersama di tempat sama di syurga bersama lelaki yang selayaknya digelar kekasih awal dan akhir: Muhammad al-Amin s.a.w.

SUMBER

Mohamad, Zahazan. (2012). Telaga Biru Sdn Bhd. Himpunan Kisah Benar tapi Pelik, Mendidik Ummah di Taman Kisah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.