Ada satu trend yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat hari ini. Trend satu kelompok manusia yang menggelar diri mereka pejuang hak asasi dan liberal. Kelompok sebegini melihat diri mereka sebagai penyelamat masyarakat dan mahu melaksanakan aspirasi perjuangan dalam masyarakat walaupun ia bertentangan sama sekali dengan pegangan dan fahaman yang didukung kelompok majoriti hari ini. Persoalan sekarang, apakah mereka benar-benar pejuang liberal dan hak asasi seperti yang dicanang atau mereka hanya peniru semata-mata? Mari kita lihat.
1.) Pendukung hak asasi manusia.
Kelompok berfahaman liberal sebenar tidak akan berdiam diri bila melihat hak asasi manusia dicabuli. Ini kerana pada mereka, hak asasi manusia ialah sesuatu yang suci dan harus dipertahankan sebaik mungkin. Bila mana ianya dicabuli, ia menandakan kerosakan pada nilai moral manusiawi dan harus ditentang sebaik mungkin bagi mengelak pencabulan tersebut berulang. Bagi kelompok liberal yang wujud hari ini, mereka memilih bulu tentang hak asasi siapa yang harus dipertahankan.
Sekiranya ia dapat menarik perhatian dunia dan berbaloi jadi bahan utama berita di kaca televisyen, tetuang radio atau di dada akhbar atau portal media, maka ia berbaloi untuk dipertahankan walaupun ia mengundang sindiran dan kritikan orang ramai. Namun andai ia dilihat tiada nilai propaganda yang boleh meningkatkan lagi kesedaran tentang aspirasi perjuangan mereka, maka isu-isu kemanusiaan yang membelenggu dunia seperti isu kebuluran di Yaman atau penindasan rejim Zionis ke atas warga Palestin, ia akan dipandang sepi.
2.) Menganggap kerajaan sebagai ‘necessary evil’ untuk mempertahankan kebebasan individu.
Satu perkara menarik berkenaan liberalisme ialah pendukungnya berpandangan kerajaan harus berperanan sebagai perisai untuk melindungi kebebasan individu tetapi pada masa sama, tidak terlalu keras sehingga dianggap menindas dan mengetepikan kebebasan individu. Pada mereka, kebebasan individu ini penting kerana setiap individu berhak menentukan pilihan mereka dalam sesuatu keputusan.
Tetapi pada masa sama, jika mereka merasakan pilihan yang dibuat mengancam kebebasan individu di sekelilingnya, maka kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan individu yang berfahaman radikal dan ekstrem ini tidak lagi menjadi ancaman kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Namun dalam situasi hari ini, kelompok yang mengaku diri mereka pendukung liberal tidak lagi melihat kerajaan sebagai ‘necessary evil’, sebaliknya menganggap kerajaan yang punya pendirian, bertentangan dengan mereka sebagai kejahatan yang perlu dihapuskan. Pada kelompok sebegini, kerajaan sedemikian tidak ada pendirian moral dan tiada kelayakan untuk memerintah. Dan mereka merasakan, mereka paling layak untuk mengisi peranan ‘necessary evil’ mengikut acuan mereka sendiri.
3.) Mengangkat prinsip manusia berfikiran rasional.
Liberalisme melihat manusia sebagai makhluk yang mampu berfikiran rasional dan boleh menyelesaikan sesuatu konflik melalui kompromi dan rundingan. Pada mereka, logik solusi terbaik bila berhadapan dengan konflik kerana logik membolehkan manusia melihat sesuatu perkara secara objektif dan bebas daripada unsur bias. Namun, kelompok ‘pejuang’ liberalisme ini tidak mampu bersikap objektif dan rasional seperti yang dinyatakan oleh orang-orang sebelum mereka seperti Voltaire dan Robespierre, lebih-lebih lagi dalam isu-isu sensitif.
Pada mereka, mereka melihat diri mereka lebih besar daripada kelompok majoriti dan menganggap diri mereka penguasa moral terunggul walaupun hujah-hujah mereka sama sekali bertentangan dengan pegangan dan fahaman majoriti. Bila mana mereka merasakan autoriti mereka tercabar, mereka tidak melawan menggunakan logik dan fakta, mereka menggunakan hujah-hujah falasi yang meloyakan tekak dan menyerang peribadi individu yang tidak sefahaman dengan mereka.
4.) Liberalisme mengangkat kebebasan beragama.
Liberalisme sebenar mengangkat kebebasan beragama dan melihat mana-mana individu atau kumpulan yang menghalang kebebasan beragama sebagai pentaksub yang menolak toleransi dan kepelbagaian dalam masyarakat. Ini kerana pada mereka, menjadi hak bagi mana-mana individu mengamalkan agama dengan bebas tanpa sebarang diskriminasi atau prejudis. Jika wujud sebarang bentuk halangan untuk mengamalkan agama, walaupun sebesar hama, ia menandakan diskriminasi atau prejudis kepada agama tersebut sekaligus mewujudkan suasana kurang sihat dalam masyarakat. Bila ianya dibiarkan, ia akan mewujudkan ketidakadilan, penyebaran fahaman radikalisme dan dogma perkauman tidak bertempat sehingga menyebabkan sesebuah masyarakat berpecah dan merosakkan nilai ekonomi, sosial dan politik sesebuah tempat.
Bagi pengamal kononnya liberalisme ini, kebebasan beragama tidak menjadi tumpuan utama mereka kerana ia sama sekali tidak menyumbang apa-apa kepada aspirasi perjuangan mereka. Bagi mereka, kebebasan beragama versi mereka ialah melihat kelompok majoriti menerima kebebasan versi mereka walaupun ia dianggap mencabuli sama sekali prinsip asas kebebasan. Dan mereka mahukan manusia melihat pengamal kebebasan sebegini sebagai kompas moral dalam kehidupan seharian. Dan kelompok liberal jadian ini juga tidak segan-silu menjadikan agama sebagai bahan tunggangan dalam kempen mereka sekiranya ia bersesuaian dengan naratif perjuangan.
5.) Liberalisme dan demokrasi.
Penyokong liberal sebenar menjunjung prinsip demokrasi. Pada mereka, prinsip demokrasi harus dihormati kerana pada ketika itu, ia menunjukkan keupayaan mutlak individu dalam membuat keputusan paling penting, menentukan siapa yang bakal memerintah dan mentadbir mereka. Cara ini dicapai dengan menganjurkan satu pemilihan pada tempoh tertentu di mana kerajaan dan pemimpin dipilih melalui undi majoriti popular. Prinsip ini harus dihormati semua walaupun sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka. Penyokong liberal berpandangan ia merupakan keputusan dan pilihan individu yang bebas dari unsur bias.
Namun dalam suasana dunia hari ini, walaupun ramai secara umum menyokong liberalisme dan demokrasi, tetapi pada masa sama, mereka juga membakulsampahkan prinsip tersebut sekiranya keputusan tidak memihak mereka. Tidak seperti John Locke dan John Adams yang ragu-ragu tentang keupayaan pemilihan individu tetapi tetap menerima demokrasi, kelompok liberal jadian ini melihat kekalahan calon atau parti mereka sebagai tanda kematian demokrasi. Mereka menganggap proses demokrasi tersebut tercemar, kotor dan bias.
6) Liberalisme menjunjung kebebasan memilih individu.
Asas kepada liberalisme ialah kebebasan memilih itu sendiri. Tanpa adanya kebebasan itu sendiri, apa erti sebuah liberalisme? Pada pendukung liberalisme, kebebasan memilih itu yang mendefinisikan manusiawi dan apa impak pilihan mereka pada setiap aspek kehidupan. Walaupun pilihan individu ini kadang-kadang membuatkan manusia menggaru kepala, punya tanggapan berbeza padanya atau melihat dengan penuh minat, kita harus hormati kerana itu yang menjadikan dirinya manusia dan apa yang dipilih itu bersesuaian dengan kehendak dirinya. Namun, tidak seperti penyokong liberal sebenar, liberal jadian ini menolak sama sekali kebebasan memilih ini.
Pada mereka, mereka ada autoriti moral untuk mempersoal pilihan yang dibuat walaupun benda tersebut bersifat remeh atau berkait secara langsung dengan fahaman atau agama individu tersebut. Mereka bukan saja memperlekeh individu yang buat pilihan berbeza dengan mereka. Bahkan, mereka menganggap individu sebegini tidak ada pendirian moral seperti mereka dan tidak layak dijadikan kompas moral atau contoh teladan kepada manusia lain di luar sana, walaupun individu tersebut hanyalah seorang kanak-kanak atau orang kelainan upaya (OKU). Bagi mereka, orang-orang sebegini hanyalah tempelan saja dan tiada suara dalam menangani konflik moral seharian.
Akhir kalam, saya sudah tunjukkan apa beza liberalisme dan kelompok yang mengaku diri mereka pendukung liberal. Soalan cepu mas, masihkah anda rasa liberalisme masih wujud bila menonton tajuk utama di televisyen, portal media atau dada akhbar? Anda tentukan.
Sumber:
Harry K. Girvetz, Richard Dagger, Kenneth Minogue, Terence Ball, Politics, Liberalism, Britannica, https://www.britannica.com/topic/liberalism
Marc D. Stern, Is Religion Compatible with Liberal Democracy, http://www.trincoll.edu/depts/csrpl/religion%20and%20liberal%20democracy/relibdem.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih