Sabda Nabi Muhammad ﷺ: “Wahai Rasulullah SAW, apakah Adam itu termasuk daripada seorang Nabi?” Baginda SAW bersabda, “Benar.” Lelaki itu bertanya lagi, “Berapa jarak antara Adam AS dengan Nuh AS?” Rasulullah SAW bersabda: “10 kurun”. (Sahih Ibn Hibban: 6190).
Kira-kira 10 abad bersamaan 1000 tahun selepas manusia pertama iaitu Nabi Adam, maka Nabi Nuh diutuskan kepada kaumnya yang berada dalam kesesatan yang nyata. Sesat dalam menyembah berhala-berhala sedang Tuhan yang sebenar diabaikan sehingga Allah menghantar utusan-Nya bagi mengembalikan kaumnya ke jalan yang diredhai.
Namun sayang seribu kali sayang kerana kesesatan mereka seolah-olah tiada penghujungnya. Mereka leka menyembah berhala Wadda, Suwaa, Ya’uq, Yaqhus dan Nasr yang merupakan berhala terawal dalam sejarah manusia. Ibnu Kathir menyebutkan di dalam kitab tafsirnya bahawa Nabi Nuh telah hidup berdakwah kepada mereka untuk waktu yang cukup panjang.
Baginda hidup di tengah kaumnya dan menyeru mereka kembali selama 950 tahun tetapi yang mahu beriman hanyalah sedikit sekali. Bahkan pendustaan kaumnya terhadap dakwah yang dibawa semakin keras dan semakin menjadi-jadi. Maka, Nabi Nuh berdoa ke hadrat ilahi sehingga akhirnya Allah memperkenankan doanya.
Firman Nya: “Sesungguhnya Nuh telah menyeru Kami, maka sesungguhnya sebaik-baik yang memperkenankan (adalah Kami). Dan Kami telah menyelamatkannya dan keluarganya dari bencana yang besar”. (As-Shaffat:75-76).
Lantas Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh untuk membina sebuah bahtera atau kapal untuk menyelamatkan dirinya dan orang-orang yang beriman daripada Az4b yang Allah akan turunkan kepada kaumnya.
“Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya) dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.” (Hud:37)
Bermula dari sinilah, maka Nabi Nuh bertungkus-lumus membina sebuah kapal meskipun pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuhi. Namun begitu Nabi Nuh terlebih dahulu menanam pokok al-Saj selama 20 tahun barulah kemudiannya dibina kapal tersebut di atas satu pergunungan dengan menggunakan kayu-kayan daripada pokok tersebut selama hampir 40 tahun.
Ibnu Kathir menukilkan beberapa pandangan tentang keluasan kapal tersebut diantaranya ialah Al-Sauri yang menyebut bahawa kapal itu dibina panjang kira-kira 80 hasta. Manakala Ibnu Abbas berkata bahawa panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
Begitu juga beberapa pendapat lain yang menyebut di antaranya ialah panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta dan panjangnya 300 hasta serta lebarnya 60 hasta
Bagi bentuknya diriwayatkan bahawa Jibril AS mengajar Nabi Nuh membina kepala kapal seolah-olah sama seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung serta ekornya seperti ekor ayam jantan yang dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu.
Bahtera pertama dalam sejarah ketamadunan manusia ini mempunyai tiga tingkat di mana tingkat pertama adalah untuk haiwan buas manakala binatang liar dan burung ditingkat dua serta tingkat ketiga dihuni oleh manusia yang beriman dari kalangan kaum Nabi Nuh.
Tatkala Allah mengisi bumi dengan air sehingga membawa bah yang besar maka tenggelamlah segalanya bersama orang-orang yang tidak beriman kecuali mereka yang berada di dalam bahtera Nabi Nuh As.
Bahkan anak Nabi Nuh sendiri iaitu Yam atau disebut sebagai “Kan’an” turut m4ti di dalam az4b tersebut. Menurut Ibnu Kathir, hanya Kan’an yang m4ti oleh sebab tidak mahu beriman dengan ajaran yang dibawa oleh ayahnya manakala saudara-saudaranya iaitu Sam, Ham dan Yafiths terselamat bersama orang-orang beriman.
Kata Ibnu Kathir bahawa manusia yang berada di atas muka bumi ini dari sekalian jenis Bani Adam kesemuanya dinisbahkan kepada anak Nabi Nuh AS iaitu Saam, Haam dan Yafiths. Ibnu Kathir juga menukilkan bahawa Ali bin Abi Talhah telah berkata daripada Ibn Abbas: “ Tidak ada yang kekal melainkan zuriat Nuh As”.
Bahtera Nabi Nuh berlayar dari atas pergunungan selama 150 hari sebelum menuju ke Mekah. Kemudian Allah memusing-musingkan bahtera berkitar di sekelilingnya selama hampir 40 hari sebelum diubah haluan bahtera menuju ke bukit Judiy dan berlabuhlah bahtera Nabi Nuh As di situ.
Qatadah berkata bahawa mereka menaiki bahtera pada hari kesepuluh daripada bulan Rejab dan kemudian berlayar selama 150 hari sebelum berlabuh di atas bukit Judiy tetapi mereka tidak terus keluar sebaliknya terpaksa menunggu selama sebulan. Akhirnya mereka keluar dari bahtera tersebut pada hari kesepuluh bulan Muharram.
Betapa lamanya Nabi Nuh dan kaumnya yang beriman bersabar di dalam bahtera menunggu surutnya suatu bah yang habis membinasakan seluruhnya termasuk mereka yang tidak beriman. Selama hampir 180 hari menurut Riwayat Qatadah mereka terkurung di dalam bahtera namun tetap pula hati mereka bersyukur kerana diselamatkan daripada Az4b Allah yang pedih ini.
Inilah ibrah yang patut kita ambil sebagai pedoman memupuk kesabaran di dalam hati manusia, menyemai kesyukuran di dalam jiwa serta membuka mata melihat kebesaran dan keagungan Allah yang hanya sekelip mata menjadikan manusia lemah tidak bermaya, tiada kuasa melainkan hanya berharap dan mengharap kepada kuasa Yang Maha Esa.
RUJUKAN:
Abu Fida Ismail Ibn Umar Ibn Kathir, Qisas Al-Anbiya.
Abu Fida Ismail Ibn Umar Ibn Kathir, Tafsir Ibnu Kathir.
Hamka, Tafsir Al-Azhar.
Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1267-irsyad-al-fatwa-ke-111-adakah-banjir-besar-di-zaman-nabi-nuh-a-s-menenggelamkan-keseluruhan-manusia
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih