Bila kita buka buku sejarah lama, selalu kita jumpa satu nama bagi sebuah kota purba di Asia Tenggara: Ayutthaya, ibu kota Siam, pernah digelar sebagai “Venice of the East”. Tapi, betul ke kota ini setaraf dengan Venice di Itali?
Ayutthaya diasaskan pada tahun 1350 oleh Raja U Thong. Lokasinya memang strategik, terletak di persimpangan tiga sungai utama: Chao Phraya, Lopburi dan Pa Sak. Ini menjadikan Ayutthaya sebuah kota pelabuhan yang kaya, tempat kapal dagang dari Arab, India, China, Jepun, malah Portugis dan Belanda singgah.
Seperti Venice, Ayutthaya dipenuhi terusan (canal) yang berselirat, jadi jangan pelik kalau ramai pengembara Eropah abad ke-16 dan ke-17 menggelarnya Venice of the East.
Tapi persamaan itu bukan hanya pada terusan. Ayutthaya waktu itu sebuah metropolis kosmopolitan. Bayangkan, ketika abad ke-17, populasi Ayutthaya mencecah hampir 1 juta orang, lantas menjadikan ia antara kota terbesar di dunia, setara dengan London atau Paris pada masa yang sama.
Kedutaan asing dari Jepun, Belanda dan Perancis membuka pusat mereka di sini. Malah duta Perancis, Simon de la Loubère, menulis bahawa istana raja di Ayutthaya begitu megah, dihiasi emas dan marmar, setanding dengan istana-istana di Eropah.
Ekonomi Ayutthaya pun luar biasa.
Sistem pelabuhan terbuka menarik pedagang antarabangsa, lalu menjadikan Siam sebagai pusat perdagangan beras, kayu jati, timah dan barangan mewah. Sebab itu Ayutthaya bukan sahaja Venice dari segi rupa, tetapi juga Venice dari segi fungsi sebagai pusat perdagangan global.
Namun, jangan kita romantiskan terlalu jauh. Tak macam Venice yang masih wujud hari ini, Ayutthaya hancur pada tahun 1767 apabila diserang dan dibakar oleh tentera Burma. Kota indah itu musnah jadi runtuhan. Yang tinggal sekarang hanyalah kuil-kuil batu merah dan patung Buddha tanpa kepala yang bukti kegemilangan silam.
Jadi, betul ke Ayutthaya itu “Venice of the East”? Jawapannya ya, tapi lebih daripada itu. Ia bukan sahaja jadi Venice versi Asia, malah jadi sebuah empayar perdagangan yang berdiri sendiri, dengan budaya, seni bina dan sistem politik yang unik.
Maka ingatlah, suatu masa nanti kalau anda berjalan di runtuhan Ayutthaya, anda bukan sekadar tengok “Venice of the East”. Tetapi anda sedang menyaksikan sisa-sisa sebuah kota yang pernah jadi pusat tumpuan dunia.




No comments yet