Negeri Kedah Darul Aman merupakan sebuah negeri purba yang muncul sebagai sebuah tamadun terawal dunia di rantau Asia Tenggara sejak lebih kurang abad ke-8 Sebelum Masihi. Ini dibuktikan dengan penemuan pelbagai artifak industri tamadun Zaman Besi di Sungai Batu dan di kawasan hulu Sungai Muda seperti bahan mineral besi yang diproses dari lombong purba berhampiran dan juga relau tanah liat yang digunakan untuk memprosesnya.

Selain itu, negeri Kedah juga terkenal sebagai tempat persinggahan pedagang yang terletak di tengah-tengah jalur perdagangan dunia di antara timur dengan barat, dan juga utara dengan selatan yang mula berlangsung secara rancak sekitar kurun-kurun awal Masihi. Ini berlaku sebagai lanjutan aktiviti perekonomian Zaman Besi Kedah yang mula menarik kedatangan para pelayar ke pelabuhannya di sekitar Lembah Bujang. Lembah Bujang menjadi maju kerana ia dihubungkan juga dengan dagangan yang dating dari pelabuhan pantai timur semenanjung seperti Senggora dan Patani(Langkasuka).

Kawasan pesisir maritim Kedah justeru merupakan pintu masuk utama para pelayar yang ingin membawa dagangan mereka melintasi Selat Melaka, atau juga sebagai pintu masuk untuk melintasi jalan rentas semenanjung yang lebih digemari sebagai jalan pintas alternatif yang lebih praktikal akibat kemahiran pelayaran melintasi geografi selat yang masih lemah dan juga kemungkinan ancaman lanun laut.

Salah satu kawasan pesisir yang mesti ditempuhi dahulu oleh para pelayar dari seluruh pelusuk dunia ke Kedah tidak lain tidak bukan adalah Pulau Langkawi dan ia wujud seolah-olah sebagai sebuah pusat ‘imigresen’ sepanjang zaman. Para pelayar menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan pembekal bahan keperluan untuk meneruskan perjalanan seperti minuman, makanan dan kayu api, pelabuhan pembekal sumber dagangan seperti hasil semulajadi laut atau hutannya dan hasil pertanian seperti lada hitam. Ini menjadikan Langkawi sebagai lokasi yang ideal untuk didiami sama ada oleh orang tempatan atau para penghijrah dari negeri lain.

Kedudukan utama Pulau Langkawi ini dapat ditemukan terutamanya di dalam pelbagai riwayat-riwayat lama negeri Kedah. Sumber-sumber hikayat seperti Hikayat Merong Mahawangsa mengabadikan memori mengenai peranan pulau tersebut seperti yang telah dinyatakan sejak zaman purba. Hikayat tersebut menceritakan kisah bagaimana Raja Merong Mahawangsa iaitu menurut satu versi sebagai pemerintah pertama di Kedah mula-mula sekali tiba di negeri tersebut melalui Langkawi.

Baginda menurut riwayat romansi itu yang persis saduran Hikayat Seribu Satu Malam telah singgah di ‘Langkapuri’, sedang dalam misi untuk menyelamatkan Putera Raja Rum(Rum dalam tradisi persuratan Melayu-Islam asalnya merujuk kepada rantau Hellenistik Yunani, Anatolia dan Parsi) yang karam di sekitar Kedah ketika mereka dalam perjalanan untuk dikahwinkan dengan Puteri Raja China.

Puteri tersebut telah dilarikan oleh seekor Garuda jadian sakti lalu disorokkan di Langkawi. Garuda itu jugalah yang bertanggungjawab mengaramkan kapal Putera Rum namun tanpa pengetahuannya putera dan puteri tersebut telah ditakdirkan untuk bertemu di Langkawi dan akhirnya berjaya diselamatkan dan dikahwinkan.

Raja Merong Mahawangsa yang memainkan peranan yang penting dalam peristiwa tersebut sebelum menubuhkan kerajaan pertama di negeri Kedah dan mungkin di seluruh Semenanjung Tanah Melayu berkemungkinan adalah individu yang sama dengan tokoh bernama Maharaja Darbar Raja yang muncul dengan peranan yang sama di dalam hikayat At-Tarikh Silsilah Negeri Kedah.

Meskipun kisah romansi dua putera-puteri tersebut tidak wujud di dalamnya namun maklumat mengenai kedatangan raja pertama Kedah dari Parsi mungkin dapat dikaitkan dengan peranan Raja Merong yang juga datang dari negeri ‘Atas Angin’ di Benua Rum.

Apa yang paling menarik di sini adalah selain sumber daripada hikayat-hikayat tersebut, kisah lisan yang diperturunkan bergenerasi lamanya telah menamakan sebuah formasi semulajadi tanjung yang terletak paling utara di Pulau Langkawi sebagai Tanjung Gemerun. Tanjung ini yang juga dipanggil Tanjung Kemarong kononnya telah dinamakan bersempena dengan berlabuhnya kapal kenaikan raja pertama negeri Kedah tersebut sebelum baginda mendarat dan membentuk kerajaan pertama di Langkasuka di hulu Sungai Muda.

Kedua-dua hikayat yang telah dinyatakan hanya kekurangan maklumat dari segi pentarikhan peristiwa namun berkemungkinan ia dapat didokong oleh riwayat yang datang dari hikayat Tarikh Fathani yang menyatakan bahawa negeri Langkasuka dan keluarga diraja Mahawangsa yang menjadi pemerintah pertama di Kedah dan Patani muncul sekitar abad ke-5 Masihi. Maka kehadiran Raja Merong dan Maharaja Darbar Raja di Kedah dan Langkawai berkemungkinan adalah pada sekitar tahun 400-an Masihi.

Beberapa ratus tahun kemudian, Kedah terus berkembang maju seiring dengan peranan Pulau Langkawi meskipun ia telah memeluk agama Islam sejak 1136 Masihi dan bertukar menjadi sebuah kesultanan Melayu. Kedah dan Langkawi merupakan pengeluar utama hasil pertanian komoditi antarabangsa dalam bentuk lada hitam bersama-sama dengan peranan Kesultanan Samudera-Pasai yang terletak di seberang Selat Melaka. Lada hitam ini digilai oleh para pedagang dari Eropah dan juga dari China.

Perkembangan perdagangan yang pesat di Kedah mencapai kemuncaknya pada abad ke-17 dan ke-18 Masihi bersama-sama peranan Kesultanan Aceh Darussalam. Kedah dan pelabuhannya berpusat di sekitar daerah-daerah utara seperti Perlis, Kubang Pasu dan Kota Setar dan pada ketika ini Pulau Langkawi menjadi pintu masuk utama yang bukan sahaja disinggahi untuk tujuan pelayaran namun juga sebagai kubu pertahahanan terpenting Kedah dari arah laut.

Didalam At-tarikh Silsilah Negeri Kedah peranan Langkawi pada era tersebut banyak dinyatakan dan yang paling penting adalah pada zaman awal pembentukan kesultanan dimana sebuah kota pentadbiran telah diasaskan di Langkawi dibawah pentadbiran Tunku Laksamana Kedah bernama Tunku Sulaiman iaitu anakanda kepada Sultan Muzaffar Shah I yang pertama sekali memeluk Islam pada tahun 1136 Masihi.

Lokasi kota ini masih menjadi tanda tanya namun lokasi tradisinya berkemungkinan terletak di tapak Kampung Raja di hilir Padang Matsirat. Dipercayai kawasan berbukit di Kuala Teriang merupakan tapak sebuah kubu pertahanan lama dari zaman tersebut. Jumpaan pelbagai seramik China di sepanjang lembah Sungai Melaka mengukuhkan fakta bahawa kawasan ini merupakan pusat penempatan dan perdagangan utama pada suatu ketika dahulu.

Pada sekitar tahun 1721 pula, menurut At-Tarikh Silsilah Negeri Kedah, Langkawi sekali lagi telah menjadi tarikan kepada satu peristiwa besar iaitu sambutan kepulangan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II yang telah berkelana mendalami ilmu agama di Malabar(atau Kerala, India hari ini) selama beberapa tahun. Baginda telah disambut oleh para menteri Kedah yang menemui baginda di Markhi(Mergui, Selatan Myanmar moden) untuk memaklumkan kemangkatan ayahanda baginda dan keinginan untuk menabalkan baginda sebagai sultan yang baharu.

Kapal-kapal dari Kedah dan juga sebuah kapal jenis ‘baghalah’ seorang juragan Arab Muskat (Oman) yang dinaiki baginda telah singgah dahulu di Langkawi. Rakyat Kedah telah menyambut rombongan ini di sebuah selat yang hari ini merupakan pintu masuk kepada jeti Pekan Kuah. Bersempena dengan peristiwa tersebut maka masyarakat tempatan telah mengabadikan nama selat tersebut sebagai Selat Baghalah Tengku Muhammad Jiwa Balik, Selat Baghalah Balik atau Selat Beghala.

Kesemua kisah-kisah menarik dan bersejarah ini menjadi bukti dan inspirasi akan kepentingan Pulau Langkawi sebagai sebuah hab maritim bertaraf dunia yang amat berharga bagi negeri Kedah khususnya dan negara Malaysia amnya selain peranan Pulau Pinang.

Peranannya sentiasa relevan sebagai sebuah tempat persinggahan dan penempatan masyarakat dunia yang strategik bukan sahaja kerana sifatnya sebagai sebuah entrepot semulajadi sejak zaman purba, namun juga sebagai sebuah lokasi di mana alam semulajadinya berupaya menjadi sumber ekonomi dan perdagangan yang menguntungkan dan dengan tarikan keindahan yang berguna industry sektor pelancongan. Namun kesemua ini hanya dapat dieksploitasi secara jangka masa panjang jika latar alam semulajadi dan sejarah purbanya terus dipertahankan secara lestari.

RUJUKAN:

  1. Maziar Mozaffari Falarti. Malay Kingship in Kedah Religion, Trade and Society. Petaling Jaya: SIRDC, 2013.
  2. Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad. At-Tarikh Silsilah Negeri Kedah, Ibrahim Bakar Langkawi (ed.). Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, 2018.
  3. Rogayah A. Hamid and Mariyam Salim. Kesultanan Melayu Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.
  4. Wheatley, Paul. The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press, 1961.
  5. Siti Hawa Haji Salleh. Hikayat Merong Mahawangsa: Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, 1998.
  6. Syeikh Faqih Ali al-Fatani. Tarikh Fathani. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah, 2000.
  7. Wan Shamsudin Mohd Yusof. Kedah Dalam Warisan Sejarah dan Budaya Nusantara. Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, 2014.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Comments are closed.