Hutan adalah khazanah alam yang tidak ternilai. Ia merupakan habitat bagi 80% biodiversiti daratan dan turut menjadi tempat tinggal bagi lebih 300 juta manusia termasuklah 60 juta orang asli. Seramai 1.6 billion manusia bergantung hidup secara langsung pada hasil-mahsul hutan, dengan pendapatan tahunan yang diperoleh daripadanya mencecah sebanyak 75-100 billion dollar.
Hutan juga amat berperanan dalam menangani isu pemanasan global, selain turut menjadi agen utama yang membekalkan oksigen buat hidupan di bumi.
Secara purata, sebatang pokok yang matang boleh menyerap lebih 21 kg karbon dioksida setahun dan mengeluarkan sehingga 118 kg oksigen untuk tempoh yang sama. Jumlah tersebut cukup untuk menampung keperluan oksigen harian bagi 2 hingga 10 orang, dan menangkap 25-30% karbon dioksida yang ada di atmosfera.
Menurut Penilaian Sumber Hutan Global 2020 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), luas keseluruhan hutan dunia mencecah 4.06 billion hektar. Keluasan ini mewakili 31% daratan bumi dan menyamai saiz tiga buah negara Russia.
Namun, bumi kehilangan kira-kira 10 juta hektar hutan setahun akibat aktiviti pembalakan. Ini menyamai saiz negara Portugal bagi tempoh sedekad. Justeru, usaha penghutanan semula dipergiat dan mujur, ia berhasil menampung separuh dari jumlah kehilangan tersebut.
Hari ini, usaha penghutanan semula memperkenalkan kita kepada satu istilah iaitu The Great Green Wall. Istilah ini merujuk kepada projek penghutanan semula yang dijalankan di beberapa buah rantau, antaranya China, India, dan Afrika.
The Great Green Wall di China misalnya telah pun diiktiraf sebagai hutan-buatan yang terbesar di dunia, dengan saiznya pada hari ini mencecah lebih 500,000 km persegi. Hutan buatan ini dijangka akan meliputi sebanyak 42% dari keluasan China menjelang tahun 2050 kelak.
Bagaimana pun, ini adalah kisah projek penghutanan semula berskala nasional. Di India, ada satu cerita tentang bagaimana hutan seluas 1,360 ekar atau 5.5 km persegi diusahakan oleh tangan seorang lelaki.
Nama lelaki ini ialah Jadev Payeng. Lahir pada tahun 1963 dan membesar di Pulau Majuli, berhampiran Jorhat, India. Latar belakangnya sederhana sahaja. Bapa (Lakhiram) dan ibunya (Aphuli Payeng) menternak kerbau dan lembu serta menjual susunya bagi menampung tiga belas orang anak. Jadev adalah anak ketiga.
Tahun demi tahun, Majuli kerap dilanda banjir dari limpahan Sungai Brahmaputra. Banjir ini mengakibatkan tebing sungai terhakis. Lebih separuh dari pulau tersebut sudah pun tenggelam dalam tempoh 70 tahun kebelakangan. Dianggarkan bahawa pada 20 tahun akan datang ia akan lenyap sepenuhnya.
Bagi menangani keadaan ini, Jabatan Perhutanan Assam berencana untuk melaksanakan projek penghutanan semula. Namun, projek tersebut dibatalkan– untuk kemudiannya diusahakan secara sendirian oleh Jadev Payeng.
Pada usia 16 tahun, Jadev berhenti belajar dan menumpukan sepenuh perhatian bagi menjaga ternakan ibu ayahnya sambil setiap hari menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok bagi mengurangkan masalah hakisan tanah di Pulau Majuli.
Beliau bermula dengan menanam pokok buluh, sebelum menambah tumbuhan lain seperti pokok jati, pokok baheda, pokok gambhari, pokok asam jawa, pokok mulberi, pokok mangga, pokok beringin, pokok nangka dan banyak lagi.
Lama-kelamaan, hutan jadi semakin lebat. Ia diberi nama Hutan Molai dengan jumlah pokoknya dianggarkan sebanyak 1.5 juta. Semuanya ditanam dalam tempoh 40 tahun. Kelebatan hutan ini mengundang haiwan-haiwan liar untuk datang dan menjadikannya habitat. Antaranya termasuklah arnab, rusa, harimau, badak sumbu, dan gajah.
Kehadiran gajah inilah yang mengubah hidup Jadev. Pada tahun 2008, kira-kira 100 ekor gajah liar memasuki kawasan hutan tanamannya. Hal itu dilaporkan oleh Jadev kepada jabatan perhutanan – hanya untuk digelakkan kerana setahu mereka, tiada hutan di Pulau Majuli.
Pun begitu, mereka tetap hantar beberapa individu untuk lakukan tinjauan. Semenjak itu, usaha Jadev mula mendapat perhatian. Beliau diberikan beberapa anugerah dan malah dijemput berucap di TED Talk.
Kisah beliau juga ditampilkan dalam beberapa dokumentari pemenang anugerah, seperti Forest Man yang boleh ditonton menerusi pautan yang diberi. Selain dokumentari, kisah Jadev turut dimasukkan ke dalam buku teks di India dan Amerika Syarikat, di samping menginspirasikan buku cerita kanak-kanak berjudul Jadav and the Tree Place (versi video).
Sebagai penghargaan atas jasanya, Jadev dianugerahi Anugerah Padma Shri 2015 dan Anugerah Karmayogi 2020. Pada Disember lalu, beliau menandatangani perjanjian dengan Fundacion Azteca, sebuah NGO dari Mexico bagi menjalinkan kerjasama untuk menanam 7 juta pokok di negara berkenaan.
Siapa sangka, seorang yang berasal dari latar belakang sederhana sepertinya mampu menjadi pempengaruh peringkat antarabangsa? Semuanya bermula dari benih pertama yang ditanamnya pada usia 16 tahun.
RUJUKAN
Fourtane, Susan. (11 September 2018). Jadav Payeng: The Man Who Planted an Entire Forest by Himself. Interesting Engineering.
Nath, Hemanta Kumar. (9 June 2021). India’s ‘Forest Man’ Jadav Payeng is on a new mission to make Mexico greener. India Today.
Ritchie, Hanah and Roser, Max. (2021). Forest and Deforestation. Our World in Data.
Tapalaga, Andrei. (5 February 2021). The Man Who Transformed the Desert Into a Forest by Planting Trees for 40 Years. History of Yesterday.
Tentree. (n.d). 10 Reasons Why Forests Are Important.
Zoeller, Chezza. (15 July 2021). Reforestation Hero: Jadav Payeng. One Earth.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih