Pada malam yang lebih mulia berbanding seribu bulan, al-Qur’an dinuzulkan kepada Nabi Junjungan sebagai risalah panduan buat umat akhir zaman. Sejak kalam-kalam Tuhan itu diturunkan, ia dipelihara dalam ingatan dan dicatatkan pada lembaran kulit haiwan, helaian potongan kayu, ketulan batu, pelepah tamar, dan tulang unta dan kambing yang telah pun disamak.

Walaupun al-Qur’an dipelajari pada hayat baginda menerusi kaedah hafazan secara bertalaqqi (lutut bertemu lutut, baik antara baginda dan Jibril mahupun baginda dan para sahabat), baginda turut meminta sebahagian sahabat yang dipertanggungjawab sebagai jurutulis wahyu untuk mencatatkannya dengan segera.

Antara jurutulis wahyu paling terkemuka dalam kalangan sahabat baginda ialah Sayyidina Abdullah ibn Saad, Sayyidina Uthman ibn Affan, Sayyidina Ali ibn Abi Talib, Sayyidina Ubay ibn Kaab, Sayyidina Zaid ibn Thabit, dan Sayyidina Muawiyah ibn Abi Sufyan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh penurunan wahyu yang sebahagian pendapat mengatakan berlangsung selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari (sekitar 610-633 Masehi; 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah), al-Qur’an tidaklah dikompilasikan dalam satu naskhah himpunan sebaliknya ia secara berserakan berada dalam simpanan baginda, Ummahatul Mukminin, dan para sahabat.

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QUR”AN

Usaha pengumpulan al-Qur’an hanya dimulakan pada zaman kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, iaitu selepas Sayyidina Umar al-Khattab meluahkan kebimbangan kalau-kalau al-Qur’an akan hilang jika tidak dikumpulkan.

Kebimbangan ini lahir kerana ramai huffaz (penghafaz al-Qur’an) gvgvr sya hid dalam Pert3mpvran al-Yamamah yang berlaku pada tahun ke-12 Hijrah. Menurut kitab sirah, pertempuran menentang pasukan Musaylamah al-Kazzab itu mengorbankan kira-kira 500 (sebahagian riwayat menyebut 700 orang) penghafaz al-Qur’an.

Tangkap layar babak dalam Khalid ibn Walid – B4ttl3 of Yamamah

Justeru, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Sayyidina Zaid ibn Thabit pun dibentuk dan mereka digalaskan dengan tugas menghimpunkan al-Qur’an; tugas yang disifatkan jauh lebih berat berbanding mengalihkan bukit.

Proses pengumpulan ini memakan masa sekitar 15 bulan. Mushaf yang dikumpulkan tersebut digunakan sehingga tahun ke-23 Hijrah, yakni tahun pemergian Sayyidina Umar al-Khattab. Pada zaman kekhalifahan Sayyidina Uthman, mushaf tersebut disimpan oleh Sayyidatina Hafsaf, puteri ‘Umar yang merupakan salah seorang Ummahatul Mukminin.

Memandangkan Islam berkembang lebih meluas pada zaman Sayyidina ‘Uthman, yakni hingga ke Asia Tengah dan Afrika Utara, maka berlaku perbezaan dalam cara bacaan al-Qur’an. Hal ini tidaklah menghairankan kerana al-Qur’an diajarkan secara hafazan dan mushaf yang ada ketika itu pula hanya senaskhah. Keadaan ini kemudian disampaikan oleh Sayyidina Huzaifah ibn al-Yamani kepada khalifah.

Lantas, sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh Sayyidina Zaid ibn Thabit, ‘Abdullah ibn Zubair ibn al-‘Awwam, Said al-‘As, dan Abdul Rahman al-Harith pun ditugaskan menyalin semula mushaf yang tersimpan di rumah Sayyidatina Hafsah menjadi enam mushaf, disebut sebagai mushaf Uthmani. Lima daripada mushaf tersebut kemudian diedarkan ke lima tempat, iaitu Mekah, Madinah, Syam, Kufah, dan Basrah bagi tujuan menyeragamkan cara bacaan (qira’at) al-Qur’an.

Semenjak itu, dari semasa ke semasa, penulisan al-Qur’an mengalami perkembangan yang melibatkan beberapa fasa; iaitu fasa penambahan titik sebagai penanda baris (nuktatul i’rob), fasa penambahan titik pada huruf (nuktatul i’jam), dan fasa peletakan tanda bacaan seperti panjang mad, tasydid, dan lain-lain.

Penulisan al-Qur’an dan pembacaannya turut diperindah dengan perkembangan pelbagai bentuk tulisan khat dan qira’at. Sehingga ke hari ini, sebahagian mushaf al-Qur’an dari zaman awal masih tersimpan di perpustakaan dan masjid di seantero dunia. Justeru, dalam perkongsian kali ini, kami ingin lampirkan lima manuskrip al-Qur’an paling tua setakat yang telah ditemui.

1 – MANUSKRIP BIRMINGHAM (c. 645 MASEHI)

Tangkap layar babak dalam Khalid ibn Walid – B4ttl3 of Yamamah

Manuskrip al-Qur’an Birmingham merupakan sebahagian daripada manuskrip Timur Tengah dalam Koleksi Mingana yang disimpan di Perpustakaan Penyelidikan Cadbury. Koleksi tersebut dikumpulkan pada 1920-an oleh Alphonse Mingana (men!ngg4l dunia 1937), seorang paderi Katolik-Chaldea kelahiran Mosul.

Usaha berkenaan menerima pembiayaan daripada Edward Cadbury dan bertujuan mengangkat kedudukan Birmingham sebagai pusat intelektual, khususnya dalam bidang kajian keagamaan, di samping menggamit kehadiran ilmuwan teologi dari seluruh dunia. Perpustakaan Penyelidikan Cadbury dicatatkan menyimpan sekitar 4 juta manuskrip dan 200,000 buah buku langka, yang antaranya termasuklah 3000 dokumen yang merupakan sebahagian dari koleksi Mingana (Birmingham, 2015).

Manuskrip al-Qur’an Birmingham terdiri daripada dua lembaran kulit kambing/biri-biri yang ditulis dalam khat ḥijāzī pada kedua-dua halamannya; depan dan belakang. Lembaran pertama mencakupi ayat ke-17 hingga 22 dari surah al-Kahfi dan sambungannya, iaitu ayat ke-23 hingga 31 ditulis pada halaman belakang. Lembaran kedua pula mengandungi ayat ke-91 hingga 98 dari surah Maryam dan 12 ayat pertama surah Taha, sambil halaman belakangnya memuatkan ayat ke-13 hingga 33 dari surah sama (Dhulkifli, 2020).

Walaupun manuskrip al-Qur’an Birmingham sudah berada dalam simpanan universiti tersebut sejak 1930-an, signifikasinya hanya disedari pada tahun 2015. Individu pertama yang bertanggungjawab memulakan penelitian akademik dan ujian pentarikhan radiokarbon ke atas manuskrip tersebut ialah Alba Fedeli, seorang penyelidik di Universiti Birmingham yang diberi akses langsung ke koleksi Mingana.

Beliau yang menyedari perbezaan ketara pada dua lembaran berkenaan lantas menghantarnya ke sebuah makmal di Universiti Oxford bagi menjalani ujian pentarikhan. Ujian tersebut dijalankan oleh Radiocarbon Accelerator Unit dan hasilnya mendapati, ia berusia sekitar 568-645 Masehi dengan peratusan ketepatan adalah 95.4% (Coughlan, 2015).

Petikan manuskrip Birmingham

Bagaimanapun, tarikh tersebut diragui oleh dua orang pengkaji dari institusi lain, iaitu Saud al-Sarhan yang merupakan Pengarah Penyelidik di Pusat Kajian dan Pendidikan Islam Raja Faisal di Riyadh, dan Gabriel Reynold yang bertugas sebagai profesor di Times Literary Supplement (Zuher, 2015). Keraguan mereka berdua didasarkan kepada dua faktor, iaitu ujian radiokarbon itu sendiri dan juga gaya tulisan pada manuskrip berkenaan.

Menurut mereka, tulisan pada manuskrip Birmingham mempunyai titik dan tanda baca sedangkan menurut sejarah perkembangan penulisan al-Qur’an, kedua-duanya hanya mula digunakan pada kurun-kurun terkemudian. Sementara itu, tarikh yang diperoleh daripada hasil ujian radiokarbon hanya melibatkan kulit kambing dan bukannya tulisan itu sendiri. Sedangkan, dalam tradisi penulisan masyarakat Arab, wujud kemungkinan lembaran tersebut dibasuh dan tulisan asalnya dipadam bagi membuat tulisan baru sebagaimana yang berlaku pada manuskrip al-Qur’an Sana’a.

Apapun, manuskrip al-Qur’an Birmingham masih tetap dianggap sebagai antara manuskrip al-Qur’an tertua di dunia. Pada hari ini, ia tersimpan rapi di Universiti Birmingham dan menurut rekod, ia pernah dipamerkan untuk tontonan awam pada 2 hingga 25 Oktober 2015.

2- MANUSKRIP SANA’A (c. 671 MASEHI)

Semasa kerja-kerja pembaikpulihan Masjid Jamek Sana’a dilakukan pada tahun 1972, sejumlah manuskrip lama ditemui dan antaranya termasuklah kira-kira 1000 lembaran al-Qur’an yang berkeadaan lusuh. Manuskrip al-Qur’an Sana’a atau lebih dikenali sebagai palimpsest Sana’a (Sana’a 1) dipercayai merupakan lembaran paling tua antara kesemuanya.

Bagaimanapun, kesemua lembaran tersebut hanya disedari statusnya sebagai naskhah tulisan al-Qur’an pada tahun 1981. Sepanjang tempoh tersebut, ia hanya disimpan di dalam guni yang ditempatkan di masjid berkenaan. Setelah statusnya diketahui, Jabatan Barangan Antik Yaman dengan bantuan beberapa buah universiti luar negara berusaha sedaya-upaya untuk memulihkan kesemua lembaran tersebut (Awareness, 2008).

Palimpsest Sana’a dianggap signifikan bukan sahaja kerana usianya yang tua, tetapi kerana lembarannya mempunyai dua lapisan tulisan; lapisan pertama yang telah dipadam dan lapisan kedua yang ditulis di atas lapisan pertama. Pada tahun 2007, manuskrip tersebut dihantar oleh Uwe Bergmann ke Stanford Radiotion Laboratory di Stanford Linear Accelerator Center (SLAC) untuk menjalani ujian pengimejan pendafluer X-Ray (Bible-Qur’an, n.d.). Ujian tersebut bertujuan mengesan dan menjejak kimia-kimia dakwat yang tertinggal pada lembaran manuskrip.

Hasil ujian tersebut membolehkan para penyelidik membaca tulisan pada lapisan pertama yang telah dipadam sekali gus kerja-kerja perbandingan antara tulisan pertama dan kedua pun dapat dilakukan. Penelitian lanjut mendapati ayat-ayat suci al-Qur’an pada lembaran Sana’a ditulis menggunakan khat ḥijāzī, dengan lapisan keduanya bertepatan dengan resam Uthmani manakala lapisan pertama pula memperlihatkan variasi yang berbeza, yakni cara penulisan sebelum resam Uthmani diperkenalkan.

Sebagai contoh, ayat ke-87 surah al-Baqarah yang ditulis pada lapisan pertama berbunyi wa-qaffaynā ‘alā āthārihi manakala lapisan kedua yang selaras resam Uthmani pula berbunyi wa-qaffaynā min ba’dihi (Norman, n.d.). Terdapat juga perbezaan-perbezaan lain sebagaimana yang ditunjukkan pada gambar berikut.

Ujian pentarikhan radiokarbon yang dilakukan ke atas manuskrip Sana’a mendapati ia berusia kira-kira 40 tahun selepas kewafatan baginda, atau sekitar 671 Masehi (Sidek, 2019). Pada hari ini, manuskrip tersebut dijaga rapi di Masjid Jamek Sana’a, Yaman.

3 – KODEKS PARISINO-PETROPOLITANUS (c. 675 MASEHI)

Manuskrip al-Qur’an Parisino-Petropolitanus terdiri daripada 98 lembaran al-Qur’an yang ditemui dalam longgokan manuskrip lama yang tersimpan di Masjid Amr al-As di Fustat, Mesir. Ia berada dalam simpanan masjid berkenaan sejak lewat kurun ke-7 atau awal kurun ke-8 Masehi sehingga lewat kurun ke-19 Masehi.

Pada tahun 1864, sebahagian manuskrip al-Qur’an Parisino-Petropolitanus dibeli oleh seorang penyelidik dari Perancis bernama Jean-Joseph Marcel dan ia dijadikan sebagai koleksi Perpustakaan Negara Russia di St. Petersburgh. Sebelum itu, sebahagian lembaran lain dibeli oleh Jean-Louis Asselin de Cherville, pegawai konsul Perancis yang bertugas di Kaherah. Helaian-helaian tersebut kemudian diserahkan kepada Bibliothèque Nationale di Paris pada tahun 1833.

Walaupun manuskrip Parisino-Petropolitanus dijumpai di Mesir, profesor Yassin Dutton menerusi kajiannya mendapati ia ditulis mengikut qira’at Ibn Amir al-Dimasyqi, justeru beliau menyimpulkan manuskrip berkenaan dihasilkan di Syria (Awareness, 2008). Turut dipercayai ia ditulis oleh lima orang, mungkin bertujuan mempercepatkan proses penyalinan.

Pentarikhan usia manuskrip Parisino-Petropolitanu dikemukakan oleh dua orang penyelidik, iaitu François Déroche dan S. Noja Noseda yang masing-masing meletakkannya sekitar 675 Masehi. Kesemua 98 lembaran al-Qur’an ini berukuran 33 cm x 24 cm dan setiap lembaran memuatkan 22-26 baris. Kandungan ayat-ayat suci al-Qur’an di dalamnya ditulis menggunakan khat ḥijāzī dan mencakupi lebih 45% dari keseluruhan isi kandungan al-Qur’an (Norman, nd).

Pada hari ini, manuskrip tersebut disimpan di empat buah institusi; iaitu Bibliothèque Nationale di Paris (70 folio), Perpustakaan Negara Russia (26 folio), Biblioteca Apostolica Vaticana (1 folio), dan Koleksi Kesenian Islam Islam Nasser D. Khalili di London (1 folio) (Oldest, nd).

4 – MANUSKRIP TÜBINGEN (649-675 MASEHI)

Semenjak dibeli oleh seorang pegawai konsul Prussian yang bertugas di Damsyik bernama Johann Gottfried Wetzstein pada tahun 1864, manuskrip Tübingen berada dalam simpanan Perpustakaan Universiti Tübingen. Bagaimanapun, hanya pada 11 November 2014 barulah manuskrip berkenaan menjalani penelitian lanjut di bawah projek Documenta Coranica di Eberhard Karls Universität Tübingen (Norman, nd).

Projek tersebut dijalankan sebagai usahasama antara Académie des Inscriptions et Belles-Lettres Paris dan Berlin-Brandenburgischen Academy of the Sciences and Humanities, dengan tajaan oleh German Research Foundation (DFG) dan Agence National de la recherché (ANR) (Mediavelist, nd).

Ujian pentarikhan radiokarbon mendapati manuskrip tersebut berusia sekitar 649-675 Masehi, dengan peratusan ketepatan adalah 95%. Manuskrip yang terdiri daripada 77 folio atau helaian ini berukuran 19.5 cm x 15.3 cm, dengan setiap halaman memuatkan 18-21 baris (Awareness, 2010). Manuskrip al-Qur’an Tübingen mengandungi ayat ke-33 surah al-Isra’ sehingga ayat ke-57 surah Yasin, yang secara keseluruhannya mencakupi 26.2% kandungan al-Qur’an (Sidek, 2019).

Sehingga kini, manuskrip tersebut dijaga rapi di Perpustakaan Universiti Tübingen. Kandungannya telah pun didigitalkan dan ia boleh dilihat di sini.

5 – MANUSKRIP BIRU (c. 1020 MASEHI)

Manuskrip al-Qur’an Biru atau al-Mushaf al-Azraq dari Dinasti Fatimiyah masyhur sebagai antara manuskrip al-Qur’an paling indah dan paling mewah pernah dihasilkan. Ia dihasilkan di Afrika Utara khusus untuk Masjid Jamek Uqba di Qairawan, Tunisia. Usianya dianggarkan sekitar lewat kurun ke-9 hingga awal kurun ke-10, atau untuk memberikan tarikh tunggal, sekitar 1020 Masehi.

Ayat-ayat suci yang terkandung di dalamnya ditulis dalam khat Kufi dengan menggunakan tinta emas. Lembarannya pula diperbuat daripada kertas velum berwarna biru dan dihiasi dengan perak-perak bergemerlapan. Setiap lembarannya berukuran 37.5 x 28.6 inci dan ia memuatkan sehingga 15 baris (Subhan, 2018).

Secara keseluruhan, Manuskrip Biru mempunyai kira-kira 600 lembaran. Namun kini, hanya sekitar 100 lembaran sahaja yang terselamat (Studies, 2018). Ia disimpan di pelbagai muzium dan masjid di serata dunia. Antaranya adalah Masjid Jamek Cordoba, Masjid Jamek Qairawan, Muzium Kesenian Islam Raqqada (Tunisia), Muzium Kesenian Metropolitan (New York), Muzium Aga Khan (Toronto), dan Muzium Kesenian California.

RUJUKAN

Hassan, Hasliza. (1 Jun 2018). Hayati Sejarah Penulisan al-Qur’an. Berita Harian.
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/06/432916/hayati-sejarah-penulisan-al-quran

MyKMU. (10 Mei 2020). Menyingkap Tabir Sejarah Peristiwa Penurunan al-Qur’an (Nuzul al-Quran).
https://mykmu.net/2020/05/10/menyingkap-tabir-sejarah-peristiwa-penurunan-al-quran-nuzul-al-quran/

Oldest. (n.d.) 7 Oldest Qurans in the World.
https://www.oldest.org/religion/qurans/

Sidek, Namri. (25 April 2019). 5 Koleksi al-Quran Paling Tua Di Dunia Yang Ditemui Setakat Ini. Iluminasi.
https://iluminasi.com/bm/5-koleksi-al-quran-paling-tua-di-dunia-ditemui-setakat-ini.html

Dhulkifli, Muhammad Luthfi. (1 April 2020). Manuskrip Birmingham Diklaim Sebagai Al-Quran Tertua Di Dunia. Islami.co.
https://islami.co/manuskrip-birmingham-diklaim-sebagai-al-quran-tertua-di-dunia/

University of Birmingham. (22 Julai 2015). Birmingham Qur’an manuscript dated among the oldest in the world.
https://www.birmingham.ac.uk/news/latest/2015/07/quran-manuscript-22-07-15.aspx

Coughlan, Sean. (22 Julai 2015). ‘Oldest’ Koran fragments found in Birmingham University. BBC News.
https://www.bbc.com/news/business-33436021

Hassan, Zuher. (30 Oktober 2015). Birmingham Qur’an manuscript, is it as early as claimed? Muslim News.
http://muslimnews.co.uk/newspaper/comment/birmingham-quran-manuscript-is-it-authentic/

Bible-Quran. (n.d.). Sana Quran.
https://bible-quran.com/sana-quran/

Norman, Jeremy. (n.d.). The Sana’a Palimpsest, “the Only Known Extant Copy from a Textual Tradition Beside the Standard Uthmanic…” History of Information.
https://www.historyofinformation.com/detail.php?id=180

Islamic Awareness. (10 April 2008). Codex Sana’a I – A Qur’anic Manuscript From Mid-1st Century of Hijra.
https://www.islamic-awareness.org/quran/text/mss/soth

Norman, Jeremy. (n.d.). The Codex Parisino-Petropolitanus, One of the Oldest Surviving Manuscripts of the Quran. History of Information.
https://www.historyofinformation.com/detail.php?id=4322

Islamic Awareness. (28 Jun 2008). Codex Parisino-Petropolitanus – A Qur’anic Manuscript from 1st Century Hijra.
https://www.islamic-awareness.org/quran/text/mss/arabe328a.html

Norman, Jeremy. (n.d.). Another Possibility for the Earliest Surviving Manuscript of the Qur’an.
https://www.historyofinformation.com/detail.php?id=4274

Islamic Awareness. (17 Oktober 2010). Codex M a VI 165 – A Qur’anic Manuscript from the 1st Century Hijra at the Universitätsbibliothek Tübingen, Germany.
https://www.islamic-awareness.org/quran/text/mss/tubingen.html

Mediavelists.net. (n.d.). Early copy of the Qur’an discovered.
https://www.medievalists.net/2014/11/early-copy-quran-discovered/

Hidayat, Subhan, (2018). Al-Qur’an Biru (Blue Qur’ran), Manuskrip Paling Mewah Yang Pernah Dibuat. Kaligrafi Islam.
https://kaligrafi–islam.blogspot.com/2018/01/al-quran-biru-blue-quran-manuskrip.html

The Institute of Ismaili Studies. (20 Februari 2018). The Blue Qur’an.
https://www.iis.ac.uk/content/blue-qur


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.