Munehisa Homma, lahir pada tahun 1724 dan membesar di bandar Sakata, Jepun yang terkenal dengan aktiviti perdagangan beras. Beliau amat bertuah kerana meniti kehidupan bersama sebuah keluarga yang kaya raya. Keluarga Homma memiliki ladang sawah seluas mata memandang dan secara tidak langsung terlibat dengan aktiviti dagangan beras.

Pada tahun 1750, Homma diberi tanggungjawab untuk mengetuai aktiviti perniagaan beras keluarganya setelah kematian bapa beliau. Mengikut tradisi keluarga, anak yang lebih tua atau anak sulung dipilih untuk mengetuai perniagaan keluarga. Namun, hal ini bercanggah apabila Homma yang merupakan anak bongsu dan lebih muda berbanding adik – beradik yang lain, dipilih untuk meneruskan perniagaan keluarga beliau.

Namun begitu, perkara ini bukanlah satu masalah yang besar bagi keluarga mereka, kerana Homma sejak kecil lagi telah membantu dan bersama bapanya menguruskan perihal dagangan beras ini. Dengan pengalaman yang beliau miliki, maka, beliau mempunyai ‘ tiket ’ untuk dilantik sebagai pengurus perniagaan beras keluarganya.

Penghormatan Penguasa

Setelah beberapa tahun berniaga di Sakata, beliau berjaya meluaskan empayar perniagaan beliau di bandar Osaka dan Edo yang kini lebih dikenali sebagai Tokyo. Kejayaan dan kekayaan beliau semakin mencuri perhatian masyarakat dan penguasa tempatan.

Beliau telah dianugerahkan pangkat Samurai dan ditawarkan pangkat sebagai Penasihat Kewangan oleh penguasa tempatan pada ketika itu. Di samping itu juga, pihak penguasa memberi autoriti kepada beliau untuk menjalankan perdagangan beras. Maka, bertambah kayalah Homma dengan penganugerahan tersebut kerana masyarakat setempat yang mahu membeli beras, hanya perlu berurusan dengan beliau.

Dari Kupon Kepada ‘ Candlestick ’

Sasaran pelanggan perniagaan beras keluarga Homma hanyalah tertumpu di kawasan Sakata, Osaka dan Edo. Namun begitu, perniagaan yang berpusat di  Sakata ini juga menerima permintaan beras dari kawasan selainnya seiring dengan peningkataan permintaan beras.

Maka, untuk memudahkan urusan perniagaan, beliau telah memperkenalkan sistem kupon untuk menjual dan membeli beras pada paras harga tertentu. Hal ini sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan keuntungan perniagaan beras beliau kerana para pelanggan boleh membeli dan menjual beras sebelum fizikal beras selamat sampai ke kawasan mereka pada masa dan tarikh yang tertentu.

Konsep daripada sistem yang digunapakai oleh Homma ini telah ditemui dan dikaji oleh Steve Nison. Setelah ranum kefahaman terhadap sistem tersebut, Steve Nison telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk, “Japanese Candlestick Charting Techniques” pada tahun 1991.

Hasil daripada pengenalan sistem ini di barat, dunia perdagangan saham dan pertukaran mata wang asing telah memperkenalkan satu sistem paparan utama harga pasaran yang diberi nama, “Japanese Candlestick” yang mengambil inspirasi daripada sistem yang digunapakai oleh Homma. Sehingga kini, paparan jenis “ Japanese Candlestick ” masih lagi relevan dan digunakan  oleh para pedagang digital dunia pada hari ini.

Sapu Rata Billionaire Dunia

Desas – desus mengatakan bahawa kekayaan bersih Homma melebihi 100 bilion US dolar jika dibandingkan dengan nilai matawang ketika ini. Jika mahu dibandingkan dengan kekayaan bersih pedagang hebat pada masa ini, Warren Buffet, menurut Forbes, kekayaan bersih yang diraih beliau bernilai 80.6 bilion US Dolar. Secara tidak langsung, Homma berjaya mendahului beliau sebanyak 20 billion US dolar. Kaya.

Menurut Forbes juga, kekayaan bersih Mark Zuckerberg, mencecah nilai 95.5 bilion US dolar pada hari ini (13 Ogos 2020). Sekaligus, Munehisa Homma ‘menyapu rata’ Mark Zuckerberg dan Warren Buffet. Haha. Tewas mereka dengan Si Penjual Beras.

Namun begitu, perlu diingatkan, jumlah kekayaan bersih Homma hanyalah rumor sahaja. Tidaklah melalui pengiraan khusus untuk melayakkan nilai 100 billion sebagai angka mutlak bagi kekayaan bersih beliau. Tenang. Haha.

Kesimpulannya, sama-samalah kita berusaha meningkatkan ekonomi diri dan keluarga, sekaligus menyumbang kepada kemajuan umat, bangsa dan watan.

“Kekayaan tidak dinilai daripada banyaknya harta tetapi kaya jiwa. ” – Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

RUJUKAN:

Pip SniperIf you are new to Forex, & Sniper, P. (2020, May 31). Munehisa Homma: The Creator of Candlestick Trading. Retrieved August 13, 2020, from https://learnpriceaction.com/munehisa-homma/

History of Japanese Candlestick Analysis. Retrieved August 13, 2020, from https://www.technicalanalysisofstocks.in/articles/history-of-japanese-candlestick-analysis/

Vision, G. (2018, December 12). The Rice Origins of the Candlestick. Retrieved August 13, 2020, from https://blog.genesis.vision/the-rice-origins-of-the-candlestick-2d889cb22e21

Real Time Billionaires. Retrieved August 13, 2020, from https://www.forbes.com/real-time-billionaires/

Nik Abdul Aziz Nik Mat Quotes (Author of Bicara Ini Demi Ilahi). Retrieved August 13, 2020, from https://www.goodreads.com/author/quotes/1701504.Nik_Abdul_Aziz_Nik_Mat

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pena, wadah intelek agama, bangsa dan watan.

Comments are closed.