Dalam mitologi Maori, Maero merupakan sejenis makhluk yang berupa seperti manusia berbulu dan mempunyai tubuh yang besar, sama seperti Yeti di Himalaya atau Sasquatch dalam kisah rakyat masyarakat asli Amerika. Walau bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang penampakan Maero pernah dilaporkan.
CAKAR DAN BELANTAN SEBAGAI SENJATA
Maero mempunyai banyak kemiripan dengan manusia biasa. Namun, saiz dan kekuatan fizikalnya lebih besar berbanding manusia kebanyakan. Tubuhnya pula ditutupi oleh bulu-buluan hitam yang lebat dan tebal.
Menurut mitos, mereka mampu menggunakan belantan batu sebagai senjata. Selain belantan batu, Maero juga memanfaatkan cakar mereka yang tajam untuk membunuh. Lebih daripada itu, Maero disifatkan sebagai sejenis makhluk kanibal.
KONFLIK BERPANJANGAN ANTARA MAERO DAN MAORI
Musuh sejati Maero adalah masyarakat Maori itu sendiri. Konflik yang berpanjangan ini kemudian memaksa Maero untuk berpindah semakin jauh ke ceruk hutan dan hidup dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Menurut ilmuwan, konflik antara Maero dan Maori ini berkemungkinan adalah penerangan secara mitologi tentang pertentangan antara unsur harmoni dan unsur huru-hara, atau bangsa bertamadun dan bangsa gasar, di mana lazimnya unsur yang pertama akan memenangi konflik tersebut.
Walaupun Maero dan Maori saling berp3r4ng antara satu sama lain, terdapat juga kisah yang menceritakan bagaimana perkahwinan campur antara mereka berlaku sekaligus melahirkan zuriat yang saiz dan kekuatannya lebih besar berbanding masyarakat Maori kebanyakan.
Sebahagian kumpulan keluarga Maori, seperti keluarga Kaihai dari Waikato dan keluarga Haupapa dari Rotorua dipercayai bersusur-galur daripada perkahwinan kacuk tersebut. Sememangnya, rata-rata mereka kebanyakannya mempunyai fizikal yang besar belaka, walau tentunya tidaklah sebesar Maero yang kononnya berketinggian antara 2.4 hingga 3.4 meter.
MOEHAU DAN MAERO
Sehingga kini tiada sebarang penampakan Maero pernah dilaporkan. Apa yang ada, penampakan sejenis makhluk lain yang dikenali sebagai Moehau. Maero dan Moehau mempunyai banyak persamaan, justeru mendorong sebahagian masyarakat Maori untuk menganggap kedua-dua makhluk itu sebagai makhluk yang sama.
Kelibat Moehau pernah dilihat oleh pelombong-pelombong emas pada 1870an dan 1880an. Begitu juga pada 1969, di mana makhluk itu dilihat oleh seorang pelancong dari Australia. Penampakan berikutnya berlaku lagi pada 1972 dan 1983.
Apapun, ada pihak yang menganggap Moehau sebenarnya adalah gorilla yang keluar daripada habitat asal mereka, iaitu hutan, dan laporan penampakan mereka ditokoh-tambah dan disensasikan sehingga akhirnya melahirkan khabar angin kononnya wujud sejenis makhluk misteri di hutan New Zealand.
LEGENDA-LEGENDA MAERO DALAM BUDAYA MAORI
Dalam budaya Maori, wujud beberapa legenda yang memerihalkan tentang pertembungan antara Maero dan Maori. Salah satunya adalah legenda Purukupenga, seorang wira Maori yang membunuh Maero dengan menikam makhluk itu berkali-kali dengan menggunakan sebilah mere (bilah pendek namun lebar yang menjadi senjata tradisi Maori) sehingga tengkorak, cakar, dan tulang-belulangnya hancur.
Dalam legenda lain pula, dikisahkan bahawa Maero berjaya menangkap, membunuh, dan memakan pengembara-pengembara yang berkelana sendirian. Antara yang menjadi mangsanya adalah Wairapa dan Tikitiki-o-Rehua. Legenda seputar Maero yang dianggap paling mengujakan adalah legenda Tukoia. Perjalanan kisahnya sama seperti Purukupenga, di mana Tukoio dikisahkan berjaya membunuh seekor Maero.
Cuma dalam kisah ini, Tukoio memotong tangan, kaki dan kepala makhluk misteri itu. Kepala Maero tersebut kemudian dibawa pulang ke rumah. Namun dalam perjalanan, kepala itu kembali bernyawa dan menjerit meminta bantuan daripada rakan-rakannya. Dek kerana tidak mahu berhadapan dengan sekumpulan Maero sendirian, Tukoio pun meninggalkan kepala tersebut dan berlari meminta bantuan daripada masyarakat setempat.
Kemudian sekembalinya ke tempat tersebut, Tukoio mendapati kepala itu telah pun hilang dan legenda menceritakan betapa Maero yang telah mati dibunuh oleh Tukoio itu mencantumkan kembali anggota-anggota tubuhnya lalu pulang semula ke hutan. Kisah ini dianggap paling menarik kerana dalam kebanyakan legenda, Maero tidaklah disifatkan mempunyai kuasa luar biasa sebegitu.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (22 Februari 2018). The Maero: Bigfoot in New Zealand Folklore. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/maero-bigfoot-new-zealand-folklore-009633
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih