Cakap pasal lelaki bermata satu, orang akan bayangkan Dajjal saja. Tetapi ini bukan kisah Dajjal. Ini kisah seorang hamba yang dianiayai pihak Inggeris. Dunia Barat sememangnya bertamadun. Tetapi sekali tengok sejarahnya, sampai sudah geleng kepala. Teruk betul dibuatnya.

Mungkin sebab itulah nilai ketamadunan Barat sangat tinggi sekarang. Kerana mereka belajar daripada kesilapan. Salah satu kesilapan lama dibuat pada George Spencer. Beliau adalah seorang lelaki yang mencari rezeki di Connecticut, Koloni Inggeris. Dan beliau juga adalah lelaki kulit cerah (White man) pertama yang dijatuhi hukuman mati di bumi Connecticut.

Cakap sebegini menampakkan Spencer macam orang jahat. Spencer tidak jahat. Beliau adalah seorang hamba yang botak dan bermata satu (Murrin, 2011). Macam-macam azab ditimpa padanya hanya kerana pada mata orang, beliau hodoh. Semasa di Boston, ada kedai kehilangan barangan. Semua pakat menuduh Spencer yang disebat begitu teruk. Beliau melarikan diri ke New Haven, dimana beliau dilayan seperti sampah (Graham, 2003).

Jadi beliau berharap warga Connecticut dapat menerimanya – atau paling kurang pun, jangan kacau hidupnya.

Connecticut berdekatan dengan NY.

Sangkaan beliau meleset apabila seekor babi melahirkan anak yang bermata satu dan muka hancur. Rekod sejarah menggambarkan anak babi tersebut: “ia tiada seutas bulu pun; kulitnya sangat lembut dan putih kemerah-merahan macam bayi. Kepalanya paling pelik dengan mata satu di tengah-tengah muka – terbuka begitu luas macam mata manusia. Hidung, mulut dan dagunya cacat tetapi nampak macam bayi. Telinga dan leher pun sama.”

Andaian bertukar tuduhan yang merebak menjadi fitnah. Tiba-tiba, kalangan Inggeris yang berakidah Puritanisme pakat bersetuju: ini adalah wahyu Tuhan membuktikan Spencer telah meniduri seekor babi. Tidak cukup mereka fitnah; mereka heret nama Tuhan sebagai pemfitnah.

Ditipu Golongan Celaka

George Spencer dibawa ke muka pengadilan dengan tuduhan yang beliau takkan mampu lawan. Secara rasmi, tuduhannya adalah: “tidak percaya pada Tuhan; tidak setia dan patuh pada tuan pemilik; sentiasa menipu; pengotor; menghina hukum, tatacara dan bangsa Tuhan.” (Cressy, 2011). Tuduhan ini ditutup dengan kenyataan ringkas: “barangsiapa yang mengaku kesalahan dan sanggup bertaubat akan mendapat belas ihsan.” Kebetulan pula pada minggu itu, Spencer melihat seorang penjenayah dipukul selepas mengakui kesalahan.

Jadi Spencer pun apa lagi – malas cakap banyak: beliau mengaku bersalah. Sengaja kalangan Puritan tidak meluaskan konteks “mendapat belas ihsan”. Rupa-rupanya Spencer akan mendapat belas ihsan daripada Tuhan, bukan daripada warga Puritan. Bermakna Spencer akan dijatuhi hukuman mati. Sedar dirinya ditipu golongan celaka, beliau cepat-cepat menarik balik pengakuannya (Dikes, 2011).

Perbicaraan mesti dijalankan untuk tertuduh yang menarik balik pengakuan. Spencer diaibkan begitu teruk, kerana kalangan Puritan mempunyai dua saksi yang katanya amanah. Saksi pertama adalah anak babi yang serba serbi cacat. Saksi kedua adalah pengakuan Spencer yang ditarik balik. Bagi mereka, kedua-dua ini layak diisytihar sebagai saksi. Macam mana Spencer boleh mempertahan diri kalau dianiayai sampai tahap begini? Nampak sangat beliau dihukum kerana wajahnya yang tidak normal pada mata mereka.

Pada 8 April 1642, mereka menjatuhkan hukuman mati pada “suami isteri” dalam kes ini. Si isteri adalah babi betina yang disembelih depan mata ramai. Dan Spencer digantung sampai mati.

Kegilaan pada masa lampau.

Dahsyat betul. Nampak anak babi cacat. Terus tuduh muka macam Spencer. Tidak pasti apa yang berlaku pada anak babi tersebut. Sama ada ditiduri pemandu kereta kuda yang belok tanpa isyarat – atau mak babi jatuh semasa hamil… apa-apa pun, tindakan mereka pada Spencer sememangnya salah dan berdosa. Lagi salah dan berdosa kerana nama George Spencer sengaja dibiar tenggelam dalam lembaran sejarah. Itulah nasib apabila seseorang itu adalah hamba. Tiada siapa kisah sampai sudah.

RUJUKAN:

Cressy, D. (2011). Coming over: migration and communication between England and New England in the seventeenth century. Cambridge University Press. Halaman 101.

Dikes, J. (2011). Massachussetts Sex Ways: Puritan Ideas of Flesh and the Spirit. Austin Community College. Halaman 4.

Graham, J. (2003). Puritan Family Life: The Diary of Samuel Sewall. UPNE.

Murrin, J. (2011, November 1). Things Fearful To Name: Beastiality in Colonial America. Princeton University.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply