Hampir dua tahun lepas, Paramount Pictures mengumumkan Gal Gadot sebagai pelakon dan penerbit untuk filem Cleopatra. Sejak itu, pemilihan bintang filem Wonder Woman itu mengundang kontroversi terutama di dunia Arab. Pada masa sama, kontroversi tersebut sedikit sebanyak menarik minat orang ramai untuk mengenali pemerintah terakhir Dinasti Ptolemy itu. Tetapi perlu diingat, ada beberapa figura wanita yang pernah memerintah Mesir selain Cleopatra.

Siapa sebenarnya Cleopatra? Baginda sebenarnya berasal dari keturunan pengasas Dinasti Ptolemy, Ptolemy I. Ptolemy I bertanggungjawab mengambil alih bahagian timur empayar Alexander the Great (Iskandar Agung) yang mangkat pada Jun 323 SM. Kawasan timur empayar Alexander terdiri daripada Mesir, kawasan pesisir pantai Syam (Syria, Lubnan dan Palestin) dan selatan Anatolia.

Selepas Firaun Ptolemy XII mangkat pada 51 SM di Iskandariah, tampuk pemerintahan dipegang secara bersama oleh Cleopatra dan adindanya Ptolemy XIII Theos Philopator. Bagi menjamin keutuhan dinasti, kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri berdasarkan wasiat terakhir ayahanda mereka. Bagaimanapun, kuasa sebenar pemerintahan terletak di tangan Cleopatra dan bukan suaminya itu.

Ikatan perkahwinan dan pertalian darah bukan halangan untuk merebut kuasa antara mereka. Sekitar tahun 48 SM, Ptolemy XIII memaksa Cleopatra turun takhta dan melarikan diri ke Syria. Sekitar tempoh ini, perang saudara Rom berlaku antara Julius Caesar dan pesaingnya Pompey. Pompey yang mendarat di Mesir berharap dapat diberi perlindungan oleh Ptolemy XIII. Bagaimanapun, sangkaannya meleset di mana atas arahan baginda, beliau dipenggal dengan kepalanya dibawa ke Julius Caesar sebagai hadiah.

Ptolemy XIII berharap dengan kepala musuh ketat Caesar, itu cukup untuk menjamin kedudukannya diiktiraf Rom. Tetapi Caesar menjadi marah dan meminta jasad Pompey dipulangkan agar disemadikan mengikut adat istiadat Rom. Peluang itu dimanfaatkan oleh Cleopatra untuk memenangi hati diktator Rom itu – bukan saja menjadikan Caesar sebagai kekasih tetapi menjamin kedudukannya sebagai pemerintah Dinasti Ptolemy.

Perubahan ini mengakibatkan Ptolemy XIII hilang kedudukan sebagai pemerintah Mesir sebelum terbunuh pada 47 SM. Hubungannya dengan Caesar menghasilkan seorang cahaya mata bernama Caesarian. Bagaimanapun, semua itu berubah apabila kekasihnya itu dibunuh oleh sekumpulan pembunuh diketuai Brutus pada 15 Mac 44 SM.

Situasi ini sekali lagi mencetuskan perang saudara, kali ini antara Octavian, anak angkat Caesar dengan rakan baiknya dan kekasih baru Cleopatra, Mark Antony. Pakatan Cleopatra-Antony gagal menewaskan beliau di Actium sekaligus mendorong kedua-duanya untuk membunuh diri. Mengikut legenda, baginda mati selepas dipatuk ular pada bahagian payu daranya.

Selain Cleopatra, beberapa pemerintah wanita terkenal muncul di Mesir seperti:

  • Shajar al-Durr

Merupakan pemerintah Mesir Dinasti Ayubiyyah. Tidak diketahui latar belakang etnik baginda sama ada berdarah Badwi, Circassia, Armenia atau Yunani mahupun tarikh lahir baginda. Tetapi yang pasti, walaupun berstatus hamba, Shajar al-Durr merupakan seorang wanita yang cantik, warak dan bijaksana. Ciri-ciri ini yang mendorong Sultan al-Malik as-Salih mengambilnya (riwayat lain mengatakan baginda dihadiahkan kepada Sultan al-Malik as-Salih).

Selepas berkahwin dengan al-Malik as-Salih, kedua-duanya dikurniakan seorang cahaya mata bernama Khalil. Disebabkan sentiasa menemani suaminya termasuk di medan perang, ini memberi baginda pengetahuan dalam hal ehwal peperangan. Pengetahuan ini dimanfaatkan baginda bagi membantu angkatan Ayubiyyah menewaskan kempen ketujuh Perang Salib diketuai Raja Louis IX dari Perancis pada 1249 dan 1250.

Selepas kemangkatan al-Malik as-Salih, kedudukan baginda digantikan oleh puteranya Turanshah. Bagaimanapun, sikap tidak mengenang budi baginda terhadap orang Mamluk, suka minum arak dan memperlakukan hamba dengan cara buruk mengakibatkan baginda dibunuh di Fariskur pada 2 Mei 1250. Kemangkatan Turanshah turut menandakan permulaan pengakhiran Dinasti Ayubiyyah.

Shajar al-Durr pada awalnya menaiki takhta sebagai sultanah tetapi kedudukan baginda tidak diiktiraf oleh kerajaan Bani Abbasiyah. Lantas, baginda berkahwin dengan panglima tentera Mamluk Izz al-Din Aybak. Perkahwinan ini menandakan permulaan pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir.

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak bertahan lama gara-gara tindakan Aybak berkahwin lagi dengan tujuan memantapkan kedudukan politiknya. Murka dengan tindakan suaminya itu, Aybak dibunuh oleh hamba-hamba Shajar al-Durr semasa mandi tetapi disamarkan sebagai kematian semulajadi. Orang Mamluk yang curiga akhirnya mengetahui cerita sebenar sebelum mengarahkan wanita tersebut dibunuh.

  • Sitt al-Mulk

Puteri kepada khalifah Fatimiyah al-Aziz Billah dan wanita berdarah Yunani-Byzantine yang beragama Kristian, baginda dilahirkan pada 970 Masihi. Baginda juga merupakan kekanda tiri khalifah al-Hakim Bi-Amr-Allah yang turut dikenali sebagai Khalifah Gila. Merupakan puteri kesayangan al-Aziz Billah, Sitt al-Mulk banyak menjadi tempat rujukan baginda dalam banyak perkara termasuk politik.

Selepas ayahandanya mangkat pada 13 Oktober 996, al-Hakim diangkat sebagai khalifah sehari kemudian. Bagaimanapun, sepanjang pemerintahan baginda, hubungan dua bersaudara itu tegang kerana banyak bertelagah dalam banyak isu terutama orang bukan Islam dan hak wanita. Malah, bohonglah kalau agenda al-Hakim yang cuba mencuri mayat Rasulullah s.a.w dari Madinah tidak diketahui oleh Sitt al-Mulk.

Ini mungkin menjelaskan mengapa baginda menghilang secara misteri pada 13 Februari 1021. Ramai percaya al-Hakim dibunuh pada hari itu atas rancangan ramai ahli kerabat Fatimiyah yang tidak senang dengan perilaku buruknya termasuk cubaan mencuri mayat Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Sitt al-Mulk terlibat dalam rancangan itu atau tidak.

Yang pasti, ini membenarkan baginda menabalkan putera saudaranya az-Zahir sebagai khalifah dengan baginda sebagai pemangku. Dalam tempoh dua tahunnya sebagai pemangku khalifah, Sitt al-Mulk amat mengambil berat soal kewangan negara. Kedudukan itu dipegang sehingga baginda meninggal dunia pada 5 Februari 1023.

  • Hatshepsut

Merupakan Firaun kelima Dinasti Ke-18 Mesir, baginda memerintah Mesir selama dua dekad dari 1479 hingga 1458 SM. Merupakan puteri kepada Thutmose I, Hatshepsut kemudiannya berkahwin dengan kekandanya Thutmose II semasa berusia 12 tahun. Apabila Thutmose II mangkat, Hatshepsut menjadi pemangku Firaun sementara putera tirinya, Thutmose III masih kecil.

Semasa era pemerintahannya, fokus diberi bukan saja kepada pembinaan monumen-monumen tetapi kepada polisi luar yang berorientasikan perdagangan. Misalnya, dari Somalia, Mesir mengimport banyak pokok untuk dijadikan sebagai mirh. Mirh ialah sejenis resin yang dihasilkan daripada sap pokok dan digunakan sebagai ubat-ubatan, minyak wangi dan pengawet untuk aktiviti pemumiaan.

Selepas Thutmose III menginjak usia dewasa, bonda tirinya turun takhta sebagai pemangku. Nama dan pencapaian baginda dipadamkan tetapi ia hanya berlaku pada tahun-tahun terakhir pemerintahan Thutmose III. Baginda kemudiannya dimakamkan di Kuil Deir el-Bahri di barat Thebes. Dunia hanya mengetahui pencapaian baginda selepas ahli kaji Mesir Purba berjaya menterjemah ukiran hieroglif di Deir el-Bahri pada 1822.

  • Zenobia

Pemerintah Palmyra pada abad ketiga Masihi, baginda dikenali kerana punya wajah jelita, bijaksana dan mampu bertutur pelbagai bahasa seperti Koptik Mesir, Yunani dan Latin. Zenobia bergelar permaisuri kepada Raja Odaenathus semasa berusia 14 tahun. Apabila Odaenathus mangkat sekitar 267/268 Masihi, baginda bertindak sebagai pemangku raja memandangkan puteranya Vaballathus masih kecil.

Pada ketika itu, kebanyakan pemerintah di Timur Tengah kebiasaannya memberi taat setia kepada Rom. Bagaimanapun, Rom bukan lagi kuasa digeruni seperti mana era Augustus, Trajan atau Marcus Aurelius. Sebabnya pada ketika itu, mereka diancam oleh puak gasar dari Germania yang berada di sebelah utara empayar.

Palmyra dianggap strategik kerana terletak di antara laluan perdagangan timur-barat membabitkan Rom, India, China dan Semenanjung Tanah Arab. Dengan kekayaan yang dimiliki dan kekacauan nun jauh di sebelah sana, ia dianggap peluang terbaik untuk membina empayar mereka sendiri.

Dalam tempoh beberapa tahun selepas kemangkatan Vaballathus, Zenobia berjaya menakluk Mesir, Syria dan sebahagian kawasan Anatolia. Tindakan baginda yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada pengaruh Rom mengundang kemurkaan maharaja ketika itu, Aurelian. Ini kerana Mesir merupakan pembekal gandum utama Rom.

Sebagai tindak balas, baginda menggerakkan ketumbukan besar Rom ke sebelah timur untuk menghentikan pemberontakan ini. Matlamat tersebut tercapai menerusi kemenangan di Immae pada 271 sebelum Palmyra ditakluk. Zenobia dan Vaballathus kemudiannya menjadi tawanan susulan kejatuhan Palmyra.

Bagaimanapun, tidak diketahui apa nasib mereka selepas itu. Ada mengatakan kedua-duanya dibawa ke Rom untuk diarak dalam perarakan kemenangan. Ada pula mengatakan kedua-duanya mangkat sebelum sempat dibawa ke sana.

RUJUKAN

Farazi Saber, I. (2022, 11 Januari). More than Cleopatra: Four other women that ruled Egypt. Middle East Eye.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply