Status semalam sebenarnya bukan nak menyanggah sangat pun kenyataan tokoh negarawan tu. Tak kuasa lah saya nak ambil port dalam polemik orang politik.

Ayman Rashdan Wong, penulis artikel ini.

Ia lebih kepada reaksi terhadap dakwaan bermusim yang cuba mengaitkan segala jenis negativiti dengan ke-Melayu-an (“Malayness”). Ingat lagi setahun yang lepas, saya dan rakan The Patriots yang lain mempertahankan Faiz Subri daripada diperlekehkan oleh golongan sebegini tentang hasratnya untuk memakai busana tradisional ketika menerima anugerah FIFA.

Istilah “Melayu” hari ini pun dah jadi macam “dirty word”. Sebut saja Melayu, serba tak kena. Bagi golongan ultra-liberal, budaya Melayu melambangkan kemunduran, minda kelas ketiga, minda tertutup, patriaki, “kampung” dan sebagainya. Kalau nak maju, kena buang sifat Melayu tu jauh-jauh. Itu sebabnya ada stereotaip golongan atasan Melayu mestilah jenis “speaking” dalam accent Harlem ala watak drama Akasia.

Golongan Islamis pula melihat Melayu tak cukup Islamik. Pakaian tradisional Melayu tak Islamik, tak ikut sunnah, maka perlu digantikan dengan jubah dan abaya. Senibina Melayu tak Islamik, kena digantikan dengan kubah. Perkataan Melayu seperti ibu dan ayah tak Islamik, kena ganti dengan “abi” dan “ummi”.

Ahli sosiologis pun ada yang membuat pelbagai andaian “pseudoscientific” pasal Melayu. Melayu dikatakan malas, fatalistik, tak berdaya maju. Ini hujah utama Revolusi Mental yang popular pada 1960-an. Idea ini dimatikan oleh Syed Hussein Alatas menerusi karya agungnya “The Myth of the Lazy Native” pada tahun 1977. Baru orang sedar kemunduran Melayu bukanlah disebabkan budaya atau sifat orang Melayu tetapi lebih kepada masalah struktur yang diwarisi daripada zaman penjajahan, maka pembaharuan struktur perlu dilakukan untuk memperbetulkan (“rectify”) ketidakseimbangan ekonomi.

Menjelang 1980-an, muncul pula falsafah ekonomi neoliberal yang mengatakan bahawa sikap peribadi sebagai penentu kejayaan dan kegagalan sosisoekonomi individu. Kalau anda miskin, maksudnya anda malas. Maka kemiskinan relatif Melayu dinisbahkan kepada sikap malas yang dikatakan lebih lazim di kalangan orang Melayu. Orang kita disandarkan untuk menjadikan bangsa Jepun dan Korea sebagai “role model” untuk menangkis sikap malas.

Dakwaan yang cuba mengaitkan bangsa X dengan sifat malas dan bangsa Y dengan sifat rajin adalah pseudosains belaka. Di kalangan orang Jepun pun ada ramai orang malas. Di kalangan orang Korea pun ada ramai yang kuat hasad dengki. Orang Siam pun pakai bomoh. Sikap malas rajin atau tekun adalah sifat manusia sejagat tidak mengira genetik. Ia bukan “cultural trait” yang ekslusif kepada sesuatu bangsa seperti “han” (orang Korea) atau “haji” (orang Jepun).

Kebangkitan semula bangsa tidak berlaku dengan bangsa X meniru bangsa Y; kebangkitan semula bangsa hanya akan berlaku apabila bangsa membina semula jati diri yang telah hilang semasa dijajah. “Dig into the past to find the future” adalah proses bagi mana-mana bangsa untuk membangkit semula.

Orang Korea tidak bangkit dengan merujuk kepada sumber luar. Orang China tidak bangkit dengan merujuk kepada sumber luar. Sebaliknya orang China mula menerokai khazanah budaya mereka sebelum komunisme iaitu Confucianisme. Tak ada pun Donald Trump sebut nak meniru mana-mana bangsa luar untuk mencapai cita-cita “Make America Great Again”. Mereka merujuk kembali kepada “economic nationalism” yang dipelopori oleh Alexander Hamilton.

Tahun ini genap 150 tahun Pembaharuan Meiji yang membina asas kebangkitan Jepun sebagai kuasa besar dunia. Jepun adalah antara negara yang terkenal dengan “modernization without Westernization”. Bukan nak suruh tiru Jepun, ada beza antara meniru dan mengambil iktibar. Bagaimana Jepun dapat melakukan transformasi tanpa membuang identiti tersendiri?

Kerana sebelum Pembaharuan Meiji, di kalangan masyarakat Jepun sudah ada gerakan pencarian jati diri yang dikenali sebagai “Kokugaku” (国学). Kokugaku ialah satu gerakan intelektual untuk mendefinisi semula ke-Jepun-an. Orang Jepun mula sedar, mereka jadi mundur dan terpencil akibat daripada membuang jati diri sebagai bangsa pulau (“shimaguni”) yang terbuka dan dinamik dan meniru budaya China yang tidak menepati fitrah orang Jepun. Maka berlakulah gerakan untuk memurnikan budaya Jepun dan menamatkan dasar tutup pintu yang telah diamalkan selama 200 tahun. Maka adalah formula “wakon yousai” (和魂洋才 ) – “Japanese spirit, Western ingenuity”.

Kebangkitan bangsa tak akan berlaku dengan pengulangan mantra “Melayu malas”, “Melayu harapkan tongkat”. Adakah keadaan bangsa telah diperbaiki dengan berdekad-dekad laungan ungkapan sebegini? Adakah anak kita akan jadi lebih bermotivasi kalau tiap-tiap hari diberitahu bahawa mereka ini tak guna? Malah ia menyumbang kepada sikap “self-hating” yang boleh dijumpai pada sebahagian besar orang kita.

Mereka menjadi self-hating kerana bagi mereka, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan identiti Melayu. Sejarah yang telah dicacatkan oleh penjajah menjadi punca kehilangan nilai diri (“self-worth”) dan seterusnya menyumbang kepada self-hating.

Antara perkara pertama yang Park Chung-hee, bapa pemodenan Korea Selatan lakukan selepas berkuasa adalah mendirikan monumen Jeneral Yi Shun Shin, wira yang mempertahankan Korea daripada serangan Jepun ketika Perang Imjin (1592-1598). Tujuannya adalah untuk membangkitkan semangat orang Korea untuk sama-sama mencipta “Miracle of the Han River”. Orang Korea bangkit bukan kerana sifat self-hating, tapi kerana mereka melihat sesuatu yang positif pada diri sendiri.

Kalau kita betul-betul nak pandang ke Timur, kita tidak harus hanya memandang pada perkara-perkara yang “superficial”: sekadar mencontohi ketepatan waktu, kerajinan bekerja dan kebersihan. Sebaliknya kita kena meneladani semangat mereka dalam mencari jati diri. Itu bukan romantisme, tapi pengenalan diri (“self-discovery”).

Tulis panjang-panjang ni bukan nak ambil hati Melayu atau nak masuk Melayu, cuma nak bagitahu: be proud of yourself, be proud of your heritage. Budaya dan nilai hidup bukanlah penghalang kepada kemajuan.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.