Jauh perjalanan, luas pandangan. Besar periuk, besarlah juga keraknya. Begitulah keadaannya bagi rakyat jelata Rom. Jajahan takluk empayar yang luas membuatkan mereka gemar berjalan – rentas daerah, rentas wilayah, rentas selat mahupun lautan luas.
Bermula dari England di utara hingga ke Mesir di selatan, rangkaian lebuhraya Rom yang lengkap berturap memacukan lagi sektor komunikasi, logistik, dan perdagangan. Dianggarkan, panjang keseluruhan lebuhraya tersebut berukuran kira-kira 53,000 batu (85,000 km). Sebagai perbandingan, panjang lebuhraya Empayar Inca di Mesoamerika adalah sekitar 40,000 km.
Daya ketahanan lebuhraya Rom juga bukan calang-calang. Usianya melangkaui empayar itu sendiri. Bahkan, tidak keterlaluan andai kita katakan yang lebuhraya Rom jauh lebih berdaya tahan berbanding lebuhraya moden. Ketahanannya bukan sekadar terbukti menerusi tempoh kewujudannya yang lama. Tetapi juga kurangnya kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan.
Cuma, teknologi lebuhraya mereka sahaja yang terkehadapan. Sistem pengangkutannya masih sesuai dengan perkembangan yang dimiliki pada waktu itu. Justeru, berjalan-jalan merentas daerah bukanlah sesuatu yang santai.
Perjalanan dari kota Rome ke Naples misalnya, mengambil masa selama 6 hari sedangkan pada hari ini, pemanduan bagi jarak yang sama hanya memakan masa 2 jam 20 minit.
Kebiasaannya, orang kebanyakan Rom berjalan-jalan dengan menaiki raeda, iaitu sejenis gerabak beroda empat yang dilengkapi dengan bangku kayu buat penumpang. Bumbungnya ditutupi dengan kain (adakalanya tiada bumbung) dan ia ditarik oleh kuda atau keldai. Raeda boleh diumpamakan seperti bas awam, dengan undang-undang Rom mengehadkan muatannya sehingga 1,000 libra (kira-kira 300 kg).
Golongan berada pula selalunya menaiki carpentum yang berkerusi empuk dan berbumbung kayu lengkung. Selain ditarik oleh jumlah kuda yang lebih banyak, ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi yang membuatkan perjalanan terasa lebih selesa – tidak terlalu terhenjut-henjut.
Bagi tujuan industri, Rom juga memiliki plaustrum yang boleh disamakan seperti trak. Ia lazimnya digunakan bagi mengangkut muatan berat. Rodanya lebih tebal, dan ia ditarik oleh dua ekor lembu. Sesuai dengan ukurannya yang berat, plaustrum bergerak dengan sangat perlahan, iaitu kira-kira 10-15 batu (15-25 km) sehari.
Cara paling pantas untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat adalah dengan menaiki cursus publicus (lihat gambar utama; ia seakan carpentum, cuma dilengkapi sistem transit), iaitu perkhidmatan penghantaran yang dikelolakan sendiri oleh empayar. Selalunya, khidmat cursus publicus digunakan bagi mengangkut pegawai-pegawai rasmi seperti majistret atau ketua tentera.
Cuma yang lecehnya, perkhidmatan ini memerlukan lesen kebenaran daripada maharaja. Sistem cursus publicus bagaimanapun agak mengagumkan. Dalam jarak 12 km di jalan utama, akan ada sebuah stesen transit yang dilengkapi kuda-kuda segar dan penunggang-penunggang cekap.
Menurut A.M. Ramsey di dalam kertas kajiannya yang berjudul “The speed of the Roman Imperial Post” (diterbitkan di Journal of Roman Studies), anggaran kelajuan khidmat cursus publicus adalah 41-64 batu sehari (66-103 km). Dalam erti kata lain, perjalanan dari Rome ke Naples dengan menaiki cursus publicus hanya mengambil masa dua hari berbanding enam hari bagi pengangkutan biasa.
Di samping stesen-stesen transit cursus publicus, lebuhraya Rom turut dilengkapi dengan stesen-stesen rehat yang dipanggil sebagai mansiones – berjarak kira-kira 15-20 batu antara satu sama lain. Mansiones boleh diumpamakan seperti hentian atau kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuhraya moden. Ia mempunyai kemudahan makan minum dan rumah tumpangan untuk bermalam.
Cuma, ada gula adalah semut. Sesuai dengan kesibukannya sebagai tempat persinggahan, mansiones juga kerap dibanjiri kehadiran pelacur dan pencuri. Kewujudan lebuhraya sememangnya menjadi lubuk pendapatan bagi segenap lapisan masyarakat, baik yang atas mahupun yang bawah. Jalan-jalan utama Rom tidak lekang daripada tol, yang kebiasaannya terletak di atas jambatan atau di pintu gerbang sesebuah kota.
Pada zaman Rom, masih belum wujud kapal-kapal yang dikhususkan untuk tujuan persiaran. Namun, ini tidaklah bermakna yang orang-orang Rom tidak melancong dengan menaiki kapal. Cumanya, mereka perlu menaiki kapal dagang.
Untuk itu, pertama-tama mereka perlu terlebih dahulu mencari kapal yang menuju ke destinasi yang dikehendaki. Setelah itu, kebenaran daripada kapten kapal perlu diperoleh sebelum rundingan mengenai harga boleh dilakukan.
Laut Mediterranean sememangnya sibuk dengan aktiviti perkapalan, sesuai dengan kedudukannya yang menghubungkan antara Dunia Timur dan Barat. Justeru, mencari kapal yang menuju ke lokasi-lokasi penting seperti Greece dan Mesir pada waktu dan tarikh tertentu bukanlah suatu hal yang sukar.
Bagi yang mengembara dengan menaiki kapal, kebiasaannya mereka akan merehatkan diri di atas dek sahaja. Hal ini kerana tidak semua kapal mempunyai kabin, dan bagi yang ada pula, ia hanya memuatkan golongan berada. Disebabkan itu jugalah, orang-orang Rom kebiasaannya membawa bekalan sendiri seperti makanan, pakaian, alat permainan, dan kelengkapan tidur (selimut, tilam, dan adakala khemah).
Bagi yang mampu, mereka juga boleh memiliki kapal sendiri. Cuma, undang-undang Rom melarang senator dari memiliki kapal yang kadar muatannya melebihi 300 balang amphorae. Larangan ini seiring dengan undang-undang yang mengharamkan senator dari melibatkan diri dalam perdagangan antarabangsa.
Cumanya, perlayaran di Mediterranean terpaksa ditangguhkan selama empat bulan sepanjang musim sejuk (disebut mare clausum). Lautan terlalu bergelora untuk diharungi. Justeru pada musim sejuk, orang-orang Rom hanya dapat menggunakan jalan darat dan laluan sungai sahaja bagi mengangkut penumpang dan barang dagangan.
Sebagai kesimpulan, berjalan dan mengembara pada zaman Rom Purba sememangnya tidaklah seselesa hari ini. Bagaimanapun, segalanya dipermudahkan dengan kewujudan lebuhraya yang sistematik, lengkap dengan segala perkhidmatan dan stesen hentian. Kemudahan-kemudahan sebegini membolehkan orang-orang Rom menikmati perjalanan jarak jauh dengan lebih baik berbanding tamadun-tamadun lain yang sezaman dengannya.
TERJEMAHAN
Victor Labate. (17 Januari 2016). Ancient Journeys: What was Travel Like for the Romans? Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih