Sewaktu berlakunya pemberontakan awal menentang British Raj di India, muncul seorang pejuang kebebasan – iaitu seorang pahlawan ratu yang memimpin sendiri pasukan tenteranya ke medan tempur demi meraih kemerdekaan buat tanah airnya.
Rani dari Jhansi merupakan salah satu figura kepemimpinan yang unggul dalam Pemberontakan India 1857. Beliau malah dianggap sebagai simbol penentangan terhadap kependudukan British di situ. Melebihi segalanya, rani ini merupakan seorang wanita yang cukup ‘badass’.
Rani, atau ratu Hindu yang dimaksudkan ini dilahirkan di sebuah kota suci bernama Varanasi pada suatu tempoh masa sekitar tahun 1828M. Beliau dinamakan sebagai Manikarnika yang bermaksud “srikandi jauhari”. Sejak awal usia lagi, beliau dikatakan telah mempunyai ciri-ciri sebagai seorang perempuan yang lasak.
Ibunya meninggal dunia semasa beliau masih kecil. Rentetan itu,
Manikarnika dibawa ke mahligai seorang ketua menteri, Peshwa. Di tempat itu juga, bapanya berkhidmat sebagai seorang penasihat. Manikarnika diberikan pendidikan bersama kanak-kanak lelaki lain di mahligai Peshwa itu. Dalam kesempatan tersebut, beliau dididik dengan pelbagai kemahiran yang lazimnya tidak diceburi oleh kanak-kanak perempuan pada masa itu – iaitu kemahiran seni bela diri, kemahiran bermain pedang dan kemahiran menunggang kuda.
Apabila usianya menginjak remaja, Manikarnika dikahwinkan dengan Gangadhar Rao, Maharaja Jhansi. Jhansi ialah sebuah wilayah kecil yang terletak di timur laut India. Sebagaimana budaya lazim bagi ratu-ratu India pada masa itu, Manikarnika mengambil nama baru selepas berkahwin; Lakshmibai.
Usia maharaja tersebut dikatakan 20 tahun lebih tua berbanding Lakshmibai yang merupakan isteri keduanya. Makanya, Lakshmibai tampil lebih lincah dan aktif berbanding Gangadhar Rao di samping minatnya terhadap kuda kelihatan agak mendalam. Laksmibai sering berlatih menggunakan senjata-senjata yang terdapat di dalam istana. Malahan, beliau turut menghimpun dan melatih sekumpulan tentera wanita.
“Perkara sebegini (kewujudan tentera wanita) mungkin tidaklah begitu aneh,” tulis Allen Copsey yang mengkaji kehidupan rani Lakshmibai. Hal ini kerana kediaman wanita di istana sering dikawal-rapi oleh wanita-wanita bersenjata. Pahlawan-pahlawan wanita itu juga kadangkala terlibat dalam pertempuran. “Apa yang aneh sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab dalam latihan mereka ini adalah rani Lakshmibai.”
Pada tahun 1853M, iaitu 11 tahun selepas berkahwin dengan Lakshimbai, maharaja Gangadhar Rao mangkat. Sehari sebelum kemangkatannya, baginda yang tidak dikurniakan zuriat itu bertindak mengambil seorang putera angkat untuk dijadikan sebagai pewaris takhta. Sepanjang tempoh waktu sebelum ini, kota Jhansi yang diperintahnya itu merdeka dari British-Raj walaupun kekal mengambil pendirian pro-British.
Namun, selepas sahaja kemangkatan maharaja Gangadhar Rao, pihak British langsung merampas wilayah tersebut dan enggan memperakui kedudukan rani Lakshmibai atau putera angkatnya sebagai pemerintah wilayah itu, walaupun berulang kali Lakshmibai mengutarakan rayuan.
Pada tahun berikutnya, rani diarahkan agar meninggalkan istana dan benteng Jhansi. Lakshmibai kemudiannya menetap di sebuah istana bernama Rani Mahal. Beliau enggan berpeluk tubuh dalam menghadapi takdirnya itu. Beliau juga enggan tunduk kepada kebanyakan tradisi yang lazim diamalkan oleh golongan balu, seperti mencukur kepala dan mematahkan gelang.
Seorang pegawai perbandaran British yang bernama John Lang pernah menziarahi beliau di Rani Mahal untuk mendeng ar rayuannya. Menurut catatan memoir Lang, Lakshmibai yang ketika itu berusia sekitar 26 tahun dengan tegas berucap, “Mera Jhansi nahin dengee!” – ucapan berbahasa Hindi yang bermaksud, “Aku tidak akan sekali-kali menyerahkan Jhansi milikku itu!”
Pada hakikatnya, Syarikat Hindia Timur tidaklah menganggapnya sebagai seorang pemerintah yang tidak berkebolehan. Seorang ejen politik pada masa itu ada menuliskan bahawa “maharaja Gangadhar Rao pernah meluahkan hajat agar kerajaan (kemerdekaan India) dapat direalisasikan di tangan isterinya itu (Lakshmibai) semasa hayat rani tersebut. (Turut dituliskan bahawa rani adalah) seorang wanita yang dihormati, dimuliakan, dan saya yakin bahawa beliau penuh berkemampuan untuk menyebarkan keadilan,” tulis Antonia Fraser di dalam bukunya, Warrior Queens.
Terdapat begitu banyak kisah yang memerihalkan kegagahan dan keazaman rani Lakshmibai; Fraser menulis sebuah catatan yang merincikan keadaan Rani ketika menunggang kuda – tali kekang kemas digigit di celah giginya dan dua belah pedang tergenggam erat di tangannya.”
Walaupun dengan keupayaan sedemikian, Lakshmibai tidak melakukan pemberontakan terhadap British kecuali pada tahun 1857M.
Pemberontakan meletus di wilayah utara India pada tahun 1857M, bermula di Meerut dan kemudiannya merebak ke Jhansi. Kubu benteng Jhansi dikepung oleh tentera-tentera pemberontak. Mereka lantas menggempur masuk dan membunuh setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak British yang terdapat di dalam kubu tersebut. Walaupun penglibatan Lakshmibai di dalam pemberontakan ini masih diperdebatkan, beliau sejak awal lagi dikaitkan dengan kejadian pembunuhan tersebut.
Seorang doktor tentera yang bernama Thomas Lowe menyebutkannya sebagai “Jezebel bagi India” (Wanita Lancang dari India)… Ranee yang muda, bertenaga, berwibawa, teguh pendirian, tegas dan kepalanya dibasahi darah musuh dan hukuman berat menanti dirinya (atas ‘jenayah’ yang dilakukan).”
Selepas berlakunya pemberontakan itu, Lakshmibai kembali ke Jhansi dengan tujuan untuk mengambil-alih kepemimpinan ke atas kubu tersebut, dan mempertahankannya dari sebarang serangan. Namun, pihak British tidak mengendahkan permintaan bantuan yang dilakukan oleh beliau dalam rangka mempertahankan wilayah itu. Bagi pihak British, Jhansi telah menjadi markas puak pemberontak dan Lakshmibai pula dianggap sebagai pahlawan ratu mereka.
Pada tahun berikutnya, Sir Hugh Rose yang merupakan seorang komander dalam pasukan tentera British diberikan tugas untuk menghapuskan markas-markas pemberontak yang masih berbaki di India. Atas tujuan itu, beliau pun berangkat ke Jhansi dan susulannya, Lakshmibai melakukan persiapan untuk menghadapi peperangan.
Menurut Fraser, beliau menghimpunkan sekitar 14 000 orang sukarelawan dari 220 000 penduduk secara keseluruhan di samping 15 000 orang tentera India yang pernah berkhidmat untuk British (dikenali sebagaisepoys). Beliau juga melakukan persiapan yang sesuai bagi menyiapkan laras-laras meriam di atas tembok benteng.
Pada bulan Mac 1858M, pasukan tentera pimpinan Rose menggempur Jhansi dan pahlawan ratu India itu turut mengepalai sendiri ketumbukannya ke medan tempur. Namun setelah beberapa waktu berlalu, penentangan dari Jhansi tewas dan rani terpaksa melarikan diri pada waktu malam bersama putera angkatnya dan berlindung di kota berhampiran.
Pihak British menggempur kota tersebut pada bulan Mei dan pasukan tentera India yang dipimpin oleh Lakshmibai sekali lagi ditewaskan. Oleh kerana itu, beliau berundur buat kali kedua – kali ini ke Gwalior dengan hasrat mahu mengambil kedudukan strategik di Kubu Gwalior bersama para pemimpin pemberontak yang lain.
Bala tentera British tiba di Gwalior pada bulan Jun tahun yang sama. Di tempat dan waktu itulah rani Jhansi pada akhirnya mengalami kekalahan muktamad. Para pemimpin pemberontak yang lain enggan mendengar cadangannya supaya bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan serangan British ke atas Gwalior. Akibatnya, kubu tersebut tumbang pada tanggal 16 Jun 1858.
Lakshmibai sekali lagi memimpin sepasukan tentera India bagi memerangi British pada keesokan hari. Namun, hari tersebut ditakdirkan sebagai hari keguguran beliau di medan tempur. Tentera-tentera pemberontak pimpinannya lantas kehilangan semangat dan berundur meninggalkan Gwalior. Tidak dinafikan lagi, kemangkatan rani Jhansi itu menandakan berakhirnya pemberontakan kaum India terhadap British-Raj.
Dalam suratnya kepada Duke of Cambridge sejurus selepas kemangkatan Lakshmibai, Sir Hugh Rose merincikan wanita itu sebagai “seorang yang ulung dalam keberanian, kepintaran dan keteguhan azam… pemimpin pemberontak yang paling berbahaya bagi mereka.” Beliau malah menggelarnya sebagai “Joan of Arc bagi India.”
Kolonel Mason pula menulis di dalam bukunya yang berjudul Historyu of the Indian Mutiny bahawa “walau apa sekalipun kesalahan Lakshmibai di mata British, rakyat senegaranya (India) akan sentiasa mengenangnya sebagai seorang yang ditindas dan dizalimi sehingga beliau mengangkat senjata untuk memberontak dan mengabadikan kehidupan dan kematiannya demi tanah air.”
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
- Urvija Banerji. (24 Februari 2016). Lakshmibai, The Warrior Queen Who Fought British Rule in India. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/lakshmibai-the-warrior-queen-who-fought-british-rule-in-india
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih