Tumbukan cross tangan kanan tepat ke dagu Andy.
Tumbukan hook tangan kiri tepat ke pipi Andy.
Serta merta tangan kanan Joshua bergerak
menumbuk muka Andy, dan Joshua menyudahkan dengan hook tangan kirinya yang berbisa.
Serta merta Andy Ruiz Jr. terduduk di
tengah gelanggang.
Ini merupakan pusingan ketiga perlawanan
tinju professional antara Anthony Joshua dan Andy Ruiz Jr. Mempertaruhkan empat
gelaran dari empat entiti tinju yang berbeza, pemenang akan membawa pulang
gelaran Juara Tinju yang diiktiraf empat agensi tinju antarabangsa – WorldBoxing Association (WBA), International
Boxing Federation (IBF), World Boxing
Organization (WBO) dan International
Boxing Organization (IBO).
Kredit Gambar: gq-magazine.co.uk
Anthony Oluwafemi Olaseni Joshua, atau
lebih dikenali sebagai Anthony Joshua atau AJ, merupakan Juara Tinju sebelum
perlawanan tersebut berlangsung. Namun begitu, hidupnya sebagai sang juara
tidaklah semudah yang disangkakan.
Dari umur 16 tahun, Joshua menghadapi
banyak masalah. Merupakan seorang pemain bola dan atlet pada masa tersebut, AJ
pernah terlibat dalam pergaduhan sewaktu beliau sedang bermain bola untuk
sekolahnya. Akibat dari pergaduhan itu, dia dikenakan amaran kerana melakukan
kekerasan, dan pernah pada satu tahap, AJ direman akibat bergaduh di Reading,
England.
Tuah membawa Joshua keluar dari hidup
yang bermasalah.
Pada tahun 2007, sepupu Joshua, Ben
Ileyemi, yang juga merupakan seorang peninju professional membawa AJ yang pada
itu baru berusia 17 tahun ke gym tempat dia berlatih. Joshua pada waktu itu
hanya mahu melakukan senaman ringkas dan angkat berat, namun apabila dia diberi
peluang menyarungkan sarung tangan tinju, ternyata dia terasa ‘hidup’.
Sejak dari itu, Joshua mula fokus dalam
berlatih tinju, mula menyertai pertandingan tinju amatur English bagi divisyen
super-weight (amat berat). Dia menang kejuaraan tinju amatur tersebut, dan
dalam masa 2 ½ tahun selepas itu, Joshua dipanggil untuk persiapan mewakili
Great Britain dalam sukan Olimpik London 2012.
Dengan persiapan selama 2 tahun (bermula
pada 2010), AJ dilatih oleh ramai peninju dan bekas juara tinju dari Britain,
antaranya Richie Woodhall. Joshua menunjukkan semangat yang jitu sewaktu latihan,
dan ternyata latihannya membuahkan hasil apabila AJ membawa pingat emas setelah
berjaya menewaskan Roberto Cammarelle dari Itali, yang merupakan bekas pemenang
pingat emas acara tinju di temasya Olimpik Beijing 2008.
Setelah berjaya menjadi Juara Olimpik,
Joshua mula mengorak langkah dalam menjadi atlet tinju professional. Antara
rekod utama yang dimiliki oleh Joshua pastinya adalah rekod tanpa kalah beliau.
Bayangkan, 20 perlawanan menentang peninju professional lain, tanpa kalah?
Kredit Gambar: thesun.co.uk
Berlainan kisahnya dengan Anthony Joshua,
Andy Ruiz Jr. mula terlibat dalam sukan tinju sejak kecil lagi. Menurut beliau,
ayahnya memaksa dia untuk bertarung sejak dari umur enam tahun. Dia
menghabiskan setahun latihan di gym sebelum mula bertinju secara amatur di San
Diego, California.
Mungkin berkat latihan dari bapanya, Andy
berjaya memenangi dua pingat emas dalam Mexican National Junior Olympics serta
menjuarai World Ringside Heavyweight Championship. Pada tahun 2008 di Olimpik
Beijing, Ruiz mewakili Mexico dalam pusingan kelayakan namun kalah kepada
peninju dari Cuba, Robert Alfonso, dan peninju Colombia, Oscar Rivas.
Road to Boxing Day
Pada asalnya, lawan Joshua bukanlah Andy. Niat asal Joshua adalah untuk bertarung dan merampas gelaran juara dari World Boxing Counci (WBC), Deontay Wilder. Wilder memiliki rekod tanpa kalah, dan sekiranya Joshua berjaya mengalahkan Wilder, dia akan mendapat gelaran Juara Baru dan memegang 5 title Juara Dunia dari agensi yang berbeza. Namun perlawanan ini tidak menjadi realitI kerana Wilder dijadualkan berlawan dengan seorang lagi perninju lain, Tyson Fury.
Setelah beberapa perbincangan bersama
peninju lain berlaku, pihak Joshua bersetuju untuk bertarung menentang Jarrel
Miller, peninju dari Amerika Syarikat dengan rekod 23-0-1 (20 KOs) pada 1 Jun
2019 di Madison Square Garden, New York. Perlawanan ini akan menjadi
debut bagi Joshua di bumi Amerika, dan jualan pembukaan mendapat sambutan yang
amat menggalakkan.
Namun begitu, sesuatu yang buruk terjadi.
Pada 19 April 2019, Miller didapati bersalah kerana positif bahan terlarang,
GW1516. Susulan daripada pengunguman dari Voluntary
Anti-Doping Association itu, Miller tidak diberi lessen untuk bertinju oleh
New York State Athletic Commission.
Pihak Joshua yang berang dengan perkara ini ingin membatalkan perlawanan tersebut. Namun begitu, akibat jualan tiket yang amat menggalakkan, adalah agak memalukan sekiranya perlawanan Joshua dibatalkan. Mereka mula mencari peninju alternetif lain, dan kumpulan Ruiz mula melobi Andy Ruiz Jr. sebagai ganti kepada Miller.
Dari segi kelayakan, Andy berada pada ranking yang agak baik dalam senarai peninju professional pada masa itu, dengan rekod 31-1 (20 KOs). Pihak Joshua bersetuju dengan cadangan tersebut, dan mereka dijadualkan berlawan pada tarikh yang telah ditetapkan sebagai perlawanan antara Joshua dan Miller (1 Jun 2019).
Jika dibandingkan kedua-dua peninju ini,
mereka sebenarnya ibarat langit dengan bumi.
Anthony Joshua merupakan watak juara yang
sempurna. Lihat sahaja bentuk tubuhnya. Dengan otot yang kekar dan susuk tubuh
yang memang menampakkan beliau sebagai seorang atlet, ditambah dengan capaian (reach) nya yang lebih panjang berbanding
Andy, Joshua dilihat berada dalam keadaan ideal untuk mempertahankan kejuaraan
beliau.
Andy Ruiz Jr. pula, di satu sudut yang lain, merupakan seorang peninju dengan susuk badan berisi, tidak langsung menunjukkan tanda bahawa beliau merupakan seorang peninju professional. Namun kelebihan Andy yang diakui oleh lawannya adalah senjata power punch yang dia miliki, yang sekiranya hinggap di mana-mana bahagian badan, pastinya amat sakit dan pedih. Ruiz sendiri, dalam salah satu temubual mengatakan bahawa dia “terlalu gemuk untuk menjadi seorang peninju.”
Dalam usahanya untuk mengalahkan Joshua,
Ruiz memberitahu pihak media bahawa dia mengulangkaji dengan menonton video
pertarungan Mike Tyson, seorang lagenda heavyweight
dan bekas juara tinju dunia. Dia yakin dia berjaya mengenalpasti kelemahan
Joshua, dan dia akan buktikan hal ini di kanvas tinju nanti.
1 Jun 2019. Hari perlawanan pun tiba. Odd atau kebarangkalian untuk Andy
menang adalah 25-1, dengan majoriti penonton meletakkan harapan yang tinggi ke
atas kemenangan Joshua.
Perlawanan bermula. Buat mereka yang
tidak biasa menonton tinju, format pertarungan adalah 12 pusingan, dengan 1
pusingan berlangsung selama 3 minit. Sekiranya selepas 12 pusingan masih tidak
berlaku knockout atau knockdown, maka keputusan akan diberikan
kepada pihak juri.
Pada pusingan pertama dan kedua, Joshua
dan Andy masing-masing cuba untuk melihat dan belajar stratergi pihak lawan.
Cuba untuk size down opponent,
melihat sejauh mana tumbukan mereka perlu dilepaskan untuk mengenai pihak
lawan.
Pusingan ketiga menunjukkan peristiwa
yang amat menarik. Andy berjaya dijatuhkan oleh Joshua, namun dia kelihatan
tidak terjejas dengan perkara tersebut. Dia kembali bangun pada kiraan ke 8,
sebelum Andy dan Joshua mula berentap sekali lagi di tengah gelanggang. Mereka
saling bertukar tumbukan (exchanging
blows), dan sewaktu berbalas serangan itu terjadi, tumbukan tangan kiri, left
hook Andy mengenai bahagian atas kepala Joshua, dan dengan penuh kejutan,
Joshua jatuh terbaring di tengah gelanggang.
Hal ini merupakan satu kejutan kerana, sepanjang kerjaya professional Joshua, dia hanya pernah dijatuhkan sekali sahaja. Akibat tumbukan padu Andy tadi, itu merupakan jatuhan kedua (second knockdown) sepanjang kerjayanya. Hal ini pastinya memberi bebanan mental dan emosi yang lebih tinggi kepada Joshua, dan memberi sedikit motivasi kepada Andy. “Kau tahu, kau bukanlah hebat sangat. Aku dah berjaya jatuhkan engkau.”
Tercengang dengan situasi tersebut,
Joshua cepat-cepat bangun sewaktu count
oleh pengadil sedang dilakukan. Pertarungan diteruskan, dan Andy nampaknya
ingin terus melakukan asakan sebelum di clinch
oleh Joshua. Di sepanjang baki pusingan ketiga, Joshua kelihatan cuba untuk
mencari momentum dengan berterusan clinch
Andy, manakala Andy berterusan cuba untuk mengasak dan bermain perang psikologi
dengan Joshua. Dalam kes ini, reach
Joshua membantunya mengawal asakan dari Andy, dengan dia cuba mengadakan
sedikit jarak agar tumbukan Andy tidak mengenai mana-mana anggota badannya.
Di penghujung pusingan ketiga, satu lagi
peristiwa menarik berlaku. Andy, mengetahui akan taktik Joshua untuk mengawal
jarak antara mereka, kemudiannya sedikit demi sedikit membawa Joshua ke satu
penjuru. Di penjuru tersebut, dengan Joshua kini sudah dikepung, Andy
seterusnya tanpa belas kasihan melakukan tumbukan bertubi-tubi dengan
menyasarkan bahagian kepala Joshua sebagai sasaran utama. Joshua cuba sedaya
upaya untuk bertahan, namun sesaat dia cuba untuk melakukan slip, dia menurunkan guard nya dan tumbukan Andy tepat
mengenai pipinya, menyebabkan Joshua terjatuh buat kali kedua dalam pusingan
yang sama!
Dikelilingi oleh jurugambar di bahagian
luar gelanggang, wajah Joshua seakan tidak percaya dengan apa yang telah
terjadi. Kali ini dia mengambil masa yang agak lama untuk bangun, sebelum
menunjukkan isyarat dia boleh dan mahu terus bertarung. Reaksi penonton di
arena Madison Square amat kecoh.
Tidak mereka sangka pilihan utama pertandingan hari ini bakal dihukum
sedemikian rupa. Pengadil meneruskan pusingan ketiga beberapa saat sebelum
loceng tamat pusingan dibunyikan.
Meneruskan pusingan keempat, Ruiz terus
melakukan serangan tanpa menunggu reaksi Joshua. Joshua kelihatan sungguh tidak
bersedia. Sewaktu rehat, jurulatihnya dilihat berteriak “You got to box, you got to defense yourself!” yang secara kasarnya
menyuruh Joshua berada dalam keadaan bertahan dan mengambil nafas sebelum mula
melakukan tindak balas. Melihat serangannya tidak berapa menjadi, Ruiz juga
mengambil kesempatan di pusingan keempat untuk menjadi lebih berhati-hati,
dan mungkin turut mengambil nafas
sedikit.
Pada rehat pusingan keempat, Ruiz pula
yang dimarahi oleh jurulatihnya. Dia disuruh agar tidak memberi Joshua banyak
ruang untuk bergerak. Ini merupakan peluang keemasan.
Di kem Joshua pula, dia disuruh untuk
terus melontar jab, mengekalkan jarak
dan fokus kepada pertahanan dan mencari momentum terlebih dahulu. “Keep the
hands up”. Dan itu adalah apa yang Joshua lakukan. Dengan berbekalkan tangannya
yang panjang, dia terus menerus melakukan jab, mengawal jarak antara dia dan
Ruiz, serta berjaya melepaskan dua tumbukan padu pada penghujung pusingan
kelima.
Joshua diarahkan oleh jurulatihnya untuk
tidak terlalu fokus kepada power punch,
sebaliknya fokus kepada bertinju. Power
punch, merujuk kepada meletakkan daya yang tinggi dalam tumbukan, memakan
lebih banyak tenaga berbanding tumbukan yang biasa. Oleh kerana daya yang
diletakkan adalah lebih tinggi, power
punch juga selalunya efektif dalam menjatuhkan pihak lawan (knockdown).
Pusingan keenam adalah pusingan Andy
Ruiz. Dalam pusingan ini, dia perlahan-lahan masuk dan mencari tubuh Joshua
sebagai sasaran tumbukannya. Joshua juga dilihat mula meninggalkan pertarungan
jenis in-fight, di mana mereka berdua
tidak lagi saling bertukar-tukar tumbukan, sebaliknya style Joshua lebih kepada out-boxer,
mengawal jarak dan melepaskan jab
untuk memenangi pusingan tersebut.
Pusingan ketujuh merupakan pusingan
terakhir pertarungan ini.
Joshua, yang kelihatan telah pulih dari
kekalahan psikologi pada pusingan ketiga tadi, kini dilihat telah mampu
bertarung secara normal. Dari stlye out-boxer, Joshua kembali menjadi
in-fighter, mula bertukar tumbukan dengan Andy Ruiz di tengah gelanggang. Ruiz
yang tidak mensia-siakan peluang itu mula melontar hook dan mencari sisi luar kanan dan kiri Joshua, menyebabkan
Jashua terjatuh dan dikira sebagai knockdown.
Berdiri semula, Joshua bangun dan cuba
sekali lagi mengawal keadaan dengan menyasarkan bahagian kepala dan mencipta
jarak. Namun begitu, mungkin kerana kepenatan, Ruiz dengan mudah mengejar
posisi Joshua sebelum Joshua tersalah langkah dan melakukan cross punch yang kemudiannya dibalas
dengan counter punch oleh Ruiz,
sekaligus menjatuhkan Joshua buat kali kedua dalam pusingan ketujuh.
Kredit Gambar: talksport
Bangkit dari jatuh kali kedua itu,
mouthpiece Joshua terkeluar, dan Joshua berdiri dan mengambil sedikit masa di
satu penjuru. Dia dididatangi oleh pengadil perlawanan yang bertanya sama ada
ingin perlawanan diteruskan, dan dia mengatakan ya, sebelum darah keluar dari
hidungnya dan pengadil bertindak menghentikan perlawanan. Kemenangan diberikan
kepada Andy Ruiz Jr., dan dia merupakan Juara Tinju Dunia baru bagi WBA, IBF,
WBO dan IBO.
Perlawanan Anthony Joshua melawan Andy
Ruiz Jr. ini merupakan salah satu perlawanan yang tidak diduga kesudahannya.
Terdapat beberapa teori konspirasi dari peminat yang mengatakan bahawa AJ
sebenarnya tidak bersedia untuk berlawan dengan Ruiz, kerana persiapannya
adalah untuk menentang Miller, dan ada juga yang berpandangan bahawa Joshua
tidak berada pada tahap optimum untuk bertarung kerana lebih fokus kepada
publisiti media. Ada juga mulut busuk yang mengatakan bahawa kemenangan Andy
adalah akibat dari beberapa lucky shot,
hanyalah sekadar nasib baik.
Komen dari Anthony Joshua sendiri, “It’s
an upset, isn’t it… But the better man won. Respect to Andy. Now I move
forward.”
Perlawanan semula Anthony Joshua
menentang Andy Ruiz Jr. bakal berlangsung pada 7 Disember 2019 di Arab Saudi,
dengan peminat menjangkakan Joshua mampu menebus semula kegagalan beliau
mempertahankan kejuaraannya pada Jun lalu.
BACAAN LANJUT:
“Why Anthony
Joshua Will Be A Heavyweight Champion Again?”, GQ Magazine. https://www.gq-magazine.co.uk/gallery/anthony-joshua-comeback
“10 Things You Didn’t Know About Andy Ruiz Jr.”, Boxing
British News. http://britishboxingnews.co.uk/blogs/10-things-you-didn-t-know-about-andy-ruiz-jr




No comments yet