Madrasah atau pondok atau pesantren adalah sebuah institusi pengajian Islam yang sangat penting dalam melahirkan cendekiawan atau ilmuan ulung Islam dari zaman berzaman. Sistem talaqqi yang diamalkan di madrasah-madrasah terbukti sangat berkesan dalam membangunkan modal insan sesebuah kerajaan Islam yang lampau.
Ketika zaman kegelapan Eropah, sebelum kewujudan sekolah perundangan (School of Law), majoriti daripada para hakim merupakan orang yang tidak berpengetahuan dalam ilmu perundangan. Ini kerana hakim yang dilantik dari kalangan bangsawan dan paderi tidak mendapat pendidikan yang khusus dalam bidang perundangan.
Malah majoriti daripada mereka merupakan golongan buta huruf. Tambahan pula, para hakim yang dilantik yang jahil dengan prinsip-prinsip keadilan sejagat bebas membuat undang-undang sendiri. Akibatnya, undang-undang yang diamalkan caca marba dan bersifat primitif.
Disebalik itu, dalam dunia Islam ilmu perundangan telah diajar di madrasah-madrasah sejak dari zaman awal kedatangan Islam dan institusi madrasah telah berkembang pesat dalam dunia Islam pada zaman itu.
Hakim-hakim (qadi) yang dilantik dalam kerajaan Islam merupakan lepasan daripada institusi madrasah ini. Para hakim dalam kerajaan-kerajaan Islam merupakan golongan yang amat mahir dalam ilmu-ilmu perundangan termasuk prinsip-prinsip keadilan dan kaedah perlaksanaan undang-undang kerana mereka telah mendapat pendidikan undang-undang yang jitu dari institusi madrasah.
Dalam amalan kerajaan-kerajaan Islam yang sezaman dengan zaman kegelapan Eropah, pelajar-pelajar madrasah yang belajar ilmu perundangan (Syariah Islamiyyah) akan diberikan sijil yang dipanggil sebagai ijazah apabila mereka berjaya menamatkan pengajian. Ini bagi membuktikan mereka berpengetahuan dan berkelayakan untuk menceburi bidang perundangan.
Pada peringkat ini, mereka berkelayakan untuk menjadi tenaga pengajar (mu’alim) dalam bidang perundangan. Apabila mereka berjaya membuktikan kepakaran mereka dalam bidang perundangan, barulah mereka akan dilantik menjadi hakim dan mufti.
Ahli-ahli perundangan Eropah termasuk dari England menyedari kepentingan sekolah perundangan apabila melihat kepada sistem madrasah yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan Islam ketika mereka menyertai perang salib. Dari madrasah inilah orang-orang Eropah menubuhkan sekolah perundangan.
Prof John Makdisi menyatakan bahawa penubuhan ‘Inns of Court’ mula ditemui oleh tentera-tentera salib yang juga terdiri dari ahli perundangan. Mereka mendapat idea untuk menubuhkan Inns of Court apabila mereka memerhatikan sistem madrasah di wilayah-wilayah Islam ketika dalam perjalanan ke Jerusalem.
Dalam sistem madrasah ini, mereka melihat masjid dijadikan sebagai tempat pembelajaran. Pelajar-pelajar disediakan tempat penginapan yang mana asrama-asrama dibina berhampiran dengan masjid. Oleh itu, pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan pendalaman juga berpeluang mendapat pendidikan yang amat baik.
Pelajar-pelajar belajar dengan percuma dan fasiliti berserta sumber kewangan dibiayai oleh wakaf dan sumbangan dari kerajaan dan orang ramai. Mereka diajar oleh guru-guru yang mahir serta para pengamal undang-undang seperti hakim.
Apabila tentera-tentera salib ini pulang ke England, sekolah perundangan ditubuhkan dengan asrama-asramanya dibina berhampiran dengan gereja. Maka, dengan sebab itu ianya dinamakan sebagai “inns” yang bermaksud tempat-tempat penginapan atau asrama-asrama. ‘Inns of Court’ ini juga dibiayai dengan harta sumbangan awam yang beraspirasi dari wakaf.
Beberapa sekolah perundangan yang terkenal di England pada hari ini seperti Gray’s Inn dan Lincoln Inn adalah kesinambungan daripada penubuhan ‘Inns of Court’ yang diasaskan dari sistem madrasah dalam kerajaan-kerajaan Islam.
Institusi madrasah bukan sahaja melahirkan pakar perundangan dan ilmu agama, malah institusi ini juga melahirkan ilmuan-ilmuan Islam yang ulung dalam pelbagai bidang seperti sains, teknologi, geografi & sebagainya.
Perkembangan institusi madrasah di Alam Melayu juga berkembang seiring dengan perkembangan Islam. Dari institusi madrasah, ramai genius Alam Melayu (Nusantara) dapat dilahirkan yang mahir dalam pelbagai bidang sejak dari zaman Samudera Pasai dan Melaka.
Antaranya Syeikh Ahmad Al Fathani yang mahir dengan ilmu perubatan dan Syeikh Ahmad Khatib Al Minankabawi yang mahir dengan ilmu matematik dan ramai lagi ulama Nusantara yang mahir pelbagai bidang.
Malah anak Melayu pertama yang menjadi pensyarah di Universiti Oxford, England yang juga diisytihar antara 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia sejak tahun 2010 iaitu Syeikh Dato’ Dr Afifi Al Akiti lahir dari institusi madrasah/pondok/pasentren. Betapa berkatnya institusi madrasah!
Jadi saya menyokong segala langkah untuk meningkatkan keselamatan dan penambahbaikan institusi madrasah. Namun bagi mereka yang mencadangkan supaya institusi madrasah ditutup, sebenarnya fikiran mereka telah pun tertutup!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih