RUKUN 13 begitulah satu nama kumpulan yang tercatit namanya di dalam sejarah Sarawak yang sehingga sekarang diangkat dan dijulang kerana berani menentang pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British yang memerintah Sarawak dari tahun 1946 hingga 1963. 

Tanggal 3 Disember 1949 menjadi sejarah hitam bagi Koloni Mahkota Sarawak British apabila seorang gabenor yang baru dilantik yakni Sir Duncan Stewart telah diserang dengan tujahan pisau kelasi oleh seorang anak muda bernama Rosli Dhobi ketika sedang membuat lawatan kerja di Sibu, Sarawak. Dalam pada itu sejarah yang ditulis mengatakan pisau itu adalah badek tetapi telah disahihkan BUKAN seperti pembongkaran yang dilakukan oleh Sarawak Voice pada tahun 2016.(sila lihat rujukan).  

Terkesima dengan satu serangan maut di Bahagian Sibu, Sarawak membuatkan pemerintah Koloni Mahkota Sarawak British naik gila lantas mengadakan pemburuan besar-besaran terhadap rakan-rakan Rosli Dhobi di dalam Rukun 13 dan tidak terkecuali beberapa orang pemimpin Pergerakan Pemuda Melayu kerana Rukun 13 adalah cabang rahsia PPM itu sendiri. 

Namun disebalik kesengsaraan disoalsiasat oleh anggota polis, rahsia dalang sebenar perancangan yang teliti misi membunuh Gabenor British tidak pernah keluar daripada mulut ahli-ahli Rukun 13 seperti kata pepatah lama biar pecah di perut jangan pecah di mulut.  Begitulah teguhnya kesetiaan dan keazamanan mereka ditambahlagi dikatakan sebelum bersetuju untuk melakukan misi dikatakan ahli-ahli telah baiah dan meminum air surah yasin sebagai sumpah taat setia kepada Rukun 13. 

Berbicara mengenai Rukun 13, ramai masyarakat di luar sana beranggapan bahawasanya nama Rukun 13 itu melambangkan 13 orang ahli-ahlinya iaitu:

  1. Rosli Dhobi
  2. Awang Rambli
  3. Abang Ahmad
  4. Osman Dollah
  5. Morni bin Junit
  6. Jack bin Yusof
  7. Awang Osman
  8. Abang Han bin Abang Ahmad
  9. Wan Zin
  10. Che Alias bin Osman
  11. Tambek bin Adun
  12. Amin bin Jenal
  13. Abang Mat Sirat

Dan tidak kurang juga yang beranggapan bahawa nombor kad pengenalan Sarawak yang tertera nombor 13 sekarang juga simbolik kepada perjuangan Rukun 13 yang terkenal itu.  Namun hakikatnya kedua-dua tanggapan itu adalah salah sama sekali malah terlalu jauh menyimpang daripada maknanya yang sebenar. 

Hakikatnya setiap perjuangan daripada anak-anak Melayu Sarawak pada masa itu masih lagi bertiangkan agama Islam sepertimana bagaimana Perjuangan 338 iaitu dinamakan atas jumlah tentera Islam sewaktu Perang Badar suatu waktu dahulu. 

Perjuangan 338 adalah perjuangan segelintir anak Melayu Sarawak yang bertugas sebagai penjawat awam Koloni Mahkota Sarawak British pada tahun 1947 yang meletak jawatan beramai-ramai kerana menentang Pekeliling 9 (Circular 9) yang dikeluarkan oleh Sir Abell pada waktu itu. Satu pekeliling kerajaan yang tidak membenar dan melarang mana-mana penjawat awam mengikuti gerakan-gerakan pro-kemerdekaan Sarawak. 

Maka begitulah juga Rukun 13 mendapat nama kerana setiap langkah perjuangan harus berpaksikan agama Islam itu sendiri.  Dan penggunaan nama Rukun 13 itu membawa maksud 13 rukun solat yang menjadi intipati di dalam mengerjakan solat atau sembahyang yang tercatit sebagai yang kedua di dalam Rukun Islam. 

Rukun sembahyang 13 perkara ini adalah yang wajib dilakukan di dalam melakukan sembahyang iaitu:

  1.  BERDIRI BETUL, jika tidak mampu boleh dengan duduk jika tidak mampu juga boleh sembahyang dalam keadaan berbaring.
  2. NIAT, dilafazkan sewaktu mengangkat takbiratul ihram.
  3. TAKBIRATUL IHRAM, mengucapkan perkataan Allahu Akbar.
  4. MEMBACA SURAH AL-FATIHAH, bermula dengan bacaan Bismillah… hinggalah Waladhaallin.
  5. RUKUK DENGAN THUMAKNINAH, membongkok 90 darjah.
  6. IKTIDAL DENGAN THUMAKNKNAH, berdiri betul selapas rukuk.
  7. SUJUD DUA KALI DENGAN THUMAKNINAH, membongkok sehingga dahi berada diparas lantai.
  8. DUDUK ANTARA DUA SUJUD DENGAN THUMAKNINAH, duduk sebentar selepas sujud yang pertama.
  9. DUDUK BAGI TAHAIYAT AKHIR.
  10. MEMBACA TAHAIYAT AKHIR.
  11. MEMBACA SELAWAT, membaca selawat keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
  12. MEMBERI SALAM, memalingkan muka kearah kanan dan memberi salam dan diikuti pula sebelah kiri juga dengan salam.
  13. TERTIB, mengikut aturan, turutan atau urutan seperti yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Perkara lain yang dilakukan dalam sembahyang dari rukun ini dinamakan sunat.

Falsafah di sebalik penggunaan nama Rukun 13 yang digunapakai oleh Rosli Dhobi dan rakan-rakannya cukup jelas menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah sesuatu perjuangan yang wajib dilakukan demi kesejahteraan tanahair, agama dan bangsa rakyat Sarawak daripada dibelenggu oleh kuasa-kuasa asing seperti Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British pada waktu itu. Rukun 13 mahukan Sarawak dimerdekakan dan ditadbir oleh anak watan Sarawak sendiri dan bukannya diberikan sewenang-wenangnya oleh legasi keluarga Brooke kepada Koloni British.  

Perjuangan Rukun 13 adalah satu perjuangan yang syumul. Al-fatihah.

RUJUKAN:

  1. Pergerakan Pemuda Melayu Sibu Dan Pembunuhan Gabenor Sarawak Duncan Steward 1849 oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali, Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Kuala Lumpur (PDF). http://eprints.um.edu.my/15929/1/0001.pdf
  2. Sarawak Voice, 2 Mac 2016 oleh Rudi Affendi Khalik – Rakan Dedah Senjata Sebenar Rosli Dhobi Bunuh Duncan Stewart. https://sarawakvoice.com/2016/03/02/rakan-dedah-senjata-rosli-dhobi-bunuh-duncan-stewart/
  3. Rosli Dhoby: Peristiwa Pembunuhan Sir Duncan Stewart. https://www.arcgis.com/apps/MapSeries/index.html?appid=e29bee907abe4640bd77328fe9ca08fa
  4. The stabbed governor of Sarawak. https://www.bbc.com/news/magazine-17299633

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.