Ada seorang aktres baru muncul pada skrin tayangan anda. Cantik, unik dan lengkap segala pakej sebagai seorang aktres baharu. Tapi, nanti dulu. Dia rupa-rupanya bukan manusia!
Memperkenalkan, Li Li Ziren, iaitu pelakon AI pertama di China yang muncul dalam siri TV bersama rakan-rakan pelakon manusia yang lain. Pelakon yang dijana AI itu memainkan peranan sebagai Er Zhuang dalam siri drama “I Am Nobody,” siri TV Cina yang diterbitkan oleh Tencent Animation and Comics dan diedarkan oleh Youku, platform penstriman video China yang dimiliki oleh gergasi e-dagang Alibaba.
Sepantas itu jugalah nama aktres AI ini mula tular dalam kalangan peminat drama. Tapi, ia bukanlah kerana bakat lakonannya, namun persamaan wajahnya dengan seorang lagi aktres terkenal China, iaitu Angelababy.
Kenapa syarikat produksi menggunakan aktres yang dijana AI untuk siri drama mereka?
Berbanding menggunakan CGI untuk mencipta watak Er Zhuang, syarikat produksi lebih memilih untuk menggunakan AI super realistik iaitu Li Li untuk memberikan watak itu lebih kualiti seperti manusia.
Namun, apa yang utama, Li Li dicipta melalui stand-in manusia serta hasil kerja pasca produksi. Sebenarnya, pelakon yang dijana AI seperti Li Li memikat hati syarikat dan pengguna di China kerana, aktres begini semestinya mempunyai rekod bersih, tanpa terperangkap dalam sebarang skandal.
Berbanding dengan robot AI terdahulu yang telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia, Li Li kelihatan semula jadi dan hiperrealistik dalam pergerakannya. Pelakon itu, yang turut menggunakan nama Leah dalam talian, mempunyai halaman IMDbnya sendiri dan jumlah peminatnya semakin meningkat di seluruh platform media sosial China. Dan pasukan produksi hanya mengambil masa satu minggu untuk menghidupkannya.
Ketika syarikat teknologi di China sedang mencipta pelbagai variasi AI yang lain, pelakon AI seperti Li Li terus menarik ratusan ribu peminat dalam talian, dengan sesetengahnya masih tidak yakin bahawa dia sebenarnya bukanlah manusia.




No comments yet