Amalan turun temurun masyarakat Melayu ini, bukanlah perkara baharu. Ia sudah diwariskan zaman berzaman dari ulama’ silam. Majlis sebegini sememangnya bersandarkan sunnah Nabi. Imam Sayuthi menyatakan, majlis kenduri arwah telah ada sejak zaman Salafussoleh lagi. Malangnya, terdapat segelintir pihak yang jahil, telah menghalang masyarakat daripada terus beramal. Dengan keras membentak “Bidaah! Bidaah!”, ia nyata memecahbelahkan umat.
Daripada Ma’qal Bin Yaasar bahawasanya telah bersabda Rasulullah, “Hati Al-Quran ialah Surah Yaasin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya dan bacalah surah Yaasin kepada mereka yang hampir akan mati.” (HR Ahmad, Daud & An-Nasai)
Ulama’ mensyarahkan, bahawa bacaan Surah Yaasin bagi yang sedang mendekati ajal akan menjadi bekal kepadanya. Ia jua boleh dibaca kepadanya setelah meninggal dunia tak kira di rumah atau perkuburan.
Yaasin & tahlil dibacakan, agar pahalanya sampai kepada arwah. Sebaik jenazah dikebumikan, ia dibacakan pada hari ke-3, ke-7, ke-20 ke-40 atau ke-100 pemergiannya. Tempoh ini signifikan dengan perubahan yang terjadi kepada mayat di dalam kubur. Daripada malam pertama berjumpa Munkar & Nakir, kepada membusuknya lidah, perut dan kemaluan, kemudian mata, perut, limpa, sampai semuanya reput, hingga yang tinggal hanyalah rangka.
Imam Sayuthi berkata, “Sesungguhnya Imam Thawus (seorang tabiin) berkata: “Seorang yang mati akan beroleh ujian daripada Allah dalam kuburnya selama tujuh hari. Maka mereka menggalakkan agar mengadakan jamuan makan (sedekah) untuknya selama hari-hari tersebut.” Sahabat Ubaid Ibnu Umair berkata: “Seorang Mukmin akan beroleh ujian selama tujuh hari, sedangkan seorang munafiq selama 40 hari pada waktu pagi.”
Abu Hurairah pernah mendirikan solat dengan niat pahala dihadiahkan kepada orang lain.
Daripada ini, ulama’ memutuskan:
- Melakukan ibadat untuk dihadiahkan kepada orang lain, dibenarkan.
- Menyebut nama orang yang ingin dihadiahkan amalan, dibenarkan.
- Mendirikan ibadat di masjid dengan niat beroleh berkat & ingin menghadiahkan pahala, dibenarkan.
Tidak aneh. Memang pahala boleh dihadiahkan kepada orang lain. Kalau di Mekah, ramai yang melakukan Badal Haji buat orang lain, bagi yang sudah tiada atau tidak berupaya. Tiada yang mempersoalkan. Betapa luasnya rahmat Allah, pahala amalan bisa dihadiahkan. Sampaikan harta yang paling bernilai bagi seorang ayah, ialah anak yang soleh. Kenapa? Kerana anak tersebut boleh menghadiahkan pahala yang mengalir ke kubur arwah ayahnya terus menerus.
Ashiatul-Lam’aa berkata, “Sedekah patut diberikan di hari arwah meninggal dunia, sampailah 7 hari seterusnya.”
Rasulullah telah menghulurkan sedekah bagi pihak pakciknya, Saidina Hamzah pada hari pengebumiannya yang ke-7, 10 dan 40. Jua setelah 6 dan 12 bulan pemergiannya. Sunnah ini menjadi dalil bagi bacaan Yaasin & Tahlil sebagai hadiah pahala kepada arwah, sepertimana sedekah Nabi untuk Saidina Hamzah.
Shaami berkata, “Apa sahaja yang boleh dibaca dari Al-Quran harus dibacakan. Begitu jua Surah Fatiha, ayat khusus surah Baqarah, Ayat Kursi, ayat akhir Surah Baqarah, Surah Yaasin, Mulk, Takaasir dan Al-Ikhlas. Harus dibacakan lalu mengatakan “Ya Allah, hadiahkan pahala ini kepada orang yang aku niatkan.”
Soalnya, mengapa dibuat setiap malam Jumaat?
Menetapkan hari tertentu, ada hikmahnya. Malam Jumaat mempunyai keberkataannya tersendiri yang diiktiraf oleh Imam Syafie, sebagai malam yang makbul doa. Lagipun, mengadakan majlis ini seminggu sekali, memudahkan orang kampung untuk berkumpul dan menetapkan jamuan bagi setiap minggu. Boleh saja nak buat hari-hari, tetapi kita taknak membebankan orang awam.
Allah berfirman:
“Dan jangan sesekali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki,” (Ali ‘Imran [3:169]
Pahala bacaan kita menjadi cahaya buat penduduk barzakh.
Imam Junaid Baghdadi pernah berbicara dengan muridnya yang berwajah muram. Dia meluahkan, telah melihat ibunya di dalam neraka. Mendengarkan keluhan muridnya itu, Junaid Baghdadi membacakan tahlil sebanyak 105,000 kali, dihadiahkan kepada ibu murid itu, agar diampunkan. Setelah itu, dia melihat kembali ke wajah muridnya. Daripada muram bertukar gembira! “Saya melihat ibu saya di dalam syurga,” katanya. Junaid Baghdadi lalu berkata, “Saya mengakui keaslian kasyaf lelaki ini daripada hadis, dan kebenaran apa jua yang dikatakan hadis terhadapnya.”
Jamuan ketika kenduri arwah juga sangat dipuji. Nabi sendiri pernah dijemput ke jamuan makan seseorang yang meninggal dunia dan baginda mendoakan orang yang menjamu makanan kenduri. Dengan niat untuk si mati, doa kesemua tetamu yang hadir menjadi cahaya menerangi arwah. Ijma’ Ulama’ mengatakan pahala sedekah jamuan sampai kepada arwah.
Selesai membaca artikel ini, usah lekas membantah pula. Kisah benar, ada seorang tokoh yang selalu membidaahkan yaasin & tahlil ketika awal hayatnya. Di hujung usia baru sedar, sudah tersilap langkah. Apabila dia kembali ke rahmatullah, anaknya menghalang orang ramai daripada membacakan zikir buat ayahnya. Rugilah si mati.
What you give, you get back.
RUJUKAN:
- Ustaz Muhadir Haji Joll. 2014. Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya. Galeri Ilmu.
- Ja-Al Haq (Beliefs of AhleSunnah). English Translation of Ja-Alhaq, A Famous Book on Beliefs of AhleSunnah. Written by Hakeem Ul Ummat Mufti Ahmed Yaar Khan Naeemi (رحمۃ اللہ علیہ). https://www.islamieducation.com/literature/ja-al-haq-beliefs-of-ahlesunnah/
- Mishkaat, Baabul-Fitan. Baabu/-Malaahim
- Baabu Ziyaaratil-Quboor
- Khazaanatur-Riwaayat
- Anwaare-Saatia
- Tahzeerun-Naas
- Audah Ma’anu Ahadis Riyadh Ash-Shalihin
- Al-Hawi Li Al-Fatawa As-Suyuthi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih