Dunia konspirasi tidak sah jika tidak disertakan kerajaan bayang-bayang atau jawatankuasa rahsia yang mengawal perjalanan dunia. Dalam dunia UFO, ia diwakili oleh sebuah organisasi yang dipanggil Majestic 12 atau Majik.
Menurut teori konspirasi, Majestic 12 merupakan sebuah badan rahsia yang bertanggungjawab mendapatkan piring terbang dan mayat makhluk asing untuk dikaji atas sebab saintifik dan keselamatan negara. Tetapi sebelum ada yang meloncat dan anggap ini sesuatu yang betul, mari kita amati bagaimana Majik boleh timbul.
Majestic 12 dikatakan dibentuk pada tahun 1952 atas perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman. Ia sebagai tindak balas kepada insiden kononnya piring terbang terhempas di Roswell, New Mexico pada tahun 1947.
Jawatankuasa rahsia ini dikatakan terdiri daripada 12 individu dari pelbagai latar belakang seperti cendekiawan, perisik, pegawai tentera dan birokrat kerajaan.
Antara individu yang dikatakan menjadi sebahagian daripada Majestic 12 ialah Setiausaha Pertahanan Amerika yang pertama, James Forrestal dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang pertama, Roscoe H. Hillenkoetter.
Tuduhan kewujudan jawatankuasa rahsia ini mula timbul pada tahun 80-an di mana komuniti pengkaji UFO menganggap Washington terlibat dalam melindungi kebenaran isu UFO terutama Roswell dan membabitkan sesetengah pegawai tinggi kerajaan.
Dari sinilah, Majestic 12 timbul melalui penerimaan salinan foto yang dihantar kepada pengkaji UFO, Jaime Shandera pada tahun 1984. Apabila meneliti salinan negatif foto yang diterimanya, Shandera merasa terkejut melihat salinan negatif itu membabitkan lapan muka surat laporan sulit yang bertajuk Majestic 12.
Apabila dia menunjukkan dokumen tersebut kepada rakan sejawatnya William Moore, dia yakin salinan foto tersebut merupakan salinan laporan sulit yang mengesahkan pembabitan kerajaan dalam aktiviti UFO termasuk di Roswell.
Kedua-duanya mula menggali lebih banyak maklumat berkenaan Majestic 12 di Arkib Kebangsaan dan setahun selepas itu, menemui satu lagi dokumen rasmi yang mengaitkan Majestic 12 dengan kerajaan Amerika.
Dokumen yang dikenali sebagai memo Cutler/Twining merujuk kepada satu laporan yang difailkan pembantu Presiden Dwight Eisenhower, Robert Cutler kepada Jeneral Nathan F. Twining yang menyebut perihal Majestic 12. Walaupun sudah ada yang meragui kesahihan dokumen MAJIK, itu tidak menghalang ramai dari melihat ia sebagai wujud.
Ini kemudian disusuli oleh pendedahan seorang lelaki bernama Richard Doty kepada seorang wartawan penyiasatan bernama Linda Moulton Howe. Doty mendakwa dirinya seorang pegawai dari Pejabat Siasatan Khas, USAF memberitahu dokumen Majestic 12 yang tersebar ketika itu adalah benar.
Dokumen turut menunjukkan beberapa dokumen tertentu sebagai bukti kewujudan makhluk asing. Doty juga bersedia menunjukkan rakaman filem dan temubual dengan makhluk asing sebagai janjinya terhadap Howe tetapi tiada sebarang filem atau rakaman yang muncul.
Namun, perlahan-lahan kesahihannya mula dicabar ramai pihak termasuk dari kelompok pengkaji UFO. Wartawan dan pengkaji UFO terkenal, Philip J. Klass mengkaji kesahihan dokumen Majestic 12 sebaik ia timbul pada tahun 1984 dan mendapati wujud pelbagai kesalahan pada dokumen tersebut.
Antara kesalahan yang didapati Klass ialah kesilapan pangkat yang diberi kepada kononnya ahli Majik, format ganjil yang lari dari format penerangan kerajaan pada era 50-an dan beberapa penggunaan perkataan yang bukan berasal dari era itu seperti media. Menurut Klass, terma yang sepatutnya digunakan dalam dokumen itu ialah wartawan dan bukannya media.
Selain Klass, ahli astronomi dan astrofizik terkenal dengan program Cosmos, Carl Sagan turut membidas dokumen tersebut dan mempersoalkan asal-usul dokumen itu. Dan kredibiliti Moore sebagai orang yang mengesahkan dokumen Majik semakin tercalar apabila terma Majestic 12 sebenarnya berasal dari novel.
Novel itu pula diusahakannya bersama wartawan National Enquirer, Bob Pratt pada tahun 1982 yang bertajuk MAJIK-12. Menurut wartawan Howard Blum, berikutan kewujudan terma itu, Pratt sentiasa menganggap dokumen Majestic 12 sebagai satu penipuan.
Dekad tersebut turut menyaksikan siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan USAF terhadap kesahihan dokumen Majestic 12. Siasatan tersebut dilancarkan bukan saja untuk mengesahkan dokumen tetapi juga menyiasat siapa individu bertanggungjawab menyebarkan dokumen sulit itu kepada orang awam.
Pada mulanya, siasatan ini dibuat oleh Pejabat Siasatan Khas, USAF sebelum diserahkan kepada pihak biro pada tahun 1988. Dan seperti Klass dan Sagan, FBI turut membuat kesimpulan sama: dokumen Majestic 12 adalah palsu.
Dan bagi memastikan semua orang tahu status akhir laporan mereka, mereka menulis perkataan BOGUS (palsu) dengan huruf besar pada keseluruhan dokumen. Boleh lihat contoh di bawah:
Anda mungkin menganggap ini sesuatu yang bersifat kebudak-budakkan tetapi menurut penulis Mark Fenster, ia sebenarnya menggambarkan dilema yang dihadapi FBI.
Fenster yang juga penulis Conspiracy Theories: Secrecy and Power in American Culture menyifatkan jika FBI memilih untuk tidak berbuat apa-apa, ia seolah-olah mengesahkan teori yang dicanang penyokong teori konspirasi.
Tetapi jika FBI memilih untuk bertindak mematikan teori ini, teori tersebut tidak akan mati kerana akan ada orang yang terus mencuba menghidupkannya. Terima kasih kepada individu seperti Howe dan bekas jurutera Robert M. Wood, mitos Majestic 12 terus berakar hingga hari ini.
Dan ia juga wujud dalam medium fiksyen melalui perwakilan seperti francais Men in Black dan watak Cigarette Smoking Man dalam The X-Files. Siri televisyen yang pernah menjadi fenomena pada tahun 1990-an dan awal abad ke-21 ini menjadikan watak lakonan William B. Davis itu sebagai wakil sebuah pertubuhan rahsia dalam kerajaan Amerika berkenaan UFO. Gambaran ini sudah cukup untuk kita kaitkan dengan Majestic 12.
Mitos ini juga masih bernyawa berikutan pelbagai teori konspirasi yang mengaitkan Majestic 12 dengan kem4tian bersifat kontroversi seperti kes bvnvh diri Forrestal dan pembvnvhan John F. Kennedy.
Menurut komuniti teori konspirasi, Forrestal sebenarnya dibvnvh bagi mengelak kewujudan Majestic 12 didedahkan kepada umum. Sementara tindakan JFK yang mahu bekerjasama dengan Soviet bagi merealisasikan impian manusiawi sampai ke bulan dianggap punca Majestic 12 meluluskan operasi pembvnvhannya pada tahun 1963 dan menjadikan Lee Harvey Oswald sebagai kambing hitam.
Tetapi orang teori konspirasi sudah lupa Forrestal sudah dianggap tokoh kontroversi semasa dilantik oleh Truman sebagai Setiausaha Pertahanan pada tahun 1947. Semasa tempoh 18 bulannya sebagai Setiausaha Pertahanan.
Bukan sekali dua beliau menjadi sasaran ramai pihak kerana menolak cubaan kewujudan Israel, terlalu lantang dalam soal Kesatuan Soviet dan komunisme serta beberapa kali berbalah dengan Presiden Amerika Syarikat itu kerana berang dengan cubaan Truman mengurangkan belanjawan pertahanan Amerika.
Dan terima kasih kepada pertemuan rahsianya dengan calon pilihan raya presiden 1948, Thomas E. Dewey, itu sudah cukup bagi Truman memintanya meletak jawatan dan menyifatkan pertemuan rahsianya itu satu pengkhianatan.
Forrestal juga turut didiagnos dengan masalah kemurungan yang teruk selepas dipaksa berhenti dan ini merupakan antara punca beliau membvnvh diri pada tahun 1949. Tentang idea kerjasama bersama ekspedisi ke bulan, idea tersebut sudah lama dicanang Kennedy sejak tahun 1961 termasuk semasa pertemuannya dengan Nikita Khruschev.
Bagaimanapun, Khruschev meminta ia ditangguhkan terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada kedua-dua negara mengadakan perbincangan tentang perjanjian larangan ujian nuklear yang sedang berjalan ketika itu.
Sejak itu, Kennedy sentiasa mencari peluang untuk mengembalikan idea tersebut kepada pihak Soviet. Namun, dalam tempoh dua tahun iaitu 1961 dan 1962, hubungan kedua-dua negara mengalami pasang surut berikutan s3rangan Bay of Pigs, Tembok Berlin dan Krisis P3luru Berpandu Cuba.
Namun pada September 1963, hubungan Amerika-Soviet dilihat kembali pulih dan cadangan ini dicanang JFK semasa berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Menurut beliau, kedaulatan sesebuah negara tidak seharusnya menjadi isu dalam soal penerokaan angkasa lepas dan melihat semua negara seharusnya mempunyai wakil dalam mengkaji misteri alam semesta, bukannya didominasi oleh sesebuah negara.
Idea tersebut menarik minat Khruschev tetapi pembvnvhan Kennedy pada November 1963 mematikan terus impian itu. Tetapi orang teori konspirasi yang galak menyokong Majestic 12 sudah lupa ada banyak lagi teori mengapa beliau dibvnvh dari isu Bay of Pigs dan Cuba (teori Bob Baer) hinggalah cubaan memusnahkan p3rang kongsi gelap yang dilancarkan Peguam Negara merangkap adik JFK, Robert Kennedy.
Selain itu, mereka juga masih gagal membuktikan kepada pengkaji UFO lain bahawa ia bukan satu dokumen palsu. Bekas pegawai Kementerian Pertahanan Britain dalam soal UFO, Nick Pope menyamakan dokumen Majestic 12 dengan seorang pelajar sekolah yang cuba membuat cerita pendek sains fiksyen tetapi cubaannya berakhir dengan kegagalan.
Sementara penyelidik paranormal dan UFO, Nick Redfern turut membuat kesimpulan sama seperti Klass selepas mengkaji dokumen Majik. Menurut Redfern, dokumen tersebut tidak konsisten dengan dokumentasi dokumen kerajaan yang dikenali dan keliru dalam soal aturan kronologi peristwa yang cuba dibuktikannya.
Manakala penulis dan hos rancangan podcast Skeptoid, Brian Dunning menyifatkan Majestic 12 ialah sebahagian daripada kempen maklumat palsu kerajaan untuk mengelak tumpuan orang ramai terhadap projek-projek rahsia yang diusahakan USAF.
RUJUKAN:
- Dantzer, Alexander. (2019). The ‘Majestic’ Documents and their Alleged Proof of a Vast UFO Cover-Up. The Vintage News. https://www.thevintagenews.com/2019/01/04/majestic-12/
- Grundhauser, Eric. (2016). The FBI Debunked These UFO Documents in the Most Childish Way Possible. Slate. https://slate.com/human-interest/2016/12/the-fbi-debunked-the-majestic-12-ufo-documents-in-the-most-childish-way-possible.html
- D. Launius, Roger. (2019). First Moon landing was nearly a US–Soviet mission. Nature. https://www.nature.com/articles/d41586-019-02088-4
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih