Nama Selangor dan Johor tengah panas dengan drama bola. Dan drama dalam istana Selangor dan Johor sebenarnya dah lama berlaku sebelum wujudnya Kesultanan Selangor lagi.
Kenal tak Sultan Selangor yang pertama? Raja Lumu merupakan Sultan Selangor yang pertama.
Baginda Raja Lumu lebih dikenali dengan nama Sultan Salehuddin Shah dan baginda adalah merupakan anakanda kepada Daeng Chelak yang mana merupakan Yamtuan Muda Johor II berketurunan Bugis.
Sebelum Raja Lumu mendirikan Kesultanan Selangor, wilayah Selangor berada di dalam kekuasaan Kesultanan Johor-Riau.
Ketika ini, Sultan Johor diperintah oleh Wangsa Bendahara setelah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Berbeza dengan sekarang yang diperintah oleh Wangsa Temenggung.
Segalanya bermula sekitar 1740, ayahanda Raja Lumu iaitu Daeng Chelak bersama-sama dengan angkatan tenteranya dari Riau datang ke Selangor untuk berperang dengan angkatan tentera Daeng Mateko.
Daeng Mateko membuat huru-hara di kawasan Kuala Selangor. Selepas bertempur, Daeng Mateko kalah dan melarikan diri ke Siak.
Kemenangan Daeng Chelak dalam perang itu membuatkan masyarakat Kuala Selangor menyokongnya dan melantik beliau sebagai pemimpin di kawasan Selangor. Sejak hari itu, Daeng Chelak kerap berulang-alik antara Selangor dan Riau.
Isteri Daeng Chelak, Tengku Mandak adalah seorang puteri dari Kesultanan Johor-Riau. Tengku Mandak adalah anak kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah, Sultan Johor yang ke-11, dan adik kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, Sultan Johor yang ke-13.
Dari perkahwinan bahagia mereka, mereka dikurniakan dua anak. Anak sulung mereka adalah Raja Lumu, dan anak kedua adalah Raja Haji Fisabilillah.
Apabila Daeng Chelak meninggal dunia pada tahun 1745, anak saudaranya, Daeng Kemboja iaitu anak kepada Daeng Perani dianggap sebagai calon yang paling layak untuk mewarisi jawatan Yam Tuan Muda.
Raja Lumu masih terlalu muda untuk mentadbir Selangor ketika kematian ayahandanya. Anak-anak Daeng Chelak dijadualkan untuk menjadi pemimpin di Riau dan Selangor apabila mereka dewasa nanti.
Pada tahun 1766, apabila Raja Lumu sudah dewasa dan bersedia untuk memimpin Selangor, beliau berhasrat membebaskan Selangor daripada pengaruh Johor-Riau.
Ini kerana peluang untuk Raja Lumu menjawat jawatan Yamtuan Muda Riau masih jauh atau mungkin tidak akan berlaku sama sekali.
Selain itu, pengaruh Johor terhadap Selangor semakin lemah selepas kemangkatan Sultan Sulaiman yang menyebabkan pentadbiran Johor dikawal oleh Daeng Kemboja yang lebih fokus kepada Linggi berbanding Selangor.
Oleh itu, Raja Lumu bercita-cita membebaskan Selangor daripada Johor-Riau dan seterusnya menjadi Sultan di kawasan tersebut.
Untuk mencapai tujuannya, Raja Lumu tidak memohon kepada Sultan Johor, sebaliknya baginda berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah II, Sultan Perak ke-16.
Antara sebab Raja Lumu memilih negeri Perak untuk mengukuhkan kedudukannya adalah kerana Sultan Mahmud Shah II berketurunan Sultan Melaka.
Selain itu, Raja Lumu tidak mempunyai alat-alat kebesaran diraja untuk Selangor, dan juga kerana faktor pentadbiran di Johor, asal usul Raja Lumu dari Riau, serta faktor kedaulatan.
Raja Lumu ingin memastikan dirinya dan keturunannya sebagai pemerintah sah di Selangor dan bebas dari pengaruh Johor-Riau.
Untuk memperkukuhkan kedudukannya, Raja Lumu mendapatkan pengiktirafan daripada Sultan Perak kerana Selangor tidak mempunyai alat kebesaran diraja seperti Nobat dan Nafiri.
Menurut adat, seseorang Sultan tidak dianggap berdaulat sehingga ditabalkan dengan bunyian Nobat. Sebuah kerajaan hanya akan diiktiraf kewujudannya apabila rajanya dapat menunjukkan alat kebesaran kerajaan yang penting untuk menonjolkan kekuasaannya.
Raja Lumu juga menikahi Puteri Diraja Perak dan diberi gelaran Sultan Sallehuddin Syah oleh Sultan Perak.
Baginda ditabalkan di hadapan rakyat Selangor dengan bunyian Nobat dari Perak, mengukuhkan statusnya sebagai Sultan Selangor yang pertama.
Pertabalan ini mewujudkan kesultanan berketurunan Bugis di Selangor serta ketabahan Raja Lumu dalam memperoleh pengiktirafan untuk menjadi pemerintah bebas.
Dengan terbinanya Kesultanan Selangor, ia menandakan Selangor bebas dari Kesultanan Johor-Riau dan Kesultanan Selangor teguh berdaulat sehingga hari ini.
Oleh: Azizul Farhan
___
Sebenarnya macam mana Kesultanan Johor berjaya berdiri selepas kejatuhan Kesultanan Melaka? Selam lebih dalam bersama TASJIL ANIS SALATIN 2: RAHSIA AGUNG JOHOR! Dapatkan segera!
https://shope.ee/9ewHfxEuNq
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih