Dalam politik terdapat dua mazhab besar: idealisme (idealism) dan realisme (realism).

Idealisme menitikberatkan soal idea, ideologi atau ‘isme-isme’ (nasionalisme, liberalisme, sekularisme, pluralisme, anarkisme, Islamisme dan sebagainya). Idealis percaya bahawa politik adalah pertarungan antara idea-idea yang akan dimenangi oleh mereka yang mempunyai idea yang terbaik.

Realisme atau pendekatan ‘Realpolitik’ pula berpandangan lain. Realis tidak kisah pasal ‘isme’ apa yang dianuti seseorang. Politik adalah mengenai kuasa, dulu kini dan selamanya. Anda liberal kah sekular kah Islamis kah anarkis kah, tanpa kuasa, ‘toksah sembang’. Sejarah membuktikan kemelut politik tidak dimenangi oleh mereka yang mempunyai idea yang lebih bagus, tetapi oleh mereka yang lebih pandai mencatur kuasa. Semasa Revolusi Perancis, Georges Danton dicantas oleh Maximilien Robespierre. Semasa Revolusi Rusia, Leon Trotsky dicantas oleh Josef Stalin. Revolusi yang idealistik lazimnya berakhir dengan kemenangan oportunis yang jahat lagi rakus.

Kalau anda rasa soal kuasa tidak lagi penting kerana adanya sistem demokrasi, anda tidak sesuai menceburi politik. Kalau masuk politik pun, jangan jadi pemimpin. Jadi pengikut sahaja. Kalau mahu memimpin juga, anda akan menyusahkan diri, menyusahkan orang lain malah boleh menjahanamkan negara dan masyarakat.

Kepimpinan (leadership) politik adalah mengenai memperoleh (attain), mempertahankan (maintain) dan menggunakan (exercise) kuasa. Idealis selalunya ulat buku, kebanyakan daripada mereka boleh dikatakan tidak pernah diuji dengan kuasa. Akhirnya bukan sahaja mereka tidak mampu mempertahankan idea, malah menggadaikan kebahagiaan diri dan orang lain. Ketinggian intelektual tidak menjamin keberkesanan kepimpinan.

Seorang pemikir Itali yang hidup sezaman dengan Leonardo Da Vinci yang bernama Niccolò Machiavelli (1469-1527) telah menulis buku ‘The Prince’ (Il Principe) atau Sang Penguasa yang mengupas tentang kepimpinan yang berkesan. Machiavelli bukan ‘nerd’, beliau adalah menteri pertahanan dan diplomat kanan dalam kerajaan Republik Florence di Itali. Beliau mempunyai rekod cemerlang dalam peperangan dan diplomasi.

Machiavelli menggunakan konsep tiga serangkai iaitu ‘Fortuna’ (fortune), ‘Virtù’ (virtue), dan ‘Necessità’ (necessity) untuk menerangkan rahsia kejayaan pemimpin politik. Seseorang boleh berjaya dalam politik atas Fortuna atau pun Virtù. Namun, Fortuna (nasib baik) bukan milik semua orang dan di luar kawalan manusia, tetapi manusia mempunyai kawalan ke atas Virtù (kebijaksanaan). Doa dan tawakal itu umpama Fortuna, usaha diri adalah Virtù.

Dalam drama ‘House of Cards’, Frank Underwood mempunyai tabiat mengetuk meja. Underwood memberitahu sebab dia berbuat demikian: “It’s meant to harden your knuckles so you don’t break them if you get in a fight. It also has the added benefit of knocking on wood. Success is a mixture of preparation and luck. Tapping the table kills both birds with one stone.” Rupanya Underwood sependapat dengan Machiavelli, kejayaanya bergantung kepada gabungan Fortuna (‘touch wood’ adalah kepercayaan khurafat bahawa menyentuh kayu boleh menghilangkan sial) dan Virtù (mengasah buku lima sebagai persediaan untuk bertarung).

Namun Frank Underwood bukanlah Sang Penguasa yang Machiavelli mahu. Underwood mengejar kuasa untuk memuaskan nafsu diri. Sang Penguasa yang Machiavelli mahu ialah seorang yang berjiwa bangsa yang boleh membebaskan Itali daripada tangan-tangan jahat kuasa asing. Ketika itu, Perancis dan Sepanyol menjadikan negeri-negeri Itali sebagai proksi untuk meningkatkan kuasa masing-masing. Pope Katolik di Rom turut bersekongkol dengan Sepanyol untuk merobek kedaulatan dan kekayaan Itali. Akibat mengkritik Pope, buku Machiavelli diharamkan oleh Gereja Katolik dan namanya disamakan dengan syaitan.

Persoalannya, bagaimana untuk mencapai Virtù?

Dalam hidup beliau, Machiavelli menyaksikan kejatuhan Republik Florence pada tahun 1512 akibat kelemahan kepimpinan Piero Soderini, pemimpin yang baik hati tapi tidak berkesan. Manakala orang-orang jahat seperti Pope Alexander VI dan Cesare Borgia menjadi semakin berkuasa. Ini membuat Machiavelli terfikir, adakah orang baik ditakdirkan untuk gagal dalam hal duniawi? Selepas penelitian dilakukan, Machiavelli menerbitkan buku Sang Penguasa pada tahun 1513 dan membuat kesimpulan bahawa: orang baik boleh mengubah nasibnya dengan melakukan apa yang sepatutnya dalam dunia politik, bertindak mengikut Necessità.

Berikut adalah nasihat Machiavelli dalam Bab 18, Sang Penguasa:

“Seorang Penguasa dan khususnya seorang Penguasa baru, tidak dapat menaati semua hal yang menyebabkan orang dipandang mulia, kerana untuk mempertahankan negaranya ia kerap kali terpaksa bertindak berlawanan dengan kepercayaan orang, belas kasih, kebaikan dan agama. Dan kerana itu ia harus luwes (fleksible), berubah seirama dengan bimbingan Fortuna dan keadaan. Ia tidak boleh menyimpang dari yang baik, jika itu mungkin, tetapi ia harus mengetahui bagaimana bertindak jahat, jika perlu.”

Orang jahat merancang, orang baik pun perlu merancang. Orang jahat bermuslihat, orang baik pun perlu bermuslihat. Itu bukan pilihan, itu adalah kemestian. Itu adalah peraturan permainan dalam dunia politik. Dalam Bahasa Latin, Fortuna adalah kata feminin manakala Virtù adalah kata maskulin. Maka Machiavelli membuat analogi “Dewi Fortuna hanya mengasihi lelaki yang gagah dan berani, yang mempunyai Virtù”.

Tetapi jangan pula kita mengikut Machiavelli bulat-bulat. Beliau tidak berfikir mengenai akhirat. Beliau tidak mempunyai ‘bottom line’. Orang yang beriman janganlah mengejar kuasa sampai membunuh dan menabur fitnah. Tetapi harus tahu berstrategi. Jangan beritahu orang apakah ‘next move’ kita. Itu strategi. ‘Surprise attack’. Itu strategi. Mengelirukan musuh. Itu strategi. Pecah dan tawan. Itu strategi.

Tatkala sibuk memperjuangkan idea-idea abstrak, kita telah melupai tentang percaturan kuasa. Semakin hari semakin hilang kuasa relatif kita, dan akibatnya? Kita dihina dan dipijak. Cara dan nilai-nilai kehidupan kita dipersenda zahir batin dan kita tidak mampu melawan balik. Satu perkataan untuk keadaan ini: ‘pathetic’.

Kita menjadi ‘pathetic’ sebab selama ini kita berpolitik cara lurus bendul. Kita tidak mempunyai strategi. Kita mengikut emosi. Kita tidak mengira ‘power equation’. Kita menganggap sesuatu isu itu sebagai perbahasan idea dan bersorak untuk mereka, tetapi sebenarnya ia adalah ‘game of power’ untuk melemahkan kita.

Kerjasama politik biarlah berhemat dan berhati-hati. Kawan hari ini boleh menjadi musuh hari besok. Tidak wujud istilah khianat antara musuh, hanya kawan yang akan mengkhianati kawan. Ketahuilah bahawa kawan anda akan menunjuk wajah yang sebenarnya apabila mencapai kuasa optima nanti. Itulah ‘hard lesson’ yang Danton dan Trotsky pelajari. Saat mereka sedar, nasi telah menjadi bubur.

Dunia politik adalah dunia bantu diri (self-help). Jangan salahkan orang lain kalau kita menjadi ‘loser’. Apabila Raja Muhammad XII menangisi kejatuhan kerajaan Granada, ibunya menegur: “Jangan menangis seperti seorang wanita untuk apa yang kamu tidak dapat membela sebagai seorang lelaki.” Ya, Fortuna tidak sesekali mengasihi pemimpin yang lemah.

Ketika Imam Ahmad bin Hanbal ditanya oleh muridnya: “Wahai Imam, mana yang dipilih: pemimpin yang kuat tapi banyak dosa, atau pemimpin yang soleh tapi lemah?” Imam Ahmad menjawab: “Pilihlah yang kuat meski banyak dosa, kerana kekuatannya memperkuat umat, sedangkan dosanya untuk dirinya sendiri. Pemimpin yang soleh tapi lemah, kesolehannya untuk diri sendiri, sedangkan kelemahannya dapat membahayakan dan melemahkan umat.”

Itulah makna kepemimpinan. Belajarlah berstrategi. Memahamilah kuasa. Anda tidak mahu main ‘game’ ini atau ‘play with the rules’, akhirnya anda yang akan kena game.

Realpolitik tidak terhad kepada dunia politik. Kalau anda seorang ‘loser’ yang kerap kali ditipu oleh ex-boyfriend/girlfriend atau ditikam belakang oleh rakan sepejabat, sudah sampai masa anda menjadi seorang Sang Penguasa.

Bacaan lanjut:
Erica Benner. (2017). Be Like the Fox: Machiavelli in His World.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.