Nama Lim Bo Seng sepatutnya terpaku dalam sejarah Malaysia. Namun, peristiwa demi peristiwa yang dilaluinya menyebabkan nama dia dipandang serong oleh salah faham masyarakat Malaysia.
Dia antara individu yang betul-betul terlibat dalam menentang Jepun dari sebelum pendaratan Jepun. Kematiannya di tangan pengkhianat menjadikan pengorbanannya tidak ternilai.
Lim Bo Seng bukanlah anak watan Tanah Melayu mahupun Singapura. Tetapi dilahirkan di bandar Meilin, Fujian di China pada 27 April 1909. Seorang peniaga, dia antara individu yang paling awal menggerakkan gerakan anti-Jepun di rantau Asia Tenggara.
Motif
Boleh dikatakan motif Lim Bo Seng untuk menggerakkan gerakan anti-Jepun adalah nasionalisme pro-Republik China. Ketika itu, Republik China menganggap semua individu berketurunan Cina di luar China sebagai warganegara China. Golongan ini dipanggil Cina luar negeri, ataupun Huáqiáo (华侨). Malahan, kerajaan Republik China yang kemudiannya digantikan kerajaan komunis Republik Rakyat China hanya berhenti menganggap orang keturunan Cina di luar China sebagai rakyat China selepas tahun 1974.
Oleh itu, dari segi konteks nasionalisme menentang penjajah, Lim Bo Seng bukanlah contoh yang sesuai. Namun, pengorbanan beliau tetap perlu diingati dari segi konteks percubaannya untuk menggagalkan atau melemahkan penjajahan Jepun di rantau ini.
Jasa
Sikap anti-Jepun Lim Bo Seng begitu ketara dari awal lagi.
Perekrut dan Pemberi Dana
Apabila tercetusnya Perang Sino – Jepun pada tahun 1937, Lim Bo Seng antara individu yang menggerakkan sukarelawan dari rantau Asia Tenggara ke China untuk menentang Jepun. Tindakan tersebut bagi menyahut seruan kerajaan Kuomintang di Kunming.
Mogok
Pada tahun 1937, apabila mendapat tahu kewujudan sebuah lombong besi di Dungun, Terengganu yang dimiliki oleh kerajaan Jepun, dia bersama seorang rakannya telah mengajak seramai 3,000 pekerja lombong tersebut untuk mogok bagi mengganggu operasi perlombongan.
Mogok tersebut membawa kesan kerana kerajaan Jepun terpaksa menggantikan pekerja di situ dengan pekerja baru. Sekaligus mengganggu bekalan bahan mentah untuk kegunaan kempen perang Jepun di China.
Walaupun 3,000 pekerja itu kehilangan kerja, dia membawa mereka berhijrah ke Singapura dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan baru di situ.
DalForce
Usaha Lim Bo Seng tidak berhenti di situ. Dalam usaha mengekang kemaraan Jepun, dia terlibat membantu Lt Kol John Dalley, seorang pegawai tentera British untuk mengumpulkan pemuda Cina pro-Kuomintang untuk memasuki pasukan sukarelawan anti-Jepun yang dikenali sebagai DalForce. Pasukan DalForce.
Seramai 4,000 orang berjaya direkrutkan, dengan separuh daripada kumpulan itu berpaksikan Parti Kuomintang dan separuh lagi berpaksikan komunis. Namun, bilangan senjata yang tidak mencukupi menyaksikan kurang daripada separuh diberikan senjata senapang patah dengan sekitar 5 butir peluru sahaja.
Apabila Jepun menawan Singapura, kesemua anggota DalForce yang berjaya ditangkap Jepun telah dihukum tembak di kawasan Pasir Ris. Seramai 300 orang terkorban di tangan Jepun sama ada dalam pertempuran atau semasa dihukum mati.
Anggota-anggota lain pula berjaya melarikan diri sama ada ke Tanah Melayu untuk menyertai gerakan bawah tanah ataupun ke India untuk menyertai semula pasukan Force 136. Tetapi dipercayai kebanyakan mereka turut menjadi mangsa kekejaman Kempetai Jepun dalam Operasi Sook Ching, yang dipercayai memakan korban antara 10,000 sehingga 70,000 korban meliputi kawasan dari Singapura sehingga ke Johor.
Disebabkan penglibatan aktif Lim Bo Seng menentang Jepun sebelum perang lagi, Lim Bo Seng antara individu yang British telah bawa keluar ke India.
Merekrut dan Melobi
Namun, lari ke India tidak bermakna dia mendiamkan diri. Antara Februari 192 sehingga Ogos 1943, dia telah bergerak ke Kunming untuk mengatur strategi bersama kepimpinan Tentera Nasionalis Republik China.
Melalui usahanya, Tentera Berikat telah berjaya merekrut ratusan pemuda berketurunan Cina dari China sehingga ke Kanada untuk dimasukkan ke dalam operasi-operasi Force 136 dan SOE di serata Asia Tenggara.
Walaupun Force 136 itu pasukan di bawah kawalan British yang dipelopori antaranya Kapt John Davis, Kapt Peter Dobree, Kapt Spencer Chapman, tenaga dan kudrat individu yang direkrut oleh Lim Bo Seng yang menjayakan operasi Force 136. Antara individu yang direkrut oleh Lim Bo Seng adalah bekas pemain badminton Singapura, Tan Chong Tee.
Menurut Kapt John Davis, tanpa usaha berterusan dan lobi oleh Lim Bo Seng, Force 136 mungkin tidak akan ditubuhkan kerana Tentera Berikat ketika itu lebih menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengelakkan India tumbang ke tangan Jepun.
Dengan Burma di tangan Jepun serta kebangkitan semangat nasionalisme di kalangan orang India, sokongan kepada British di India ketika itu mulai goyah. Apatah lagi di pihak Jepun, adalah Indian National Army yang ditubuhkan oleh Subhash Chandra Bose dengan kerjasama dengan Jepun.
Kaitan Lim Bo Seng dengan Gerakan Penentang Askar Wataniah Pahang
Pasukan Force 136 yang dibinanya bersama dengan British turut menjadi penyokong kepada pasukan Askar Wataniah Pahang yang dipimpin Yeop Mahidin dan turut disertai oleh Kapt Abdul Razak (Tun), Ghazali Shafiee (Tun), Kapt Hussein Onn (Tun).
Gerakan tersebut yang ditubuhkan oleh Yeop Mahidin dengan izin Sultan Pahang itu pada asalnya bergerak di luar payung Force 136. Menurut mendiang Profesor Cheah Boon Kheng, pengkaji tersohor sejarah Perang Dunia Kedua dan sejarah PKM, tindakan Ibrahim Yaacob dan segelintir anggota Kesatuan Melayu Muda yang membantu pendaratan Jepun di Tanah Melayu telah menyebabkan British sangsi akan orang Melayu dan tidak percaya orang Melayu akan membantu menentang Jepun.
Apatah lagi, percubaan Kapt John Davis untuk merekrut pelayar-pelayar Melayu di Liverpool gagal. Dan bilangan sukarelawan Melayu pula tidak ramai, majoriti daripada orang Melayu yang sudah sedia ada dalam Tentera British dan Tentera India, termasuklah Lt Muda Tunku Osman Jewa (bersara Jeneral – PAT ketiga) dan Lt Muda Ibrahim Ismail (bersara Jeneral – PAT kelima – Operasi Oatmeal – operasi risik balas terbaik SOE di rantau Asia Tenggara).
Force 136 – Operasi Gustavus
Kumpulan pertama gerila yang diseludup masuk ke Tanah Melayu adalah Gustavus I, tetapi tidak melibatkan Lim Bo Seng. Sebaliknya melibatkan Kapt John Davis dan sepasukan gerila.
Lim Bo Seng sendiri mendarat di Tanah Melayu pada 2 November 1943 dalam operasi Gustavus V menggunakan nama Tan Choon Lim. Pendaratan dibuat di Pulau Sembilan tidak jauh dari Pulau Pangkor menggunakan kapal selam Tentera Laut Belanda O24. Dia terpaksa menyamar dengan nama lain kerana Jepun telah meletakkan harga tinggi ke atasnya.
Setibanya di Perak, Lim Bo Seng berjaya menghubungi Kapt John Davis yang ketika itu berada di dalam kem MPAJA bersama dengan Chin Peng.
Percubaan Lim Bo Seng untuk membina rangkaian perisikan bagi pihak Tentera Berikat menemui kegagalan apabila seorang anggota komunis telah ditahan oleh Kempetai. Anggota komunis yang mengenali Lim Bo Seng itu kemudiannya mengkhianati Lim Bo Seng dan pasukan Gustavus sehinggakan kesemua mereka berjaya ditahan. Berbeza pula dengan maklumat oleh Tan Chong Tee, dia mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya dikhianati oleh rakan sepasukan mereka dari Gustavus I, iaitu Wu Beng Chye.
Selain Lim Bo Seng, turut tertangkap adalah Tan Chong Tee. Keseluruhan pasukan Gustavus tumbang sekitar Mac 1944, tidak sampai 4 bulan kehadiran mereka di Tanah Melayu.
Kematian
Lim Bo Seng pada asalnya cuba menafikan identitinya. Tetapi pengkhianatan terhadapnya menyebabkan Kempetai mudah mengenalpasti identitinya.
Menurut Tan Chong Tee, pengkhianat mereka yang bernama Mo Ching telah sukarela memberi maklumat kepada Kempetai. Malahan dia telah terdengar suara Mo Ching ketawa gembira ketika berbual dengan Kempetai ketika dia membocorkan nama demi nama ejen Operasi Gustavus. Namun begitu, pengkhianat tersebut kemudiannya turut membantu Tan Chong Tee daripada dibunuh di hujung perang, mendapatkan balik keyakinan pasukan Gustavus terhadapnya.
Lim Bo Seng diseksa oleh Kempetai untuk memaksanya membocorkan maklumat. Diseksa, dia bertindak melaksanakan mogok lapar bagi membantah seksaan ke atasnya.
Pada masa sama, dia terus memberi semangat kepada rakan-rakannya yang turut tertangkap bersama. Malahan ketika kesihatannya semakin surut, dia sempat berpesan agar terus menentang Jepun untuk mengelakkan lebih ramai dibunuh.
Dengan keadaan tubuh yang lemah akibat diseksa, Lim Bo Seng dijangkiti disentri. Setelah menahan sakit hampir seminggu tanpa bantuan perubatan, dia akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 Jun 1944 di Penjara Batu Gajah.
Kematian Lim Bo Seng sekaligus menggagalkan perancangan Jepun untuk mengorek rahsia pasukan Force 136. Walaupun Tan Chong Tee dan rakan-rakannya masih ditahan Kempetai, kematian Lim Bo Seng menyebabkan Kempetai lebih berhati-hati dengan saki-baki anggota Operasi Gustavus untuk usaha mereka mengorek lebih banyak maklumat.
Selepas perang, mayatnya dibawa ke Singapura untuk dikebumikan.
Namun, keadilan untuk Lim Bo Seng gagal diperoleh apabila pengkhianatnya, Wu Beng Chye dilepaskan daripada tindakan. Sehingga ke saat kematiannya, Tan Chong Tee beranggapan dia sendiri turut menyumbang kepada kesilapan ini kerana menyembunyikan kesangsiannya terhadap Wu Beng Chye ketika menyiapkan laporan medan peristiwa yang dilalui ketika dalam tahanan Jepun.
Implikasi
Tumbangnya pasukan Gustavus tumbang tidak memberi banyak kesan ke atas penjajahan Jepun di Tanah Melayu ketika itu. Ketika itu, walaupun MPAJA memiliki seramai 5,000 sehingga 6,000 anggota gerila bersedia menggempur tentera Jepun, keupayaan mereka cumalah untuk menyerang pasukan-pasukan terpencil. Malahan tidak berupaya untuk digerakkan pada ketumbukan yang besar kerana pergerakan sedemikian perlu melalui Setiausaha Agung PKM ketika itu, iaitu Lai Tek.
Tanpa pengetahuan PKM dan John Davis, Lai Tek telah membelot kepada Jepun dan menjadi ejen kepada Kempetai.
Lai Tek juga hampir-hampir membuat perjanjian dengan Ibrahim Yaacob yang memegang pangkat Lt Kolonel dalam pasukan sukarela tempatan pro-Jepun untuk bekerjasama menentang pendaratan British. Sekiranya rancangan tersebut dilakukan itu dilaksanakan, kesemua pegawai Tentera Berikat yang berada bersama pasukan MPAJA akan dibunuh.
Walaupun perancangan itu tidak menjadi, maklumat-maklumat tersebut sampai ke tangan British juga apabila Kolonel Oishi Masayuki disoalsiasat Kolonel (dinaikkan pangkat di hujung perang) John Davis selepas tamat perang. Kolonel John Davis mula mengesyaki tujuan Lai Tek kerana Lai Tek langsung tidak memberitahu Kapt John mengenai pengkhianatannya dan perjumpaannya dengan Ibrahim Yaacob walaupun Kolonel John Davis adalah pegawai yang menguruskan atau handler kepada Lai Tek sebagai ejen kepada Special Branch Singapura.
Menurut Tan Chong Tee, dia turut memberi amaran kepada Kolonel Davis agar berhati-hati dengan elemen PKM dalam MPAJA. Dia percaya bahawa mereka telah menyembunyikan senjata mereka di dalam hutan dan hanya menyerahkan senjata yang telah rosak kepada British di hujung perang. Dan dia percaya bayaran gantirugi hujung perang sebanyak $350 bagi setiap pucuk senjata itu hanya akan disalurkan kembali kepada PKM untuk gerakan menentang British.
Kesan kepada Legasi Lim Bo Seng
Seperti di awal rencana ini, pengorbanan Lim Bo Seng tidak dipandang tinggi di Malaysia mungkin kerana taat setianya adalah kepada kerajaan Republik China, yang kemudiannya menganugerahkan pangkat Mejar Jeneral kepadanya.
Tindakan MPAJA bermaharajalela selama 14 hari sebelum kembalinya British sedikit memburukkan legasi Lim Bo Seng di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Walaupun sumbangannya kepada pergerakan anti-Jepun, dia sering kali disalah anggap sebagai sebahagian daripada MPAJA. Malahan, dalam filem Lt Adnan, Lim Bo Seng yang dilakonkan oleh Yang Kassim telah disalah label sebagai orang kanan Lai Tek.
Selain Lim Bo Seng, legasi Sybil Kartigesu juga terjejas akibat tindakan hitam MPAJA menghukum orang awam sewenang-wenangnya.
Namun, biarpun beliau disalah erti sebilangan rakyat akibat tindakan oleh orang lain, tanpa pengorbanannya, Tentera Berikat sudah tentu sukar melaksanakan gerakan subversif terhadap Jepun.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih