Semasa Liga Perdana Inggeris musim 2015/2016 menjadi mimpi indah kepada penyokong Leicester City, satu kelab kecil telah dinobatkan menjadi juara liga elit England pada musim itu. Tiada siapa yang menyangka yang pasukan kecil ini, bahkan nilai pasaran keseluruhan kumpulan itu antara yang paling rendah berjaya merangkul trofi liga yang berprestij tinggi.

Pasukan kerdil yang mampu bersaing dengan kumpulan ‘big 6’ ketika itu amat memberangsangkan. Dan sehingga kini, Leicester City mampu bersaing hebat untuk menduduki enam terbaik liga. Disebabkan itulah ramai yang mengatakan Leicester City telah menggantikan Arsenal ataupun Tottenham Hotspur dalam kelompok ‘big 6’, walaupun masih tidak relevan lagi.

Di Malaysia, Liga Perdana Inggerislah yang paling popular berbanding liga-liga lain. Sebut sahaja tentang Manchester United, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Manchester City pasti salah seorang daripada kita yang menyokong pasukan hebat ini, kerana pasukan ini telah mendominasi liga sejak berdekad lamanya. Amat janggal dan pelik andai ada yang menyokong pasukan selain daripada mereka, atau lebih tepat yang menyokong kelab-kelab kecil.

Di Malaysia pun baru sahaja ada penyokong Tottenham Hotspur. Amat sukar untuk mencari kelompok yang menyokong kelab-kelab yang kurang menyerlah seperti Newcastle United, West Ham, Everton dan Leicester City. Kalau ada pun, pasti generasi yang mengenali Alan Shearer. Berikan tepukan kepada mereka yang menyokong pasukan selain ‘big 6’. Kalian tidak hiraukan kecaman andai pasukan pilihan kalah. Pasti di Malaysia ada yang menyokong kelab ‘underrated’ iaitu Leicester City sejak pasukan ini merangkul trofi liga pada musim 2015/2016.

Leicester City F.C ditubuhkan pada tahun 1884 sebagai Leicester Fosse F.C yang bermain di padang berhampiran Fosse Road. Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1891 kelab ini bermain di Filbert Street. Kelab ini dipilih untuk Liga Bola Sepak pada tahun 1894 dan menukar nama kepada Leicester City pada tahun 1919. Stadium Walkers dijadikan rumah kelab ini pada tahun 2002, kemudian dinamakan semula sebagai Stadium King Power pada tahun 2011.

Selama 137 tahun, pelbagai likuan ditempuhi. Seperti biasa bagi sebuah kelab yang sentiasa turun naik liga. Pada abad ke-20, sering kali Leicester City bermain di Divisyen 2 (sekarang digelar EFL Championship). Kali terakhir kelab ini berada di EFL Championship pada tahun 2014, dan kini masih bersaing di Liga Perdana Inggeris, divisyen tertinggi di England.

PEMILIK DAN PENAJA

Pada bulan Oktober 2006, bekas pengerusi Portsmouth, Milan Mandarić dikatakan berminat untuk membeli kelab ini dengan harga £6 juta dengan skuad semasa bernilai kira-kira £4.2 juta. Pengambilalihan ini diumumkan pada 13 Februari 2007. Pada bulan Ogos 2010, berikutan perjanjian penajaan jersi tiga tahun dengan King Power Group, Mandarić menjual kelab ini kepada konsortium Thailand, Asian Football Investments (AFI) diketuai oleh King Power Group, dibawah Vichai Raksriaksorn selaku ketua. Mandarić, seorang pelabur dalam AFI dikekalkan sebagai pengerusi kelab.

Pada tahun 2011, Vichai Raksriaksorn sebagai sebahagian daripada konsortium Asia Football Investments, dilantik sebagai pengerusi baru selepas Mandarić meninggalkan kelab itu pada hujung tahun. Dan sehingga kini, King Power yang dipimpin anaknya, Aiyawatt Srivaddhanaprabha masih berusaha sehabis baik membangunkan Leicester City F.C.

MUSIM 2015/2016: PENCAPAIAN TIDAK DISANGKA

Pada 13 Julai 2015, bekas pengendali Chelsea F.C., Claudio Ranieri telah dilantik sebagai pengurus baharu. Musim itu, Leicester City dibawah kendalian Claudio Ranieri begitu cemerlang sejak bermulanya liga. Penyerang andalan Jamie Vardy, menjadi pengempur digeruni dengan berjaya meledak sebanyak 24 gol. Manakala, pemain sayap, Riyad Mahrez memberi sumbangan sama hebat dengan Jamie Vardy. Tidak ketinggalan pemain-pemain seperti Kasper Schmeichel, penjaga gawang, N’Golo Kante si pemain tengah dan si kapten yang menjaga bahagian pertahanan, Wes Morgan.

Musim yang penuh gemilang bagi kelab Leicester City. Tiada siapa yang menjangka pasukan ini menjuarai liga, bahkan penganalisis sukan yang profesional sekalipun. Walhal, musim sebelumnya, Leicester City hampir sahaja berada di zon penyingkiran di mana mereka menduduki tempat ke-14 liga.

Claudio Ranieri menggunakan formasi 4-4-2, dengan bermain dua penyerang atas yang membolehkan Leicester untuk menyeret pertahanan di seberang padang, dengan dua pemain sayap akan membuatkan pertahanan lawan tertumpu kepada mereka dan terhasilnya ruang terbuka di belakang mudah untuk melancarkan serangan.

Bahagian pertahanan yang dikawal oleh Wes Morgan dan Robert Huth berserta penjaga gawang, Kasper Schmeichel berjaya menjadi benteng daripada dibolosi dengan banyak. Lebih mengagumkan ialah pemain tengah, N’Golo Kante. Walaupun tubuhnya kecil, tetapi dia berjaya melakukan sebanyak 175 tackle sepanjang musim, lebih tinggi daripada pemain pertahanan mereka.

Pertama kali dalam sejarah kelab berjaya merangkul trofi Liga Perdana Inggeris dan pertama kali berjaya layak bertanding di Liga Juara-Juara UEFA. Ketika itu, nilai pasaran keseluruhan kelab hanyalah 91.25 juta Euro sahaja, antara yang paling rendah semasa musim itu. Walaupun nilai pasarannya rendah daripada kelab-kelab gergasi England yang lain tika itu, The Foxes dapat menunjukkan kecemerlangan yang luar biasa. Pada musim ini 2021/2022, nilai pasaran kelab The Foxes meningkat naik sebanyak 555.10 juta Euro yang berada di posisi ketujuh antara semua kelab elit England.

Masuknya musim baru selepas menikmati kejuaraan liga, Leicester City bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran sehinggalah Claudio Ranieri, orang yang bertanggungjawab membawa kerjayaan kelab itu dipecat serta merta dek prestasi yang teruk. Di akhir musim 2016/2017, Leicester City menduduki posisi ke-12 liga, tidak mampu mempertahankan kejuaraan yang ketika itu, Chelsea menjuarai liga. Ramai pemain keluar dari kelab seperti N’Golo Kante ke Chelsea dan Riyad Mahrez ke Manchester City. Tetapi seperti biasa, ramai pemain yang keluar akan ada pemain baru yang menyertai kelab.

Sepanjang musim selepas permecatan Claudio Ranieri, Leicester City dikendali oleh Craig Shakespeare dan diterusi dengan Claude Puel. Malangnya kedua-duanya kurang menampakkan keberhasilan. Sehinggalah wajah baru muncul iaitu Brendan Rodgers dari kelab Celtic yang pernah bersama dengan Liverpool pada 2012 sehingga 2015. Brendan Rodgers yang menyertai Leicester City pada musim 2019/2020 berjaya memulihkan semula kelab tersebut. Sehingga musim ini, prestasi The Foxes dibawah kendalian Brendan Rodgers membuahkan hasil apabila berjaya memenangi piala FA dan Community Shield walaupun Brendan Rodger hanya menjawat selaku jurulatih baru semusim dan masih berlanjutan sehingga musim ini.

Di dalam arena bola sepak, pengurusan kelab memainkan peranan besar dalam membentuk kelab untuk mencapai misi dan visi. Andai pengurusan kelab atau si pemilik kelab bersifat kedekut atau melakukan perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan menghiraukan prestasi kelabnya, Kelab tersebut dengan mudah akan lingkup.

Menurut kajian daripada Skybet pada Julai 2021, Leicester City berada di kedudukan teratas sebagai kelab dimana penyokong menggemari akan pemilik kelab dan ingin pengurusan kelab sedia ada sentiasa kekal bersama kelab, Kita sedia maklum pemilik The Foxes ialah perusahaan perlancongan dari Thailand, King Power International Group.

Pemilik kelab yang mesra dengan penyokong dan pasukan kelab itu sudah pasti akan memberikan semangat yang ulung untuk The Foxes terus berjuang dalam liga Perdana Inggeris. Kelab-kelab lain sepatutnya mencontohi pengurusan The Foxes, tidak terlalu banyak melakukan perbelanjaan tetapi masih mampu menggunakan pemain sedia ada.

Kisah ajaib Leicester City merangkul trofi liga telah membuka mata bahawa kelab kecil turut mampu memberi saingan dalam liga, dan sehingga kini mereka boleh dikatakan mampu menjadi pencabar liga, bersaing  dengan kelab ‘big 6’. Mungkin, dalam beberapa musim akan datang, akan ada kelab selain ‘big 6’ seperti Everton mahupun West Ham mampu mengulangi sejarah Leicester City sebagai keajaiban baru dalam Liga Perdana Inggeris.

RUJUKAN

Laman Web Rasmi Leicester. https://www.lcfc.com/club/history

Leicester City. https://www.transfermarkt.com/leicester-city/startseite/verein/1003?saison_id=2015

PRETENDERS TO CONTENDERS? Could it happen again? How Brendan Rodgers’ current Leicester stars compare to Claudio Ranieri’s title-winning heroes. https://talksport.com/football/626522/comparing-leicester-city-title-win-claudio-ranieri-brendan-rodgers/amp/ 

Artikel dikirimkan oleh DARQAWI AWI untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.