Pada tanggal 12 November 1720, Peter Tordenskjold meninggal dunia dalam satu pertandingan lawan pedang. Namanya mungkin kedengaran biasa-biasa saja bagi kebanyakan orang, tapi dia merupakan salah seorang pahlawan nasional di negara Denmark dan Norway — dua negara yang pernah bersatu suatu ketika dahulu.
Namanya dijulang dalam banyak lagu-lagu popular dan kenangannya diabadikan dalam bentuk tugu peringatan, nama jalan, buku, filem dan bahkan perayaan festival, malahan ada kapal tentera laut moden Denmark dan Norway dinamakan bersempena dengan namanya. Namanya juga disebut dalam lagu kebangsaan Denmark.
Peter Jansen Wessel (Tordenskjold adalah nama gelaran yang diberikan kepadanya pada tahun 1716) dilahirkan di Trondheim pada bulan Oktober 1690. Pada waktu itu kota tersebut merupakan sebahagian dari wilayah kerajaan Dano-Norway, juga dikenali sebagai Oldenburg setelah dinasti yang tiada kuasa mutlak (titular) menaiki takhta sejak tahun 1448.
Kesatuan negara itu turut merangkumi duchy Schleswig dan Holstein, serta wilayah yang bergantung (Iceland, Kepulauan Faroe dan Greenland) dan negeri-negeri ja.jahan (Antille Denmark, Pantai Emas Denmark Afrika, Kepulauan Nicobar Asia dan kota-kota India di Serampore dan Tharangambadi), telah dibentuk pada tahun 1536 sebagai kesan dari cubaan yang gagal untuk menggabungkan negara-negara Scandinavia, Kesatuan Kalmar tahun 1397.
Penyatuan gagal kerana para bangsawan Sweden yang mencurigai kedudukan dominan yang dimiliki Denmark adalah berkat hakikat yang mahkota tetap di tangan Ratu Margrethe I, akhirnya menarik diri pada tahun 1521, meninggalkan rakan kongsi mereka itu sendirian dan melantik raja mereka sendiri, Gustav Vasa.
Sweden dan Denmark terlibat dalam konf.lik berse.njata antara tahun 1611 dan 1613 kerana merebut kawalan kuasa komersial di Baltik dan kemudian Per.ang Tiga Puluh Tahun semakin mengeruhkan hubungan mereka, meninggalkan Sweden sebagai satu kuasa yang bangkit menjadi kuasa dominan di Eropah Utara.
Kerajaan Denmark-Norway melalui tahun-tahun yang getir, dikalahkan berulang kali oleh musuh mereka dari utara dalam pertembungan yang berlaku secara berturut-turut. Ini mengakibatkan mereka dilemahkan dari dalam yang membuka jalan perubahan ke arah monarki mutlak di bawah Christian V, yang dibina melalui sistem Lex Regia 1665 sehingga merugikan peranan semak imbang yang hingga saat itu dimainkan oleh Riksrad (Dewan Kerajaan).
Pada tahun 1675, Denmark mengambil kesempatan terhadap situasi Sweden yang sedang melemah dalam Per.ang Perancis-Belanda dengan menyer.ang mereka, ia bertujuan untuk merebut kembali wilayah Scania yang dirampas sebelum itu. Tapi rancangan itu tak berjalan lancar dan status quo dikembalikan.
Dalam konteks inilah Wessel dilahirkan (kita guna nama panggilan ini dulu) sebagai anak kesepuluh seorang ahli perniagaan kaya yang juga seorang ahli majlis bandar. Walaupun menikmati kedudukan yang selesa, dia adalah seorang anak lelaki yang tak boleh duduk diam, gemar memberon.tak, sering bergaduh dan terus menimbulkan masalah kepada orang tuanya.
Contoh terbaik perangai nakalnya adalah pada tahun 1704, ketika dia masih remaja, dia memalsukan identitinya untuk menaiki kapal per.ang dan tiba di Copenhagen di mana dia cuba memasuki akademi tentera laut. Dia tak berjaya, tapi dia berkawan dengan seorang pendeta kerajaan yang bertanggungjawab mengatur penyertaan dia sebagai kru kapal yang berlayar ke Hindia Barat.
Begitulah cara dia memulakan hidup pelayarannya dengan melakukan perjalanan selama lima tahun di laluan segitiga Guinea (kini Ghana)-Caribbean-Denmark. Akhirnya, pada tahun 1709 dia memasuki akademi, dan sebagai seorang kadet dia melakukan perjalanan lain melalui Hindia Timur sehinggalah pada tahun 1711 dia menerima jawatan leftenan kedua yang ditugaskan di kapal frigat Postillon.
Di sana, dia berkawan dengan Baron Valdemar Løvendal, seorang laksamana Norway yang melihat masa depan pemuda itu cerah dan memberikan dia kuasa perintah di sebuah kapal penyelamat empat meriam bernama Ormen. Dengan kapal itu dia menyertai per.ang berterusan di mana Sweden terlibat dalam per.ang yang bermula pada tahun 1700 dan berlangsung hingga 1721.
Pada tahun 1712, pelindung Wessel mengamanahkan dia dengan sebuah kapal frigat 18 meriam bernama Løvendals Galej, tindakan ini dianggap mengabaikan pendapat laksamana yang menganggap Wessel terlalu impulsif.
Kemudian, keegoannya menyebabkan dia bertengkar dengan pegawai atasannya, lalu dia memohon dan memperoleh tugasan baru di Baltik di bawah perintah Laksamana Ulrik Christian Gyldenløve, seorang putera luar nikah Raja Christian V yang ada misi sokongan dari laut untuk pengepungan Stralsund bagi memutuskan saluran bekalan armada Sweden.
Dia tak perlukan banyak masa untuk menempa nama bagi dirinya sendiri dengan menyer.ang setiap kapal musuh yang dia temui tanpa mengira perbezaan saiz ukuran atau perse.njataannya kerana dia menghampiri dengan memakai panji-panji palsu dan memiliki kemampuan melarikan diri yang khusus dengan cepat jika ada sesuatu yang tak kena.
Dengan cara ini, Denmark membuatkan Sweden dan sekutu mereka (Inggeris dan Belanda) tertinggal jauh di belakang dan berulang kali mengganggu pengangkutan bekalan mereka. Wessel mencipta banyak kemenangan dan menjadi kapten leftenan, pada masa yang sama musuh menawarkan ganjaran besar untuk menangkap dia dengan menganggapnya sebagai tentera upahan secara praktik, ini dipersetujui oleh pelaut Denmark.
Mereka tidak senang hati dengan pertem.puran sebegitu, tapi mereka juga tak ada keberanian seperti Wessel. Bagaimanapun, ia terbukti berkesan kerana Raja Sweden Charles XII terpaksa meninggalkan agendanya untuk menyer.ang Norway.
Pada tahun 1714 salah satu episod yang tak pernah didengari dalam karier ketenteraan Wessel berlaku, sehinggakan dia terpaksa menghadapi hukuman ketenteraan untuk menentukan apakah tindakannya dalam pertem.puran melawan kapal per.ang musuh itu boleh diterima.
Pada penghujung bulan Julai, Løvendals Gallej sedang berlayar dari Lindesnes (sebuah perbandaran di selatan pantai Norway) dengan mengibarkan bendera Belanda semasa terserempak dengan kapal yang membawa bendera Britain. Kapal Britain itu adalah salah satu kapal yang Angkatan Laut Diraja telah lengkapkan dengan se.njata dan disediakan untuk Sweden secara khusus, ia adalah frigat 28 meriam bernama De Olbing Galley yang di bawah perintah seorang kapten Inggeris bernama Bactmann.
Kedua-dua kapal ini saling mendekati dengan penuh waspada, dan apabila masanya tiba, kapal di bawah perintah Wessel bertindak menaikkan bendera mereka yang sebenar dan musuhnya bertindak balas dengan melepaskan tem.bakan.
Setelah saling berbalas tem.bakan meriam sepanjang hari, waktu malam pun menjelma, De Olbing Galley cuba melarikan diri tapi gagal. Keesokan harinya, konfrontasi itu diteruskan semula.
Selama 14 jam kedua buah kapal itu saling membe.dil dan kedua-duanya juga telah mengalami kerosakan yang besar dalam proses tersebut. Tapi isu yang dihadapi Løvendals Gallej jauh lebih besar, akibat ser.angan Wessel yang amat agresif, ia telah menyebabkan meriam kapalnya sendiri sudah kehabisan serbuk be.dil dan peluru.
Kemudian Wessel menurunkan perahu dan utusan bersama bendera putih untuk dikirim ke kapal Inggeris. Pihak Inggeris menyangka ia mungkin bertujuan untuk membuka rundingan menyerah kalah tapi laksamana Inggeris menjadi kelu tak terkata apabila mendapat tahu hasrat sebenar musuhnya.
Ya, musuh Inggeris iaitu Wessel mahu meminjam sedikit serbuk be.dil bersama beberapa biji peluru meriam dari pihak Inggeris agar mereka dapat meneruskan pertem.puran.
Dah tentulah permintaan itu akan ditolak tapi akhirnya kedua-dua pihak saling bersulang minuman bersama-sama dan memuji antara satu sama lain. Dan memandangkan keadaan dua kapal itu yang rosak teruk, amat mustahil untuk mereka meneruskan pertem.puran, maka mereka masing-masing beredar mengikut haluan sendiri.
Berita mengenai kejadian itu membangkitkan kemarahan Frederick IV, Raja Denmark, lalu diperintahkan hukuman tentera dilaksanakan terhadap Wessel. Ia dilaksanakan pada bulan November, dan dia dipenjara atas tuduhan mendedahkan maklumat kepada musuh tentang keadaan kapalnya yang genting dan membahayakan kapal diraja dengan menyer.ang musuh yang melebihi keupayaannya.
Namun, Wessel dibebaskan dalam masa kurang dari sebulan apabila dia berjaya membahaskan seksyen undang-undang tentera laut Denmark yang mewajibkan kapal musuh yang melarikan diri diser.ang tanpa mengira sebesar mana pun saiz ukurannya. Selepas peristiwa aneh di lautan ini, Wessel menghadap raja untuk memohon kenaikan pangkat, dan dia akhirnya dilantik sebagai Kapten.
Sementara itu, per.ang berlanjutan dan Wessel terus menambahkan senarai angka kerugian untuk pihak Sweden. Sebahagian besar adalah pengangkutan tapi dalam Pertem.puran Kolberg yang berlaku pada April 1715, dia bahkan menawan veteran Laksamana Muda Hans Wachtmeister, yang juga penasihat Raja Charles XII.
Dia juga merampas kapal frigat Vita Örn, yang diubah namanya menjadi Hvide Ørn dan diletakkan di bawah perintahnya. Pada tahun 1716, ketika per.ang berakhir, dia diberi nama gelaran ‘Tordenskjold’, yang bermaksud “perisai guruh”. Betapa popularnya dia sehingga dia mendapat gelaran kesatria. Tapi kariernya tak berakhir di situ saja.
Ia kerana pada tahun yang sama juga, Sweden kembali cuba menyer.ang Norway, di mana mereka melancarkan pengepungan melalui ser.angan mengejut terhadap kubu Fredrikshald.
Penduduk tempatan membakar rumah mereka sendiri dan berlindung di sebalik tembok. Tindakan ini menyebabkan tentera penceroboh terputus sumber makanan di daratan dan terpaksa menunggu kedatangan armada bekalan yang dikirim dari Gothenburg.
Ketika armada bekalan tiba dan berlabuh di pintu masuk Dynekilen, satu skuadron kecil yang terdiri dari dua frigat dan lima kapal kecil tiba-tiba muncul dan menghancurkan sekitar tiga puluh unit musuh dengan hampir tak ada kor.ban jiwa.Individu yang bertanggung jawab atas ser.angan itu adalah Wessel atau pada waktu itu sudah dikenali sebagai Tordenskjold, yang juga telah memaksa pengepungan itu ditamatkan dan dia kemudian dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai komander.
Dia kemudian diberikan kawalan terhadap skuadron Kattegat, tapi dalam angkatan laut Denmark-Norwegia, cara dia melaksanakan pertem.puran masih lagi diperlekehkan oleh sesetengah orang, ini termasuklah pegawai atasannya sendiri, Laksamana Kristen Carl Gabel.
Jadi, semasa dia menerima perintah untuk menghentikan skuadron Sweden di Gothenburg, dia tak mendapat sokongan dan kerjasama yang amat diperlukan. Kegagalan dalam misi itu bermaksud pada tahun 1718 dia sekali lagi dihadapkan ke mahkamah tentera kerana kecuaian.
Tapi sekali lagi dia berjaya mengatasi tuduhan, kali ini berkat keterangan yang memihak kepadanya oleh kawan lamanya, Laksamana Gyldenløve. Tak lama selepas perbicaraan, Tordenskjold kembali mendaki hirearki, mencapai peringkat Laksamana Muda pada bulan Disember.
Tordenskjold menyertai operasi baru pada tahun seterusnya, menawan kubu Carlsten di Sweden dan akhirnya menawan sebahagian besar tentera dari skuadron Gothenburg melalui taktik tipu muslihat iaitu memaksa mereka untuk menyerah kalah dengan berpura-pura memiliki bilangan kekuatan yang lebih besar daripada jumlah yang sebenarnya dia ada.
Kejayaan demi kejayaan menyebabkan dia mendapat kedudukan sebagai naib laksamana ketika per.ang antara Sweden dengan kerajaan Denmark-Norway sedang berakhir. Dia masih sangat muda, baru berusia tiga puluh tahun, tetapi secara paradoks, kariernya akan berakhir dengan cara yang tak dijangka dan tragis.
Ironinya takdir menentukan dia tak akan ma.ti dalam pertem.puran maritim, tapi dalam pertandingan lawan pedang semasa bertengkar dengan lelaki Sweden bernama Count Jacob Axel Staël von Holstein, seorang kolonel tentera di Livonian, wilayah yang pada waktu itu merupakan sebahagian dari Sweden.
Von Holstein sepuluh tahun lebih tua daripada Tordenskjold. Mereka bertemu di Hanover, di mana ia menjadi laluan Tordenskjold selepas melakukan perjalanan ke England untuk menawarkan khidmatnya kepada Raja George I (dengan izin raja Denmark), memandangkan keamanan sudah dikecapi dan dia sudah lama tak beraksi.
Mereka berdua berada di majlis keramaian makan malam semasa orang Scandinavia secara diam-diam menuduh Tordenskjold telah menipu seorang rakannya semasa bermain daun terup.
Pertengkaran tercetus dan Von Holstein cuba menghunus pedang tapi dihalang oleh Tordenskjold yang memukulnya menggunakan hulu pedang miliknya. Kemudian baru lah Von Holstein mencabarnya untuk bertanding lawan pedang.
Pertarungan berlaku pada pagi 12 November 1720, di pinggir sebuah kota bernama Gleidingen, kira-kira 30 kilometer di selatan Hanover. Tak sampai seminit kemudian, Holstein telah menusuk badan Tordenskjold dengan pisau yang mengakibatkan luka selebar tiga jari dan empat jari panjang.
Dia meninggal dunia di tempat kejadian dalam pelukan bapa baptisnya, Leftenan Kolonel Georg Otto von Münchhausen. May.atnya dibawa ke Copenhagen secara rahsia dan dikebumikan di gereja Holmen tanpa sebarang upacara kerana berlawan pedang adalah dilarang.
Denmark dan Norway kekal sebagai negara yang bersatu hingga tahun 1814, di mana sebelum itu angkatan laut mereka dikalahkan berturut-turut oleh tentera Inggeris dalam Pertem.puran Copenhagen Pertama dan Kedua setelah kerajaan mereka mengambil pendirian berkecuali dalam per.ang Eropah menentang kebangkitan Napoleon.
Ironinya, Naib Laksamana Horatio Nelson dari Angkatan Laut Diraja Britain memaksa Angkatan Laut Dano-Norway menyerah kalah dengan menerapkan taktik tipu muslihat sama yang pernah dilakukan oleh Tordenskjold di Gothenburg.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih