10.8 saat. Itu sahaja masa yang diambil oleh Hakan Şükür untuk menjaringkan gol buat Turki menentang Korea Selatan dalam Piala Dunia 2002.
Sampai hari ini, gol itu masih kekal sebagai gol terpantas dalam sejarah FIFA World Cup.
Satu momen yang sepatutnya diabadikan selama-lamanya dalam sejarah bola sepak dunia dan Turki.
Tapi peliknya, 20 tahun kemudian, ada pengulas di Turki hilang kerja hanya sebab sebut nama dia.
Macam mana boleh jadi sampai tahap tu?
Kalau kita undur balik ke tahun 80-an, kisah Hakan Şükür ni bermula di wilayah Sakarya, Turki. Dia bukan lahir terus jadi legenda. Dia main bola untuk kelab kecil Sakaryaspor.
Umur 17 tahun, dia dah debut. Tak lama lepas tu, terus jadi striker utama. Dari situ, dia berpindah ke Bursaspor dan prestasi dia makin meletup sampai dapat panggilan skuad kebangsaan Turki tahun 1992.
Tahun yang sama, dia sign dengan kelab gergasi Turki, Galatasaray.
Di sinilah nama Hakan Şükür betul-betul meletup.
Dalam tempoh tiga musim pertama, dia jaringkan 54 gol. Kelab Eropah mula pandang. Itali panggil. Dia pun berhijrah ke Torino FC.
Tapi kat sini cerita dia tak jadi macam mimpi.
Dia homesick. Terlalu rindukan Turki sampai makanan pun kena hantar naik flight. Fokus bola hilang. Prestasi merosot.
Dan di sinilah bermulanya satu bab pelik dalam hidup dia.
Dia jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Ezra. Tapi keluarga perempuan tak setuju kahwin lagi. Apa jadi lepas tu?
Orang politik masuk campur.
Nama besar macam Tansu Çiller, Recep Tayyip Erdoğan (masa tu Datuk Bandar Istanbul) dan Fethullah Gülen sendiri terlibat tekan keluarga perempuan supaya terima.
Perkahwinan jadi. Tapi bertahan cuma 4 bulan.
Hakan balik ke Turki. Kembali ke Galatasaray.
Dan di sinilah dia jadi legenda sebenar.
Dia menang tiga kali berturut-turut penjaring terbanyak liga Turki. Gol dia bawa Galatasaray menang liga berturut-turut.
Kemuncaknya, musim 1999–2000.
Galatasaray menang UEFA Cup 1999–2000, trofi Eropah pertama dan satu-satunya dalam sejarah kelab Turki.
Final tu mereka kalahkan Arsenal FC, pasukan besar England dengan pemain hebat macam Thierry Henry dan Patrick Vieira.
Bayangkan, kelab Turki yang bukan kuasa besar bola boleh menang Arsenal. Dan Hakan Şükür adalah jantung pasukan tu.
Kemudian datang Piala Dunia 2002.
Tak ramai expect Turki pergi jauh. Kali pertama masuk selepas 50 tahun.
Tapi dengan Hakan sebagai kapten, mereka sampai tempat ketiga. Hanya tewas kepada Brazil yang dipimpin Ronaldo Nazário di separuh akhir.
Dan dalam perlawanan tempat ketiga, boom. 10.8 saat.
Gol terpantas dalam sejarah. Itulah kemuncak karier dia.
Tahun 2008, dia bersara. Rekod? 383 gol dalam 836 perlawanan. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Turki dengan 51 gol.
Sepatutnya, nama dia kekal sebagai legenda.
Tapi hidup dia lepas tu, terus masuk fasa gelap.
Sebagai ikon negara, Hakan ada hubungan dengan tokoh-tokoh besar politik. Antaranya Recep Tayyip Erdoğan dan Fethullah Gülen.
Awalnya, dua-dua ni sekutu.
Hakan sendiri masuk politik. Tahun 2011, dia jadi ahli parlimen dalam parti Erdoğan.
Tapi tahun 2013, hubungan Erdoğan dan Gülen pecah teruk.
Isu rasuah. Perebutan kuasa. Tuduhan sabotaj. Turki mula berpecah dua. Dan Hakan tersepit di tengah.
Dia pilih untuk keluar dari parti kerajaan dan berdiri sebagai calon bebas. Tapi dia masih dikaitkan dengan Gülen. Dan di Turki masa tu, itu adalah “label bahaya”.
Pada 2016, berlaku cubaan rampasan kuasa di Turki.
Lebih 300 orang mati.
Kerajaan terus tuduh gerakan Gülen sebagai dalang. Mereka dilabel sebagai organisasi pengganas.
Selepas itu, pembersihan besar-besaran berlaku. Lebih 120,000 orang hilang kerja. 50,000 ditahan.
Nama Hakan Şükür terus masuk dalam senarai. Waran tangkap dikeluarkan. Aset dirampas. Ayah dia sendiri ditangkap. Stadium yang guna nama dia ditukar. Pingat negara ditarik balik.
Dan lebih teruk, nama dia dipadam dari sejarah.
Gambar dia hilang dari muzium bola sepak. Rakaman gol dia dipotong. Dalam siaran TV, nama dia disensor.
Sampai tahap, tahun 2022, seorang pengulas hilang kerja hanya sebab sebut rekod gol terpantas milik dia.
Hakan Şükür akhirnya lari ke Amerika Syarikat tahun 2015.
Di sana, hidup dia jauh berbeza. Dia buka kafe di Palo Alto. Lepas tu tutup sebab isu keselamatan. Ada orang yang dia syak berkaitan kerajaan Turki datang ganggu.
Untuk hidup, dia pernah kerja biasa termasuk jadi pemandu Uber.
Tapi dalam masa sama, dia masih cintakan bola. Dia buka akademi bola sepak sendiri di California.
Tahun 2023, akhirnya dia dan keluarga dapat green card atau status penduduk tetap di Amerika.
Sampai hari ini, Hakan Şükür masih menafikan dia terlibat dalam cubaan rampasan kuasa.
Dia juga tak pernah secara terbuka kecam Fethullah Gülen dan itu mungkin sebab utama kenapa dia terus diburu.
Sementara itu, Recep Tayyip Erdoğan masih kekal berkuasa.
Dan selagi itu, peluang untuk Hakan balik ke Turki sebenarnya hampir mustahil.
Ironinya, seorang lelaki yang pernah buat seluruh Turki bangga kini tak boleh jejak tanah air sendiri.
Adakah Hakan Şükür pengkhianat atau mangsa politik?




No comments yet