Filipina asalnya dijajah Sepanyol sejak abad ke-16. Tapi menjelang tahun 1890-an, rakyat Filipina dah mula bangkit menentang penjajahan. Gerakan revolusi diketuai Emilio Aguinaldo mula capai kejayaan. Beberapa wilayah utama berjaya dirampas daripada Sepanyol dan kalau ikutkan, Filipina hampir nak menang dah sebenarnya.
Tapi tu lah, kebetulan pula Amerika Syarikat (US) berperang dengan Sepanyol, sekaligus mencetuskan Perang Sepanyol-Amerika (1898). Asalnya, US cuma menyokong jiran mereka yakni Cuba yang cuba merdeka daripada Sepanyol. Benda ni berubah bila kapal perang US, USS Maine, meletup di pelabuhan Havana, Cuba. Letupan itu membunuh lebih 250 anggota tentera laut AS.
Sampai sekarang kita tak tahu apa punca kapal tu meletup. Ada yang kata ni operasi false flag yang dicipta US untuk berperang terhadap Sepanyol, ada yang kata letupan tu terjadi disebabkan arang batu meletup secara tiba-tiba, kiranya bukan salah sesiapa lah. Tapi, US ambil peluang ni untuk tuduh Sepanyol sengaja sabotaj US dan seterusnya isytihar perang terhadap Sepanyol
Pada 1 Mei 1898, US hantar armada ke Teluk Manila dan hancurkan hampir keseluruhan armada Asia Pasifik Sepanyol dalam masa satu hari, tanpa satu pun kapal tentera laut US hancur. Pada 10 Jun, tentera US mendarat di Cuba dan berperang melawan tentera Sepanyol di situ.
Dalam masa beberapa bulan, Sepanyol kalah di semua penjuru. Amerika berjaya kuasai Cuba, Puerto Rico, Guam, dan Filipina. Semua itu disahkan melalui Perjanjian Paris pada Disember 1898. Dalam perjanjian itu, Sepanyol bersetuju untuk lepaskan semua tanah jajahannya. Filipina pula diserahkan kepada Amerika – bukan secara percuma, tapi ‘dijual’ dengan harga USD 20 juta. Hanya orang Sepanyol dan Amerika sahaja yang berunding. Orang Filipina tak diajak berunding.
Rakyat Filipina marah. Mereka dah isytihar kemerdekaan sejak Jun 1898 dan ada kerajaan sendiri. Tapi US tak peduli. Mereka anggap Filipina milik mereka secara sah melalui perjanjian. Akibatnya, tercetuslah Perang Filipina-Amerika pada 1899. Amerika label pejuang kemerdekaan Filipina sebagai pemberontak. Perang ni berlangsung selama bertahun-tahun. US guna kekerasan macam kem tahanan, sekatan makanan, kampung dibakar, orang awam dibunuh.
Perang ni berakhir dengan Filipina ditundukkan sepenuhnya oleh US. Walau bagaimanapun, penjajahan Filipina ni sebenarnya tak popular dalam kalangan orang FIlipina dan juga orang US tu sendiri. Oleh itu, Filipina cuma jadi jajahan rasmi Amerika Syarikat sampai tahun 1946 sahaja dan seterusnya dimerdekakan. Walaupun sekejap sahaja dijajah, kita sampai sekarang boleh nampak pengaruh US dalam negara Filipina, termasuk hubungan akrab di antara mereka, lagi-lagi dengan ancaman China di situ.




No comments yet