Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik dan awet muda. Dalam usaha mendapatkan penampilan fizikal yang jelita, tak sah jika ada yang berbelanja ratusan ringgit hanya semata-mata untuk kelihatan cantik. Tetapi alam semulajadi ciptaan Tuhan banyak menawarkan sumber yang boleh dimanfaatkan manusia termasuk soal kecantikan. Satu tumbuhan yang amat sesuai dalam konteks ini ialah pokok lidah buaya.
Lidah buaya atau aloe vera merupakan sejenis spesies tumbuhan herba daripada keluarga Liliaceae. Lidah buaya berasal daripada Afrika Utara dan mudah ditemui di seluruh dunia kerana spesies tumbuhan ini boleh beradaptasi dalam semua bentuk iklim.
Terdapat hampir 420 spesies lidah buaya yang boleh ditemui di seluruh dunia. Lidah buaya mengandungi 96% kandungan air sementara 4% lagi ialah minyak pati, asid amino, mineral, vitamin, enzim dan glikoprotein.
Penduduk Mesir semasa era Tamadun Mesir Purba telah mula menggunakannya sebagai antiseptik sejak tahun 1500 SM lagi sebagai penawar kepada jangkitan kuman, serangan penyakit dan kelecuran akibat terbakar. Bahkan, nama ‘aloe’ itu juga berasal daripada perkataan Arab (alloeh) yang bermaksud pahit.
Pokok lidah buaya banyak ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan di rumah. Namun begitu, pokok lidah buaya mempunyai khasiat dan kegunaan yang sangat bermanfaat untuk kegunaan manusia sama ada dalam bidang perubatan atau kosmetik. Tahukah anda, 80% populasi dunia menggunakan tumbuhan herba ini untuk merawat penyakit. Jika anda mempunyai pokok lidah buaya di rumah, ianya amat bermanfaat bukan saja sebagai antiseptik tetapi juga sebagai makanan tambahan.
Pokok lidah buaya mempunyai daun yang tajam dan dikelilingi duri berbentuk taji. Panjang daunnya boleh mencapai antara 15 – 20 cm panjang. Bunga pokok ini berwarna kuning kemerahan. Tumbuhan herba ini membiak dengan cara pembiakan anak. Bahagian lidah buaya yang digunakan untuk tujuan perubatan dan kosmetik ialah bahagian daunnya.
Walaupun sudah diamalkan sejak era purba lagi, pengamal perubatan moden hanya mula menggunakan lidah buaya sejak tahun 1930-an. Lidah buaya elok dijadikan makanan tambahan kerana dapat membantu menguatkan sistem pertahanan badan, melancarkan peredaran darah, meningkatkan kecekapan buah pinggang, pundi kencing, hati dan sistem penghadaman serta mengurangkan masalah asid berlebihan dalam badan.
Cara menggunakan lidah buaya
1. Jika anda mengalami kelepuhan atau kelecuran, sapukan saja gel daripada daun lidah buaya pada bahagian yang terkena. Lidah buaya juga boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan ketika demam dengan menyapu gel pada kepala dan dahi. Proses penyembuhan luka juga dapat dipercepatkan dengan menyapu bahagian luka dengan gel aloe vera.
2. Berikutan lidah buaya mengandungi kandungan air yang tinggi, lidah buaya berupaya menghapuskan sel kulit mati, melembapkan kulit dari dalam dan membuatkan kulit menjadi lebih kenyal. Jika anda selalu merungut kerana kulit kering, sapukan sahaja gel lidah buaya dan lihat perbezaannya.
3. Jika anda sering berdepan dengan masalah kulit, simpanlah pokok lidah buaya. Sifat anti-alergi pada lidah buaya sangat efektif dalam menyembuhkan semua jenis masalah kulit seperti kegatalan dan kemerahan, benjolan dan psoriasis.
4. Apabila kulit bersih dan lembap, ia bukan sahaja menjadikan kulit sihat malah menjadikan kelihatan lebih berseri. Dengan menjadikan sapuan gel lidah buaya pada kulit wajah sebagai rutin, ia dapat membuang sel kulit mati dan menambah sel kulit baru sekaligus mencerahkan warna kulit.
5. Lazimnya seseorang itu akan berhadapan dengan kesan regangan pada kulit atas beberapa sebab seperti kehamilan, penuaan atau pengurangan berat badan. Kesan tersebut sudah pasti mewujudkan rasa tidak selesa terutama kaum Hawa. Usah risau, sapukan sahaja lidah buaya pada kawasan kulit regang dan lama-kelamaan kesan tersebut akan hilang.
RUJUKAN:
1. Free Malaysia Today. (2018). Lidah buaya rahsia kulit cantik. https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2018/06/28/lidah-buaya-rahsia-kulit-cantik/
2. Abd Rahman, Munirah. (2019). Lidah Buaya (Aloe vera): Tumbuhan Antiseptik Yang Perlu Ditanam Di Setiap Rumah. Majalah Sains. https://www.majalahsains.com/lidah-buaya-aloe-vera-tumbuhan-antiseptik-yang-perlu-ditanam-di-setiap-rumah/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih