Naqsh-e Rustam merupakan salah satu tapak purba dari Empayar Achaemenid yang paling mengujakan, terdiri daripada makam-makam besar para raja Parsi yang menjangkau usia masa dari milenium pertama Sebelum Masehi. Naqsh-e Rustam berdiri kukuh sebagai tanda kenang-kenangan dari sebuah empayar yang pernah berkuasa dan memerintah wilayah yang luas pada zaman dahulu.
Naqsh-e Rustam (bermaksud ‘Takhta Rustam’) terletak kira-kira 5 km (3 batu) arah barat daya dari Persepolis, ibu kota Empayar Achaemenid di Iran moden. Tapak yang berbentuk banjaran gunung suci dari zaman Elamite yang mengandungi ukiran-ukiran ini merupakan permakaman batu bagi para pemerintah dan kerabat diraja Achaemenid, berusia dari abad ke-4 dan abad ke-5SM.
Tapak ini juga mengandungi relif-relif kepercayaan dari masyarakat Sassanid yang hidup pada abad ke-3M. Selain berfungsi sebagai permakaman (necropolis) diraja, Naqsh-e Rustam juga merupakan pusat upacara utama bagi masyarakat Sassanid sehingga abad ke-7M.
Tapak ini telah pun menjalankan kefungsiannya sejak sebelum tibanya Achaemenid, sebagaimana yang dibuktikan menerusi sebuah relif pra-Achaemenid (mungkin zaman Elamite) dan sejumlah kubur lama di tapak berkenaan.
Walaupun relif ini telah pun ditindih dengan ukiran relif dari zaman Sassanid, masih terdapat ukiran seorang lelaki yang memakai topi berbucu ke haapan dan jubah panjang (gaya pakaian yang tidak lazim bagi kaum Achaemenid dan Sassanid) pada bahagian kanan relif berkenaan.Menurut beberapa buah sumber, figura inilah yang dikaitkan oleh penduduk tempatan dengan seorang wira mitos yang muncul dalam tulisan-tulisan Shahnameh di dalam ‘buku para raja’, iaitu Rustam sekaligus tapak tersebut dinamakan bersempena wira itu.
Walau bagaimanapun, kebanyakan relif di tapak ini berusia dari zaman permulaan Sassanid. Pada abad ke-3M, Sassanid yang ketika itu merupakan kuasa bahawan bagi Empayar Parthian berjaya menggulingkan kuasa tuannya itu, sekaligus menjadi kuasa baru di Timur.
Untuk meraih keabsahan pada status pemerintahannya, kaum Sassanid cuba mengaitkan diri mereka dengan Empayar Achaemenid dan menganggap diri sebagai pewaris langsung empayar berkenaan. Salah satu perkara yang mereka lakukan bagi mencapai tujuan ini adalah dengan mengukir relif pada Naqsh-e Rustam.
Walaupun tapak ini sendiri belum meraih status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, ukiran-ukiran relif Sassanid menerima perlindungan sebagai sebahagian daripada “Sassanid Archaeological Landscape of Fars Region”, diiktirah oleh UNESCO kerana ia menggambarkan perkembangan politik, sejarah, kebudayaan dan kesenian Empayar Sassanid. Tapak ini terdiri dari lapan buah tapak arkeologi di tiga bahagian geografi berbeza, iaitu Firuzabad, Bishapur dan Sarvestan.
Dua nama tempatan lain bagi Naqsh-e Rustam adalah Salib, perkataan Arab yang bermaksud ‘palang’, dan Palang-Palang Parsi. Hal ini kerana bentuk ukiran pada makam-makam ini mirip dengan bentuk palang. Makam-makam milik zaman Achaemenid inilah yang menarik perhatian Sassanid kepada tapak Naqsh-e Rustam.
Makam-makam ini terdiri daripada ruangan pengebumian yang diukir pada bukit berbatu, dan setiap satunya mengandungi sebuah sarcophagus. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada jasad raja-raja tersebut diletakkan secara langsung ke dalam sarcophagus itu, ataupun tulang-belulangnya dikebumikan di dalam itu setelah dibiarkan terdedah di ‘menara sepi’ itu. Tambahan lagi, dipercayai bahawa kesemua makam ini pernah dijarah berikutan serangan Alexander Agung pada abad ke-4SM.
Walaupun terdapat empat makam di tapak ini, hanya sebuah sahaja yang identitinya dapat dikenal pasti secara jelas memandangkan ia disertakan dengan inskripsi tribahasa. Makam yang dimaksudkan ini adalah milik Darius I, pemerintah ke-3 bagi Empayar Achaemenid. Di atas palang ukiran pada makam Darius I ini terdapat sebuah panel yang disertakan dengan ukiran relif.
Relif ini menggambarkan Darius, yang tangannya diangkat seolah-olah sedang memuja, sedang berdiri di atas tapak yang memiliki tiga anak tangga yang terletak di hadapan sebuah altar. Ketaatan si raja ini selari dengan perlindungan dewata yang diraihnya, memandangkan terdapat cakera bersayap Ahuramazda (dewa kepercayaan Zoroastrian) digambarkan terapung di atas kepalanya. Relif ini juga menggambarkan kekuatan yang dimiliki oleh Empayar Achaemenid, memandangkan seluruh latar ini disokong oleh pemikul-pemikul takhta yang mewakili 28 buah negara yang berada di bawah kuasa empayar berkenaan.
Tiga makam lain yang terletak di Naqsh-e Rustam diandaikan sebagai milik para pengganti Darius, iaitu Xerxes I, Artaxerxes I dan Darius II. Hal ini didasarkan daripada reka letak makam-makam tersebut yang mirip dengan makam Darius.Tanpa sebarang inskripsi atau bukti tambahan, identiti pemilik-pemilik makam tersebut mungkin akan terus kekal sebagai satu bahan perdebatan.
Makam-makam diraja lain yang memiliki bentuk yang sama seperti makam di Naqsh-e Rustam boleh ditemui di Persepolis. Makam-makam tersebut yang dipotong menjadi batu-batuan berukiran wajah di Kuh-I Rahmat, diperkirakan milik pemerintah-pemerintah terkemudian dari Achaemenid, dan ia jelas menggambarkan pengaruh daripada makam-makam di Naqsh-e Rustam.
Setelah tumbangnya Empayar Achaemenid, tiada makam baru yang dibina di Naqsh-e Rustam. Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, kaum Sassanian cuba mengaitkan diri mereka dengan Achaemenid dengan mengukir relif pada dinding batu Naqsh-e Rustam.
Subjek bagi relif-relif berkenaan adalah pelbagai dan ia diukir pada abad ke-3 dan abad ke-4M oleh ramai pemerintah Sassanid. Salah satu relif yang paling masyhur adalah ukiran yang menggambarkan kemenangan Shapur I ke atas beberapa orang maharaja Rom, seperti Gordian II, Valerian dan Philip si Arab. Ukiran ini turut melibatkan istiadat pengurniaan pangkat bagi Ardashir I dan relif Hormizd II yang menunggang kuda.
Pada masa ini, masih berlangsung perancangan untuk memasukkan seluruh tapak Naqsh-e Rustam ini ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO sekaligus meletakkannya sebaris dengan Persepolis yang sudah pun meraih status tersebut. Sebahagian daripada rancangan ini melibatkan kelangsungan beberapa buah projek pembaikpulihan, termasuklah ujian imbasan laser bagi membantu melancarkan projek berkenaan.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI
Wu Mingren. (13 Julai 2018). Naqsh-e Rustam: Ancient Tombs of Powerful Persian Kings. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/naqsh-e-rustam-ancient-tombs-powerful-persian-kings-003231
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih