Bangsa Jepun hari ini mempamerkan sikap penyatuan yang amat mengagumkan. Mereka berjaya mengimarahkan kejayaan luar biasa kerana berpegang pada satu identiti. Ketunggalan identiti ini berpiagamkan kewarganegaraan, yang mana Jepun adalah sebuah bangsa dan negara.
Dan bangsa ini adalah negara. Kiranya Jepun mengamalkan sikap kebangsaan yang betul-betul jitu. Akan tetapi bangsa ini sebenarnya terbentuk daripada dua kelompok berbeza (Gershon, 2021).
DNA mendedahkan yang bangsa Jepun adalah asimilasi daripada dua ramuan. Pertama, sekumpulan masyarakat 20,000+ tahun lalu digelar kelompok Jomon.
Mereka mula mendiami bumi Jepun yang ketika itu masih ada jalan darat dengan Semenanjung Korea. Tetapi antara 20,000 hingga 15,000 tahun lalu, jalan darat ini mula ditenggelami air akibat kenaikan aras laut.
Lalu Jomon bagaikan terkαηdαs di Jepun, hidup hanya dengan cara memungut hasil hutan. Lama mereka menyendiri sini, betul-betul terasing daripada perkembangan dunia sebelum bertemu dengan kelompok kedua iaitu petani Yayoi daripada Asia Timur sekitar 900 S.M. (Baker, 2021).
Inilah teori dipegang saintis: dua kelompok manusia yang membentuk sebuah bangsa. Namun nampaknya teori ini betul tetapi tidak begitu tepat.
Memang benar – Jepun dulu ada satu kelompok tunggal, yang kemudian dikunjungi kelompok kedua. Tetapi saintis menemui sebenarnya ada kelompok ketiga iaitu bangsa Kofun yang mengunjungi Jepun antara tahun 300 hingga 700 (Cooke, et al., 2021).
Di sini semua mungkin nampak yang dua pendatang mengambil tanah daripada induk. Sebenarnya tidak. Jomon sudah lama berada di bumi itu, barangkali dari 38,000 tahun lalu lagi. Seperti yang dijelaskan, mereka memungut hasil hutan.
Itulah gaya hidup mereka, yang tidak sesuai untuk berkembang dengan pesat. Sebelum kedatangan Yayoi, kelompok Jomon ini dipercayai ada 1,000 orang sahaja.
Maka dari awal lagi, Yayoi ada segala kelebihan yang diperlukan untuk membangunkan sebuah bangsa. Sesiapa yang boleh menghasilkan makanan sendiri mampu menguasai dunia. Jomon belajar pertanian daripada Yayoi.
Bersama-sama, mereka menjalinkan silaturahim dan berasimilasi antara satu sama lain. Saintis dengan yakin berpendapat Yayoi tidak menggantikan Jomon yang sememangnya proto-Jepun.
Mereka memang berasimilasi. Dan kedatangan Kofun kemudian melengkapkan antara satu sama lain dan memulakan perjalanan Jepun ke arah status imperialisme dibawah Mikado Meiji.
Selepas kedatangan Kofun barulah Jepun mula aktif dalam bab politik. Mereka ibaratkan kunci terakhir untuk membuka pintu sosiobudaya negara Jepun yang dikenali hari ini.
Banyak kajian sudah dijalankan untuk mengenal pasti tahap kepekatan DNA Jomon dan Yayoi dalam kalangan rakyat Jepun. Kajian terkini mendapati 8 hingga 45 peratus populasi moden mempunyai DNA milik kelompok Jomon (Osada & Kawai, 2021).
Walaupun masih menebal, Jomon adalah minoriti sebenarnya. Lebih daripada 90 peratus rakyat Jepun mempunyai DNA Yayoi (Yu, 2019). Fakta ini sudah lama diketahui saintis, yang berpegang pada Ramuan Dua Kelompok. Selepas mengenal pasti kelompok Kofun, semua pakat menjalankan kajian.
Mereka mendapati 71 peratus daripada rakyat Jepun moden mempunyai DNA Kofun. Memang tiga kelompok ini benar-benar bergaul dan berasimilasi. Kalau tidak, tentu sekali Jepun akan ada DNA satu kelompok sahaja.
Inilah keindahan DNA, yang menjadi bagaikan sisa orang terdahulu. Daripada DNA, saintis membuka jendela baru dalam usaha memahami populasi Jepun. Rupa-rupanya bangsa-bangsa ini datang bergelombang.
Entah satu hari nanti, saintis boleh tahu tentang pengalaman seorang manusia (atau sebuah bangsa) melalui DNA. Mungkin Yahudi masih simpan maklumat DNA untuk memahami apa yang berlaku sepanjang 1930-1945. Sekadar contoh.
RUJUKAN:
Baker, H. (2021, September 20). Ancient bones reveal previously unknown Japanese ancestors. Live Science.
Cooke, N., et al. (2021, September 17). Ancient genomics reveals tripartite origins of Japanese populations. Science Advances.
Gershon, L. (2021, September 21). DNA Analysis Rewrites Ancient History of Japan. The Smithsonian Magazine.
Osada, N., & Kawai, Y. (2021). Exploring models of human migration to the Japanese archipelago using genome-wide genetic data. Anthropological Science. 129 (1): 45-58.
Yu, F. (2019, Jun 11). ‘Jomon woman’ helps solve Japan’s genetic mystery. NHK World.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih