Mohor merupakan alat kebesaran yang penting bagi setiap institusi diraja, termasuklah Empayar China Purba. Ia turut digunakan sebagai tanda pengenalan dalam karya seni, kertas kontrak, mahupun dokumen penting bagi membuktikan ketulenannya.
Mohor secara umum diperbuat daripada batu. Namun, ada juga yang dihasilkan daripada kayu dan jed. Antara sekalian banyak mohor yang dimiliki oleh negara tembok besar itu, tiada yang dapat menandingi keutamaan mohor Chuán Guó Xǐ.
Mohor ini diukir daripada sebentuk batu jed yang dinamakan sebagai He Shi Bi. Ia dihasilkan pada tahun 221 Sebelum Masehi khusus untuk Qin Shi Huang. Relik pusaka ini kemudian diperturunkan dari seorang maharaja ke seorang maharaja dan dari satu dinasti ke satu dinasti sehingga tahun 907-960 Masehi, tempoh di mana ia hilang tanpa jejak.
Menurut legenda, jed He Shi Bi dijumpai di Chu (kini Hubei, Hunan dan sebahagian Shanghai) oleh seorang lelaki bernama Bian He. Penemuan ini berlaku pada suatu tempoh sebelum tahun 283 SM. Jauhar mengenali manikam dan Bian He bijak menilai batu jed yang dijumpainya. Maka, beliau pun mempersembahkan jed tersebut kepada Raja Li, pemerintah Negara Chu ketika itu.
Malangnya, Raja Li tidak pandai membezakan yang mana kaca dan yang mana permata. Dia malah mentertawakan Bian He kerana membuang-buang waktu hanya untuk menunjukkan seketul batu. Lebih dungu, Raja Li menitahkan supaya kaki kiri Bian He diku.dungkan.
Masa bergulir dan riwayat si raja berakhir. Takhta Chu diambil-alih oleh Wu, putera Raja Li. Seakan tidak serik, Bian He sekali lagi mempersembahkan jed He Shi Bi kepada si raja. Namun, nasib sama berulang kembali. Beliau ditertawa dan dica.catkan kakinya.
Waktu terus berlalu. Wu ditamu ajal. Mahkota Chu kali ini dipakaikan di kepala puteranya, Wen. Bagaimanapun pada ketika ini, Bian He sudah pun membawa diri dan jed He Shi Bi ke kaki Gunung Chu – meratap tiga hari tiga malam sehingga air matanya kering dan da.rah pula yang mengalir.
Perilaku Bian He dikhabarkan ke istana. Si raja lantas menghantar utusan untuk bertanyakan sebab-musabab. Katanya, “Di muka bumi yang dibumbungi langit ini, ada ramai manusia yang kehilangan kakinya. Jadi, mengapa kamu meratap sebegini?”
Balas Bian He, “Aku bukannya meratapi kaki aku. Tetapi, aku berduka nestapa kerana batu berharga ini dipandang sebelah mata dan orang yang jujur pula ditu.duh sebagai pendus.ta. Tiada sebab lain, kecuali dua sebab ini.”
Dek kerana tersentuh dengan luahan Bian He, Raja Wen kemudian menitahkan supaya tukang permata istana membe.lah dan menggilap batu jed tersebut. Tukul dihayun, lalu terpacul keluarlah kepingan jed tulen terbesar yang pernah disaksikan oleh Wen.
Bagi menghargai jasa Bian He, si raja pun menamakan jed tersebut sebagai He Shi Bi yang membawa maksud, ‘Cakera Jed He’.
Masa berganjak. Pada tahun 283 SM, jed He Shi Bi dicu.ri dari Raja Chu lalu dijual ke Negara Zhao. Jed tersebut turut dicari oleh Raja Qin yang menawarkan sebanyak 15 buah kota bagi membelinya daripada Raja Zhao.
Ibarat mendapat durian runtuh, Raja Zhao pada mulanya memberi kata setuju. Namun, beliau disapa keraguan dan kekhuatiran kalau-kalau Raja Qin menipu. Justeru, Raja Zhao pun menitahkan tukang permata istana supaya mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat kero.sakan kecil pada He Shi Bi.
Namun, tipu-helah tersebut tidak mempan pada rombongan yang dihantar oleh Raja Qin. Dek kerana itu, si tukang permata Zhao pun mengu.gut untuk menghan.curkan jed tersebut andai Qin masih berkeras mahu meram.pasnya.
He Shi Bi cukup berharga untuk diperta.ruhkan dengan keangkuhan. Maka, Raja Qin tidak segan untuk akur dengan permintaan Zhao. Qin bagaimanapun menebus jua penghinaan yang diterimanya itu.
Pada tahun 221 SM, Qin Shi Huang menak.luki kesemua enam negara China yang saling berpe.rang. Negara Zhao tidak terkecuali. He Shi Bi juga berjaya dimiliki. Jed tersebut lantas diukir menjadi simbol peribadi Qin Shi Huang. Padanya ditatahkan kata-kata, “Menerima mandat daripada langit. Moga-moga maharaja panjang umur dan pemerintahannya makmur.”
Semenjak itu, He Shi Bi menjadi Mohor Diraja China (Chuán Guó Xǐ ) dan diperturunkan dari generasi ke generasi tanpa mengira dinasti. Ia dijunjung sebagai regalia Dinasti Qin, Dinasti Wei, Dinasti Jin, Dinasti Sui, dan Dinasti Tang.
Malangnya, mohor berharga ini hilang dari literasi sejarah pada zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan (907-960 Masehi). Sejarahwan bagaimanapun berpandangan yang ia hilang secara rasmi pada zaman Dinasti Ming (1368-1644 M).
Pada hari ini, Kota Larangan menyimpan sebanyak 25 mohor diraja – walaupun ia tentunya kurang signifikan jika dibandingkan dengan Chuán Guó Xǐ. Wujud fizikalnya mungkin telah pun hilang tanpa kesan. Namun, sejarahnya tidak pernah dilupakan.
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (19 Disember 2016). The Legend of the Imperial Jade Seal of China, An Heirloom Lost in Time. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih