Jepun merupakan sebuah negara yang unik, negara yang sangat moden dan pada masa yang sama, sangat tradisional. Di tengah-tengah pusat bandar Tokyo, terdapat sebuah makam suci yang dibangunkan khusus untuk salah seorang Maharaja Jepun yang paling penting, bersama permaisurinya. Makam Suci Shinto ini adalah salah sebuah makam termasyhur di Jepun dan merupakan mercu Zen yang terletak di jantung metropolis Tokyo yang sentiasa sesak dengan manusia.

SEJARAH MAKAM SUCI MEIJI

Maharaja Meiji (1852-1912) merupakan figura penggerak dalam sejarah Jepun moden. Pemerintahan beliau menyaksikan berlakunya modernisasi negara dan peperangannya dengan Cina dan Russia.

Selepas kemangkatan Maharaja pada tahun 1912, anggota Diet Jepun mengeluarkan satu undang-undang yang memerintahkan pembinaan Makam Suci Shinto bagi mengenang maharaja itu. Maharaja dan permaisurinya, Permaisuri Shoken sering mengunjungi sebuah kebun kecil di Tokyo semasa hayatnya.

Lantaran itu, tempat tersebut dipilih sebagai tapak bagi makam yang dirancang untuk dibina itu. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1915 dan ia pembinaannya dilakukan oleh para sukarelawan daripada pertubuhan pemuda dan pertubuhan masyarakat. Binaan ini dibuka pada tahun 1920, namun kerja-kerja di lapangan masih terus berlanjutan sehingga tahun 1927.

Lukisan yang menggambarkan Maharaja Meiji dan keluarganya


Keadaan ini mengisyaratkan betapa tingginya penghormatan mereka terhadap Maharaja Meiji dan permaisuri. Sejak dibuka pada tahun 1958, makam ini sering menerima kunjungan kehormat dari luar negara, termasuklah oleh presiden-presiden Amerika. Semasa berlangsungnya hari-hari cuti Tahun Baru, ramai masyarakat Jepun datang mengunjungi makam ini sebagai sebahagian daripada adat Hatsumode.

Walau bagaimanapun, jasad Maharaja dan permaisuri tidaklah disemadikan di sini, sebaliknya di Kyoto.Pembinaan makam suci ini disokong oleh pihak kerajaan dan ia digunakan oleh militaris Jepun sebagai bahan propaganda semasa berlangsungnya Perang Dunia ke-2. Semasa konflik ini berlaku, kompleks makam asal dimusnahkan oleh serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika. Sesudah tamat peperangan, masyarakat Jepun memberikan sumbangan dana untuk membina semula makam tersebut.

PEMANDANGAN DI MAKAM MEIJI

Makam Suci Meiji terletak di sebuah hutan yang berkeluasan sekitar 150 ekar. Di sana terdapat banyak laluan pejalan kaki di samping terdapat juga sejumlah kebun. Laluan masuk ke makam tersebut adalah melalui gerbang Tori, yang dibina dengan gaya Shinto klasik. Gerbang ini berfungsi untuk menandakan sempadan antara kawasan keramat dan kawasan biasa, dan ia dicat dengan warna merah dan hitam. Makam ini diperbuat daripada bahan-bahan tradisional, seperti tembaga dan kayu sipres. Aksesnya juga perlu melalui tangga-tangga yang disediakan, dibina dalam gaya binaan Jepun yang dikenali sebagai nagare-zukuri. Makam dan bangunan-bangunan lain dibina dengan gaya asimetri, dan ia memiliki bumbung tebar layar yang cukup menonjol, mengatapi bangunan sehingga ke bahagian depan dan membentuk anjung.

Para pelancong meneroka Makam Suci Meiji di Tokyo


Kompleks makam ini turut mengandungi sebuah muzium yang mengandungi banyak artifak berkaitan Maharaja Meiji dan relik dari zaman pemerintahannya. Muzium ini dibina dalam gaya yang dikenali sebagai
 Azekurazukuri dan binaan kayunya itu bersifat ringkas dan minimalis, dibumbungi atap tebar layar. Gaien pula adalah present bahagian luar dan kawasan ini meliputi sebuah ruang pameran yang dipenuhi dengan mural pasangan diraja itu. Terdapat juga sebuah ruangan awam yang bersaiz besar di sini, di samping berhampirannya terdapat sejumlah fasiliti sukan, termasuklah stadium Olimpik Tokyo.

Naien pula adalah presint bahagian dalam, tempat di mana makam Maharaja dan Permaisuri bertempat. Terdapat sebuah perkarangan besar di sini. Banyak barangan sembah korban seperti tong sake dapat dilihat perkarangan itu. Malahan, terdapat juga doa-doa yang ditulis di atas kertas/tablet kayu yang digantung pada sebuah dinding di bahagian dalam presint. Di sana bahkan terdapat meja untuk memudahkan para pengunjung menulis doa mereka untuk digantung.

Tablet-tablet kayu hajat/doa di Makam Suci Meiji, Tokyo


Makam ini boleh diakses dengan pengangkutan awam, dan terdapat perkhidmatan keretapi bawah tanah disediakan di kawasan berhampiran. Makam ini dibuka pada awal pagi dan ditutup menjelang malam. Kompleks tarikan pelancong ini sering dikunjungi ramai pelawat sehingga ia sentiasa sibuk. Terdapat banyak aktiviti yang dapat dilakukan di sana. Malahan, pelbagai pesta dan keraian sering disambut di perkarangan makam ini pada setiap tahun. Antara keraian yang paling penting adalah Keraian Bunga Musim Luruh dan Keraian Tahun Baru.

AKTIVITI SEMASA MENGUNJUNGI MAKAM MEIJI

Selalu juga dilangsungkan persembahan budaya tradisional Jepun, antaranya seperti persembahan memanah tradisional. Tiada bayaran masuk dikenakan untuk mengunjungi kompleks makam ini. Pengunjung dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti Shinto yang diadakan, namun mereka mestilah bertingkah sopan sepanjang berada di sana. Terdapat juga banyak penginapan yang disediakan berhampiran Makam Meiji ini, tetapi ada di antaranya yang agak mahal kosnya.

Wanita berpakaian tradisional Jepun dalam sebuah keraian yang diadakan di Makam Suci Meiji, Tokyo

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (7 Disember 2019). The Meiji Shrine: An Oasis of Zen in the Center of Bustling Tokyo. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/meiji-shrine-0012969


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.