Dalam naratif mitologi Melayu, jentayu dan geroda adalah dua burung yang sering menghiasi banyak kisah hikayat. Kedua-duanya ada kekuatan berlawanan dan ada keunikan yang tiada tolok bandingnya.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, diceritakan bahawa geroda melambangkan kekuatan fizikal, manakala jentayu pula melambangkan kekuatan akal. Sifat ini adalah berbeza berbanding mitologi Hindu-Buddha yang sebaliknya menunjukkan geroda itu watak baik dan jentayu itu watak jahat.
Jentayu dalam mitos tradisi Melayu sering dikaitkan dengan kelembutan, kebijaksanaan dan keseimbangan alam. Ia digambarkan sebagai burung yang anggun, bulu yang indah serta watak yang baik bertentangan dengan geroda.
Tempat tinggal burung jentayu ini biasanya di kawasan air seperti sungai dan tasik dan mewakili unsur air dalam kitaran alam. Jentayu, meskipun dipandang lemah berbanding geroda serta makhluk lain yang lebih kuat fizikalnya, banyak menggunakan akalnya untuk mengatasi cabaran.
Manakala geroda pula, ia memiliki kekuatan yang luar biasa, melebihi jentayu. Sayapnya gagah membelah awan dan tubuhnya sebesar gunung, malah ia sering berbangga dengan kekuatannya.
Walau memiliki dua sikap yang bertentangan, legenda juga menyebut tentang persahabatan serta persaudaraan dua haiwan sakti ini. Kisah yang epik tentangnya adalah bagaimana mereka berseteru gara-gara perbezaan pendapat.
Kisah bermula lebih lama sebelum lagi Merong Mahawangsa membawa anak Raja Rom berlayar ke Benua China untuk menikahi Puteri Cina. Di dunia kayangan di petala langit, burung jentayu dan burung geroda yang bersahabat baik telah dikhabarkan awal tentang pelayaran Merong Mahawangsa itu oleh burung rajawali.
Geroda langsung tidak bersetuju dengan berita pernikahan itu kerana takut ia membawa mudarat kepada dunia manusia. Manakala burung jentayu pula menganggap perkahwinan itu bakal membawa berkat kepada alam manusia kerana Merong Mahawangsa yang bakal memimpin pelayaran itu ialah seorang pahlawan baik yang pernah membantu jentayu suatu ketika dahulu.
Kisah dua burung mitos ini berlanjutan sehinggalah membawa kepada pertempuran antara jentayu dengan geroda yang menggemparkan seluruh alam. Para dewata murka dengan pertempuran tersebut. Akibatnya, halilintar sabung-menyabung. Ia akhirnya berakhir dengan kematian jentayu di tangan geroda.
Itu adalah antara kisah epik persaudaraan dua burung legenda ini yang menjadi salah satu kepercayaan dalam mitologi Melayu. Meski salah satunya terkorban, namun mereka tetap dikenang sebagai antara legenda persaudaraan yang diingati.




No comments yet