Kalau dalam Tamadun Mesir Purba, Piramid Giza terkenal sebagai makam Firaun Khufu dan Tamadun China, Piramid Maharaja Qin Shihuang terkenal sebagai makam paling misteri yang dikelilingi oleh beribu tugu batu Terakota, di Jepun pula terkenal dengan makam-makam gergasi berbukit yang dikenali sebagai Zenpō-kōen-fun (前方後円墳) atau Kofun (古墳). Kofun bermaksud ‘makam lama’.
Makam Qin Shi Huang: https://thepatriots.asia/makam-gergasi-maharaja-pertama-china
Makam Piramid Giza: https://thepatriots.asia/piramid-piramid-di-mesir-purba/
Sejarah awal kemunculan atau pembinaan makam berbukit Kofun yang berbentuk lubang kunci (keyhole) ini dapat dikesan dari penghujung abad ke-3 M sehingga ke abad ke-7 M. Dan dari penghujung abad ke-3 M sehingga ke penghujung abad ke-4 M, kebanyakan makam Kofun dibina dikawasan berbukit.
Bermula dari abad ke-5 M, perlahan-lahan makam Kofun mula dibina di kawasan permukaan tanah datar. Sekitar tahun 300-538 M, period ini dikenali sebagai Period Kofun yang mana pada rentang waktu ini, banyak makam Kofun yang dibina.
Dan sehingga ke hari ini, dianggarkan terdapat sebanyak 161,560 buah makam di seluruh Jepun (899 buah darinya milik kerabat diraja), ada yang ditemui lalu dijaga dan ada yang masih terkubur bersama alam semulajadi.
Fungsi makam tentulah sebuah tapak perkuburan, tetapi makam Kofun dibina khusus untuk menempatkan jasad para kerabat diraja, bangsawan, individu berpengaruh dan para pahlawan.
Di dalam makam-makam Kofun ditemui pelbagai khazanah bernilai seperti senjata-senjata yang diperbuat daripada bahan gangsa (pedang, anak panah, lembing), batu perhiasan Magamata, kasut emas, hiasan permata dan banyak lagi.
Selain jasad si mati dimakamkan dengan pelbagai harta kemewahan, ada makam yang didampingi patung seramik ‘penjaga makam’ iaitu Haniwa. Patung Haniwa ini menyerupai seperti patung Terakota yang mendampingi Maharaja Qin Shi Huang di China.
Tetapi, tinggi patung-patung Haniwa sekitar 1-1.5 meter sahaja, lebih kecil dan seakan patung permainan. Khazanah dan harta karun Kofun sekarang dipamerkan di Muzium Negara Jepun dan di Muzium Nara.
Bukan semua makam Kofun yang dibuka, ada makam-makam yang masih ditutup rapat sehingga ke hari ini lalu mengundang pelbagai misteri dan teka-teki bagi para pengkaji sejarah.
Kofun ada berapa jenis bentuk? Kofun ada empat jenis bentuk mengikut Prof. Tsude Hirsohi, iaitu:
1. Enpun (makam bulat).
2. Hōfun (makam petak).
3. Zenpō-kōen-fun (makam bulat lubang kunci).
4. Zenpō-kōhō-fun (makam petak lubang kunci).
Pada mulanya, bentuk makam mereka hanyalah bulat sahaja sebelum ditambah bentuk trapezoidal yang mana seterusnya menyerupai lubang anak kunci. Pelbagai teori yang dibentangkan mengapa makam Kofun dibina dengan bentuk seperti ini? Mengikut Kusashi, penyelaras Muzium Sakai, Jepun, bentuk ini melambangkan kekuatan dan penguasaan.
Teori sistem makam atau sistem Zenpō-kōen-fun. Teori perubahan pembinaan Kofun ini dikeluarkan oleh Profesor Tsude Hirsohi yang menyatakan apabila saiz Kofun itu semakin besar, maka semakin besarlah pengaruhnya.
Makam Kofun yang pertama kali dipercayai dibina berada di daerah Makimuku, Nara pada abad ke-3 M. Bermula dari wilayah Nara, bentuk makam Kofun merebak ke wilayah Yamato dan Kawachi dan merebak ke seluruh Jepun.
Mengikut sumber China kuno, pada zaman ini, tanah Jepun diperintah oleh 30 buah kerajaan yang mana setiap kerajaan dipimpin oleh seorang Pimiko atau Puteri. Mengikut teori yang dipegang oleh majoriti sejarawan, pada zaman ini, klan Yamato berjaya menyatukan Jepun lalu mereka bertanggungjawab mengembangkan dan meneruskan pengebumian secara Kofun.
Kofun yang paling besar terletak di tapak kota kuno Sakai, Osaka. Kofun ini dikenali sebagai Kofun Maharaja Nintoku yang dibina pada abad ke-5 M. Kofun Nintoku mencapai ketinggian 35.8 meter, panjang sekitar 486 meter (dua kali ganda besar daripada saiz tapak Piramid Giza) dan selebar 307 meter. Ia mengambil masa selama 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Mengambil masa selama 1 jam untuk berjalan mengelilingi makam Nintoku. Seperti yang dijelaskan mengikut teori sistem makam di atas, di dalam buku sejarah awal Jepun (Nihon Shoki), Maharaja Nintoki adalah seorang pemimpin berhati rakyat.
Baginda tidak mengutip cukai ketika negerinya dilanda kemarau dan memberikan tumpangan kepada rakyat ketika hari hujan yang mana bumbung rumah mereka yang bocor. Atas segala kebaikan dan pengaruh kekuasannya yang meluas, makamnya dibina sangat besar dan luas sebagai tanda menghargai jasa baginda ketika pemerintahannya.
Kofun yang paling kecil terletak di daerah Kibi yang mana tingginya 27 meter dan panjangnya 335 meter sahaja.
Makam Kofun atau pengebumian Kofun berakhir sekitar abad ke-7 M iaitu selari dengan kemasukan agama Buddha ke Jepun. Kemungkinan faktor agama Buddha, pengebumian Kofun digantikan dengan ritual pembakaran mayat.
Sekarang, kesemua Kofun menjadi salah satu tapak warisan sejarah dan tapak suci bagi kepercayaan masyarakat Jepun. Tengok gambar-gambar Kofun, ia bukan sahaja menjadi lambang jati diri sejarah Jepun, tetapi menunjukkan sejarah juga mampu memelihara alam sekitar daripada dihancurkan oleh tangan-tangan manusia yang serakah.
RUJUKAN:
1. Nonaka Kofun, Osaka University Department of Archeology.
2. Kofun, Ancient History oleh Mark Cartwright.
3. Japanese Mythology A to Z oleh Jeremy Roberts.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih