Kehidupan Liu Bang merupakan kisah yang penuh pancaroba dan liku-liku perjalanan. Beliau dilahirkan dalam keluarga petani namun meniti masa-masa perdana sebagai maharaja Cina. Liu Bang (juga dikenali sebagai Maharaja Gaozu bagi Han) merupakan pengasas dinasti diraja kedua Cina, iaitu Dinasti Han.
Sebagai seorang maharaja, Liu Bang sangat dipengaruhi oleh falsafah Confucius dan banyak tindak-tanduk beliau didasarkan pada ajaran-ajaran tersebut. Beliau secara umum dikenang sebagai seorang pemerintah yang adil dan baik hati, sering berlawanan sifat dengan pemerintahan tirani Qin Shi Huang, maharaja pertama Dinasti Qin.
SIAPAKAH LIU BANG?
Liu Bang dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang hidup di Wilayah Pei (berlokasi di Jiangsu, Cina moden) yang pada masa itu merupakan wilayah jajahan Chu. Semasa Liu Bang menjadi maharaja, hikayat legenda tentang asal-usulnya mula dihasilkan bagi menghadirkan faktor keabsahan pada pemerintahannya. Tradisi membuat mitos sebegini berterusan dan bahkan berkembang dalam kalangan sejarahwan Cina walaupun setelah kemangkatan Liu Bang.
Salah satu mitos ini misalnya menceritakan bagaimana Liu Bang dikandungkan oleh ibunya. Di dalam hikayat ini, ibunya terperangkap dalam sebuah kejadian ribut lantas mencari teduhan di bawah jambatan. Terdapat juga versi yang sedikit berbeza dengan mitos ini di mana ibu Liu Bang dikatakan mengalami satu mimpi.
Apapun, dalam kedua-dua mitos ini memerihalkan bagaimana keadaan langit menjadi gelap dan petir dan kilat sabung-menyabung di dada langit. Semasa suaminya pulang (sama ada ke bawah jambatan mahupun di dalam kamar tidur), beliau terlihat seekor naga berada di sebelah si isteri. Liu Bang dipercayai telah dikandungkan tidak lama selepas berlakunya insiden luar biasa ini.
Sebagai kanak-kanak, Liu Bang dicatatkan memiliki sifat yang lantang dan berkarisma – sifat yang beliau terus zahirkan sehingga ketika beliau menjadi pemimpin. Namun, beliau juga merupakan seorang kanak-kanak yang malas, tidak menunjukkan sebarang minat terhadap aktiviti bertani ataupun belajar. Setelah usianya menginjak dewasa, beliau dilantik sebagai pegawai rondaan dan berkhidmat kepada Dinasti Qin di peringkat wilayah.
Personaliti dirinya membuatkan beliau menjadi satu figura yang masyhur di kampung halamannya.
Beliau turut berjaya menjalinkan hubungan yang mesra dengan pegawai-pegawai kerajaan yang lain di wilayah itu. Liu Bang juga menarik minat Lu Wen, seorang lelaki kaya di wilayah itu yang kemudiannya meminangkan anak perempuannya, Lu Zhi untuk dikahwinkan dengan Liu Bang. Dalam erti kata lain, Liu Bang berkahwin dengan wanita yang berkedudukan lebih tinggi daripadanya dari segi kedudukan sosial.
PERSETERUAN DENGAN XIANG YU
Qin Shi Huang mangkat pada tahun 210SM dan maharaja yang menggantikannya tidak mewarisi kehebatan yang beliau miliki. Hal ini membuka peluang kepada negara-negara yang ditakluk oleh Qin untuk memberontak dan cuba meraih semula kemerdekaan. Liu Bang, walaupun tidak tergolong dalam kelas pemerintah, mengambil keputusan untuk meneguhkan kedudukannya. Beliau memanjat tangga sosial sehingga pada akhirnya berkonflik dengan seorang pemimpin ulung, Xiang Yu.
Konflik yang tercetus di antara mereka berdua bermula apabila Raja Huai III dari Chu berjanji untuk mengurniakan gelaran “Raja Guangzhong” kepada sesiapa sahaja yang berjaya memasuki Guangzhong, wilayah paling utama bagi Dinasti Qin. Liu Bang berhasil mengalahkan Xiang Yu dalam perlumbaan ini dan tiba terlebih dahulu di Xianyang, ibu kota Qin. Di sana, maharaja terakhir Qin, iaitu Ziying sendiri menyerah diri.
Konflik di antara Xiang Yu dengan Liu Bang ini terkenal dengan panggilan P*rang Chu-Han. Salah satu insiden paling masyhur yang berlaku sepanjang konflik ini adalah peristiwa Jamuan di Gerbang Hong pada tahun 206SM, di mana Xiang Yu cuba membvnuh Liu Bang.
Kejadian tersebut nyaris-nyaris meragut nyawa Liu Bang. Mujur, beliau dapat meloloskan diri. Dalam Pertempuran Gaixia pada empat tahun kemudian, beliau meraih kemenangan muktamad ke atas seterunya itu. Berikutan pembunuhan diri Xiang Yu setelah usainya pertempuran dan penyerahan kalah Chu kepada Han, maka Liu Bang pun ditabalkan sebagai Maharaja Cina.
MAHARAJA GAOZU BAGI HAN
Liu Bang sering dianggap sebagai seorang pemerintah yang baik dan sering menerapkan ajaran-ajaran Confucius dalam pentadbirannya. Namun, beliau sendiri berasal-usul sebagai seorang yang kasar dan selalu memandang rendah kepada mana-mana cendekiawan. Keadaan ini berlanjutan lama bahkan setelah beliau menjadi maharaja. Sudut pandangnya yang sebegitu hanya berubah apabila beliau bertemu dengan seorang cendekiawan bernama Lu Jia, yang berjaya meyakinkan beliau tentang garis-garis panduan untuk memerintah sesebuah empayar menurut ajaran Confucius.
Walaupun terkenal sebagai seorang yang berperibadi luhur dan baik, Liu Bang boleh berubah menjadi seorang lelaki yang keras dan tegas apabila berhadapan dengan sebarang ancaman yang cuba menggugat kekuasaannya. Hal ini jelas terpamer menerusi cara beliau menangani tujuh orang raja feudal bukan-kerabat, yang mana wilayah-wilayah pentadbiran mereka dilihat oleh Liu Bang sebagai ancaman kepada wilayah kekuasaannya. Oleh kerana itu, sebahagian daripada mereka dilucutkan jawatan sambil yang lain pula dijatuhi hukuman m4ti, konon kerana memberontak.
Liu Bang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 195SM, akibat luka yang diakibatkan oleh panah sasar semasa kempen ketenteraannya pada tahun lalu dalam menentang pemberontak Ying Bu, salah seorang dari tujuh raja feudal bukan-kerabat. Jasadnya disemadikan di permakaman diraja di Changling. Kedudukan sebagai maharaja digantikan oleh puteranya, Liu Ying.
TERJEMAHAN DARI:
Wu Mingren. (9 Mei 2019). The Rags to Riches Story of Liu Bang: Peasant, Rebel, Chinese Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/rags-riches-story-liu-bang-peasant-rebel-chinese-emperor-0010018
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih