Telefon pintar. Rasanya hampir semua pembaca yang sedang membaca rencana ini pastinya mempunyai peranti ini ditangan mereka. Mungkin ramai juga yang sedang membaca rencana ini menggunakan telefon pintar.
Ia merupakan peranti/gajet yang boleh kata wajib dimiliki oleh setiap orang. Tua atau muda, kaya atau miskin, pastinya memiliki peranti yang sangat hebat ini. Dianggarkan pada tahun 2018, pengguna telefon pintar adalah sekitar 3 billion dan dijangka akan meningkat lagi kepada 3.8 billion pada tahun 2021.
Jika melihat kepada statistik itu sahaja, maka tidak hairanlah jika kita dapat simpulkan yang kebanyakan orang di dunia ini kini memiliki telefon pintar. Dan ianya datang dalam pelbagai jenama dan spesifikasi.
Dari yang popular seperti Samsung, iPhone dan Huawei kepada yang kurang dikenali orang ramai seperti Doogee dan Elephone, setiap satunya mempunyai ciri tersendiri dan kemampuan yang tersediri yang dicari oleh pengguna. Jadi kita sebagai pengguna perlulah bijak dalam memilih. Ada banyak kriteria sebenarnya yang boleh digunakan dalam memilih telefon pintar. Jenama sahaja bukan penentu kemampuan telefon pintar yang kita pilih. Kadang-kadang jenama yang kurang diketahui juga mampu menawarkan telefon pintar yang hebat. Oleh itu, dalam memilih telefon pintar yang baru, kita perlulah melihat pada segala aspek yang penting.
Seorang vlogger popular, MKBHD, menyenaraikan lima tonggak utama yang sangat penting untuk diambil kira sebelum membeli telefon pintar. Dan saya kira lima tonggak utama ini sudah mencukupi dalam memastikan kita tidak tersilap langkah dalam membeli.
Cuba bayangkan diri anda yang kini sedang dalam keadaan memerlukan telefon pintar yang baharu. Telefon pintar yang anda ada sekarang berada dalam keadaan sangat uzur ibarat hidup segan mati tak mahu. Jadi anda bergerak ke pusat beli-belah terdekat, mencari kedai peranti yang menjual berbagai model dan jenama telefon pintar untuk anda pilih.
Dengan modal yang mencukupi anda mungkin akan memilih berdasarkan jenama, mungkin anda terus ambil model terbaru keluaran Samsung, ataupun juga model terkini iPhone. Tetapi sebenarnya memilih telefon pintar yang terbaik bukan hanya berdasarkan jenama semata-mata. Di sinilah lima tonggak utama tersebut memainkan peranannya.
Rekaan/ Kualiti Binaan
Benda pertama sekali yang anda nampak apabila sedang memilih telefon pintar yang baharu adalah rekaan dan kualiti binaannya. Rekaan sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam penggunaan telefon pintar. Mungkin ada diantara anda yang merasakan rekaan ini bukan sesuatu yang penting, kerana pada dasarnya kebanyakan telefon pintar kelihatan sama sahaja jika dipandang dari jauh.
Ini kerana mungkin anda melihat rekaan itu hanya pada berapa cantiknya telefon pintar itu pada mata anda. Sebenarnya rekaan telefon pintar bukan sahaja tertakluk pada nilai estetika. Tapi juga pada reka letak dan juga kualiti binaannya.Di mana letaknya kamera, sensor cap jari, mikrofon, speaker dan banyak lagi menentukan bagaimana anda menggunakan telefon pintar itu untuk aktiviti seharian anda.
Masih ingat lagi tentang Samsung Galaxy S8 yang meletakkan sensor cap jarinya di sebelah kamera? Kesilapan itu akan menyebabkan anda sering tersalah tekan cap jari anda pada lensa kamera dan mungkin menjatuhkan kualiti lensa kamera tersebut. Ataupun mungkin juga Xioami Mix 2 yang meletakkan kamera pandang depannya di bahagian bawah, yang pada saya kurang praktikal jika dinilai secara keseluruhan.
Kualiti binaan juga memainkan peranan yang penting. Sama ada badan telefon tersebut dibina dengan plastik, aluminum, kaca mahupun seramik. Kualiti binaan telefon bergantung pada keselesaan dan pilihan masing-masing. Binaan besi seperti aluminium tidak membolehkan ianya digunakan untuk pengecasan tanpa wayar, tapi ianya kelihatan cantik dan tahan kotoran.
Kaca dan seramik pula disamping boleh digunakan untuk pengecasan tanpa wayar, ianya juga kelihatan cantik di mata pengguna, tetapi malangnya telefon dengan badan kaca ataupun seramik mudah terdedah dengan kekotoran seperti debu dan juga cap jari. Dah terpaksa pula tutup telefon pintar yang cantik itu dengan pelindung. Yang plastik pula walaupun mungkin tidak lut pada kekotoran, tapi pada dasarnya nampak buruk pada pandangan mata.
Dalam kategori rekaan dan kualiti binaan ini, saya rasa pemenangnnya adalah Apple. Rekaan dan kualiti binaan mereka amat konsisten dan terbaik buat pengguna. Cuma harganya faham-faham sahajalah.
Jadi sebelum hendak memilih, angkatlah telefon pintar itu dahulu. Belek dulu puas-puas, dan tengok kesesuaiannya dengan penggunaan harian anda. Jangan pilih hanya berdasarkan pada jenama.
Paparan Skrin
Dah puas belek dan pegang telefon pintar itu, anda kini boleh beralih pada paparan skrin. Di sini, segala aksi dan kemampuan telefon pintar kita dipaparkan di sini.
50% daripada permukaan telefon diliputi dengan skrin telefon pintar. Memandangkan skrin itulah yang anda akan tenung, dan berinteraksi setiap hari, maka paparan skrin perlulah berada dalam keadaan yang baik dan optimum untuk kegunaan seharian. Ada banyak kriteria yang boleh anda gunakan sebelum memilih paparan telefon pintar yang terbaik.
Kriteria yang pertama sekali perlu dilihat adalah saiz. Kalau anda meminati telefon pintar bersaiz kecil, mungkin saiz 5” sesuai untuk anda, ataupun 4” jika ianya masih ada di pasaran. Kebanyakan telefon pintar sekarang meletakkan saiz antara 5.5” hingga ke 6.5”. Kedua, perkara yang anda perlu pastikan ialah resolusi telefon pintar tersebut.
Kebanyakan telefon pintar secara puratanya memiliki resolusi 1080p. Bagi jenis peranti mercu (flagship), kebanyakannya memiliki resolusi 1440p. Ada juga telefon pintar seperti Sony Experia XZ Premium yang mempunyai resolusi sehingga 4K UHD.
Pada pendapat saya resolusi 1080p sudah mencukupi untuk telefon pintar. Anda perlu ingat, telefon pintar memang mempunyai skrin yang kecil, jadi agak melampau jika hendak ke resolusi 4K. Tapi terpulanglah kepada cita rasa masing-masing.
Kriteria seterusnya yang anda perlu lihat adalah jenis paparan skrin itu sendiri. Sama ada ia menggunakan teknologi LCD, AMOLED atau P-OLED. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri yang perlu diambil kira. Skrin LCD merupakan teknologi yang sudah matang, tapi ia mempunyai beberapa kelemahan dari segi paparan warna dan nisbah beza jelas (contrast ratio).
AMOLED pula mempunyai masalah di mana ia kurang tahan berbanding LCD. Selain itu, kualiti dan ketahanan skrin AMOLED akan menurun mengikut masa bergantung kepada tempoh penggunaan. Dan ianya menggunakan lebih banyak sumber tenaga berbanding skrin LCD. P-OLED yang dikeluarkan oleh LG juga begitu.
Tentu ada yang sedar yang terlalu banyak elemen teknikal yang saya paparkan di sini. Tapi nak memilih yang terbaik sebenarnya mudah dan bergantung kepada penggunaan seharian anda. Jika anda memang menyukai skrin besar, pilihlah saiz skrin 6” ke atas, dengan resolusi 1080p.
Mungkin anda boleh pergi ke resolusi 1440p tapi ia hanya menampakkan kesan jika anda menggunakan telefon anda sebagai pemain media (Netflix, YouTube) ataupun untuk bermain permainan video. Dari segi jenis skrin pula, LCD sahaja sudah mencukupi. Telefon pintar Honor 20 Pro pun masih lagi menggunakan skrin LCD. Oleh kerana itulah, harganya juga murah.
AMOLED dan P-OLED biasanya hanya terdapat pada telefon pintar berharga tinggi, jadi terpulang pada cita rasa masing-masing. Asalkan paparan skrin nampak cantik pada mata anda cukuplah.
Prestasi
*Gambar ujian prestasi iPhone XS Max. Sumber: https://www.macworld.com/article/3308541/iphone-xs-iphone-xs-max-benchmark-results.html
Dah puas belek telefon dan tengok skrin, tibalah masanya untuk anda menilai prestasi telefon pintar tersebut. Jika anda seorang yang mengetahui tentang spesifikasi telefon pintar yang anda ingin beli, termasuklah ingatan-capaian-rawak (RAM) dan juga cip pemprosess yang ia miliki, mungkin ini bukan sesuatu yang menjadi masalah.
Tetapi tidak semua orang sebegitu. Jadi anda boleh juga melakukan proses perbandingan melalui aplikasi penanda aras (benchmark) yang popular seperti AnTuTu dan juga Geekbench. Tetapi saya ada solusi dan cara yang lebih mudah lagi bagi menilai prestasi telefon pintar anda.
Tim McDonough, Presiden Qualcomm sendiri pernah berkata, yang membeli telefon pintar berdasarkan keputusan penanda aras pemproses sahaja adalah sama seperti membeli kereta hanya kerana kemampuan tayar kereta itu. Pemproser dan RAM hanyalah sebahagian sahaja dari komponen yang membentuk telefon pintar anda. Jadi ia bukanlah sesuatu yang baik untuk menilai prestasi telefon pintar hanya berdasarkan kepada spesifikasi sahaja.
Perisian juga banyak memainkan peranan yang penting bagi memberi pengalaman yang lancar kepada pengguna. Contohnya di sini ialah iPhone X yang hanya memiliki 3 GB RAM sahaja. Tetapi ia masih boleh menyaingi malah kadangkala mengalahkan peranti mercu lain yang kebanyakannya memiliki sehingga 8 GB RAM. Ini kerana perisian iPhone yang mengurus memori telefon dengan efisien dan baik sekali membolehkan 3GB RAM pun sudah mencukupi untuk memberi pengalaman yang lancar dan terbaik kepada pengguna.
Jadi saya tawarkan solusi yang mudah di sini. Tatal (scroll)-lah telefon pintar itu. Buka seberapa banyak aplikasi yang boleh dan lihatlah sendiri prestasi telefon pintar itu. Adakah ia terhegeh-hegeh dalam membuka aplikasi atau lancar bak pelari pecut.
Satu lagi yang anda perlu ambil kira adalah perisian. Sama ada ia akan dikemasikini selalu atau terhad untuk tempoh tertentu sahaja. Kekerapan kemaskini perisian ini penting bagi menentukan nyawa dan umur telefon pintar itu di tangan anda.
Kebanyakan telefon pintar Android mengehadkan kemaskini perisian untuk tempoh 2 tahun sahaja, seperti yang diwajibkan oleh Google. Jadi agak merugikan jika anda perlu membeli telefon pintar 2 tahun sekali. Oleh itu periksa dulu tempoh kemaskini perisian telefon pintar anda sebelum membeli.
Bateri
Kita pergi ke dalam pula iaitu melihat bateri yang menjadi sumber kuasa telefon pintar anda. Tanpa bateri, telefon pintar anda takkan berfungsi. Kriteria ini agak sukar, kerana bukan senang untuk anda melihat kemampuan bateri hanya dengan membelek telefon pintar yang anda pilih di kedai. Ini memerlukan sedikit kajian dan pembacaan sebelum anda menjejakkan kaki ke kedai peranti.
Mujurlah, sumber rujukan dan bahan bacaan berkenaan bateri telefon pintar ini banyak berlegar di ruang maya. Jadi tidaklah sukar untuk anda membuat perbandingan dalam memilih telefon pintar yang terbaik. Tetapi sebelum itu, perlu untuk anda ambil tahu sedikit sebanyak tentang bateri telefon pintar.
Bateri telefon pintar kebanyakannya menggunakan bateri jenis Lithium Ion (Li-On). Ia merupakan bateri yang dicas semula berdasarkan pergerakan ion lithium. Positif ke negatif apabila sedang dicas, dan negatif ke positif apabila sedang digunakan.
Kapasiti bateri Li-On diukur dengan unit mAH ataupun miliampere per hour. Lebih besar nilainya, lebih banyak caj elektrik yang boleh disimpan. Kebanyakan telefon pintar sekarang mempunyai kapasiti sehingga 3,000 hingga 4,000 mAh. Ada juga yang berkemampuan menyimpan sehingga 5,000 mAh namun kapasiti bukanlah penentu utama kepada prestasi bateri anda.
Seperti juga MKBHD, saya lebih suka menilai bateri telefon pintar dengan melihat pada penggunaannya. Penggunaan bateri boleh dinilai berdasarkan screen-on-time (SOT) ataupun tempoh masa ianya digunakan. Kebanyakan telefon pintar pada masa kini mempunyai SOT pada kadar lima hingga enam jam.
Tapi ini semua bergantung kepada penggunaan. Jika anda pengguna tegar yang sering menggunakan telefon pintar untuk bermain permainan video ataupun menonton video di YouTube, SOT anda mungkin akan lebih rendah berbanding pengguna biasa. Tapi jika ianya sama, itu bermakna yang telefon pintar anda mempunyai prestasi bateri yang optimum.
Selain itu, anda juga boleh mengambil kira kemampuan pengecasan yang dimiliki. Kebanyakan telefon pintar pada masa kini (kecuali iPhone) sudah dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas (DASH Charging, Quick Charge dll) maka ia merupakan sesuatu yang saya kira penting bagi memastikan kelansungan penggunaan telefon pintar anda dalam aktiviti seharian.
Kamera
Kita akhirnya tiba ke tonggak yang terakhir. Tonggak yang saya kira sebenarnya tidak penting. Tapi disebabkan kita hidup dalam era yang menggunakan imej dan gambar sebagai medium komunikasi, maka tidak hairanlah apabila kita lihat yang setiap telefon pintar pasti akan datang dengan lensa kameranya sendiri.
Di sini, ada dua tips yang saya ingin sampaikan dalam memilih kamera pada telefon pintar yang terbaik. Yang pertama adalah konsistensi. Cubalah ambil gambar menggunakan kamera telefon pintar tersebut dan lihatlah hasilnya. Jika gambar yang diambil memang konsisten cantik tanpa memerlukan anda terbaring ataupun mengikut posisi jurugambar professional, maka kamera telefon pintar anda itu sudah cukup baik.
Tidak perlulah anda mengambil kira berapa bilangan lensa yang ia miliki ataupun berapa jauh kamera anda boleh zum. Itu semua hanya gimik yang tidak menentukan kebolehupayaan kamera telefon pintar anda.
Contoh terbaik di sini ialah Google Pixel 3, yang hanya mempunyai satu lensa kamera sahaja. Tapi kualiti imejnya adalah yang terbaik saya kira jika dibandingkan dengan telefon pintar yang lain. Malah pada pendapat saya jauh lebih baik berbanding Huawei P30 Pro. Selain itu, anda juga perlu melihat perisian kamera itu sendiri dan tentukan sama ada ia senang digunakan atau tidak dan penggunaannya bersifat lancar atau sebaliknya.
Penutup
Itulah dia lima tonggak utama yang boleh digunakan dalam menilai telefon pintar. Saya akui ada juga beberapa kriteria yang saya tidak masukkan di sini seperti harga, alat ganti dan servis yang ditawarkan, tetapi itu semua hanyalah kriteria susulan. Lima tonggak utama ini sahaja sudah mencukupi untuk menilai secara menyeluruh telefon pintar yang anda ingin beli.
Bagi mereka yang sering membuat perbandingan secara objektif di antara telefon pintar yang wujud di pasaran, pastinya sedar yang sebenarnya tidak ada satu pun telefon pintar yang kita boleh panggil sempurna yang memenuhi kesemua kriteria lima tonggak utama yang senaraikan di sini.
iPhone walaupun memenuhi banyak kriteria, tapi baterinya tidaklah terlalu baik dan ketiadaan pengecasan pantas (quick charge) membuatkan iPhone kurang digemari. Samsung Galaxy S10+ pula walaupun memenuhi hampir semua kriteria tetapi ia mempunyai perisian yang kurang lancar dan penuh dengan bloatware. Perkara sama juga turut membelenggu Huawei P30 Pro.
Jadi sebenarnya telefon pintar ini (terutama sekali dalam kalangan peranti mercu) masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Terpulang kepada cita rasa masing-masing dalam memilih telefon pintar pilihan anda.
Rujukan
Brown, E. (2018, March 22). 8 impressive Chinese smartphones you’ve never heard of. Retrieved from ZDNet: https://www.zdnet.com/pictures/the-8-best-chinese-smartphones-i-have-seen/
Burrell, H. (2019, April 12). Best battery life phone 2019. Retrieved from Tech Advisor: https://www.techadvisor.co.uk/test-centre/mobile-phone/best-battery-life-phone-3679230/
Guide, T. (2018, May 17). The Beginner’s Guide to your Phone Battery. Retrieved from Medium: https://medium.com/@thebeginner/the-beginners-guide-to-your-phone-battery-fa31ecd142e9
Hildenbrand, J. (2019, March 5). Metal vs. plastic vs. glass vs. ceramic: Which is the best phone material? Retrieved from Android Central: https://www.androidcentral.com/metal-vs-plastic-vs-glass-which-best-material-phones
Honor 20 Pro Specification. (2019, May). Retrieved from GSM Arena: https://www.gsmarena.com/honor_20_pro-9710.php
Ismail, A. (2019, May 11). Best Smartphone Cameras 2019. Retrieved from tom’s guide: https://www.tomsguide.com/us/best-phone-cameras,review-2272.html
Johnson, L. (2014, January 28). Qualcomm: Don’t buy a smartphone because of a CPU benchmark. Retrieved from Trusted Review: https://www.trustedreviews.com/news/qualcomm-don-t-by-a-smartphone-because-of-its-cpu-2923002
Kastrenakes, J., & Brandom, R. (2018, October 24). Google mandates two years of security updates for popular phones in new Android contract. Retrieved from The Verge: https://www.theverge.com/2018/10/24/18019356/android-security-update-mandate-google-contract
McFerran, D., & Singh, S. (2017, December 22). Xiaomi Mi Mix 2 review. Retrieved from Tech Radar: https://www.techradar.com/sg/reviews/xiaomi-mi-mix-2-review/2
MKBHD. (2015, August 24). On the Perfect Smarthpone. Retrieved from YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=Nmkab1LUqlg
Munoz, R. (2018, September). Top 14 Criteria In Buying The Best Smartphone. Retrieved from Mobile Con: https://www.mobilecon2012.com/top-14-criteria-in-buying-the-best-smartphone/
Nield, D. (2018, October 2). Why Comparing Smartphone Specs is a Waste of Time. Retrieved from Gizmodo: https://gizmodo.com/why-comparing-smartphone-specs-is-a-waste-of-time-1822794285
O’Leary, D. (2016, Disember 1). Screen-on time: Why is it important, and how can I extend it? Retrieved from Android Authority: https://www.androidauthority.com/screen-time-important-725427/
Pateel, I. (2017, December 28). Smartphone Display Technologies and Terminology Explained: OLED, LCD, Strengths & Weaknesses. Retrieved from xda Developers: https://www.xda-developers.com/smartphone-display-terminology-explained/
Savov, V. (2017, April 1). The Galaxy S8’s misplaced fingerprint scanner was probably a last-minute change. Retrieved from The Verge: https://www.theverge.com/2017/4/1/15147998/samsung-galaxy-s8-fingerprint-reader-location
Takahashi, D. (2018, September 11). Newzoo: Smartphone users will top 3 billion in 2018, hit 3.8 billion by 2021. Retrieved from Venture Beat: https://venturebeat.com/2018/09/11/newzoo-smartphone-users-will-top-3-billion-in-2018-hit-3-8-billion-by-2021/
Top 5 best-selling smartphone brands in the world. (2018, December 18). Retrieved from Business Tech: https://businesstech.co.za/news/mobile/291286/top-5-best-selling-smartphone-brands-in-the-world-2/
Triggs, R. (2017, August 15). POLED vs AMOLED – what is the difference between these OLED technologies? Retrieved from Android Authority: https://www.androidauthority.com/poled-vs-amoled-792869/
What’s the Perfect Smartphone Screen Size? 5, 5.5 or 6 inches? (2019, May 22). Retrieved from Prizm Institute: https://www.prizminstitute.com/blog/perfect-smartphone-screen-size/
Woods, B. (2018, November). Smartphone screens explained: display types, resolutions and more. Retrieved from Android Pit: https://www.androidpit.com/smartphone-displays-explained
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih