Baik sebagai dewa tertinggi dalam ajaran Taoisme ataupun raja kayangan dalam mitologi China, Maharaja Jed (Yu Huang) merupakan nama yang tidak asing lagi buat Negara Tembok Besar. Beliau turut dikenali dengan beberapa nama lain, antaranya seperti Tiān Gōng dan Yu Huang Shangdi.

Walaupun sosok figuranya dipuja secara khusus, rekod-rekod awal Taoisme langsung tidak menyebut tentangnya – walau sebagai dewa kecil sekalipun. Kedudukannya yang unggul sebagai dewa penting bagi masyarakat China hanya bermula pada zaman Dinasti Tang (618-907 M).

DUA KISAH TENTANG ASAL-USUL MAHARAJA JED

Latar belakang beliau ada diceritakan di dalam dua kisah. Kisah pertama yang membentuk sebuah hikayat masyhur menyifatkan Maharaja Jed sebagai seorang manusia biasa, bernama Zhang Denglai. Denglai bekerja sebagai penjawat awam atau tentera biasa yang hidup sekitar penghujung Dinasti Shang dan awal Dinasti Zhou (c. 1046 SM).

Ketika itu, kesemua pegawai Zhou yang berperanan menggu-lingkan Dinasti Shang dikurniakan suatu gelaran sebagai tanda penghargaan. Satu demi satu gelaran tinggi dikurniakan oleh seorang pegawai penting bernama Jiang Ziya, sehingga akhirnya yang tinggal hanyalah gelaran Maharaja Zed. Ziya berniat mahu memperuntukkan gelaran tersebut untuk dirinya sendiri.

Tugu Maharaja Jed di Istana Lingxiao, Wuxi, China

Namun untuk tidak terlalu menampakkan hasratnya itu, beliau mengambil sikap malu-malu kucing. “Deng lai” atau “Sebentar”, kata Ziya sewaktu pegawai-pegawai lain mengajukan gelaran tersebut kepadanya – kononnya untuk membuat pertimbangan sebentar.

Bagaimanapun, Zhang Denglai yang mendengar namanya disebut langsung sahaja mengambil kesempatan dan tampil ke hadapan – tunduk sujud di hadapan Jiang Ziya dan mengucapkan ribuan penghargaan kerana mengurniakan gelaran Maharaja Jed kepadanya.

Perahu tidak lagi dapat diundur. Nak menangguk ikan, tertangguk dek batang. Lain yang diharapkan, lain pula hasil yang datang. Jiang Ziya akhirnya akur kehilangan gelaran Maharaja Jed di tangan Zhang Denglai.

Sementara itu dalam kisah kedua yang mempunyai kaitan dengan Taoisme pula tampil dengan nada berbeza. Dalam kisah ini, Maharaja Jed disifatkan sebagai putera mahkota bagi Kerajaan Kebahagiaan Murni dan Cahaya Perhiasan Samawi.

Kononnya, kelahiran beliau berlaku dengan penuh keajaiban. Memandangkan ketika itu raja sudah lanjut usia dan uzur pula kesihatannya, ratu memanjatkan doa meminta zuriat supaya jalur keturunan mereka tidak terputus. Lantas pada suatu malam, sang ratu bermimpikan Lao Tzu (c. 500 SM) si pelopor falsafah Taoisme. Serta-merta, beliau bangkit daripada lena dalam keadaan hamil.

Maharaja Jed dimuliakan sebagai raja kayangan dalam Taoisme

Sejak kelahirannya, Maharaja Jed menampakkan perbezaan ketara berbanding kanak-kanak lain. Beliau berupaya berjalan dan bercakap pada usia yang sangat awal. Pekertinya juga baik. Beliau gemar menebar budi dan amat penyabar pula orangnya. Usia kanak-kanaknya banyak diluangkan dengan membantu golongan memerlukan dan menghulurkan kasih sayang kepada sesama makhluk.

Sejurus kemangkatan ayahandanya, Maharaja Jed dilantik sebagai maharaja baru. Beliau dengan cermat dan cekap memastikan kesemua rakyat jelatanya mengecapi kebahagiaan dan kemakmuran. Suasana yang sedemikian harmoni berjaya dicapai dalam tempoh beberapa tahun singkat.

Kemudian, Maharaja Jed pun turun takhta lalu membawa diri ke Tebing Harum Lagikan Terang. Di sana, beliau bertapa bagi memupuk Tao di dalam diri. Setelah bertahun-tahun menyendiri, Maharaja Jed akhirnya mencapai keabadian dan diangkat menjadi dewa.

Dalam versi lain yang dipercayai sebagai lanjutan bagi kisah sebelumnya, Maharaja Jed diceritakan berkhidmat sebagai pembantu Yuánshǐ Tīanzūn. Maksud nama Yuánshǐ Tīanzūn boleh difahami sebagai ‘Raja Kayangan Semenjak Azali’. Beliau disifatkan sebagai salah satu dari Tiga Kemenjadian Murni (Sānqīng) dalam ajaran Taoisme. Kononnya, Yuánshǐ Tīanzūn sendiri yang memilih Maharaja Jed sebagai penggantinya sekali gus meraihkannya kedudukan yang tinggi dalam kalangan masyarakat China.

Tiga Kemenjadian Murni; Yuanshi Tianzun, Lingbao Tianzun, dan Daode Tianzun

MULA DIPUJA SEBAGAI DEWA TERTINGGI TAOISME PADA ERA DINASTI TANG

Berbicara daripada sudut sejarah, nama Maharaja Jed hakikatnya hanya meniti pancapersada pada zaman Dinasti Tang. Pada era inilah kedudukannya dalam pantheon Taoisme ditinggikan dan seiring peredaran masa, ia diperakui sebagai dewa tertinggi dalam ajaran tersebut.

Sementara itu dalam kepercayaan masyarakat umum pula, Maharaja Jed dianggap sebagai maharaja kayangan yang memerintah sama seperti maharaja di istana. Menurut mereka, beliau muncul menggantikan dewa-dewa lama seperti Tianweng dan Zhang Tiandi yang sebelum ini dipuja sebagai raja kayangan.

Pada era Dinasti Song (960-1279 M), Maharaja Jed diberikan sembah korban khas daripada istana. Beliau turut digabungkan dengan satu lagi dewa tertinggi China, iaitu Haotian Shangdi sekali gus meraihkannya gelaran Haotian Yuhuang Shangdi.

Gambaran Maharaja Jed dikelilingi pelayan istana, dari lembaran kurun ke-17 M

Sesudah berakhirnya pemerintahan Dinasti Song, Maharaja Jed kehilangan statusnya sebagai dewa yang dipuja istana. Sembah kor-ban masih lagi diberikan kepadanya, namun hanya dalam skala kecil. Apapun, Maharaja Jed tetap dianggap sebagai dewa tertinggi bagi masyarakat China.

Pada suatu ketika, beliau bahkan diberi gelaran Qingjing Ziran Juewang Rulai (Raja Murni bagi Pencerahan Alami) oleh penganut agama Buddha. Pengurniaan gelaran sebegini menunjukkan betapa wujudnya kebolehaliran antara ajaran Taoisme dan Buddhisme di China hinggakan dewa dari satu pantheon boleh diasimilasikan ke dalam pantheon ajaran lain.

MAHARAJA JED DALAM KESUSASTERAAN CHINA

Nama Maharaja Jed bukan hanya unggul dek konotasi agama. Beliau juga muncul sebagai watak penting dalam dongeng rakyat dan sastera ulung China. Antara yang paling masyhur tentunya kisah penciptaan zodiak. Kisah ini hadir dalam banyak versi, namun intipatinya tidak lari daripada perlumbaan ke istana Maharaja Jed.

Kononnya, bagi memilih haiwan-haiwan yang bakal membentuk zodiak China, Maharaja Jed memerintahkan seluruh haiwan yang melata di muka bumi supaya berhimpun di istananya. Dua belas haiwan yang paling awal tiba akan dimasukkan ke dalam zodiak, mengikut turutan masing-masing.

Dongengan ini mungkin paling diingati kerana ia menerangkan sebab di sebalik permu-suhan antara kucing dan tikus. Kononnya, kucing dan tikus bersahabat baik sejak sekian lama. Namun, kucing mempunyai tabiat tidur mati. Pada pagi hari perlumbaan, tikus terlalu teruja sehingga terlupa untuk membangunkan sahabatnya itu (versi lain menyatakan tikus sengaja tidak mengejutkan kucing). Rentetan itu, kucing pun keciciran dari dimasukkan ke dalam zodiak.

Zodiak Cina berasal dari kisah perlumbaan haiwan-haiwan di dunia menuju istana Maharaja Jed

Di samping dongengan rakyat, Maharaja Jed juga tampil di dalam karya sastera China yang berjudul Journey to the West (Xī Yóu Jì). Karya ini dikarang oleh Wu Cheng’en pada kurun ke-16 Masehi (era Dinasti Ming). Dalam novel tersebut, Maharaja Jed dikisahkan terpaksa menghadapi kerenah Sun Wukong si Raja Monyet.

Sebelum menemui Maharaja Jed, Sun Wukong sudah pun menebarkan onar di Alam Bawah dan juga istana bawah laut Ao Guang (Raja Naga di Lautan Timur). Untuk mengelakkan kekacauan tersebut berlanjutan, Maharaja Jed mengurniakan jawatan Penjaga Kuda Kayangan kepada Sun Wukong.

Pada mulanya, Sun Wukong bersenang hati dengan pelantikan tersebut. Namun selepas mengetahui jawatan itu cumalah jawatan kecil yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi dalam kerajaan kayangan, Sun Wukong pun beredar dengan membawa perasaan marah.

Turun dari kayangan, beliau kembali ke Gunung Huāguǒ dan menabalkan diri sendiri sebagai Qítiān Dàshèng (Pendeta Agung Menandingi Kayangan). Dalam erti kata lain, Sun Wukong menen-tang kedudukan Maharaja Jed. Sebagai susulan, bala ten-tera kayangan pun dihimpunkan. Namun, mereka berjaya ditundukkan oleh Sun Wukong dan para pengikutnya.

Habis akal, baru tawakal. Patah pe-dang, baru nak berbincang. Dek tidak mahu kon-flik berpanjangan, Maharaja Jed pun membiarkan sahaja Sun Wukong berlenang dengan gelarannya, di samping turut mengurniakan jawatan Penjaga Kebun Pic Kayangan.

Namun ibarat berhakim kepada beruk, habis kesemua buah pic di dalam kebun tersebut dimakan oleh Sun Wukong. Tidak cukup dengan itu, jamuan yang disediakan juga teruk dibedal. Semuanya gara-gara beliau tidak dijemput sebagai tetamu.

Sun Wukong merosakkan majlis jamuan di kayangan

Sesudah itu, beliau sekali lagi lari ke Gunung Huāguǒ. Cuma kali ini, ten-tera kayangan yang dihantar berjaya memberkas Sun Wukong dan mengheretnya kembali ke kayangan untuk dijatuhi huku-man. Namun, dek kerana tubuh beliau tidak lut oleh sebarang huku-man, Sun Wukong pun dikurung di dalam lapan trigram (Ba Gua) selama 49 hari, dengan harapan tubuhnya akan terbakar.

Malangnya, kaedah itu juga tidak mempan. Sun Wukong yang berang lantas menebarkan amuk di kayangan, membuatkan Maharaja Jed kebuntuan. Bantuan Buddha yang berada di Kayangan Barat kemudian diminta. Sun Wukong lantas dipenja-rakan di bawah Gunung Lima Elemen sehinggalah nanti ia akan dibebaskan oleh Tang Sanzang.

MAHARAJA JED SEBAGAI KETUA PEMERINTAH DI KAYANGAN

Sifat Maharaja Jed di dalam Journey to the West menghadirkan dua sisi yang berbeza. Dalam satu keadaan, sifat buruk Sun Wukong seperti kuat cemburu, terlalu terburu-buru, dan panas baran amat menyerlahkan pekerti Maharaja Jed. Namun dalam masa yang sama, Raja Monyet itu juga mendedahkan sifat Maharaja Jed sebagai pemerintah yang kurang cekap sehingga dengan mudahnya keharmonian di kayangan boleh digegak-gempitakan.

Dalam kepercayaan masyarakat umum di China, Maharaja Jed sememangnya dianggap sebagai pemerintah kayangan. Pentadbiran di kayangan dibahagikan kepada beberapa jabatan, dengan setiap satunya dikepalai oleh satu dewa. Jabatan-jabatan ini mencakupi peringkat masyarakat setempat mahupun isirumah.

Pagoda Maharaja Jed di Ho Chi Minh, Vietnam

Oleh kerana itu, setiap masyarakat mempunyai dewa tempatan yang tersendiri dan setiap keluarga pula mempunyai dewa dapur masing-masing. Menurut mereka, dewa-dewa dapur ini akan kembali ke kayangan pada setiap malam Tahun Baru bagi melaporkan segala amal perbuatan mereka sepanjang tahun yang lalu.

Melalui laporan inilah Maharaja Jed akan mempertimbangkan sama ada sesebuah keluarga itu layak dikurniakan keberuntungan atau ditimpa musibah pada tahun mendatang. Kepercayaan ini kemudiannya melahirkan tradisi memberi gula-gula kepada dewa dapur sebagai sogokan, dengan harapan mereka akan bermanis mulut di hadapan Maharaja Jed.

Sebagai kesimpulan, kedudukan Maharaja Jed dalam kepercayaan masyarakat China tidak dapat disangkal sejak zaman-berzaman. Walaupun sosok figuranya hadir dalam bermacam-macam naratif, namanya dimuliakan baik dalam ajaran Taoisme, kepercayaan umum China, mahupun dongengan rakyat mereka – sekali gus menjadi rantaian penting untuk lebih mengenali kebudayaan dalam tamadun Tembok Besar tersebut.

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (24 Januari 2021). The Jade Emperor: Taoist Ruler of Heaven – and Celestial Bureaucrat. Ancient Origins


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.